Showing posts with label *ESQ. Show all posts
Showing posts with label *ESQ. Show all posts

12 April, 2009

Kenangan ESQ


Kanan: Rakan-rakan yang menyertai dan sekaligus menjadi ahli alumni. Lihatlah mata masing-masing dan Kiri: Aku bersama peminatku pelakon Azizan Mahzan, eh betulke peminatku?


Tak sangka juga ada yang bertanya bila lagi mahu menyambung artikel mengenai kursus ESQ itu seperti yang aku janjikan. Maaf dan terima kasih kerana menunggu. Hari ini aku menyambung kembali mengenainya.

Training ESQ bukan sahaja untuk umum tetapi juga untuk syarikat-syarikat dan di antara syarikat yang pernah mengikuti kursus ini ialah petronas, Dagang.net, Time.com, UEM World, Sime Darby dll. Angkatan ke 28 yang baru lepas menyaksikan pernyertaan yang terbesar di mana lebih 100 buah syarikat menyertainya. Dan angkatan ke 28 ini merupakan kursus yang ke 200 baginya.

Sdr. Legisan berkata kebanyakan syarikat yang menghantar peserta selepas itu menyaksikan perubahan yang ketara-setiap pekerja berlumba-lumba mengejar misi mereka dan syarikat mencapai luarbiasa.

Dato' Hussamuddin (CEO Karangkraf) berkata selepas menghadiri kursus beliau comitted untuk berubah dan untuk jadi agen perubahan. Sehingga kini seramai 400 orang stafnya telah menjadi alumni ESQ dan akan ramai lagi yang akan dihantarnya.

Beliau juga berkata penerbitannya juga telah menyebarkan ayat-ayat cinta 165 setiap hari seperti di akhbar sinar sebagai inspirasi untuk membina tamadun baru 20 tahun akan datang. Menurutnya lagi stafnya kini bekerja lebih hebat dari dahulu. Dari situ juga telah lahir lagu Karangkraf-Berbakti. Jelas Hussamuddin.

Sdr. Legisan menambah jika training ini dihadiri staf syarikat maka impaknya pada syarikat itu sendiri tetapi jika karangkraf yang menyertainya impaknya adalah pada Malaysia dan dunia kerana krangkraf sebuah syarikat penerbitan yang akan menyalurkan kesannya melalui dunia penerbitannya.

Dato' Stapa yang muncul sebagai wakil peserta memberi ucapan penutup yang sangat ringkas berkata dalam dunia ini terdapat 3 golongan manusia iaitu

Pertama : golongan orang yang untung dimana hari ini adalah lebih baik dari semalam.

Kedua : golongan orang yang selamat-dimana hari ini sama seperti semalam,

Ketiga : golongan orang yang celaka dimana hari ini lebih teruk dari semalam.


Dan mendoakan agar semua peserta dan yang ada tergolong dalam golongan pertama.

Beliau bercerita mengenai kesukaran hidup yang dilaluinya selama 20 tahun sambil menasihatkan peserta agar reda dengan apa dilalui. Kesabaran adalah segala-galanya untuk kejayaan. Jika kita mempunyai ilmu dan harta ianya mesti digunakan dan dipraktikkan sambil memberi sebuah pepatah apalah ertinya untung unta menjunjung kitab.

Sementara itu dalam sesi terakhir itu juga menyaksikan sepanjang tiga hari berkursus itu kehadiran 3 peserta bukan muslim yang di jemput ke pentas untuk menyatakan pengalaman mereka. Salah seorang dari mereka berkata perubahan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan yang telah menghadiri kursus itu mendorongnya untuk hadir bagi mengetahui apa sebenarnya yang mereka lalui dan ternyatra ia suatu yang baik untuk diikuti.

