Dari mata hati dan perasaan - lahirlah tafsiran dan pernyataan. Jadilah cerita untuk pengisian masa dan jiwa yang dahaga.
19 October, 2016
Enchelah Rajadewa Menulis Kisah Remaja Dalam Akhbar Kosmo
Novel Remaja Rambutan Kuala Lumpur - Cetakan Kedua

Alhamdulillah sudah dicetak kali kedua Novel Remaja Rambutan Kuala Lumpur. Terima kasih atas sokongan anda.
Rambutan Kuala Lumpur (Novel Remaja)
RM 25.00/RM30.00 (Sabah/ Sarawak)
ISBN: 9789674306564
Cetakan kedua : 2016
Jumlah Muka Surat: 213
Sinopsis
Novel Remaja Rambutan Kuala Lumpur ini sudah beredar di pasaran. Kisah hidup seorang remaja lelaki bernama Yasin yang berhijrah ke Kuala Lumpur setelah kematian ibunya. Sebelum itu ia menjadi anak angkat kepada Pak Hussein yang mempunyai dusun rambutan. Namun ia tidak dapat bertahan lama kerana mendapat tekanan daripada abang angkatnya Abang Jali yang tidak senang dengan kehadirannya dalam keluarga itu hingga sanggup mengancam nyawanya.
Yang membina hidup baru di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan Jijah yang juga berasal dari kampungnya. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata namun salah seorang daripadanya meninggal ketika kecil kerana tercekik rambutan.
Perjalanan hidupnya penuh ranjau yang berliku sehingga akhirnya Yasin terpaksa meninggalkan bandar raya Kuala Lumpur. Anaknya juga (Maisarah) juga terpaksa membuat pilihan sama ada untuk terus bertahan berada di Kuala Lumpur atau pulang untuk hidup bersama keluarganya.
02 September, 2015
Kisah Ambo dalam Gerbang Kisahku
Entah mengapa beberapa bulan yang lalu hati saya melonjak mahu menulis cerita dan melukis pada waktu yang sama. Saya tiba-tiba teringin melakukan sesuatu yang luar biasa dan yang belum pernah dilakukan oleh sesiapapun sebelum ini. Saya sedari ramai pelukis dalam kalangan penyair tetapi saya belum dengar pelukis dalam kalangan novelis.
Kerana itu saya harus mengambil peluang mengisi ruang ini sesuai dengan apa yang saya miliki. Barangkali ini permulaannya dan jika saya berpuas hati dengannya bolehlah diteruskan dengan cerita-cerita yang lain yang sarat di dalam kepala ini.
Memori di alam kanak-kanak tidak pernah padam daripada ingatan saya. Seperti baharu semalam saya meninggalkannya. Namun saya percaya semua orang mengalami detik yang sukar untuk mengingati bilakah mereka mula ingat tentang dunia kanak-kanak mereka. Ia adalah titik kabur dan saya menggunakan cerita-cerita daripada arwah dan ibu yang sering menceritakan peristiwa ketika saya kecil.
Saya juga meminjam memori abang dan kakak jika mereka masih mengingati apa yang berlaku terhadap saya di waktu kecil. Saya tulis dan peram ia beberapa waktu dan sentiasa memperbaiki kandungannya walaupun saya telah 'pos' kan ia di wall facebook.
Ada sesuatu yang agak pelik juga apabila saya mengambil keputusan untuk menyiarkan autografik ini hanya dalam facebook sahaja dan tidak di blog sebagaimana saya lakukan pada waktu sebelum ini. Sebenarnya ada seorang sahabat yang mencadangkan saya melahirkan satu page 'Like' khusus untuk penulisan begini. Saya hanya mencuba tetapi hati saya serius untuk membukukannya apabila telah sempurna cerita kisah diri ini.
Sekian lama saya hanya menggunakan kata-kata untuk menvisualkan apa yang ada di dalam kepala saya. Sedangkan sebelum saya menjadi novelis saya sering menggunakan lukisan untuk menggambarkan apa yang terlintas di fikiran. Kini saya rasa saya harus memecah kebiasaan itu dengan menggambungkan kedua-duanya sekali agar penceritaan saya lebih berkesan.
Sehingga saat pos ini ditulis Gerbang Kisahku dengan Kisah Ambo telah mempunyai 18 siri cerita. Saya dapat saksikan bahawa penceritaan dengan bantuan visual sebenarnya lebih menarik minat pembaca. Namun ia tidaklah semudah yang anda lihat bagaimana semuanya terjadi,
Saya sebenarnya mengambil masa selama sekurang-kurangnya dua jam untuk melakarkan satu-satu visual berdasarkan cerita yang telah saya tulis. Dan saya harus menyiapkan cerita terlebih dahulu sebelum membuat lakaran agar lukisan itu dapat menggambarkan cerita yang dibaca.
Saya tidak menyangka bilangan pembaca semakin meningkat setiap kali ia diposkan. Terima kasih kerana menyokong saya. Cerita saya adalah sebahagian daripada sejarah yang berlaku di negara ini. Ia ditulis untuk perkongsian dan pedoman kita. Dan untuk melahirkan rasa bersyukur dan menghargai terhadap kehidupan yang kita perolehi pada hari ini.
Saya sangat gembira apabila jumlah yang membacanya mencecah ke angka ribu dalam masa beberapa hari ia poskan di dalam Facebook. Jika anda ingin membacanya carilah Gerbang Kisahku dan ikutilah Kisah Ambo. Selamat membaca dan terima kasih sekali lagi daripada saya Enchelah Rajadewa.
03 August, 2015
Bagaimana mahu menjadi penulis?
Sebahagian daripada guru-guru dan pelajar-pelajar SMK Kamil Pasir Puteh
di Dewan ITBM, Wisma ITBM tekun mendengar penerangan yang diberi.
