19 October, 2016

Enchelah Rajadewa Menulis Kisah Remaja Dalam Akhbar Kosmo

 
Ini adalah catatan peribadi tahun ini. Terima kasih wartawan Mohd Rizam Zakariya kerana sudi mewawancara ambo awal Mac yang lalu.

Novel Remaja Rambutan Kuala Lumpur - Cetakan Kedua


Alhamdulillah sudah dicetak kali kedua Novel Remaja Rambutan Kuala Lumpur. Terima kasih atas sokongan anda.

Rambutan Kuala Lumpur (Novel Remaja)
RM 25.00/RM30.00 (Sabah/ Sarawak)
ISBN: 9789674306564
Cetakan kedua : 2016
Jumlah Muka Surat: 213
 
Sinopsis
Novel Remaja Rambutan Kuala Lumpur ini sudah beredar di pasaran. Kisah hidup seorang remaja lelaki bernama Yasin yang berhijrah ke Kuala Lumpur setelah kematian ibunya. Sebelum itu ia menjadi anak angkat kepada Pak Hussein yang mempunyai dusun rambutan. Namun ia tidak dapat bertahan lama kerana mendapat tekanan daripada abang angkatnya Abang Jali yang tidak senang dengan kehadirannya dalam keluarga itu hingga sanggup mengancam nyawanya.
 
Yang membina hidup baru di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan Jijah yang juga berasal dari kampungnya. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata namun salah seorang daripadanya meninggal ketika kecil kerana tercekik rambutan.
 

Perjalanan hidupnya penuh ranjau yang berliku sehingga akhirnya Yasin terpaksa meninggalkan bandar raya Kuala Lumpur. Anaknya juga (Maisarah) juga terpaksa membuat pilihan sama ada untuk terus bertahan berada di Kuala Lumpur atau pulang untuk hidup bersama keluarganya.

02 September, 2015

Kisah Ambo dalam Gerbang Kisahku

Entah mengapa beberapa bulan yang lalu hati saya melonjak mahu menulis cerita dan melukis pada waktu yang sama. Saya tiba-tiba teringin melakukan sesuatu yang luar biasa dan yang belum pernah dilakukan oleh sesiapapun sebelum ini. Saya sedari ramai pelukis dalam kalangan penyair tetapi saya belum dengar pelukis dalam kalangan novelis.


Kerana itu saya harus mengambil peluang mengisi ruang ini sesuai dengan apa yang saya miliki. Barangkali ini permulaannya dan jika saya berpuas hati dengannya bolehlah diteruskan dengan cerita-cerita yang lain  yang sarat di dalam kepala ini.
 
Memori di alam kanak-kanak tidak pernah padam daripada ingatan saya. Seperti baharu semalam saya meninggalkannya. Namun saya percaya semua orang mengalami detik yang sukar untuk mengingati bilakah mereka mula ingat tentang dunia kanak-kanak mereka. Ia adalah titik kabur dan saya menggunakan cerita-cerita daripada arwah dan ibu yang sering menceritakan peristiwa ketika saya kecil.
 
Saya juga meminjam memori abang dan kakak jika mereka masih mengingati apa yang berlaku terhadap saya di waktu kecil. Saya tulis dan peram ia beberapa waktu dan sentiasa memperbaiki kandungannya walaupun saya telah 'pos' kan ia di wall facebook.
 
Ada sesuatu yang agak pelik juga apabila saya mengambil keputusan untuk menyiarkan autografik ini hanya dalam facebook sahaja dan tidak di blog sebagaimana saya lakukan pada waktu sebelum ini. Sebenarnya ada seorang sahabat yang mencadangkan saya melahirkan satu page 'Like' khusus untuk penulisan begini. Saya hanya mencuba tetapi hati saya serius untuk membukukannya apabila telah sempurna cerita kisah diri ini.
 
Sekian lama saya hanya menggunakan kata-kata untuk menvisualkan apa yang ada di dalam kepala saya. Sedangkan sebelum saya menjadi novelis saya sering menggunakan lukisan untuk menggambarkan apa yang terlintas di fikiran. Kini saya rasa saya harus memecah kebiasaan itu dengan menggambungkan kedua-duanya sekali agar penceritaan saya lebih berkesan.
 