Angkatan ke 28 juga menyaksikan penyertaan pelakon Azizan Mahzan. Beliau telah dijemput ke pentas untuk berkongsi pengalaman memberitahu beliau mendapat tahu kursus itu melalui kenalan. Dan berniat akan memberitahu kawan-kawan yang lain untuk bersama-sama (menyertai kursus itu). Jika dahulu beliau rasa kosong tetapi sudah terisi. Sambil mendapat tepukan gemuruh dari peserta. Saya juga diberitahu ramai rakan artis yang telah menyertainya seperti Linda Rafar dan keluarga termasuk Zamarul, Dato' Sharifah Aini

ESQ juga menjemput NGO seperti anggota JIM untuk melihat bagaimana kursus itu dikendalikan dan mengambil mana-mana kaedah yang sesuai untuk dijadikan contoh pendekatan kursus. Ini jelas menunjukkan ESQ tidak kedekut ilmu malah ingin sama-sama berkongsi kaedah dengan pembimbing kursus lain bagi mencapai hasil yang memuaskan dan semuanya untuk kesejahteraan ummah.

09 March, 2009

Hari Terakhir ESQ



Kiri: Pembimbing Sdr. Legisan Sugimin dan kanan: peserta bersila dalam beberapa sesi


Walaupun terasa amat penat dengan jadual yang sangat ketat (7.30 pagi-7.30 malam setiap hari) tetapi pengisian ESQ (Kercedasan Emosi dan Spiritual) sungguh dirasakan kerana sepanjang kursus fokus peserta sentiasa dipaku dengan cara pembimbing berkomukinasi serta bantuan multimedia yang sangat mengesankan.

Secara keseluruhan kursus ini terbahagi kepada empat bahagian. Iaitu bahagian satu Zero Mind Process(Penjernihan Emosi), bahagian dua:Mental Building (Membangun Mental) di dalamnya terdapat, prinsip bintang, prinsip malaikat, prinsip kepemimpinan, prinsip pembelajaran, prinsip masa depan dan prinsip keteraturan. Bahagian tiga: Personel Strength (Ketangguhan Peribadi) dan terakhir: Social Strength (ketangguhan Sosial).

Sesi di sebelah petang yang sangat mengesan ialah apabila Sdr. Legisan menunjukkan visual bunga-bunga di empat layar gergasi. Sesi ini tiada kerusi di dalam dewan. Semua peserta duduk bersila dan peserta terpisah di antara lelaki dan wanita. Kemudian beliau menanyakan peserta suka atau tidak melihat bunga-bunga yang indah itu. Sudah tentu semua orang suka dengan keindahan bunga. Lalu keluarkan sebuah jambangan bunga yang asli dari belakang pentas. Sdr. Legisan mendekati jambangan bunga yang dibawa oleh ATS (Alumni Training Support) dan mencium bunga-bunga itu.

Ditanya sifat siapa bunga itu? Indah dan cantik itu ialah sifat Allah. Lalu dihadirkan beberapa orang yang mencium kemudian menarik-narik kuntuman bunga yang indah itu. Kuntum-kuntum yang indah itu sebahagiannya sudah bertaburan di lantai pentas. Spontan kami peserta-peserta (650 orang termasuk Dr, Dato' Datin, dan juga Tan Sri) menjerit-jerit kerana terdetik dihati tidak suka dengan kemusnahan bunga-bunga yang cantik itu.

Adegan itu berlaku beberapa detik dan makin lama sikap mereka semakin kasar sehingga banyak lagi yang hancur. Kami hanya menjerit "jangan, jangan, jangan" sementara yang lain menjerit "Woi, apa nih sudah, sudah". Dewan menjadi gamat dan riuh dengan jeritan melihat kejadian yang mengganggu emosi kami.

Lalu bangun seorang peserta lelaki meluru ke pentas dan menghalang pemusnah-pemusnah bunga itu. Tepukan gemuruh diberikan kepada peserta yang berani bertindak tanpa disuruh itu. Lalu Sdr. Legisan bertanya kepada peserta itu mengapa dia bertindak untuk naik ke pentas dan menghalang perbuatan itu. Jawab peserta (Sdr. Alias) dia tidak tahan melihat bunga itu dimusnahkan.

