Showing posts with label *Imbauan. Show all posts
Showing posts with label *Imbauan. Show all posts

20 July, 2009

Dahulu-dahulu


Inilah kaunter penyambut tetamu ITNM di menara pengkalen dahulu kala ketika Dinosour masih ujud. Di kaunter itu ialah Liza. Siapa tak kenal Liza yang peramah dan kepoh itu. Ada yang menggelarnya Siti Tanjung Perak kerana mirip wajahnya dengan pelakon veteren itu. Liza kalau tak silap saya merupakan Operator ke dua ITNM selepas Aida Doremon. Gambar ini diambil lebih kurang di antara tahun 1985-1987. Liza di mana ya sekarang?

17 June, 2009

Kem Motivasi-Selamat berkursus Warga ITNM

Menaiki rakit yang kedalamannya 100 kaki bersama ahli kumpulan gambar koleksi 1996


Selepas penat dengan kerja berkumpulan kami mandi manda di dalam tasik.
Saat post ini tersiar aku dan kawan-kawan seramai 35 orang akan menjalani kursus yang dinamakan Kem Motivasi di Port Dickson, Negeri Sembilan sehingga 20 Jun 2009. Aku terpilih untuk kumpulan yang kedua.

Apa yang terbayang di minda ialah ceramah, makan, aktiviti riadah dan aktiviti dalam kursus yang berkaitan tugas. Kali pertama ITNM menganjurkan kursus ialah pada tahun 1994 semasa Pengarah Urusan pertama Prof Madya Dr. Mohd Zaki. Juga dibahagikan dua kumpulan. Kumpulan aku berkursus di Bayu Beach Resort, Port Dickson dan kumpulan kedua di Bukit Tinggi.

Kali kedua lebih 1996 semasa Pengarah Urusan kedua Datuk Mahpor Baba. Kali ini di Kem Bina Semangat Ampang Pecah (14-16 September 1996). Satu kenangan yang tidak boleh dilupakan kerana banyak aktiviti luar yang dirancang. Permainan dan gerak kerjanya jelas menunjukkan betapa perlunya perancangan bersama dan dan pelaksanaann juga secara bersama. Kerja sebagai satu pasukan.

Permainan yang paling mencabar ialah membina sebuah rakit dari empat biji tong, kayu dan tali dan sesudah membina rakit itu kami di suruh pula menguji dengan menaiki rakit itu. Penuh sarat ahli kumpulan menaiki rakit kecil itu. Ternyata idea bersama dan kami tahu dimana kekuatan dan kelemahan rakit itu. Rakit kami tidak pecah dan berjaya sampai ke darat semula.

Tidak semua kumpulan berjaya. Ada yang pecah rakitnya kerana idea yang tidak bagus (bersatu) dan asyik nak bertekak sahaja sewaktu pembinaannya. Itulah realiti dalam sebuah kumpulan dan masyarakat. Jika tidak bersatu akan hancurlah kita jadinya. Ada rakit yang pecah ketika di tengah tasik yang kedalamannya 100 kaki!
Itulah selingkar kisah lama. Kepada kumpulan pertama yang telah pulang selamat kembali bertugas dengan semangat dan jiwa yang baru. Jaga pejabat baik-baik sepeninggalan kami. Haha.

12 December, 2008

Itulah Aku, Uji Rashid dan Kenangan

Lama betul aku menyimpan post ini. Post ini di tulis Julai lalu. Tak sampai hati nak siarkan. Ntah nape. Pengalaman aku di pentas dan kesempatan bergambar dengan penyanyi pojaan hatiku. Siapa lagi kalau bukan Uji Rashid yang datang bersama anaknya Cico ke ITNM pada Malam sebutir Bintang dalam Kenangan dulu.

Aku sudah seringkali melihat kelibatnya di luar selain di kaca tv dan dulu di layar perak. Ketika itu di pementasan teater di Panggung Eksperimen Kompleks Budaya Negara (KBN) sekarang ASWARA dan sekarang KBN berubah menjadi Panggung Negara yang terletak di sebelah Tasik Titiwangsa. Dahulu pun aku sempat bergambar dengannya.

Aku sudah melupakan episod gambar itu kerana sekarang sudah ada kamera digital. Aku menjadi seronok bila nampak kelibat Uji Rashid . Aku suka suara dia masa Cico belum wujud lagi. Suaranya lemak merdu memang tak ada penyanyi dulu atau sekarang yang kategori suara macam dia. Cuma dia kadang-kadang bila nyanyi live agak terkucil sedikit.

Ketika awal kemunculannya dia duet dengan D.J.Dave lagu yang aku suka dia dengan Dave ialah rintihan rasa yang dipopularkan kini oleh Nurul dan Ajai kemudian solo lepas itu dengan Hail Amir. Masa dengan Hail Amir banyak lagu yang aku suka - tak terkira diantaranya Hujan, Sikit kasi banyak Mintak, Gelora, Menunggu nasi minyak dan banyak lagi.

Apapun bentuk nyanyian berduet atau solo ke aku tetap suka suara dia. Entahlah dalam diriku ini dah banyak melekat lagu-lagu bila nampak Uji Rashid dalam hatiku terus menyanyikan lagu dia...

Untuk Dia yang Tersayang

Hari minggu yang lalu
Dia berkunjung ke rumah ku
Telah lama tak jumpa
Kini dapat bertemu semula
Aku rasa gembira
Dia datang membawa berita
Lamaran akan tiba
Ku nantikan
Untuk dia yang tersayang
Ku berikan kasih mesra
Ikatan pertunangan …..

Begitulah hidupnya nyanyian Uji Rashid dalam diriku. Dia tu popular macam Siti Nurhaliza sekarang. Lalu ketika Malam Mengenang sebutir Bintang Julai lalu, rakan-rakan sibuk mengambil gambar bersama Uji Rashid aku pun menumpang sekaki. Sambil aku bisikkan kepadanya



“Kak Uji saya ni peminat lama Kak Uji ni..pose bagus-bagus ya” Kak uji tergelak besar rupanya lihatlah foto tu. Bila aku lihat gambar itu baru aku tahu kata-kata aku mencuit hati si Uji Rashid.