 
 
Sehingga saat pos ini ditulis Gerbang Kisahku dengan Kisah Ambo telah mempunyai 18 siri cerita. Saya dapat saksikan bahawa penceritaan dengan bantuan visual sebenarnya lebih menarik minat pembaca. Namun ia tidaklah semudah yang anda lihat bagaimana semuanya terjadi,
 
Saya sebenarnya mengambil masa selama sekurang-kurangnya dua jam untuk melakarkan satu-satu visual berdasarkan cerita yang telah saya tulis. Dan saya harus menyiapkan cerita terlebih dahulu sebelum membuat lakaran agar lukisan itu dapat menggambarkan cerita yang dibaca.
 
 
 
Saya tidak menyangka bilangan pembaca semakin meningkat setiap kali ia diposkan. Terima kasih kerana menyokong saya. Cerita saya adalah sebahagian daripada sejarah yang berlaku di negara ini. Ia ditulis untuk perkongsian dan pedoman kita. Dan untuk melahirkan rasa bersyukur dan menghargai terhadap kehidupan yang kita perolehi pada hari ini.
 
Saya sangat gembira apabila jumlah yang membacanya mencecah ke angka ribu dalam masa beberapa hari ia poskan di dalam Facebook. Jika anda ingin membacanya carilah Gerbang Kisahku dan ikutilah Kisah Ambo. Selamat membaca dan terima kasih sekali lagi daripada saya Enchelah Rajadewa.

03 August, 2015

Bagaimana mahu menjadi penulis?


Sebahagian daripada guru-guru dan pelajar-pelajar SMK Kamil Pasir Puteh 
di Dewan ITBM, Wisma ITBM tekun mendengar penerangan yang diberi.

Ribuan terima kasih kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil, Pasir Puteh Kelantan terutamanya Cikgu Salma rakan saya yang sudah lama tidak berjumpa iaitu selama 32 tahun selepas kami sama-sama menamatkan Tingkatan 6 Atas di Sekolah Menengah Ismail Petra, Kompleks Sekolah-sekolah di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1983.

Lawatan berlangsung pada 31 Julai 2015 baru-baru ini. Seperti janji saya akan melayarkan kandungan ceramah saya mengenai judul Bagaimana mahu menjadi Penulis? Saya mohon maaf agak terlewat menyiarkannya di sini kerana keterbatasan waktu. Maklum sajalah sekarang di Kuala Lumpur dan Selangor jemputan untuk beraya masih rancak sepanjang bulan Syawal ini.

Anda harus tahu:

Tujuan jadi penulis dan
menjadi penulis yang bagaimana?

kerana dunia penulisan sebenarnya secara kasar menjurus kepada keadaan berikut:


• Sastera tulen
• Sastera pop/ komersial
• Sastera Indie

Sebelum menulis anda telah tahu apa tujuan anda menulis dan menjadi penulis dalam kelompok yang mana. Ciri-ciri penulisan seperti gaya, kandungan pemikiran adalah berbeza dalam ketiga-tiga kelompok berkenaan.

Mengetahui dunia penerbitan dan keperluan bahan bacaan di Malaysia.









Antagonis
Watak hitam atau watak jahat. Namun dalam sesetengah keadaan ia tidak berbentuk manusia, ia boleh jadi cuaca, penyakit, kemiskinan dan lain-lain yang menjadi halangan kepada watak baik.

Protagonis
Watak wira atau wirawati. Ia adalah watak utama dalam sesebuah cerita.