Itu memang naluri kita tidak suka sifat Allah diberi tindakan negatif. Itulah hubungan kita dengan Allah sebagai hambanya dan sebagai ciptaanNya kita memang menyukai sifat-sifat Allah. Tetapi di antara 650 peserta itu ramai yang protes di dalam hati, mereka tidak menzahirkan melalui tindakan. Andai jambangan bunga itu adalah syarikat atau negara kita maka ia telahpun dimusnahkan. Perasaan harus diikuti dengan tindakan barulah boleh berjaya dan mencapai apa yang terdetik dihati kita. Suara hati jika tidak dikeluarkan ia akan menjadi racun kepada diri kita.

Ini adalah diantara satu dari banyak sesi yang mengesankan jiwa. Ianya sangat ikhlas dan bukan lakonan. Akhirnya peserta itu dihadiahkan dengan jambangan bunga dan tepukan gemuruh diberikan kepadanya. Sesi itu juga menyaksikan pembimbing memberikan penghargaan kepada beberapa warga emas (berumur lebih dari 70 tahun) yang mengikuti kursus itu. Saya sendiri sempat berbual dengan peserta yang dihantar oleh anaknya ke kursus itu. Beberapa orang dari mereka hadir dengan bantuan kerusi roda dan sentiasa dibantu anak-anak mereka.

Alumni Yang Rindu dengan lagu Demi Matahari Tekan di sini

Selanjutnya nanti saya akan menyorot penyertaan karangkraf ke EQS menyaksikan perubahan drastik ke atas syarikat itu, pelakon Azizan Mahzan yang bersama kami, penyertaan peserta bukan Islam di ESQ angkatan 28 dan ucapan wakil peserta oleh Dato' Stapa Omar di sesi penutup
.

07 March, 2009

ESQ hari ke-2



demi matahari
dan sinarnya di pagi hari
demi bulan apabila ia mengiringi

demi siang hari
bila menampakkan dirinya
demi malam apabila ia menutupi

demi langit beserta seluruh binaannya
demi bulan serta yang ada dihamparannya
demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Begitulah bait-bait indah dibacakan berulang kali setiap kali sesi diadakan namun mendengarnya tidak menjemukan. Hari ini kursus ESQ memasuki hari kedua. Pengalaman di hari pertama semalam sangat banyak mungkin boleh disimpan untuk post yang lain kerana untuk bercerita satu hari perjalanan kursus pasti ia tidak akan habis. Aku sekadar memetik-metik yang terindah sahaja.

Mungkin sukar untuk dipercayai mengapa aku berada bersama kumpulan orang-orang yang berpangkat Dato' dan Tan Sri sebagai peserta untuk angkatan 28 ini. Tetapi bagaimana jika soalan sebaliknya pula disoal kepada Dato' atau Tan Sri itu sehingga mereka sanggup berada di dalam kumpulan ini bersama kami. Apa yang dicari mereka?

Tidak lain jawapannya kursus ini tidak membezakan sesiapa. Ia soal fitrah manusia. Ia soal asas soal kehidupan. Soal yang bukan luar biasa tetapi pendekatannya luar biasa sehingga menyentuh setiap yang hadir. Ia kursus yang dicipta untuk dirasa bukan sekadar penerangan memberi imput dan mempunyai gerak kerja. Gerakkerjanya juga sangat berkait rapat dengan topik yang bakal di jelaskan dan bukan semata-mata aktiviti untuk menghilangkan mengantuk.

Peserta diimbas kembali mengenai teori Bigbang kejadian Alam Semesta Raya semalam kemudian diminta untuk memejamkan mata membayangkan mereka keluar dari jasad. Lampu dewan dimalapkan kedengaran bunyi muzik yang tidak pernah putus sepanjang kursus dimainkan dan memang mudah bila dibantu dengan cara demikian.

