Dari mata hati dan perasaan - lahirlah tafsiran dan pernyataan. Jadilah cerita untuk pengisian masa dan jiwa yang dahaga.
16 March, 2012
Puisi - Ziarah
semalam mereka singgah lagi
bawa zuriat penyambung mereka di sini
perhentian sebelum pulang
mencalitkan gamat di dinding hati
mengoyak sunyi yang tebal di sisi
melengkarkan kisah di setiap sudut teratakku
aku yang lesu tenaga direntap tuntutan hidup
gagah kembali menggerakkan tarian hidup
sebuah bab kehidupan sudah siap ditulis
sesudah subuh
teratak ini kembali sepi
seperti biasa adanya
semoga perjalananmu selamat
16 Mac 2012
15 May, 2011
Puisi - Masihkah aku dicari
Kalau dahulu guguplah rasa
Bimbang hilang segalanya
Yang kukumpul di perjalanan
Jadi hairan dibuatnya
Engkaukah yang memilih
Atau angkara siapa
Sang jiwa satu
Hilang dalam perhatian
dipinjam tidak dipulang
dikepung dalam tawanan
Bagai berjuta harganya
diletak tanda harga
yang menunding
berdarah jarinya
Sementara masih mahu
Kutelan perit hempedu
Dan permainan rasa
Bukanlah aku kemaruk
Dengan semua perkara
Bukan aku merajuk
Dengan semua rasa
Bukan mahu dipujuk
Dengan semua noda
Aku sudah tidak punya rasa
Sudah kebal menjadi bebal
Hati batu kian membeku
Deriapun seakan diangkat tuhan
Tiada lagi merasa
Pada panasnya bahang
Jalan nan gelap
Menjadi tegal biasa
Mungkin aku tersilap
Untuk bertakhta di sini
Adakah lagi rindu untukku
Tolonglah khabarkan kepadaku
Wahai Sang Semut
Kerana nasibku
Telah sama dengan Si Buta
Yang berjalan di malam hari
Enchelah
15 Mei 2011
21 January, 2011
Puisi - Sebuah Taman Teman Yang Pudar
Kutinggalkan buat beberapa ketika
Kerana kehidupanku
Penuh warna warni
Bebunga anika warna
Pernah tumbuh di sini
Dan haruman seribu aroma
Terdetik hati ketika melangkah pergi
Berkata apakah mungkin
Aku bisa ke mari lagi di sini
Dengan panorama yang sama
Dan keindahan yang serupa
Di taman yang sama tapi waktu yang berbeza
Kerana pepatah pernah bersabda
Sekali air bah pantainya turut berubah
Hari ini aku kembali lagi ke sini
dengan langkah yang sepi
Kerana di perjalanan tadi kulihat
Warna-warna ceria dari taman ini
Sudah berpindah wilayah
Kuntum-kuntum bunga indah sudah menyegar
Di taman lain bersama kupu-kupu cinta
Yang tidak pernah hadir di taman dulu
Kucari seri dan indah dahulu
Kuselongkar segala penjuru yang ada
Kalau-kalau masih berbaki
Haruman dan kuntum-kuntum yang tersisa
Namun yang kutemui kuntum-kuntum dan
Tangkai-tangkai bunga yang sudah kering
Dan tiada lagi harumannya
Taman menjadi sepi sepeninggalanku
Segalanya umpama padang jarak
Tanah kering, kerikil dan tunggul mati
Berteman rerumput layu dan lusuh
Berpagar belukar maut yang kusut
Bebunga kering satu warnanya
Sebuah lanskap monokrom
Pupuk bayu tidak lagi bertiup di sini
Aku mencari indah itu di dalam sendu
Kerana rindu pada kekelopakmu
Berbagai bilangan, bentuk dan rupa
Warna warni coraknya sejuta
Dan harumannya berbagai rahsia
Masihkah ada
semua yang dahulu
Kerana pasti
pengunjung itu hanya aku
yang setia memuji pada kerinduan
Bukankah sering aku bisikkan
Kata-kata keramat rinduku padamu
lalu iapun menjadi baja
buat kau bunga-bunga untuk terus segar dan mekar di sini
Dan bukankah kerap aku persoalkan
Akan terus suburkah kau akan segala khazanahnya
ketika aku kembali lagi ke sini
Aku termangu bagaikan kaku
Ketika perjalanan jauh ke taman ini
Di taman teman yang telah layu
Yang kubina jauh dari gangguan sesiapa
Rupanya sudah pudar bukan lagi malar
