Showing posts with label *Senyum. Show all posts
Showing posts with label *Senyum. Show all posts

28 October, 2012

Senyum: Bateri penuh sangat

Ibu memang tak pintar dengan handphone. Walaupun ibu buta huruf tapi ibu pandai guna handphone untuk membuat panggilan dan menerima panggilan. Mesej memang ibu tak layan sebab tak tahu.. Suatu malam ibu suruh aku charge handphonenya sebelum kami tidur. Ibu tanya jam berapa baru baterinya full. Aku cakap 2 jam selepas itu. Malangnya kami tertidur dan lelap sampai esok pagi selepas itu.

Esok pagi ibu datang macam marah-marah.
"Ni dah terlebih masa..bateri dah penuh sangat ni..tak rosak ke?"
Aku cuma senyum sebab tak tau nak cakap apa.

19 October, 2012

Senyum: Kereta Mati-mati la

Kenangan berkereta dulu-dulu.
Aku berkereta manual. Balik kampung naik kereta adik yang automatik gearnya. Apabila balik semula ke Kuala Lumpur dan menyentuh kereta manual itu tentulah ada yang tak kena kerana sudah biasa dengan penggunaan gear kereta automatik yang lebih menyenangkan. Dan aku selalu lupa untuk menekan clutch, apa lagi tersangkut-sangkutlah kereta itu dan kerap juga keretaku mati!

Kerana menyangkakan keretaku ada masalah aku membawanya ke bengkel kereta dan minta mekanik memeriksanya. Pomen itu pun cuba membawanya...
"Tak ada apa-apa, kereta ini okey aje." jelas pomen.
"Tak Okey selalu mati-mati la" aku balas.
"Saya bawa tadi okey saje. Awak tak tekan clucth ke masa bawa?" pomen itu bertanya.
"Err.. Tak...saya lupa!"
"Haiyya...awak punya kereta manual ma..kena tekan. Sebab itu mati-mati!"

Aku speachless (sambil tak tau nak buat muka apa. Rasa nak menghilangkan diri masa tu gak.)

11 August, 2010

Senyum - Surat Putus Cinta Tijah


Terima kasih kepada penulis asal surat ini yang saya tak tahu di mana ia di ambil.

06 May, 2009

Senyum - Campak ke manapun boleh hidup!

Kawan A: Adik beradik aku semuanya pandai memasak, tak kira lelaki ke perempuan.
Kawan B: Ah berlagak la tu.
Kawan A: Eh betul lah. Baik lelaki ke baik perempuan semuanya boleh.
Orang kata campak ke manapun hidup lah.
Kawan B: Okey aku nak campak kau dalam kandang harimau..nak tengok hidup ke tak!
Kawan A: @#$%&*_+

29 April, 2009

Senyum-Terbakar Lari

Awal tahun 80an siaran radio bukanlah seperti sekarang. Ada waktu bermula dan waktu tamat. Seingat teman Radio FM bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 12.00 tengah malam. Kenangan suatu masa ialah di asrama kolej. Jam 1.00 pagi pelajar-pelajar di asrama lelaki telah mengerumuni sebuah bilik. Semakin lama semakin ramai.

Beberapa pelajar bergilir meletakkan telinga di pintu bilik asrama yang berkunci. Terdengar bunyi seperti desiran. Sangka mereka api sedang marah. Bimbang satu asrama akan terbakar, pelajar-pelajar dengan panik mengetuk bilik yang berkunci untuk mengejutkan tuan di dalamnya yang disangkakan terlena dan tidak sedarkan api yang sedang marak itu.

Puas diketuk tidak kedengaran jawapan lalu mereka sebulat suara menceroboh bilik itu. Memang tiada siapa di dalamnya. Mereka mencari bunyi seperti api yang marak itu. Rupa-rupanya ia adalah bunyi dari sebuah radio yang dipasang kuat dan telah habis siarannya!

07 April, 2009

Senyum-Skrin kat dalam Bang

Di sebuah kaunter jualan tiket pawagam

Pemuda: Show pukul 9.00 malam ada lagi tak Dik?
Penjual tiket: Ada Bang.

Penjual tiket itu menunjukkan skrin komputer paparan tempat duduk kepada pemuda itu.

Penjual tiket: Okey Abang nak duduk kat mana?
Pemuda: Skrinnya kat mana Dik?

Penjual tiket itu tersenyum dan berkata.