Membayangkan perkara yang kita tidak pernah terfikir. Melihat diri sendiri dari kejauhan 3 meter, 30 meter, 100 meter lebih jauh dari itu sehingga beribu-ribu kilometer atau dari 300,000 billion atau kelajuan cahaya. Bagi memberi gambaran yang jelas sebuah visual yang aku anggap paling mahal dan bermakna dalam hidupku ditayangkan.

Visual itu menunjukkan seorang lelaki (membayangkan diri kita) bersama anaknya sedang baring di atas alas dan di atas rumput laman rumahnya. Ia di zoom out sehingga beribu-ribu kilometer sehingga terkeluar dari orbit bumi dan galaksinya Apa yang nampak. Tidak ada apa-apa hanyalah seperti debu sahaja. Kita sebenarnya hanya sebesar zarah bahkan debu lebih besar dari kita. Itulah kita manusia yang mengaku besar, pandai, pintar atau bangga dengan kedudukan tapi sebenarnya kita di sisi Allah sekelumitpun tiada makna jika tiada taqwa dan iman serta cinta kita kepada Allah.

Tanpa aku sedari airmataku mengalir keluar kerana menyedari betapa kerdilnya aku dan begitu merasakan sempurna dilahirkan sebagai manusia tetapi dilahirkan sebagai manusia belum bererti apa-apa jika tidak taat patuh dan cinta kepada pencintanya. Aku kira hanya aku seorang sahaja yang merasakan demikian rupa-rupanya ramai lagi malah lebih hebat dari itu ada yang menangis teresak-esak.

Kemudian visual yang terhenti di Jagad Raya itu di buat zoom in pula sehingga sampai kepada objek manusia tadi sehingga ke tangannya. Dan di sini zoom in dibuat pada tangan masuk ke kulit dalam saluran darah, dalam sel sehingga ke zarah yang paling halus. Subhanallah. Agung dan Maha kaya sekali Pencipta manusia itu sehingga dari sekecil-kecil ciptaan dan sebesar-besar ciptaanNya dan Dialah yang mengawalnya tanpa ada satupun darinya yang terkecuali. Di sini baru kita dapat menilai siapa diri kita sebenarnya.

Saat peserta diminta untuk memejamkan matapun tiba dan mereka diminta berisytifar mengenangkan kealpaan mereka selama ini, mengenangkan kesilapan mereka, keangkuhan mereka apalagi merasakan kesempurnaan diri. Mereka diminta berdoa memohon ampun dari Allah dan ketika itu kedengaranlah suara-suara tangisan lelaki dan wanita memohon ampun atas kesilapan mereka kepada Allah, rasul, kedua orang tua, suami isteri, kakitangan, sahabat handai dan sebagainya.

Sekuat mana jiwa anda jika didatangi perasaan insaf dan sebak apalagi mendengar suara-suara memohon keampunan dari teman-teman ketika itu anda pasti akan luluh dan goyah. Airmatanya pasti berderai. Dan muzik itu betul-betul menghidupkan suasana. Alamilah sendiri.

Pembimbing beberapa kali berpesan agar peserta jangan taksub dengan ESQ. Aku faham kerana aku pernah mendengar orang tua berkata dengar apa yang guru suruh bukan buat apa yang guru buat.