mencalarkan doa dan harapan masa silamku
Aku memandang dari kejauhan
Sempadan yang memisahkan taman ini
Sungguh rimbun pepohon yang tumbuh di sana
Memucuk dedaun yang segar melebar
Dan bunga mencorak dan warna menggila
Menjerat kaku seluruh badanku
Memukau mata yang terkesima
Sedang hati menjerit meronta
ketika tangan tidak lagi bisa menggapai
Keindahan yang berpindah
Dari sini ke taman seberang
Lalu pada segumpal hati
yang masih berdenyut
aku belaikan kata-kata
agar tidak menderhaka
pada Pencipta
Enchelah
Ukay Perdana
4 Disember 2010
4.35 am
01 December, 2010
Bicara pada dinding kaku bisu dan beku

dini hari sebagaimana biasa kubangkit
rutin lima purnama dahulu mahu diulangi
namun aneh sekali hari ini
apabila ceria tidak lagi menyapaku
untuk apa aku ke dapur menyediakan sarapanmu
jika kau tiada lagi untuk menikmatinya
melalui mulutmu yang tiada pernah jemu mengeluarkan kata
untuk apa aku seawal ini bangkit
jika hanya untuk mencari bayang-bayangmu
di ruang yang sering kau terbaring
ketika aku ke pejabat
aku terhidu kebekuan di sini
ruang ini rupanya bagaikan hampagas
persis kanvas putih
miskin warna
miskin jiwa
miskin rasa
dan aku bagaikan sedar
betapa sunyinya dirimu
ketika itu, kala aku tiada di sisi
kau mengintai kata-kata untuk berbalas
namun yang ada sebagai teman
hanyalah dinding batu yang kaku, bisu
setia membiaskan semula kata-katamu
kata-kata lara tentang hidupmu..
bonda
pada dinding batu yang kaku-bisu itu
hari ini - aku bisikan
bahawa aku amat rindu padamu
datanglah lagi kepadaku dan lupakan semalam
jika ada warna-warna hitam yang kau lihat padanya
kerana aku sentiasa membuka ruang itu
untukmu bondaku
wahai malam pekat- jangan memandang sinis aku
redakan egoismu dan rentangkanlah kedamaian
jalarkan rasa di dada ini
pada sebuah jiwa yang sering dibalut sepi di sana
bawakanlah getar rindu ini
agar nota sarat rindu terurai
satu demi satu di lapis hatimu bonda
enchelah
1 Disember 2010
Ukay Perdana
29 October, 2010
Bisikan Sendu
16 October, 2010
Jangan biarkan rindu

jangan biarkan
jangan biarkan
tolong jangan biarkan
rindu itu terlalu lama di situ
kerana ia bisa membuat aku gila separuh mati
jangan biarkan
jangan biarkan
tolong jangan biarkan
rindu itu duduk di situ sehingga dia tidak tahu
untuk berbuat apa-apa lagi
dan ada yang tersenyum kerananya
sambil memandang sebelah mata
jangan biarkan
jangan biarkan
tolong jangan biarkan
rindu itu berguling-guling di kolam hatiku
sehingga ia terlepas dari cengkerangnya
menerawang di awan gelap itu
dan akhirnya hilang
jangan biarkan
jangan biarkan
tolong jangan biarkan
rindu itu terlalu lama di situ
kerana suatu masa jika ia terlalu menebal
ia akan bertukar menjadi benci yang berduri-duri
sehingga aku pernah melemparkannya jauh-jauh
apabila ia mencederakan warasku
enchelah
sri kayangan ukay perdana
16 Oktober 2010
02 October, 2010
Puisi-Maafkan aku

maafkan aku
yang tak berdaya menahannya
ketika kau hadir di sini
jalinan emosi yang bercelaru
membuatkan aku terkeliru
menafsirkan keikhlasanmu
sepanjang perjalanan tragedi ini
kau selalu menzahirkan
sesuatu yang tidak sepertinya
apabila kau seperti tidak dapat memaafkan aku hari ini
semalam pasti tidak akan berlaku
jika dahulu kau menjernihkan pohon-pohon kekeliruan
yang meranting memucuk terlalu banyak
di taman hati
hari ini dan esok pasti akan menjadi tugu
kepada sebuah persahabatan yang telah musnah!