Tritagonis
Watak pembantu atau orang tengah

3. Latar
Latar masa dan latar tempat


4. Sudut Pandang
Sudut pandang orang pertama
Sudut pandang orang ketiga yang terbatas
Sudut pandang orang ketiga yang tidak terbatas

5. Perkara-perkara lain

Nilai moral yang hendak disampaikan
Keindahan gaya bahasa 
Kesimbangan dialog dan naratif
Nada


Sebelum Menulis
Selain daripada itu sebelum mula menulis anda harus bersedia dengan perkara-perkara berikut:
•Memilih font dan saiz
•Berapa panjang
•Memahami hak cipta
•Pasti dengan bahan, sentiasa catat idea terlintas
•Kenal penerbit
•Catat perkataan-perkataan indah bahan bacaan untuk memperkayakan  perbendaharaan kata.
•Mencari waktu yang sesuai
•Disiplinkan diri untuk menulis



Selepas Menulis pula
Semak/menyunting semula
Pengerama
Menyimpan fail
Penghantaran
Menyemak perjanjian
Bertanya khabar kepada penerbit

Mengekalkan momentum penulisan
Cari rakan penulis
Membaca kisah orang yang berjaya.
Membina mood untuk menulis
Jika hilang mood – menonton wayang, cerita atau membaca buku yang memberikan inspirasi.

Selamat menulis semoga ada di antara anda yang akan 
berjaya menjadi penulis suatu hari nanti.

19 June, 2015

Selamat Berpuasa Semua



Sudah masuk hari kedua kita berpuasa. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Elakkan pembaziran di bulan ini supaya semangat Ramadan sebenar dapat kita hayati. Ya lah dah penat-penat kumpul pahala tetiba habis pahala sebab membazir. Tak ke rugi tu.

Kalau nak beli lebih-lebih tu bukan tak boleh tapi untuk sedekah kepada jiran tetangga dan sahabat handai dan saudara mara.

Untuk makluman saya telah buka satu lagi lembaran untuk berkisah di Facebook, namanya Gerbang Kisahku. Sehingga hari ini empat certot Kisah Ambo sudah diposkan. Ikutilah novel grafik kisah sebenar diri ambo. Selamat membaca dan selamat berpuasa

05 February, 2015

Pesanan Novel Melalui Pos

Mari-mari saya jual mokte. Mokte manis ni.


Jika anda masih belum memiliki novel ini
silalah buat pesanan melalui pos. Tidak perlu susah-susah menempuh
kesesakan jalan raya. Saya akan menguruskan penghantarannya
hingga ke pintu rumah anda.

30 January, 2015

Selamat Tahun Baru 2015 dan Januari Yang Akan Pergi.

 
 
Begitu cepat waktu berlalu dan kita semakin hari semakin sibuk dengan kehidupan. Di penghujung Januari 2015 barulah saya berkesempatan menjengah ke blog yang banyak mengubah kehidupan saya ini.
 
Pelbagai peristiwa besar telah berlalu sepanjang 2014. Saya bukan mahu menyorot peristiwa-peristiwa itu kerana ruangan di blog ini sangat peribadi untuk saya urus dan muatkan dengan berita-berita yang saya ingin kongsi bersama pembaca-pembaca di sini. Saya tidak mahu menjadi wartawan atau menteri untuk memberi pesan atau ingatan tentang perkara-perkara yang telah, akan dan sedang berlaku.
 
Saya amat terkesan dengan berita kehilangan pesawat MH370 hampir setahun yang lalu. 8 Mac - Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama. Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan.

Semalam pengumuman rasmi tentang status peristiwa itu dibuat oleh pihak Syarikat Penerbangan Malaysia bahawa kehilangan pesawat itu sebenarnya kerana kemalangan dan sehingga kini pencariannya masih diteruskan.
 
Tidak lama selepas peristiwa itu iaitu pada 18 Jualai 2014. Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kemalangan pesawat MH17. Kali ini sebuah pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 dilaporkan terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia dan mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapalnya. Pesawat itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal.
 
Tahun 2014 merupakan Tahun Melawat Malaysia, sudah tentu impian negara untuk melihat Malaysia dikunjungi oleh tetamu luar negara menjadi hampa dengan apa yang berlaku. Promosi yang dilakukan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia terpaksa dihentikan untuk menghormati usaha pencarian yang giat dilakukan ketika itu.
 