Sesudah itu aku memberi peluang kepada peminat-peminatnya yang lain pula bergambar. Kalau nak ikutkan banyak saja yang aku nak tanya kepadanya. Terbaharu dapat lihat Uji menyanyi bersama Cico anak tunggalnya di Hotel Federal di Malam Kenangan Usman Awang- 29 November 2008.

Rakan duet Uji Rashid iaitu Hail Amir aku selalu nampak di kawasan jalan Rejang dan Wangsa Maju.dan saat yang paling bermakna aku jumpa Hail amir ialah tiga tahun yang lalu (tahun 2005) ketika itu Hail jadi juri pertandingan nyanyian Karnival Keluarga 2005- Taman Setapak Jaya di Setapak Jaya dan aku menjadi Juara (Nyanyi lagu Salam Terakhir-Sudirman). Tapi masa tu tak terlintas lak nak bergambar dengan dia. Dia cuma salam dan mengucap tahniah kepadaku ketika menyampaikan hadiah kepadaku.

Di bawah adalah foto-foto kenangan masa aku ghairah masuk pertandingan. Imbas kembali kenanganku sewaktu menang dulu...bestnya masa tu Karnival Keluarga 2005 Setapak Jaya. Aku masuk pertandingan kerana dorongan kawan-kawan. Dalam pada itu ada juga kawan-kawan yang tidak suka. Biasalah kita tak boleh nak please semua orang. Asal tak ganggu hidup mereka sudah.
Sewaktu pertandingan berlangsung dalam beberapa peringkat rupa-rupanya aku menjadi perhatian makcik-makcik yang hadir. Setiap kali habis menyanyi MakCik menjerit memanggil aku. Acis, Acis! Itulah kali pertama nama gelaran aku telah bertukar. Hingga masa rehearsal ketika turun dari pentas salah seorang dari mereka telah memanggil aku dan meminta aku menyanyikan lagu Allahyarham Sudirman pada malam final kerana katanya suaraku mirip penyanyi pujaan mereka. Aku memenuhi permintaan mereka dan hasilnya tidak mengecewakan ku. Terima kasih Makcik-Makcik! Itu adalah secebis kenangan dari banyak lagi kenanagan lain.



Gambar 1: Pertandingan di Wangsa Maju. Gambar 2 menunggu keputusan saat aku menjadi juara.Di Sebelahku bapa kepada penyanyi Ezlyn tempat ke-3 dan kananku Sakinah pemenang tempat ke-2




Gambar 3: Aku dijemput oleh teman penghibur (Jimmy)menyanyi di Pentas PD. Gambar 4: Ditemani kawan-kawan



Gambar 5: Sesi Rehearsal sebelum malam pertandingan. Gambar 6: Final 'Salam Terakhir'



Gambar 7: Di pejabat memang tak lepas peluang. Gambar 8: Pertandingan di Galaxy Ampang.

29 October, 2008

Jejaka Bollywood Cherating


Sekadar mengimbau kenangan Hari Keluarga di Cherating yang lalu. Pemuda-pemuda ITNM (Institut Terjemahan Negara Malaysia) yang berusaha untuk kelihatan seperti Hindustani. Sedaya upaya mereka berusaha tetapi akhirnya Brader Khalil ni (gambar sebelah bersama isterinya) yang muncul sebagai pemenang baju yang paling menarik. Tetapi beliau tetap tidak berpuashati kerana jumlah hadiah yag diperolehi belum cukup untuk beliau membayar sewa baju tersebut....(berapa kena tanya Sdr.Khalil). Khalil kau kena bawa perkara ni ke ICJ (Mahkamah Pengadilan Antarabangsa) untuk diadili..

14 October, 2008

Selebriti itu melanggar keretaku.

Teringat suatu malam dua tahun lalu bersama kawan di sekitar Ampang Point. Sedang aku memandu dan tiba di sebuah simpang tiga aku berhenti sejenak sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

Tetapi saat aku memberhentikan kenderaan sebuah kereta telah ‘mencium’ keretaku membuatkan aku dan kawanku terhentak nyaris terkena pintu kereta. Nasib baik kami pakai tali keledar. Pakailah tali pinggang keledar (JPJ mesti suka post ini).

Kami saling memandang bingung sebentar. Kemudian barulah kami sedar kereta yang dinaiki telah dilanggar. Aduh. Ni mesti cerita panjang lagi ni. Dua tiga hari pun belum tentu selesai. Aku pantas keluar dan meluru ke belakang. Sedikit je sondolan itu tapi pasti mesti di bawa ke bengkel juga.

Aku melihat seorang lelaki berbadan tegap keluar dari kereta yang melanggar aku. Dalam kesamaran aku melihat kulitnya yang cerah. Dia berjalan menghampiriku. Oh tidak aku kenal orang itu. Dia seorang pelakon. Aku kuatkan semangat walau siapapun dia. Dia telah melakukan kesalahan dan mesti menanggung segala kos itu.

“Kenapa bang?” Aku menyoalnya.
“Saya tak perasan, saya ingat kamu sudah bergerak terus tadi.” balasnya.
“Tapi abang sepatutnya tunggu dulu. Abang mesti mengekori saya terlalu rapat tadi” aku mengagak. Dia mengangguk sahaja. Aku nampak dia panik.
“abis macam mana ni?”dia bertanya.
“ kereta ni kena repair. Abang yang langgar dari belakang abang dah salah. Saya nak claim insuran tapi kita kena report dulu.”
“Ok” dia membalas
“Kita pergi Balai ya” aku mencadangkan kepadanya. Dia mengangguk sahaja.

Kami bergerak menuju Balai Polis. Fikiran aku kacau memikirkan cara yang mudah dan terbaik bagi kami. Cuma tinggal 100 meter lagi kami menghampiri Balai Polis aku memberhentikan kereta. Dia juga ikut berhenti.