Jadi maafkanlah aku sebelum tugu itu semakin teguh
Enche Oktober 2010 Sri Kayangan
20 July, 2010
Dia masih di situ
Aku pejamkan mata
Untuk melupakanmu
Setelah aku menyedari
Kau ada di hati ini
Bimbang dengan lara
yang bakal ditinggalkan
Detik berputar
Kubukakan mata
Dia di hati tidak jua hilang
Berlegar-legar di taman hati
Hidupnya semakin segar
Seakan kebal dengan penafianku
Kubukakan mata
untuk melihat sejauh mana kau telah pergi
namun aku keliru dan bisu
setelah kusedari kau tidak berganjak
dari tempatmu yang telah aku tinggalkan dahulu
walaupun seinci
malah kau makin hampir kepadaku
menyatakan keberadaanmu
dan aku mulai pasrah dengan ketentuanNya
Enchelah
Kuala Lumpur
Julai 2010
04 July, 2010
Puisi- Tercakar
Memang kau bukan yang pertama
hadir di taman hatiku
kita kenal dan mesra
kita lalui kekosongan yang ada bersama
kadang kala sahaja
kerana kita sama-sama ada pilihan
tetapi waktu yang bersama itulah
yang indah kita rasakan
sehingga memaksa aku
melupakan kekeliruan yang hadir
di benak ini
agar hubungi ini terus murni
dan diredai Ilahi
namun hari ini
aku begitu kecewa
bila kau memilih untuk berdusta
setelah aku mula mengenalimu
sebagai permata yang sedang bersinar
mungkin kau merasa ia langkah yang bijak
agar hatiku tidak terguris
hakikatnya aku sangat tercedera
umpama yang tercakar dibasahi cuka
dan aku terapung di awanan
mengapai pada ruang yang luas tak bertepi
tanpa tempat berpaut lagi
terasa semua palsu selama ini
semuanya kerana hadirnya
Dewakayangan
Julai 2010
20 June, 2010
Puisi-Ceritalah Wahai Bulan
20 May, 2010
Puisi- Sehingga Saat Ini (Buat Arwah Jefbuj)

11 April, 2010
Puisi - Khabar Bergulung Rona Hitam

17 January, 2010
Puisi- Teguhmu

kata kata mu yang polos
umpama sakti yang kudus
menerbangkan aku di awanan
biarkanlah aku jua
memegang paksi yang sama
berkongsi tonggak
kerana aku tidak punya kekuatan
sehingga aku faham
mengapa kau seteguh itu berdiri
dan puting beliungpun tidak mampu
menerbangkanmu
walaupun satu persepuluh milimeter
Enche
Jun 2009
23 November, 2009
Puisi - Mantan Kekasihku
kau sudah hilang hak terhadap diri ini
lantaran tegar mu
saat aku melihat matamu bukanlah pejam ketika itu
mendung itupun menutup kewarasanmu membutakan pandanganmu
agar terbinalah sempadan egois
lalu terdengarlah kau melagukan sendu
tatkala suara angin bernada lembut
semuanya menjadi longlai
dan aku menangisimu di sebalik dinding ini
debu-debu yang berterbangan di ruang yang terkurung
perlahan-lahan jatuh melapisi permukaan
kehidupan yang menjadi naungan kita
lapis demi lapis menebal
akhirnya kekal menjadi kerak yang sebati
kerana lenamu yang bertindak
untuk menafikannya
di akhiran sebuah catan yang tersempurna
kita berdiri melihat artifak itu
dan sama-sama terpaku
melagukan sendu
tetapi ia adalah lagu sendumu
Enche's
April 2009
07 November, 2009
Puisi-Di Hamparan yang Musnah

di tanah yang subur itu
mengalir kehidupan lunak
amannya melata namun sementara
di dakapan masa rapuh yang tersimpuh
manusia terjebak dengan rasa selesa
lalu waspada yang tersimpanpun menghilang
di rambang kenikmatan yang singkat usianya
ketika ia melimpah di mana-mana
tiba-tiba menjelma nyata sebuah mimpi ngeri