Dan di akhir tahun 2014 Malaysia sekali lagi ditimpa musibah apabila banjir besar dan terburuk melanda negeri Kelantan mengakibatkan kerugian hampir mencecah RM1 billion. Awal tahun juga bagi yang mengikuti perkembangan dunia kewangan penggabungan tiga buah bank iaiatu CIMB Islamic, RHB dan MBSB untuk menjadi mega bank dibatalkan sebaliknya Bank Dunia menubuhkan cawangannya di Malaysia dan pertama di rantau asia dan akan berpusat di Sasana Kijang Kuala Lumpur. Pembukaan cawangan itu kenapa tidak di negara-negara lain seperti Singapura, Filipina atau Jepun tidaklah diketahui.

Saya mengharapkan 2015 akan membawakan sinar yang lebih terang dalam dunia penulisan dan saya dapat menghasilkan karya-karya yang lebih kreatif agar dapat berkongsi rasa dengan pembaca.
 
 

23 December, 2014

Sudah terbit novel baru Enchelah Rajadewa: Rambutan Kuala Lumpur

 
Rambutan Kuala Lumpur (Novel Remaja)
RM 25.00/RM30.00 (Sabah/ Sarawak)
ISBN: 9789674306564
Tahun Terbitan : 2015
Jumlah Muka Surat: 213
 
Sinopsis
Novel Remaja Rambutan Kuala Lumpur ini sudah beredar di pasaran. Kisah hidup seorang remaja lelaki bernama Yasin yang berhijrah ke Kuala Lumpur setelah kematian ibunya. Sebelum itu ia menjadi anak angkat kepada Pak Hussein yang mempunyai dusun rambutan. Namun ia tidak dapat bertahan lama kerana mendapat tekanan daripada abang angkatnya Abang Jali yang tidak senang dengan kehadirannya dalam keluarga itu hingga sanggup mengancam nyawanya.
 
Yang membina hidup baru di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan Jijah yang juga berasal dari kampungnya. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata namun salah seorang daripadanya meninggal ketika kecil kerana tercekik rambutan.
 

Perjalanan hidupnya penuh ranjau yang berliku sehingga akhirnya Yasin terpaksa meninggalkan bandar raya Kuala Lumpur. Anaknya juga (Maisarah) juga terpaksa membuat pilihan sama ada untuk terus bertahan berada di Kuala Lumpur atau pulang untuk hidup bersama keluarganya.
 
 
Komen
Kalau novelis seperti Pak Sako, A.Samad Ismail, Keris Mas, A.Samad Said dan Anwar Ridhwan umpamanya bercerita tetantang penentangan terhadap penjajahan; pergelutan membangunkan kemerdekaan, dan pengalaman membangunkan kemerdekaan, dan pengalaman manusia merdeka, pengarang muda ini memerikan anjakan nilai-nilai, pergeseran sosial, serta masalah ketenteraman penduduk (terutama rakyat biasa yang miskin) akibat daripada perubahan persekitaran, dan tuntutan pembangunan kota.
 
Sasterawan Negara Dato' Baharuddin Zainal (Baha Zain)  
 
 

24 September, 2014

The Swimmers (Cereka Thai)


 
 


 
Cereka Asia  sebenarnya lebih dekat di hati kita. Semalam saya berkesempatan menonton sebuah cereka dari Thailand The swimmers arahan Sophon Sakdaphisit. Ia sebuah kisah seram yang menyeramkan dengan bantuan kesan bunyi yang kerap mengejutkan penonton.
 
Jika tidak disertakan kesan bunyi, filem ini sebenarnya telah berjaya memberikan kepuasan kepada khalayak. Kesan bunyi yang terlalu kerap itu telah membuatkan saya rasa sering tertipu untuk berasa takut.
 
Namun setelah beberapa kali ‘terkena’ dengan kesan bunyi saya akhirnya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada jalan ceritanya.
 