“kenapa?” dia menyoalku di tepi jalan.
“macam ni bang saya kira apa kata kita settle sendiri-sendiri saja” kata aku kepadanya.
"kalau di Balai dah tentu abang kena compound nak kena ganti saya punya kerosakan lagi dah tu abang kena point lagi."kataklu kepadanya.

Setelah berbincang mengenainya dia bersetuju. Dia pun belum pernah melalui episod seperti itu. Dia juga bimbang cerita mengenainya akan keluar di dada akhbar dan mungkin itu akan menjejaskan reputasinya sebagai pelakon yang bersih sebelum ini.

Begitulah episod keretaku dilanggar selebriti. Untuk peringkat awal aku settle sendiri di bengkel beberapa bulan selepas itu barulah selebriti itu membayar balik ganti rugi aku kepadaku. Itu semua kerana kesibukannya mencari makan. Walau apapun aku respectlah kat dia kerana tidak mungkir janji.

Nak tau ke sape pelakon tu..Em takyah ler..kan kena saman lak

01 October, 2008

Beraya tapi makan jangan terlampau kenyang!


Memori silam sememangnya tidak akan luput dalam ingatan. Dan sempena hari raya aku ada satu yang ingin dikongsi bersama. Kisahnya puluhan tahun yang lalu.

Di masa raya. Siangnya kami beraya di rumah jiran dan sanak saudara. Aku tinggal di rumah teres jadi memang banyaklah tempat yang hendak dituju.

Kisahnya mengenai adikku yang bongsu. Aku tidak tahu di mana dia beraya. Dan agaknya banyaklah makanan kegemaran yang dimakannya. Malamnya ketika kami sibuk melepak di ruang tamu bersama arwah bapaku si adik bongsu aku ni tidur di sisiku. Penat agaknya.

Sedang aku memerhatikan wajahnya yang lena dan penat itu tetiba aku terlihat makanan sedikit demi sedikit keluar dari mulutnya. Rupanya dia muntah di dalam tidur. Semua kecoh dan mengejutkannya.

Aku harap ini dapat menjadi pengajaran kepada semua. Makanlah berpada-pada dan jangan tidur kalau terlampau kenyang. Bimbang korang lak ditimpa keadaan yang sama.
Selamat menjamu selera.

25 September, 2008

Tahukah Anda - Koleksi Minda Tun Mahathir

Sebahagian dari buku koleksi Minda Tun Mahathir


Buku `Koleksi Minda Dr. Mahathir' telah dilancar oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 Mei 2003.


PUTRAJAYA 13 Mei - Koleksi buku bertajuk "Koleksi Minda Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad" yang mengandungi ucapan Perdana Menteri dan cetusan pemikiran beliau yang disifatkan sesetengah intelek sebagai "Mahathirisme", dilancarkan pada tahun 2003. Gabungan cetusan pemikiran Tun Dr. Mahathir itu adalah warisan beliau kepada rakyat negara ini yang patut dijadikan jatidiri bagi menahan gelombang kolonialisme kedua dan juga pengubat rindu setelah persaraan Tun Dr. Mahathir pada Oktober 2003.

Koleksi kumpulan ucapan Tun Dr. Mahathir antara tahun 1993 hingga 1999 itu merangkumi tema kontemporari seperti globalisasi, serantau, pengurusan ekonomi, politik, ekonomi digital, demokrasi dan Asia baru serta dimensi Islam yang disampaikan di 113 lokasi di dalam dan luar negara.

Majlis pelancaran koleksi 14 buah buku itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu - Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail. Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Perdana Menteri dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan. Ketika ditemui wartawan kemudian, Dr. Mahathir berkata, beliau terkejut dengan penerbitan buku itu.

"Saya surprise juga la, diterbitnya sampai 14 buah buku,'' katanya. Mengenai cadangan agar institusi pengajian tinggi tempatan menggunakan koleksi minda itu sebagai rujukan, Tun Dr. Mahathir berkata, itu terserah kepada institusi pengajian berkenaan sendiri. Pengerusi Institut Terjemahan Negara Berhad (ITNM) ketika itu, Datuk Abdul Aziz Rahman mencadangkan agar semua institusi pendidikan menggunakan pemikiran Tun Dr. Mahathir bagi membolehkan bangsa Malaysia sama taraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Usaha menterjemahkan ucapan berkenaan ke dalam bahasa Melayu dari ucapan asal dalam bahasa Inggeris dibuat oleh pasukan penterjemah ITNM dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Koleksi itu diterbitkan bersama oleh Utusan Publications & Distrubutors Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Kumpulan Utusan, sebagai pencetak dan pengedar. Ia dibukukan mengikut topik yang disentuh Perdana Menteri dalam ucapannya seperti politik, ekonomi dan juga agama.

08 September, 2008

Kesilapan Artikel Slogan ITNM

Ada kesilapan pada artikel Slogan ITNM pada minggu lepas (4 September 2008) dan ucapan terima kasih kepada Sdr. Shaharwati kerana menyedarinya. Jadi jika anda membaca post itu sekarang ia telah di kemas kini.

Slogan "Terjemahan Bermutu Masyarakat Berilmu" bukan "Terjemahan Bermutu Masyarakat Bermutu".

Slogan "Merentasi Sempadan Bahasa" digunakan semasa Pengarah Urusan En. Shaharuddin Ali.

Terima Kasih Ati.

04 September, 2008

Slogan ITNM

Setelah anda tahu mengenai transformasi logo Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNM). Saya kira anda juga ingin tahu apakah slogan di awal penubuhan ITNM dan perubahan mengenai slogan ITNM sepanjang perjalanannya hingga kini.

Pada peringkat awal slogan ITNM menggunakan "Khidmat Terjemahan Terbaik". Sesuai dengan kelahiran ITNM pada masa itu ITNM bercita-cita memperkenalkan dirinya di persada dunia dan ingin masyarakat tahu khidmat terjemahan yang diberikan adalah yang terbaik. Slogan ini di perkenalkan oleh Prof Madya Dr. Ahmad Zaki (ketika itu).