06 March, 2009

Sesi ESQ




Dalam suram cahaya perantarapun memperkenalkan pembimbing kursus (tetapi beliau sendiri lebih gemar dianggap sebagai juruterbang) kerana beliau hanya pengendali tetapi yang membimbing adalah diri anda sendiri katanya. Lalu Sdr. Legisan Sugimin keluar membacakan

demi matahari
dan sinarnya di pagi hari
demi bulan apabila ia mengiringi

demi siang hari
bila menampakkan dirinya
demi malam apabila ia menutupi

demi langit beserta seluruh binaannya
demi bulan serta yang ada dihamparannya
demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya


Bacaan itu sangat lunak diiringi muzik yang menenangkan dan sangat menyentuh jiwa. Ia diikuti dengan makna surah Al Iqra'lalu bermulalah sesi ESQ sebenarnya kepada peserta baru. Katanya- Tiadalah daun jatuh ditengah malam tanpa izin Allah dan tiadalah debu berterbangan tanpa izin Allah. Jika ada empat orang Allah adalah yang ke lima dan jika ada lima orang Allah adalah yang keenam, jika ada yang ramai atau lebih ramai atau terkurang dari jumlah itu Allah tetap ada di situ. Allah di mana-mana dan bersama kita.

Permulaan itu mengajak kita berfikir mengenai kewujudan alam semesta, galaksi, cakerawala serta segala ciptaanNya. Semakin jauh peserta dibawa untuk melihat asal kejadian segala ciptaan dengan kebesaranNya. Pendekatan yang cuba membetulkan persepsi bahawa IQ bukan segala-galanya untuk berjaya contohnya Matshushita di Jepun.

Kekuatan ESQ banyak bergantung kepada bantuan alat multimedia Audio dan Visual dan ia sangat memberi kesan. Sebanyak empat layar gergasi ditempatkan di hadapan peserta dan AudioVisual itu tidak pernah putus sepanjang kursus itu berlangsung. Peserta cuba diberi keadaan sunyi seketika tanpa muzik sebagaimana lazim keadaan kursus dijalankan dan ia ternyata sangat membosankan.

AudioVisual itu ternyata benar-benar membantu selain peranan cahaya di dalam dewan yang di malap malah waktu-waktunya ia dipadamkan terus dan permainan imaginasi yang sangat memberikan kesan sehingga peserta menangis. Pembimbing dibantu oleh ramai krew yang cepat bertindak apabila diperlukan oleh pembimbing dan keadaan di situ. Di situlah letaknya keluarbiasaan ESQ dari kursus-kursus yang yang pernah dihadiri. Kesan yang jarang-jarang dapat dirasai inilah yang mungkin dimaksudkan oleh rakan-rakanku sebagai sangat beruntung mereka dapat berada di situ!

Mood peserta dapat dikesan dengan pantas oleh pembimbing lalu beberapa gerakan ulangan fizikal untuk mengelakkan mereka merasa bosan dan mengantuk dibuat. Hasilnya peserta sentiasa terfokus kepada apa yang hendak sampaikan.

Seperti melihat sebuah persembahan teater anda sendiri menjadi pelakon di dalam kursus ini dan ia adalah sememangnya lakonan anda di dunia yang nyata. Kerana itu peserta diminta untuk tidak menahan rasa insaf sedih serta berdoa secara terbuka di atas kesilapan diri sendiri atas dosa yang dilakukan selama ini.

Sesuatu juga yang amat berlainan apabila peserta digalakkan salam semut iaitu bersalam dan memeluk kiri dan kanan setiap rakan yang ada di sekeliling mereka. Aku cuba bayangkan alangkah baik dan indahnya keadaan itu jika yang hadir itu adalah semua rakan-rakanku. Tentunya akan terjalin ukhuwah seperti yang dikehendaki oleh semua majikan di dunia di kalangan pekerjanya dan tentu akan runtuh banyak tembok-tembok keegoaan yang wujud di kalangan pekerja . Ini tentunya akan memudahkan pekerjaan mereka dan urusan organisasi keseluruhannya.

Menurut Dato Hussamuddin keberkesanan kursus itu melihatkan bagaimana surau yang sunyi di tempat kerjanya telah penuh dengan jamaah dan sembahyang terpaksa dibuat sebanyak empat pusingan. Kini usaha untuk membesarkan surau pula sedang dijalankan.

