29 September, 2010

Kanvas Kehidupan: Teman oh teman

Semalam ke pejabat teman. Ada sesuatu yang merisaukan hati ini apabila panggilanku tidak berjawab. Dua kali aku dail tiada jawapan. Sehari sebelum itu aku telah menghantarkannya khidmat pesanan ringkas, juga tidak berbalas. Aku menelefon teman yang lain bertanyakan perihal dirinya. Teman yang lagi satu menasihati aku supaya pergi saja ke pejabatnya. Katanya teman itu memang selalu macam itu. Susah nak angkat telefon.

Lalu aku lapang-lapangkan masa untuk menjengahnya. Dia memang kelihatan sibuk. Waktu aku sampai dia kelihatan sedang melayan dua pelanggannya. Aku melayan diri duduk di sudut ruang bilik pejabatnya yang kecil itu. Nasib baik urusan mereka tidak begitu serius dan topiknya sama seperti urusan yang aku ingin bertanya juga.

Selesai urusan pelanggannya beredar. Itulah peluang aku nak Tanya mengapa dia tidak membalas SMS dan panggilan aku. Dan terbongkarlah cerita lucunya dan aku tidak dapat menahan perut untuk ketawa. Dia bilang telefon bimbitnya tertinggal di dalam peti ais. Bagaimana boleh tertinggalpun dia tidak pasti. Aduh! Dalam waktu itu katanya dia sangat pening kerana terdengar bunyi telefon di dapur. Bila ke dapur bunyi sayup-sayup seperti di dalam bilik. Apabila dia ke bilik terdengar pula seperti di dapur. Begitulah dia melakukan tawaf di dalam rumah!

19 September, 2010

Hari-hari ketagihan baca surat khabar dan tengok berita


Pejabat Datuk Sosilawati di Kampung Baru.

Semenjak kehilangan Datuk Sosilawati dilaporkan dan heboh di siaran TV rakyat Malaysia ketagihan membeli dan membaca surat khabar. Bayangkan sahaja pukul 10.00 pagi ke kedai runcit semua surat khabar sudah habis kalau tinggal pun Kosmo. Dan kerana dah tak ada pilihan Kosmo pun kosmo lah.. Belek 2-3 muka surat dah habis. Adik 7 E yang jual itu pun cakap Melayu dan Cina sama naik beli surat khabar untuk baca kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati.

Hari demi hari sedikit demi sedikit bahan bukti dijumpai dan didedahkan. Plot ceritanya sangat sukar dan tidak boleh diterima oleh akal yang waras. Sejak kematian DUN Ulu Dong Datuk Mazlan yang dibunuh kejam dan dikerat 18 oleh Mona, suami dan pembantu aku rasa tak akan ada lagi pembunuhan seperti itu. Rupanya hukuman yang dijatuhkan itu tidak memberi pengajaran kepada pembunuh baru di alaf ini.

Bonda setiap hari melekat di TV sehingga setiap siaran berita di RTM1, RTM2, TV3 dan Bernama TV di 502 mahu dilihatnya tanpa missed. Hati tersirap mendengar modus operandi pembunuhan. Sungguh tak berperikemanusiaan.

Suatu pagi aku ke pasar Chow kit dan melintasi pejabat Nouvelle Visages di lot tepi jalan Raja Bot bersama bonda. Aku bilang pada bonda. "Itulah pejabat arwah." Bonda lihat dan cuma diam sahaja. Kemudian bonda cakap "Pandai berniaga walaupun perempuan!" Selepas itu waktu pulang aku bawa bonda meninjau di kediamannya di Taman harmonis. Kelihatan kenderaan memenuhi di kiri dan kanan jalan menanti untuk mendapatkan berita terkini. Begitulah kalau orang ternama meninggal. Hari ini aku cukup terharu apabila membaca berita Datuk Sosilawati memperuntukkan RM1 juta setahun untuk di dermakan untuk aktiviti anak-anak yatim di seluruh Negara. Aduh.

Semoga Allah mengampunkan Datuk Sosilawati dan rakan-rakannya yang dibunuh iaitu Kamarudin Shansudin (pemandu), Ahmad Kamil Abdul Karim (Peguam) dan Noorhisham Mohammad (pegawai bank) dan menempatkannay bersama orang-orang yang soleh. Ucapan takziah kepada keluarga mereka dan bersabarlah dengan ujian ini ada hikmah di sebalik kejadian ini.

Cadangan untuk mewujudkan pengkalan data bagi rujukan individu yang dianugerahkan gelaran Dato adalah wajar untuk mengelakkan kejadian penipuan berleluasa. Pengajaran dari peristiwa ini juga-kita tidak boleh mempercayai sesiapapun dalam perniagaan! Habis nak percaya siapa?

11 September, 2010

Aidilfitri Tiba Lagi..




Pejam celik pejam celik Ramadan tiba-tiba telah berlalu. Begitu cepatnya waktu berputar. Dan hari ini telahpun masuk dua Syawal. Umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri yang kedua hari ini. Hari esok akan tiba dan akan berlalu sebagaimana ramadan berlalu. Dan usia kita terus berganjak mengensot ke angka yang semakin membesar. Di situlah letaknya kematangan kita dan kita diukur melalui nombor-nombor yang ada pada kita.

Sepanjang melaluinya kita banyak melakukan sesuatu untuk hidup sama ada berurusan dengan orang lain, keluarga atau diri kita sendiri. Hendak tak hendak kita tidak boleh mengelak dari melakukan kesilapan dan menimbulkan kemarahan orang lain secara tidak sengaja atau disengajakan.

Oleh yang demikian saya mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf atas kesilapan dan kesalahan yang tidak saya jangkakan berlaku ke atas anda sepanjang usaha saya untuk meneruskan hidup ini. Tidak lupa saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung blog ini. Terima kasih atas sokongan anda. Assalamualaikum.

04 September, 2010

Sambal


Terima kasih kepada pemilik gambar yang saya pinjam ini iaitu di alamat http://www.tukkabag.com.au/blog/2006/05/17/tomato-sambal/

Tengah makan berbuka tadi aku melihat ada nasi, ada lauk-lauk, ada sayur, ada sambal, ada minuman dan ada pemanis pembuka selera. Semua makanan tadi ada peranannya yang tersendiri. Dari pemanis hingga minuman.

Yang paling tertarik bagiku ialah hadirnya sambal belacan yang cuma sedikit dan ibu telah 'mengepung' untuk dirinya sahaja. Betapa kecil si sambal itu tetapi sangat bererti bagi ibu. Wujudnya sebagai pelengkap ketika bersantap. Apalah ada kepada pedasnya si sambal yang hanya memuncungkan mulut sahaja jika mengambilnya terlalu banyak tetapi tetap dikehendaki ibu.

Lalu aku mengumpamakan sambal itu seperti kita dalam kehidupan. Kita di dalam keluarga, kita di kalangan sahabat-sahabat kita, kita di pejabat dan kita dalam komuniti kita. Adakah kita ini lauk pauk yang utama atau Cuma sebagai sambal sahaja! Yang walaupun kecil jika tiada amat dirasai dan dicari-cari. Nilaikan diri kita di mana!