Setelah beberapa tahun menggunakan slogan tersebut ITNM merasakan slogan juga harus berubah kerana perubahan merupakan sesuatu yang dinamik dan sebagai mencerminkan ITNM sentiasa hidup. ITNM pun dari semasa ke semasa sentiasa menilai kembali sumbangan yang diberikan kepada masyarakat.

Satu peraduan telah dibuat dan dibuka kepada staf untuk menghantar slogan terbaik dan dari puluhan slogan yang dihantar. Saya masih mengingati nama staf yang berjaya menghantar slogan yang terbaik itu iaitu Sdr. Suzana(telah menamatkan perkhidmatannya) Slogan "Terjemahan Bermutu Masyarakat Berilmu" telah dipilih oleh Pengarah Urusan ketika itu iaitu Yg. Berbahagia Datuk Mahpor Baba. Pengarah Eksekutif Tuan Haji Amdun Hussain juga turut menggunakan slogan ini pada masa ia bertugas di sini.

Slogan "Merentasi Sempadan Bahasa"- pula menggantikan slogan yang baru pada masa Pengarah Urusan En. Shaharudin Ali. Slogan ini agak lama juga digunakan dan dirasakan lebih sesuai bagi menggambar khidmat yang lebih global kerana dengan terjemahan kita dapat menembusi sempadan negara dan bangsa di dunia.

Dan akhirnya "Pilihan Anda Untuk Terjemahan Berkualiti"- mula mengambil alih slogan itu pada masa Pengarah Urusan sekarang En. Mohd. Khair Ngadiron.

27 August, 2008

Transformasi Logo ITNM


Sepanjang 15 tahun Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah melalui pelbagai perubahan sesuai dengan kematangannya. Namun apa yang ingin saya paparkan di sini ialah tentang perubahan logonya.

Pada peringkat awalnya ITNM hanya menggunakan logotype sebagai logo sementaranya iaitu mengguna font Zapf.

Setelah mendapat khidmat reka bentuk dari fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, logo yang berimej pena dua hala simbolik terjemahan mula digunakan dengan rasminya ketika Pengarah Urusan Prof. Madya Dr. Zaki Abu Bakar (ketika itu).

Beberapa tahun logo itu digunakan dan ketika Pengarah Eksekutif Tuan Haji Amdun Hussain berkhidmat di ITNM sedikit perubahan kecil dilakukan pada logo berkenaan. Iaitu singkatan ITNM telah dimasukkan ke dalam kotak logo dan tidak lagi kelihatan berasingan dengan logo.(gambar urutan ketiga)

Pengarah Eksekutif yang keempat Puan Hajah Hamidah Baba telah memberi imej baru terhadap logo ITNM dengan menukar secara total reka bentuk ITNM. Dari puluhan reka bentuk yang di hantar melalui sebuah pertandingan mencipta logo baru itu beberapa logo terbaik telah disaring ke peringkat akhir dan logo kedua terakhir dari gambar di atas telah terpilih.

Akhir sekali pada tahun ini (2008) logo ITNM telah mengalami sedikit perubahan pada bahagian singkatan namanya. Ia tidak lagi menggunakan singkatan sebaliknya telah dieja dengan nama penuhnya Institut Terjemahan Negara Malaysia, kerana difikirkan walaupun ITNM telah wujud lebih dari satu dekad namun masih ada yang belum mengenalinya mungkin kerana singkatan tersebut.


Artikel ini menjelang 14 September ITNM akan menyambut hari Ulang tahun yang ke 15. Anda akan dipaparkan dengan slogan-slogan ITNM dan juga siapakah yang pernah menjadi Pengarah dan juga Pengerusi ITNM.

29 July, 2008

Tahukah Anda- Buku Terbitan pertama ITNM



Tahukah anda buku pertama terbitan ITNM? Ia merupakan terbitan bersiri mengandungi 12 buah buku berjudul Koleksi Rafflesia karya penulis tersohor dunia William Shakespeare lebih empat kurun yang lepas. Karya asal yang dijadikan terjemahan ini adalah berbentuk komik dan karya terjemahan ini diterbitkan pada tahun 1995. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad mengambil inisiatif menterjemahkan siri komik ini sebagai langkah awal untuk menanam minat khalayak, khususnya golongan muda membaca karya agung dan klasik.
Antara judul yang terdapat dalam siri yang disediakan dalam paket kotak berwarna kuning ini ialah: Hamlet, Jika Hati Sudah Suka, Julius Caesar, Macbeth, Malam Kedua Belas, Menawan Si Cenge, Mimpi Musim Panas, Othello, Raja Lear, Romeo dan Juliet, Saudagar Vinece dan Taufan.

22 July, 2008

Imbauan - Api ketika kecil menjadi kawan!

Lama sungguh tidak mendengar imbauan. Pengalaman lalu kadang-kadang penting untuk kita meneruskan hidup. Bukan untuk meratapi kesedihan atau kesalahan yang lalu tetapi lebih kepada menjadi panduan dan bimbingan dalam meneruskan jalan ke hadapan agar tidak berulang lagi.
Cerita 1
(Wangsa Maju)
Eh bau apa ni kataku kepada teman ketika memasuki tandas lelaki. Sejurus itu juga aku memandang ke atas siling dan terpandang api sedang marak.
Api –api..terbakarlah. kataku dan ketika itu staf di tingkat satu mula huru hara. Tapi kebimbangan kami tidak sedahsyat peristiwa di Menara Pengkalen kerana kami berada di tingkat satu, senang menyelamatkan diri. Susah-susah kami boleh terjun je.