memadam rasa sempurna diri manusia yang bergelar khalifah
kala september tiga puluh kosong sembilan
gegar goncang itu
meranapkan ceria menumbangkan alpa
meratakan darjat memadamkan sengketa
memanggil duka melumpuhkan suara
memusnahkan jurang dan menghancurkan cinta
air mata kini lesu untuk mengalir
jemari tidak lagi bisa membelai ratusan kekasih yang pergi
jemari juga tidak bisa lagi melambai kesementaraan yang berlalu
dadapun menyarat luka ketika hati dimamah duka
pada sinarmu mentari kebesaranNya menjelma
dan dilangit yang kudus kalimahNya bersuara
menuntut sujud keampunanNya
yang sekali sekala menyapa
saudaraku kamu dicintaiNya
kerana itu inilah bahagianmu yang sementara
di hamparan yang musnah
adalah kecewa, adalah tangis,
adalah runtuhan adalah kemusnahan,
adalah perpisahan, adalah kematian,
adalah sesal, adalah persoalan,
adalah keajaiban, adalah kebuntuan
adalah keinsafan adalah harapan
adalah ketentuan adalah ujian
dan adalah cintaNya kepada kamu
serta kita yang menyedarinya
Enche
7 November 2009
Gambar dipinjam dari laman blog ruanghati.com
10 September, 2009
Puisi- H1N1 Suatu Pandemik

mereka berbalah dengan namanya
ketika dia memberikan salam
dan saat melangkah hampir
sedang kita sebenarnya tidak mahu berpaling kepadanya
virus generasi baru untuk zaman millineum
sedang kita kalut dengan denggi dan HIV
dan selesai menepis JE, selsema burung dan Chikungunya
suka atau tidak kita telah berhadapan
dengan suatu saat ujian
1918 pandemik selsema ini
membunuh jutaan manusia
kini datang mengingatkan manusia
tentang Yang Maha Kuasa
tidak pernahkan lupa memerhatikan kita
dalam kecanggihan semua bidang
dengan kemudahan pengangkutan
virus ini menumpang sekaki
dalam teknologi yang kita sendiri ciptakan
menyapa pada yang lemah
dan terus membawa mereka pergi
untuk tidak kembali lagi
kita menangisi bala
mereka yang sedia bertopeng
bertopeng lagi di mana-mana
kegembiraan menyempit
dan kegelisahan mula melebar
vaksin terus dicari
dalam lembar pencarian saintis dunia
lewat penemuan itu
mungkin sudah ramai yang telah kaku
dan buntu akal
namun kekalutan ini
kadang kala membingungkan juga
apabila masih ramai yang ada dikhalayak
bergerak tanpa topeng
persis kalis dari segala penyakit
atau mereka benar-benar
tidak mampu memilikinya
sedang topeng itu
adalah harga kehidupannya
Enche
10 September 2009
06 August, 2009
Puisi- Permata Anugerah (Khas buat Pak Samad)
Melalui penanya ia berbicara
Melalui mata hatinya ia melihat
Melalui sukmanya ia mendengar
Dicernakan dalam untaian bahasa yang dipilin rasa
Dia meniupkan semangat membangkitkan kesedaran
Bersama taulan yang telah bersemadi kepada yang lena
Lantas kata jemu itu gerun mengunjunginya
Semangatnya yang seperti air mengalir
Tanpa henti biar sudah merunduk
Persis si pohon padi
Dia permata nusa
Tetap bersinar hingga kini
Merentasi zamannya
Dia pujangga yang bersuara dari nuraninya
Menyulam duka bangsa dalam catatannya
Dia tidak pernah padam dengan hasratnya
Atau putus asa bergabung kudrat
Di barisan hadapan menegakkan suara keramat
Kerana isyarat yang mengancam bahasa nusantara
Tidak rela dia berdiam sedang hatinya membara
Bahasa ibundanya mengerdil di buminya lara
Dia menganyam rasa dengan tabah