ESQ dan Perjalananannya



Memang menyiksakan apabila terpaksa bangun dan bersiap seawal-awalnya lebih dari waktu kerja biasa. ESQ kali ini diadakan di Dewan yang terletak di Bangunan Matrade Jalan Duta. Pada angkatan(bilangan) yang ke 28 -peringkat Eksekutif ini menyaksikan seramai 650 peserta semuanya. Iaitu bilangan yang paling ramai setakat ini sejak ia diadakan.

Kumpulan yang paling ramai datangnya dari Kumpulan Karangkraf iaitu 250 orang termasuk sebahagian kecil ahli keluarga pengasas syarikat itu Dato' Hussamuddin. Para peserta lain aku lihat terdiri dari pelbagai kelas jawatan dari setinggi-tingginya hinggalah serendah-rendahnya. Terdiri juga dari mereka yang bergelar Dato' dan juga yang tiada gelaran apa-apa. Tidak ketinggalan juga selebriti popular yang sering kelihatan di TV.

EQS semakin melebar pengaruhnya setelah 28 kursus diadakan di Malaysia dan di negara-negara lain termasuk Australia, Brunei, Singapura, Amerika Syarikat dan banyak tempat di dunia lagi. Anehnya setiap lepasan kursus ini layak untuk menyertai Alumninya dan mereka pada bila-bila masa boleh menghadiri kursus yang sama di mana-mana sahaja ia diadakan tanpa bayaran lagi. Ini bertujuan untuk menyegarkan kembali ingatan mereka terhadap kandungan kursus yang diadakan.

Sehingga kini seramai 633,314 peserta telah menjadi ahli alumninya dan aku sendiri dapat melihat alumni itu hadir dan ditempatkan di belakang peserta baru. Mereka kelihatan begitu bersemangat untuk mengikuti kursus itu walaupun jadualnya padat selama 12.00 jam!.

Pengasas ESQ (Emotional Spiritual Quotient) atau Kecerdasan Emosi dan Spiritual ialah Sdr. Ary Ginanjar Agustian memulakan kumpulan pertama di Malaysia pada April 2006. Kata alumni yang hadir beliau (Sdr. Ary) sempat mengendalikan kursus ESQ hingga ke angkatan ke 8 sahaja. Ketika ini kursus pada hari pertama di kendalikan oleh Sdr.Legisan Sugiman dan saya merasakan beliau sangat hebat sekali terutamanya dapat mengingati Asma Al Husna dan maknanya serta ayat-ayat Al Quran serta maknanya sepanjang satu hari berkursus sangat pintar bermain dengan emosi peserta sehingga hampir keseluruhan peserta tersentuh dan menangis apabila melihat kembali ke dalam diri kita yang kerdil dan sering terlupa. Sdr. Legisan telah mengendalikan lebih dari 190 angkatan.

Dato' Hussamuddin, alumni VIP telah dijemput untuk berkongsi rasa pada permulaan kursus itu berkata kursus itu seperti Kursus Bina Insan. Sepanjang hayatnya berhijrah dan berjaya di Kuala Lumpur beliau tidak merasa damai tetapi dengan mengikuti kursus itu beliau beroleh kedamaian dan kerana itu beliau mengambil keputusan menghantar pekerjanya untuk mengikuti kursus itu.

Banyak perubahan positif dapat dilihat seperti yang tidak solat sudah mula solat, yang solat bertambah khusyuk, yang malas menjadi rajin, yang rajin bertambah rajin, yang tidak berkawan sudah pandai berkawan. Semua itu kerana soal dunia dan akhirat tidak boleh dipisahkan. Ia harus berjalan seiring dan ESQ menyedarkan hakikat itu kepada anda.

Katanya lagi jika kita mempunyai persepsi yang salah mengenai kursus itu amatlah rugi. ESQ telah dibentuk untuk kita lebih mencintai Allah. Walaupun bapa beliau adalah seorang ustaz tetapi penyampaiannya tidak seperti beliau terkesan dengan kaedah ESQ.