Walaupun api marah dan membuatkan semua terasa ngeri lalu staf dari unit berkenaan telah bertindak pantas mencapai alat pemadam kebakaran dan pasukan bomba tiba sejurus kemudian dan mengesahkan bahawa bangunan ITNM selamat untuk digunakan.
Nasib baiklah ketika kejadian berlaku waktu pulang sudah menghampiri. Jadi kami masuk ke pejabat untuk mengambil keperluan untuk pulang sahaja. Kami dimaklumkan bahawa kebakaran berpunca dari litar pintas.

Cerita 2
( Menara Pengkalen.)
“Eh Terbakar!..ha Berasap! Cepat-cepat lari. Lari semua” Ketika itu semua staf yang berada di ITNM Menara Pengkalen kelam kabut ada yang bertindak pantas telah cabut lari menyelamatkan dirinya tanpa menghiraukan rakan-rakan yang masih dalam kebingungan. Memang dalam keadaan kelam kabut itu ada benda-benda lucu yang tidak terlintas di fikiran boleh berlaku. Tindakan menyelamatkan diri sendiri tanpa mengajak orang lain menyelamatkan diri sama jelas menunjukkan orang lain tidak penting dalam keadaan cemas seperti itu.

Tapi ramai lagilah yang jenis menyibuk untuk melihat dari mana tempat asap berkepul-kepul itu keluar. Namun asap terlalu tebal dan ada yang mula panik dan terus bertindak turun melalui tangga tanpa mahu mengetahui apa puncanya lagi. Barulah aku tahu sebenarnya dalam keadaan berasap sebegitu asap boleh menyebabkan bekalan oksigen berkurangan dan ia boleh menyebabkan orang pengsan sebelum sempat menyelamatkan diri. Jadi adalah digalakkan jika terperangkap di dalam ruang yang berasap untuk lari dari tempat itu secepat mungkin dan jika tiada jalan keluar merangkaklah kerana asap akan naik ke ruang atas.

Dalam kekalutan itu ada yang telah bertindak berani mengambil alat pemadam dan mendekati punca api lalu menyemburnya dan berakhirlah episod panik di Menara Pengkalen tak lama dahulu. Kebakaran berpunca dari plug deco light (lampu perhiasan) yang dipasang untuk perayaan Hari Raya Aidil Fitri. Plug tu telah dibuat salah penyambungannya oleh yang bukan pakar. Jadi hati-hati ketika membuat sambungan dengan plug 3 pin di rumah anda. Salah penyambungan boleh menyebabkan kebakaran.

Cerita 3
(Pandan Jaya )
Kebakaran bermula di tempat letak motosikal -titisan minyak hitam dan putung api rokok telah mencetuskan kebakaran dan merebak ke apartment yang dihuni staf ITNM. Oleh kerana tangga itu merupakan satu-satunya jalan keluar masuk dan tiada pilihan lain maka staf tersebut telah mengambil jalan meredah api yang sedang marak di tangga tersebut.

Akibatnya staf berkenaan mengalami kebakaran 80%. Siksa melihat penderitaannya. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Hampir seminggu menderita di hospital kuala lumpur akhirnya staf berkenaan meninggal. Itulah staf ITNM yang pertama meninggal dunia. Al fatihah untuk Allahyarham Norhayati.

Beberapa bulan selepas itu ibubapa mangsa datang ke ITNM menerima bayaran insuran yang menjadi peninggalan anakanda tercinta! Namun wang bukanlah segalanya. Wang tidak dapat membeli kasih sayang, wang tidak dapat membeli kebahagian dan mengembalikan kehidupan yang lalu. Berhati-hatilah dengan api kecil menjadi kawan besar menjadi lawan. Pastikan anda, anak anda, keluarga tercinta bukan mangsa kepada api!

20 July, 2008

Boleh Saya Tahu di Mana Rumah No. 5 Persiaran Satu?


Oh... rumah berkembar dua tingkat tu. Di Depannya Masjid dan di belakangnya mini markert.
Begitulah bunyi intro setiap kali berkumandang drama bersiri No.5 Persiaran Satu yang tersangat popular di lewat zaman 1970an hingga bertahun-tahun lamanya. Seingat saya drama bersiri itu adalah antara yang terpanjang siarannya.

Sebuah drama keluarga yang banyak membawa mesej-mesej keluarga yang sangat bagus sehingga ia sangat sesuai didengar oleh pelbagai lapisan masyarakat ketika itu dan mendapat sambutan yang sangat meluas.

Di masa belum ada stesen radio swasta jadi tumpuan masyarakat hanya kepada radio rangkaian nasional. Jika ada pilihan lain ialah siaran Radio FM dan selepas itu meledak popular Radio Malaysia Ibu Kota (RIMK).

Kembali kepada rancangan radio popular itu mengapa saya ingin menulisnya kali ini tak lain kerana dalam kesamaran ingatan kita terhadap drama itu saya berkesempatan berjumpa dengan salah seorang pelakon drama itu Zuraidah Musib yang memegang watak Kak Mizah.

Kak Mizah datang ke ITNM untuk menjadi juruacara Malam Sebutir Bintang Dalam Kenangan- Usman Awang. Beliau agak terperanjat ketika saya menegurnya sebaik sahaja acara itu tamat.

"Maaf ye saya tumpang tanya. Akak ni Kak Mizah dalam Drama No:5 Persiaran
Satu tu ke?"

Dia senyum dan tergelak besar

"Oi masih ingat lagi ya!"

Tentulah saya membesar dengannya.

"Memang mane-mane saya pergi orang masih ingat dengan Drama itu!" Jelas Zuraidah.

Watak-watak lain dalam drama itu ialah Abang Am dan adik bongsunya Amir selain pembantu kedai Abang Braim, Mak dan Abahnya. Masih Ingat?
Korang jangan jeles lak BangNon sempat bergambar ngan dia!