Dalam keterhakisan budaya
Bersama bangsanya rumpun Melayu
Dia permata anugerah
Kepada kita di bumi bertuah
Meneruskan riwayat bangsa berdaulat
Dalam wadah agar terus tersurat
Dia menongkah arus
Dengan langkah yang cekal terus
Tegar pada yang benar lurus
Biar panjang umurnya
Enche
2 Ogos 2009
27 July, 2009
Puisi- Bunga Di Jalanan
sedang aku dalam penantian
dalam sebuah kereta usang
lesu terasa badanku
pandangan melekat pada pasu besar
di dalamnya diam si teratai
dengan bunga ungu berkembang megah
meneriakkan kepiluannya
sejambak bunga putih bersih
turut mekar di belakangnya
seperti menggapai langit
sang kumbang menari-nari
mencari sesuatu daripadanya
terasa damai mata dan hatiku
yang sedang kelabu memandangnya
wahai bunga kau merungkaikan keresahan
dengan keindahanmu
wahai bunga kau menyejukkan rasa
dan pandangan yang sedang berbalam
dalam keperitan rutin hidup
yang kadang kala sangat membosankan
wahai bunga kau umpama bidadari yang dirantai
menggamit pandangan dalam laluan yang sibuk
setiap pagi dan petang di situ
kesekejapan mu berkembang
cukup mendamaikan hati ini
walau kau tidak bisa bersuara
menyusun kata-kata permata
mungkin esok aku bisa melihatmu lagi di situ
atau esok kau sudah layu
sebelum pagi kudus menjelma
dan sang kumbang akan menangis
ketika kau sudah tiada lagi di situ
andainya begitu
seharusnya aku mengucapkan terima kasih
kepadaMu Pencipta yang memberikan aku peluang
melihat kau bunga ketika hari menginjak malam
Enche
Julai 2009
20 July, 2009
Puisi - Balada Seorang Aku
Bukan kerana aku tidak mengingatimu
Juga bukan kerana aku merajuk
Sekali kali juga bukan kerana dendam
Jika aku berjauh hati denganmu
Itu kerana sumpahan dari mereka
Yang bersemangat menjulangmu
Atau aku ini benar-benar menyampaikan ceritamu
Setiap kali dengan nada-nada sampah
Yang tidak digemari
Atau kerana paradigma itu sudah berubah
Kerana mereka sudah dapat rentak tarian itu
Yang sukar dahulu
Sayang
Sebenarnya aku masih seperti dahulu
Mungkin ada anggapan
yang sering hadir dan merosakkan
Kerana kita yang menyuburkan prasangka
Pada hati yang selalu kering
Sayang
Teruslah mara ke hadapan
Sekalipun aku tidak hadir
kerana mereka kadang kala terlupa
atau memang aku tiada perlunya lagi
Enche
20 Julai 2009
1.05 am
12 July, 2009
Puisi - Lelaki Tua Itu
sedang mencari siapa
menggalas bunjut kain di bahu
barangkali jualan atau bajunya
persis orang dahulu kala mengembara
lelaki tua itu menghampiriku
dengan wajah kusam dan penuh simpati
menebarkan permintaannya
agar di bawa ke arah sebuah sungai
yang tiada bernama
dan dia sendiri tidak tahu di mana
membuatkan aku kaku dan beku
dengan permintaannya
kucuba menyelami benaknya yang bisu
seorang lelaki tua di hadapanku
mengingatkan aku pada ayahanda tercinta
yang telah tiada
lelaki tua itu
tiba-tiba ia mendesak
seperti aku pernah ingkar
pada perintahnya
aku tersedar dari lamunan
tiba-tiba setuju dengan permintaannya
lalu kubukakan pintu kereta
mempelawanya masuk
di sebuah sungai di belakang sebuah masjid
kutinggalkan bayangan ayahanda
saat aku berlalu kulihat dicermin kereta
dia yang tadi pasti
kini seperti termangu-mangu
berjalan menuju ke masjid
meneruskan pencariannya
Enche
23 Januari 2009
3.00 pm