Penjual tiket: Tempat duduk kat sini tapi skrin wayang kat dalam sana Bang..
Pemuda: @#$%&*+-

23 March, 2009

Senyum- Mini Zorro & Kuda Kepang

Suatu pagi di hari minggu. Aku bersama teman melalui sebuah lebuhraya. Teman aku memandu kereta. Jadi pemandanganku menjadi luas. Tiba-tiba ternampak seorang lelaki tepi jalan. Aku sangka dia mempunyai masalah. Tetapi memang tidak sempat untuk memperlahankan kenderaan kami.

Bila kereta kami menghampirinya kulihat ada tripod dan kamera di hadapannya. Dia sedang fokus memandang ke sebuah padang di tepi lebuhraya itu. Sambil memberi isyarat dengan sapu tangannya seperti sesuatu. Aku cuba mencari kepada siapa dia memberi arahan itu.

Wah kelihatan seorang kanak-kanak dalam lingkungan umur 9-10 tahun berpakaian dan bertopi hitam serta memakai topeng persis zorro bersama kuda kepang. Sudah bersedia untuk berlari dengan kudanya. Maka bermula adegan kanak-kanak itu berlari dengan kuda kepangnya. Aku menahan perut geli hati dengan pandangan sekilas di pagi minggu itu.

Mini Zorro berlari dengan kuda kepang di pagi buta!

25 February, 2009

Senyum-Untuk Hiburan Anda.

Sekadar meminjam visual yang dihantar kepada saya tidak lama dahulu. Melihatnya cukup mencuit hati dan menghiburkan. Apa komen anda?

18 February, 2009

Senyum - Akulah Jurugambar Yang Gagal

Menatap gambar ini membuatkan aku akan sentiasa tersenyum. Masakan tidak ia mengingatkan aku kepada peristiwa di suatu majlis pelancaran buku. Seperti biasa saat pengacara majlis dan VIP berbicara tiada siapa yang ambil peduli. Hadirin seperti tenang termasuk jurugambar dan pemberita.

Anda seolah-olah tidak mengetahui orang di sebelah anda itu adalah wartawan ataupun jurugambar sehingga saat perasmian atau pelancaran mereka secara tiba-tiba akan memenuhi ruang hadapan untuk merakamkan aksi VIP dan perasmian tersebut. Jika anda bukan betul-betul dalam bidang kewartawanan anda akan gagal merakamkan saat-saat yang dinantikan itu.

Begitu jugalah dengan aku yang leka sehingga diumumkan saat iaitu aku sudah terlewat kerana ruang hadapan sudah dipenuhi dengan jurugambar. Yang sudah biasa akan mengangkat setinggi-tinggi kamera di kejauhan untuk merakamkannya.

Lalu aku pun mencuba juga cara demikian. Tapi ia sungguh melucukan apabila bukan subjek yang dikehendaki dirakamkan tetapi gambar kepala jurugambar yang aku rakamkan. Dan yang lebih lucu ialah uban sang jurugambar itu dapat dirakamkan dengan jelas!

07 February, 2009

Senyum - Gila

Gila, hilang akal, mereng, tiga suku itulah gelaran yang diberikan kepada orang yang sudah tidak siuman. Kita harus bersyukur kerana Allah masih memberikan kita kewarasan akal untuk berfikir. Bagaimanapun kita sebenarnya tidak tahu apa yang orang gila nampak dalam dunianya sehingga mereka boleh berbicara sendirian atau melakukan sesuatu yang aneh-aneh.

Orang gila pun pandai mengenakan kita. Seperti suatu cerita orang gila di hospital pesakit jiwa yang sedang memancing di dalam baldi lalu seorang pelawat tersenyum lalu menyoal "Hai banyak ke dapat Ikan?". Lalu dia berkata kembali "Gila ke. dalam baldi mana ada ikan!"

Apa yang ingin saya ceritakan ialah cerita orang gila yang masuk ke dalam sebuah salun rambut. Saya mengalami sendiri peristiwa itu. Saya melihat seorang gila masuk ke dalam salun, meluru ke tempat gunting yang disimpan. Kami yang berada di dalam salun panik tetapi tuan kedai menenangkan kami dan tidak bertindak menghalau orang gila tersebut sebaliknya membiarkan sahaja tindakannya.

Tuan kedai:
Kita tengok je apa dia nak buat
Saya : Selalu ke dia masuk ke sini?
Dia mengangguk
Saya: Dia buat apa selalunya?
Tuan kedai: Dia cuma nak potong sendiri rambutnya.

Selepas itu tuan kedai itu berkata kepada orang gila yang baru memotong rambutnya sendiri.
Tuan kedai: Okay dah cantik dah boleh keluar sekarang.