15 July, 2008

Debat Di Balai Tun Syed Nasir

Tentunya kalian ingat aku akan berbicara pasal debat - Hari ini bentuk Kerajaan Esok Harga Minyak akan Turun! Di antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat- Datuk Sri Anwar Ibrahim.
Tentulah isu ini amat menarik perhatian bukan aku sahaja malah seluruh rakyat Malaysia. Ketika itu aku melayari internet sambil mendengar siaran TV tetapi ternyata layaran di internet amat perlahan. Mungkin ramai yang menggunakan internet bagi mengikut perkembangan siaran itu. Aku beberapa kali gagal membuat upload pada blog ku. Lalu aku padamkan komputer dan menumpukan sepenuh perhatian pada debat itu.
Dari awal aku sudah faham ia sekadar debat seperti pertandingan debat yang biasa kita lihat. Tidak akan ada yang menang dan tidak ada yang kalah. Penonton sendirilah yang perlu membuat justifikasi terhadap pendapat-pendapat yang dilontarkan.
Ia sekadar untuk meredakan ketidakpuasan hati dan pendapat mengenai kenaikan harga minyak. Logiknya harga minyak dinaikkan oleh sebelah pihak dan logiknya harga minyak diturunkan pada sebelah pihak. Masing-masing memang sudah bersedia dengan hujah.
Kerana sudah dapat mengagak bagaimana perjalanan debat itu akan berlangsung maka ada ketikanya fikiran aku menerawang melihat pergerakan kamera di dalam Dewan Tun Syed Nasir yang dahulunya di panggil Balai Budaya, masih tidak banyak berubah sebagaimana dahulu kecuali nampak anggun dinding senibina melayu kerana dinaiktarafkan.
Lima belas tahun dahulu. Di atas pentas di mana berdirinya dua tokoh pendebat itulah aku beberapa kali naik dan turun pentas bersama rakan-rakan lama di Dewan Bahasa dan Pustaka - Kak Kam, Amiruddin dan Roslin untuk merebut gelaran Juara Pantun Sempena Minggu Sastera 1993. Bukan mudah melaluinya. Beberapa pusingan yang memakan masa hampir dua minggu.
Pasukan kami layak ke pusingan akhir dan di atas pentas itu pasukan kami menang sebagai Juara Pantun dan aku dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik Keseluruhan. Di situlah aku bertemu dengan idola pantun Malaya aku saudara Chuari Selamat. Pertandingan akhir dibuat untuk rakaman radio dan Sabri Yunus rakanku menjadi pengacaranya. Kehadiran isteri Profesor DiRaja Engku Abdul Aziz- Azaz Aziz membuatkan aku sangat terharu masakan tidak aku masih muda ketika dan dapat mengalahkan mereka yang berusia terdiri dari penulis, pelakon, editor dan pelbagai bidang lagi.
Jadi nasihatku kepada adik-adik jangan jadikan faktor usia sebagai penghalang kepada apa yang kita minat jika Allah telah berikan kita bakat atau kelebihan berjalanlah tanpa menoleh ke belakang tetapi bila berjaya jangan pula mendongak langit!
Jue, Suhaimi dan Kak lida masihkah kau ingat?

28 June, 2008

Imbauan- Senja yang Syahdu.

Senja adalah waktu yang paling syahdu bagiku dan senja jika dapat mendengar azan adalah suatu ketenangan. Sejak dari kecil aku dilatih berada dirumah sebelum azan maghrib. Ketika itu suasana di rumah akan menjadi kelam kabut kerana masing-masing seperti ada pekerjaan yang hendak dibuat. Ibu dan kakak di dapur. Dan yang lain lain sibuk berebut bilik air. Ada yang nak ambil wudu’ dan ada yang nak mandi.

Tapi apa yang membuatkan aku syahdu jika dapat melihat azan maghrib di TV1 ialah terjemahan Inggeris selain terjemahan bahasa Melayunya. Aku lebih tertarik dengan terjemahan Inggeris kerana mengingatkan aku pada seseorang yang telah tiada lagi di dunia ini. Beliau ialah Allahyarham Siti Hawa binti Sudin.

ALLAH THE ALMIGHTY, ALLAH THE ALMIGHTY
I BEAR WITNESS THAT THERE IS NO GOD TO BE WORSHIPPED EXCEPT ALLAH
I BEAR WITNESS THAT THERE IS NO GOD TO BE WORSHIPPED EXCEPT ALLAH
I BEAR WITNESS THAT NABI MUHAMMAD IS THE MESSENGER OF ALLAH
I BEAR WITNESS THAT NABI MUHAMMAD IS THE MESSENGER OF ALLAH
LET US PERFORM THE SOLAH, LET US PERFORM THE SOLAH
LET US ENJOIN THE SUCCES OF THIS WORLD AND HEREAFTER
LET US ENJOIN THE SUCCES OF THIS WORLD AND HEREAFTER
ALLAH THE ALMIGHTY, ALLAH THE ALMIGHTY
THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH.

Dalam post yang lepas Imbauan-Berlayar ke Wangsa Maju. Ada aku nyatakan aku akan meneruskan sambungan coretan itu dan inilah ceritanya. Beliau sempat berada di dalam bahtera yang berlayar ke Wangsa Maju itu dan tatkala bahtera itu berlabuh-berkampung di sini beberapa tahun beliaupun menamatkan perkhidmatannya.

Allahyarham merupakan penterjemah di unit terjemahan ketika ITNM beroperasi di bangunan Menara Pengkalen yang sangat komited dan teliti dengan kerja-kerja terjemahan. Yang diketahui beliau merupakan bekas guru.

Terjemahan ini telah diminta oleh pihak JAKIM menyediakannya. Suatu tugasan yang berat . Aku dapat merasakan kegusaran beliau sewaktu menterjemahannya. Walaupun terjemahan itu nampak ringkas namun berhari-hari beliau melakukan rujukan bagi memastikan terjemahan itu betul-betul menepati maksud asal dalam bahasa Arabnya.