Plot cerita amat menarik. Lokasi penggambaran pula sudah tentulah kolam renang. Kisah cinta tiga segi pelajar universiti yang berakhir dengan kematian. Ia menampilkan pelakon-pelakon seperti : Chutavuth Pattarakampol (Perth), Thanapob Leeratanakajorn (Tan), dan Supassra Thanachat –(Ice) dan berasal dari siri TV yang popular di Thailand.
 
Jika anda memberi tumpuan penuh pada permulaan cerita anda pasti akan dapat mengagak jawapan kepada babak-babak akhir filem ini. Saya beri 4 bintang untuk filem ini.

05 July, 2014

Datuk Sharifah Aini Meninggal Dunia.


Datuk Sharifah Aini meninggal dunia. Begitulah berita yang menggemparkan seluruh peminat hiburan tanah air. Dilahirkan 2 julai dan baru mencecah 61 tahun.
Sebenarnya saya mendapat berita itu seawal 4 pagi ketika bangun untuk bersahur. Seorang rakan mengirimkannya melalui aplikasi wassup. 
Saya termenung bagaikan tidak percaya tetapi telah menjangkakan hal itu kerana berita beliau sakit dan di masukkan ke wad masih kuat diingatan.
Sharifah yang saya suka Terbang Helangnya mengingatkan waktu kecil saya. Arwah ayah sangat suka dengan suaranya. Dan hal itu membuatkan ibu saya sangat cemburu!
Masakan Sharifah Aini akan menjadi ibu tiri saya. Pasti tidak mungkin. Begitulah penangan suaranya.
Arwah ayah suka dengan lagu Seri Dewi Malam. Gemar arwah ayah itu menyuburkan minat saya dengan lagu juga hingga sekarang.
Ramai yang hadir dikhabarkan untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya. Di masjid At-Taqwa TTDI sembahyang jenazah dilakukan sebanyak 3 kali.
Begitulah ketentuan untuk insan pemurah seperti Sharifah Aini yang dermawan.
Semoga Allah mengampuni Allahyarham Sharifah Aini dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman dan soleh. Amin.

14 June, 2014


 

Rindu pada warna, berus dan drawing block. Apabila dapat menganyam semula imaginasi pada kertas-kertas itu kepala otakku menjadi lapang seperti banduan yang terlepas dari penjara. Alangkah damainya melihat segala bayangan itu menjelma jadi nyata di atas kertas.
Setelah hampir 3 bulan berlalu pada 12 Jun 2014 berakhirlah perjuangan yang bersenjatakan pensil, berus, warna dan kertas. Puas menatap anak-anak ayam yang comel mencicip di atas kertas itu.
Sebuah cerita untuk projek buku elektronik telahpun selesai ditangani dan menanti proses seterusnya dari rakan bersekutu. Semoga ia siap dalam tempoh yang terdekat. Amin.

13 June, 2014

Promo Novel: Lembayung Cinta.


Novel pertama yang meninggalkan banyak kenangan manis. Penghargaan yang harus saya berikan ialah kepada Dato' Bahazain kerana beliaulah yang membuatkan saya mula menulis dalam blog. Sejak menulis saya tidak berhenti menulis lagi dan dunia saya menjadi sibuk. Saya tidak risau jika hujung minggu atau cuti umum tiba. Ada-ada sahaja di dalam kepala yang ingin saya tulis.

Kedua orang yang saya sangat terhutang budi ialah Kak Norzailina Nordin. Beliau orang yang memberi saya tunjuk ajar bagaimana mahu menulis novel. Betapa terharunya saya apabila Kak Norz sanggup datang ke pejabat tempat saya bekerja menghadiahkan cup cake, sebuah buku resepi beliau dan memberikan panduan bagaimana untuk menulis novel. Kak Norz seorang Chef Selebriti dan seorang novelis karangkraf. Sejak itulah detik hidup novelis saya bermula. Saya masih menghubunginya untuk bertanyakan pendapatnya mengenai masalah dalam penulisan yang saya hadapi. Orang lama dalam bidang ini banyak ilmunya.
 
Novel pertama saya ini memenangi Peraduan Mengarang Novel Remaja MBBY- Pelangi pada tahun 2010.