ESQ semakin mendebarkan

Semakin ramai yang bercakap mengenai ESQ sehingga aku merasa teruja menunggu hari esok. Hari ini Sdr. Rohaizah (Ketua unit Sumber Manusia ITNM) memanggil semua staf yang terlibat dengan kursus ini esok dan memberikan gambaran ringkas bagaimana kursus itu akan berlangsung dan berharap semua yang ditaja oleh ITNM itu dapat mengikuti sepenuhnya kursus itu. Rupanya ada 4 orang lagi selain Sdr. Avevah. Mereka ialah Sdr. Noraniza, Sdr. Firdouse, Sdr. Nasharudin dan Sdr. Noraisyah.

Esok hari Jumaat perkara yang membimbangkan aku ialah bagaimana nak pergi sembahyang Jumaat di situ. Aku tak biasa sangat kawasan di situ. Sdr. Rohaizah macam faham sahaja dan memberitahu bas akan disediakan. Alhamdulillah.

Petangnya pula teman lama Sdr. Nor Azira dari rapidkl menelefon dan bertanya bagaimana aku boleh terpilih ke sana. Banyak juga soalannya seperti tidak percaya aku diluluskan oleh ITNM untuk menghadirinya. Mungkin kos kursus itu bukan murah. Dia pernah menghadirinya kerana pada mulanya menggantikan tempat bosnya yang tidak dapat menghadirinya. Tetapi selepas itu beliau membiayai sendiri untuk kursus lanjutan yang diadakan kerana sangat tertarik dengan kursus itu.
Terima kasihlah kepada En. Khair kerana meluluskan aku dan kawan-kawan untuk hadir ke situ dan En. Megat kerana membenarkan aku hadir. Rupa-rupanya dalam kumpulan ini ada yang memohon dan ada yang diarahkan selain ada juga permohonannya yang tidak diluluskan.

03 March, 2009

Menjelang Kursus ESQ

Semalam jumpa teman dan aku beritahu aku akan hadir ke kursus ESQ selama 3 hari. Dia beria mengatakan aku harus bersyukur kerana terpilih diantara yang ada. Ya aku memang bersyukur tapi aku masih tidak dapat membayangkan bagaimana kursus berlangsung sehingga kawan-kawan lain menggalakkan aku untuk mengikutinya.

Pagi tadi juga masa sarapan dengan Eva, dia beritahu bagaimana staf di sebuah syarikat penerbitan popular di Shah Alam menunjukkan perubahan yang positif setelah dihantar oleh majikan mereka. Khabarnya setiap kali diadakan seramai 50 staf akan dihantar dan kos untuk seorang pula mencapai RM1380.00!

Aku sendiri terperanjat dengan kos itu. Sehingga aku tertanya bagus sangatkah kursus itu sehingga gara-garanya ramai yang berubah ke arah posotif. Yang tak sembahyang dah rajin menjengah surau dan yang tak menutup aurat sudah malu-malu pada diri sendiri.

Orang paling atas di syarikat itu juga pernah menghadirinya. Majikan tersebut bukan sahaja menghantar pekerja Islam malah penganut agama lain juga mengikutinya dan setelah mengikutinya mereka sangat berterima kasih kerana menghantar mereka ke kursus itu. Kursus ini dikatakan pendekatannya bukan hanya sesuai untuk Islam malah semua agama dan kursus ini khabarnya diasaskan dari negara jiran.

Kita sama-sama nantikan di blog ini laporan saya apabila mengikuti kursus itu nanti mulai 6 -8 Mac 2008 ini di Matrade.

Saya sempat meninjau ke laman sesawangnya dan melihat Datuk Sharifah Aini pernah mengikuti kursus ini. Pun begitu saya masih belum memahaminya.