Orang gila itu melibas-libas tangan membuang rambut yang melekat di baju dan berjalan keluar.
Kami yang ada di dalam salun itu menarik nafas lega dan senyum sesama sendiri.
Tuan kedai: Orang gila pun tau nak cantik!

03 February, 2009

Senyum - Salah kereta

Janji temu di hadapan pejabat untuk makan tengah hari. Mat telah berjanji dengan Mon untuk menjemput dengan keretanya di hadapan pejabat Mon. Mat Tiba tepat pada waktunya dan menanti dengan penuh sabar. Kelihatan Mon keluar tergesa-gesa dari pejabat berjalan menuju ke sebuah kereta di hadapannya. Mat merasa hairan dan pelik. Belum sampai seminit kelihatan Mon keluar dari kereta itu tersengih-sengih dan masuk ke dalam kereta Mat.

Mat: kenapa kau tersengih ni?
Mon: Salah kereta da... orang tu tengah tunggu boss dia, cepat-cepat aku keluar dan minta maaf!
Mat: Apa orang itu cakap?
Mon: Dia kata tak pe. Dia pun tak kenal boss yang dia tunggu tu.

15 January, 2009

Senyum - Macam Anjing gila!

Seorang teman mengeluh dalam nada bergurau mengatakan dia teramat sibuk sekarang bekerja untuk mencapai sasaran persis anjing gila. Teman-teman lain hanya mendengar sahaja. Tidak berani untuk komen. Mungkin takut silap langkah nanti lain pula jadinya. Aku senyum dan selamba menyeru teman-teman lain

"Mari kita tangkap anjing gila itu dan kurung dia. Nanti anjing itu gigit kita, kita pula yang gila !"

Teman-teman lain tersengih dan gelak.

13 December, 2008

Senyum - Matimati Tamaokasi

Seorang teman menghantar SMS kepadaku. SMS yang benar-benar buat aku tertawa sendirian dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu. SMS itu berbunyi seperti begini.

Japanese 110 years old lady (holding record for oldest lady alive) when interviewed disclosed she was a virgin. Her name: Matimati Tamaokasi.

12 December, 2008

Senyum-Badanku kurus

Temanku yang sorang ini badannya semangat ya alam. Nak buat macam mana sudah suratan badan. Yang kelakar dan tak boleh tahan bila dia suka menyanyi. Menyanyi lagu yang bukan-bukan ba.

Badanku kurus bukannya kurang makan...

Sesuai ke?

Keadaan ini sama apabila seorang lelaki menyanyi lagu Shima

..Ku wanita dengan air mata..

Atau wanita menyanyi lagu lelaki

Ajari aku 'tuk jadi pria terhebat
mungkin terlalu lama aku tlah bersembunyi
menatap matahari pun aku tak mampu
udara malam ku terlalu menusuk dada ku
di persembunyian aku menari
di persembunyian aku

30 November, 2008

Senyum- Kerana Plastik Sampah Itu.

Aku tinggal di sebuah apartment. Biasalah bila tinggal di Apartment soal pembuangan sampah menjadi masalah sikit kerana setiap penghuni terpaksa membawanya ke tempat pembuangan yang di khaskan dan tempat itu agak jauh juga dari blok kediaman.

Menjadi kebiasaan penduduk akan meletakkan plastik yang berisi sampah di atas di hadapan cermin kereta, bumbung kereta atau di bahagian belakang kereta untuk memudahkan mereka membawanya ke rumah sampah sewaktu keluar dari rumah terutamanya di waktu pagi. Hendak diletakkan di dalam kereta nanti berbau pula.

Suatu hari aku telah melakukan rutin yang biasa tetapi hari itu entah kenapa aku melintasi rumah sampah tanpa berhenti kerana ingin cepat. Aku menjadi lupa kerana plastik sampah aku letakkan di bahagian belakang kereta.

Ramai penduduk yang melihat plastik sampah dibelakang keretaku telah mengangkat tangan sambil tersenyum kepadaku dan menunjukkan ke arah plastik itu tapi aku sangkakan mereka menegurku.

“Peramah betul penduduk di sini hari ini.” kataku sendirian sehingga aku melalui post pengawal. Dia juga memberikan reaksi yang sama. Aku sekali lagi mengangkat tangan sebagai membalas “lambaian mesra” mereka pagi itu. Terasa macam orang popular aku ni.

Aku meneruskan perjalanan seperti biasa ke pejabat sehingga dua tiga kenderaan membunyikan hon mereka terhadapku. Aku menjadi binggung kenapa aku begitu popular pagi itu. Akhirnya aku tersadar kealpaanku apabila ada seorang wanita yang memberi isyarat yang jelas bahawa ada plastik sampah di belakang keretaku. Aduh, malu!