Dan waktu itu ada seorang penterjemah bahasa Arab-Sdr.Chiar Hijazi. Kami memanggilnya Pak Chiar sahaja dan bukan panggilan ‘Ustaz’ seperti sekarang kepada penterjemah bahasa Arab. Pak Chiar ni bukan setua gelarannya. Yalah macam kedengaran Ustaz-seorang yang berumur. Usia Pak Chiar dalam lingkungan pertengahan dua puluhan. Beliau berasal dari Indonesia. Belajar di Negara Arab dan juga Pakistan.

Waktu itu aku selalu nampak Allahyarham selalu mendampingi Pak Chiar bagi memahami secara mendalam apakah maksud di dalam azan itu. Nasib baiklah Pak Chiar ini seorang yang penyabar dan terbuka waktunya.Sentiasa senyum jika berborak dengannya.

Sewaktu lalu lalang melewati stesen kerja Allahyarham aku selalu mendengar ada sahaja perkataan atau ayat yang dibincangkan atau diperkatakan tentang terjemahan yang dilakukan itu.

Sedekad telah berlalu hari ini azan itu berulang-ulang saban hari di kumandangkan aku merasakan Allahyarham ‘hadir’ untuk melihat azan itu-itulah perasaanku. Alangkah bahagianya beliau dapat melakarkan sesuatu sepanjang hidupnya (ketika bekerja) dan mendapat pahala setiap kali azan itu diudarakan.
Semoga Rohnya di tempatkan bersama orang-orang yang soleh dan dikasihi. Amin

20 June, 2008

Imbauan-Berlayar Ke Wangsa Maju

Sudah lama aku tidak menyambung bicara tentang sejarah yang terhenti itu dalam post Salam Perkenalan 2. Aku hanya ingin menyambung cerita itu dalam tajuk yang berlainan pula ya lah takkan asyik berkenalan saja.

Dalam post yang lepas cuma kisah masa Prof.Dr Ahmad Zaki sahaja. Tiga tahun Dr. Zaki bersama ITNM kemudian beliau kembali menyambungkan khidmatnya di UTM . Selepas itu Dato’ Mahpor pula datang. Masa itu banyaklah buku-buku terjemahan diterbitkan. Dan masa ini juga kami warga ITNM berpindah dari lorong Ceylon ke kaki bukit Wangsa Maju.

Tidak dapat aku bayangkan waktu itu meninggalkan ITNM di Menara Pengkalen yang banyak memori indah di situ. Seperti ‘Kapal Pecah’ itu yang dapat aku gambarkan pejabat lama ITNM. Sungguh terharu. ITNM terpaksa melakukan kerana ITNM cuma menyewa disitu dan kosnya penyewaannya bukan kepalang mahalnya. Sudah ada bangunan sendiri apa nak tunggu lama-lama. Nahkoda sudah mengarahkan kapal berlayar semua anak-anak kapal masuk dalam bantera dan kami berlayar ke Wangsa Maju. Perjalanan yang begitu sukar-1997.

Masa kami pindah tak ada letrik tapi bekalan air dah ada. Jadi lif pun tak boleh digunakan.Tanggalah yang jadi jalan kami. Bayangkan setiap kali menggunakan tangga untuk turun naik. Telefon pun tak ada. Nasib baik aku ada telefon bimbit. Dan itulah yang menjadi talian hayat kawan kawan yang ada untuk dihubungi.

Barang-barang dipunggah menggunakan kren masuk ikut tingkap. Kami macam buruh kasar membantu apa yang boleh walaupun ada pekerja yang diupah. Ya lah takkan nak tengok sahaja kalau dah depan matakan? Seminggu sebelum itu dokumen-dokumen telah dihantar terlebih dahulu menggunakan lori ke bangunan yang baru.

Sekali lagi kami berhadapan dengan ‘tongkang pecah’. Timbunan dokumen terpaksa disusun semula. Kalau dibangunan lama keadaan fizikalnya tidaklah sukar kerana ITNM menyewa 1 tingkat sahaja iaitu tingkat 3. Tetapi di bangunan baru ITNM ada 5 tingkat. Aduh.
Dalam pelan awal aku dan kawan-kawan di letakkan di tingkat 5 tetiba ruang di situ sempit jadi kami dipindahkan ke tingkat 1 beberapa minggu selepas itu. Sakit badan terasa kerana bulan itu ialah bulan buruh kasar. Lebih kurang sebulan jugalah kami seperti tak keruan. Yang berhubungan dengan pelanggan terpaksalah meneruskan perjuangan dalam kesukaran.

Nak cari makan untuk makan tengahari adalah sesuatu yang sukar. Masa tu bukan semua kawan-kawan ada kenderaan dan tempat makan tidak banyak seperti hari ini. Kalau ada jauh. Sekarang dah ada pilihan kalau nak berjalan kakipun boleh.

Jadi untuk mengatasi masalah itu buat sementara waktu kami pakat-pakat bawa bekalan, lauk pauk untuk dimakan bersama waktu tengah hari. Itulah keseronokannya bila menjelang waktu makan dari sukar jadi seronok.Macam keluarga besar. Staf waktu itupun tak ramai aku rasa dalam 40 orang.( ITNM pun cuma menggunakan 2 tingkat sahaja waktu itu iaitu bawah, tingkat satu dan tingkat 5). Dan bila petang ada bubur pula dihidang bila ada‘seseorang’ yang rajin menyediakannya dan peminat utama bubur petang itu ialah Allahyarham Puan Siti Hawa.

Nantilah aku nak ceritakan mengenai Allahyarham ni di lain post. Untuk itu marilah kita sama-sama sedekahkan Al Fatihah kepada Allahyarham Puan Siti Hawa yang telah bekerja sambil beribadah dan hasilnya sehingga sekarang setiap hari masih kita menyaksikannya. Al Fatihah.

10 June, 2008

Salam Perkenalan 2

Ini adalah sambungan artikel yang terdahulu. Hari ni aku sanggup balik lewat sekali lagi kerana dah mabuk dengan blog. Ku korek fail-fail lama semata-mata nak cari sesuatu yang sememangnya menjadi nostalgia kepada mereka 'orang-orang lama'-bukan aku ye.

Aku percaya sesiapa yang tersentap dengan gambar ni mereka adalah orang-orang lama. Dengan perkataan yang mudah mereka dah tua. Jadi yang dah tua-tua tu cuba jangan sentap tengok gambar ni.

Inilah gambar Menara Pengkalen atau Wisma Pekerti di Jalan Changkat Ceylon Kuala Lumpur.

Tapi Institut Terjemahan Negara Malaysia cuma menyewa di bangunan itu sahaja. Iaitu di tingkat 2

Alamatnya ketika itu ialah

ITNM
Tingkat 2 Menara Pengkalen
50200 Kuala Lumpur,
Tel: 603 245 7210 * Fax: 603 2457215

Ha korang jangan lak mengada-ngada nak hantar surat ke hape ke alamat yang tak wujud lagi tu dah jadi sejarah dah alamat tu.

Banyak sejarah yang patut adik-adik ku sekarang di sini harus tahu. Kerana sejarah itu akan membuat kita menghargai apa yang kita ada hari ini. Di bangunan ini lah batch pertama pekerja ITNM memulakan kerja setelah ITNM ditubuhkan. Di sebelah bangunan itulah juga pada hari Sabtu & Ahad kami menjalani Hari Suai Kenal oleh pihak pengurusan ITNM.
Paling best sekeliling bangunan ini ada banyak shopping kompleks, ada Menara HLA, The Weld, Bangunan Bousted (nasi ayam takkan ku lupa sampai mati. Kat mana la adik yang jual tu sekarang meniaga?), Hotel Istana, Bukit Bintang dan lain-lain lagi. kalau tension boleh jalan kaki je dia orang ni hilang.


Beberapa tahun setelah itu Hari Keluarga Pertama ITNM diadakan. Cubalah korang-korang teka di mana? Tempatnya ialah Sekolah Kebangsaan Batu, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Masa tu Hari Keluarga bukan macam sekarang pergi balik hari je. Satu hari. Staf di bahagikan kepada kumpulan-kumpulan tapi pengenalan warna kena buat sendiri..Ha adalah kumpulan-kumpulan yang pakai reben ungu kat kepala. Ada yang ikat warna kat lengan. Macam-macam ada. Tapi masing-masing dengan semangat kesukanan. Takde yang ponteng dan tidur kat bilik hotel membiarkan kawan terkapai-kapai melawan mereka yang tak terlawan.


Tapi sekarang kita dah ada baju T yang berwarna. Cabutan bertuah untuk staf. Cabutan Grand lagi. Penginapan 3 hari 2 malam. Kenderaan di sediakan. Makan minum free cuma daftar nama keluarga aje. Mak Ayah pun buleh join. Betapa bertuahnya anda sekarang!
Tuah sekarang amat jauh dari tuah kita dahulu. Tuah sekarang boleh pakai Handphone percuma. Tuah orang dahulu kerja tanpa handphone bukan kerana tak mampu tapi belum wujud handphone. Kalau ada pun masa tu handphone yang bagak boleh baling anjing sampai mati tu.

(bersambung..aku nak balik)

09 June, 2008

Salam Perkenalan 1


Salam perkenalan


Diam tak diam rupanya dah lama aku bekerja di sini. Pejam celik pejam celik 15 tahun dah umur ITNM (Institut Terjemahan Negara Malaysia). Teringat dulu-dulu punya cerita nak menyebut ITNM bagi warga ITNM mereka dah biasa tapi bila jumpa orang luar macam-macam nama ringkas yang dia orang suka dia orang sebut. ITJN, ITN ada IJN pun ada yelah masa tu Institut Jantung Negara sedang popular (awal 90an). Tapi rata-rata yang sebut ialah ITJN.


Kalau ITJN la rasa-rasanya apa yang wajar nama penuh dia..Institut Terjemahan Jantung Negara kot! Nak terjemah jantung ke? Hehe. Tapi itulah cabarannya kerja kat sini Jantung sentiasa je mesti dalam kondisi baik. Kalau tak nasib le lu.


Lima belas tahun bukan jangka waktu yang pendek berada di sini. (13 September ni genaplah usia mu ITNM-ibarat gadis sunti, kalau berumur 15 tahun - sedang comel ). Dan sekarang memang ITNM sedang melaram menjadi tumpuan. April lepas sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ITNM 2008 berjaya menerbitkan puluhan judul karya terjemahan, setelah sekian lama menyepi...aku sendiri yang adhoc bertugas ketika itu tidak sempat nak menghafal judul-judul buku yang baru keluar dari 'ketuhar'.


Bagi adik adik yang baru bertugas di sini tentunya sangat asing dengan nama-nama Prof. Ahmad Zaki itulah Pengarah Urusan pertama ITNM. Dia adalah antara orang-orang kuat sehingga wujudnya ITNM selain dari Dr.Izhar, Pn. Atiah (sekadar menyebut beberapa nama) dan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (ketika itu) dan Kementerian Kewangan.


Aku ni bila sebut je nama Prof. Zaki mesti ingat lagu Fikirkan Boleh nyanyian Metropolitan. Lagu yang kami nyanyikan setiap kali perhimpunan pada pagi isnin selain lagu Negaraku. Lagu itu diangkat agar dapat menjadi inspirasi kami untuk bekerja kuat (rasanya lirik itu masih relevan hingga sekarang-nantilah kalau ada kesempatan akan aku siarkan liriknya dalam post yang akan datang). Yang bestnya aku dan beberapa teman seangkatan mengangguk dan menggoyang-goyang kepala ala2 menari la gitu ketika muzik bridge mana taknya kalau korang dengar pun korang pun macam kita orang...


Serangkap pantun dari Prof. Zaki yang tak pernah ku lupakan di turunkan di atas papan ucapan selamat menyambut Hari Ulang tahun ITNM 1994.


Cantik Melur berbiji sagu,
Tumbuh bersama si bunga Kertas:
Dalam telur lagikan ku tunggu,
Inikan pula bila menetas


(bersambung...)