26 November, 2008

Senyum - Chocolate Chips

Aku dapat Kek Coklat hadiah hari jadi. Kek Coklat yang ditaburi dengan chocolate chips. Lazat sekali nampaknya. Teman aku ada bersama menunggu saat aku memotongnya. Dia perhatikan sahaja apa yang aku buat.

Aku buka kotak kek itu dan keluarkan kek dan meletakkan di atas meja. Tiba-tiba aku nampak ada chocolate chips yang jatuh di atas meja aku mengambilnya dengan jari telunjukku. Aku masukkan ke dalam mulut kerana tak mahu membazir.

Aduh selepas itu aku meludahnya kembali dan segera ke sinki untuk berkumur. Rupanya yang aku ambil tadi bukan chocolate tapi ianya adalah TAHI LIPAS! Rupanya sama seperti chocolate chips. Uweeek. Aku nak muntah. Sial.

19 November, 2008

Senyum - Mak kita bela Dolphine lah

Seorang anak kecil memang ikhlas kata-katanya. Dan kita kadang-kadang boleh tertawa kerana keikhlasan itu. Suatu waktu aku sangat suka membela ikan hiasan sehingga aku mempengaruhi kawan-kawan di pejabat membela ikan di dalam balang kecil di pejabat. Keseronokkan itu tidakku sangka pula hingga kawan yang sorang ini membela ikan di rumahnya pula.

Dia mempunyai seorang anak kecil yang sangat suka bermain dengan anak-anak ikan ini (bukan anak ikan ya). Sayangnya hayat anak-anak ikan itu tidak panjang. Tidak panjang atau didera hingga mati aku tak tahu. Selalu sahaja mati anak-anak ikannya, sehingga si anak berasa sedih lalu berkata kepada emaknya yang juga kawan aku.

"Mak, Amir rasa kita bela Dolphine lagi baik Mak, lambat mati"

Si Ibu tersenyum sambil mengeleng-ngeleng kepala geli hati.

"Dolphine tu pun lebih besar dari akuarium ni Nak oi" kata kawanku.

Dolphine - ikan lumba

13 November, 2008

Senyum - Aku belanja kau

Setelah habis menikmati juadah makan malam di kedai Mamak itu aku dan rakan-rakanku ingin beredar. Kami melambai tangan pada macha yang duduk standby 24 jam untuk melayan pelanggan.

Biasalah bila makan ramai-ramai ni saat yang indah ialah masing-masing berebut-berebut nak bayar. Nak belanja la konon.

Macha datang mengira dengan mulut kumat-kamit tapi suaranya tak kedengaran. Saat itu rakan semeja yang tak sabar-sabar hendak membelanja aku sudah mengeluarkan wang dan mengangkatnya di udara.

Aku senyum dan senyum aku dah bertukar menjadi sengih lepas tu aku tergelak sorang-sorang. Rakanku menjadi hairan dengan kelakuan aku.

"Kenapa kau?" dia bertanya.
"Kita makan punya banyak kau keluarkan duit RM1 nak bayar..kau ingat ni zaman jepun ke?" kataku menahan gelak.
"Oh yeke..aku ingat not RM50" diapun tergelak.

Rupanya rakan ku tidak perasan dia telah mencapai not RM1 yang saiz dan warnanya hampir sama dengan not RM50.Aku lihat macha itu pun senyum, ada kebangkalian diapun tidak faham dengan apa yang kami borakkan!

05 November, 2008

Senyum - Coffeemaker

Seorang jurujual sedang menerangkan kepada pelanggan tentang kebaikan coffeemaker yang sedang dijualnya. Berbuih-buih dia menerangkan tetapi Pelanggan wanita itu tidak juga menunjukkan minat untuk membelinya dan ingin beredar.

Penjual: Kak, kak nanti dulu…last, last ni kelebihan coffeemaker ni yang kakak perlu tahu?
Kakak: Ya apa dia?
Penjual: Kebaikannya yang tiada pada pembuat coffee yang lain ialah akak baru niat nak buat coffee, dia dah buatkan untuk kakak. (sambil tersenyum).

Kakak itupun tersenyum juga
Kakak: Oh ya? Kalau macam itu kakak pun kena bagitahu suami akak yang sangat bijak. Adik tahu tak apa kelebihan suami akak?
Penjual: Apa dia?
Kakak: Akak baru bagitahu suami akak dia dah belipun.