Ribuan terima kasih kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil, Pasir Puteh Kelantan terutamanya Cikgu Salma rakan saya yang sudah lama tidak berjumpa iaitu selama 32 tahun selepas kami sama-sama menamatkan Tingkatan 6 Atas di Sekolah Menengah Ismail Petra, Kompleks Sekolah-sekolah di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1983.
Lawatan berlangsung pada 31 Julai 2015 baru-baru ini. Seperti janji saya akan melayarkan kandungan ceramah saya mengenai judul Bagaimana mahu menjadi Penulis? Saya mohon maaf agak terlewat menyiarkannya di sini kerana keterbatasan waktu. Maklum sajalah sekarang di Kuala Lumpur dan Selangor jemputan untuk beraya masih rancak sepanjang bulan Syawal ini.
Anda harus tahu:
Tujuan
jadi penulis
dan
menjadi
penulis
yang bagaimana?kerana dunia penulisan sebenarnya secara kasar menjurus kepada keadaan berikut:
• Sastera tulen
• Sastera pop/
komersial
• Sastera
Indie
Sebelum menulis anda telah tahu apa tujuan anda menulis dan menjadi penulis dalam kelompok yang mana. Ciri-ciri penulisan seperti gaya, kandungan pemikiran adalah berbeza dalam ketiga-tiga kelompok berkenaan.
Mengetahui dunia penerbitan dan keperluan bahan bacaan di Malaysia.
Antagonis
Watak hitam atau watak jahat. Namun dalam sesetengah keadaan ia tidak berbentuk manusia, ia boleh jadi cuaca, penyakit, kemiskinan dan lain-lain yang menjadi halangan kepada watak baik.
Protagonis
Watak wira atau wirawati. Ia adalah watak utama dalam sesebuah cerita.
Tritagonis
Watak pembantu atau orang tengah
3. Latar
Latar masa dan latar tempat
4. Sudut Pandang
Sudut pandang orang pertama
Sudut pandang orang ketiga yang terbatas
Sudut pandang orang ketiga yang tidak terbatas
5. Perkara-perkara lain
Nilai moral yang hendak disampaikan
Keindahan gaya bahasa
Kesimbangan dialog dan naratif
Nada
Sebelum Menulis
Selain daripada itu sebelum mula menulis anda harus bersedia dengan perkara-perkara berikut:
•Memilih font dan saiz
•Berapa panjang
•Memahami hak cipta
•Pasti dengan bahan, sentiasa catat idea terlintas
•Kenal penerbit
•Catat perkataan-perkataan indah bahan bacaan untuk memperkayakan perbendaharaan
kata.
•Mencari waktu yang sesuai
•Disiplinkan diri untuk menulis
Selepas Menulis pula
Selepas Menulis pula
•Semak/menyunting semula
•Pengerama
•Menyimpan fail
•Penghantaran
•Menyemak perjanjian
•Bertanya khabar kepada penerbit
Mengekalkan momentum penulisan
•Cari rakan penulis
•Membaca kisah orang yang berjaya.
•Membina mood untuk menulis
•Jika hilang mood – menonton wayang, cerita atau membaca buku yang memberikan inspirasi.
Selamat menulis semoga ada di antara anda yang akan
berjaya menjadi penulis suatu hari nanti.
berjaya menjadi penulis suatu hari nanti.
19 June, 2015
Selamat Berpuasa Semua
Sudah masuk hari kedua kita berpuasa. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Elakkan pembaziran di bulan ini supaya semangat Ramadan sebenar dapat kita hayati. Ya lah dah penat-penat kumpul pahala tetiba habis pahala sebab membazir. Tak ke rugi tu. Kalau nak beli lebih-lebih tu bukan tak boleh tapi untuk sedekah kepada jiran tetangga dan sahabat handai dan saudara mara.
Untuk makluman saya telah buka satu lagi lembaran untuk berkisah di Facebook, namanya Gerbang Kisahku. Sehingga hari ini empat certot Kisah Ambo sudah diposkan. Ikutilah novel grafik kisah sebenar diri ambo. Selamat membaca dan selamat berpuasa
05 February, 2015
Pesanan Novel Melalui Pos
Mari-mari saya jual mokte. Mokte manis ni.
Jika anda masih belum memiliki novel ini
silalah buat pesanan melalui pos. Tidak perlu susah-susah menempuh
kesesakan jalan raya. Saya akan menguruskan penghantarannya
hingga ke pintu rumah anda.
30 January, 2015
Selamat Tahun Baru 2015 dan Januari Yang Akan Pergi.
Begitu cepat waktu berlalu dan kita semakin hari semakin sibuk dengan kehidupan. Di penghujung Januari 2015 barulah saya berkesempatan menjengah ke blog yang banyak mengubah kehidupan saya ini.
Pelbagai peristiwa besar telah berlalu sepanjang 2014. Saya bukan mahu menyorot peristiwa-peristiwa itu kerana ruangan di blog ini sangat peribadi untuk saya urus dan muatkan dengan berita-berita yang saya ingin kongsi bersama pembaca-pembaca di sini. Saya tidak mahu menjadi wartawan atau menteri untuk memberi pesan atau ingatan tentang perkara-perkara yang telah, akan dan sedang berlaku.
Saya amat terkesan dengan berita kehilangan pesawat MH370 hampir setahun yang lalu. 8 Mac - Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama. Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan.
Semalam pengumuman rasmi tentang status peristiwa itu dibuat oleh pihak Syarikat Penerbangan Malaysia bahawa kehilangan pesawat itu sebenarnya kerana kemalangan dan sehingga kini pencariannya masih diteruskan.
Tidak lama selepas peristiwa itu iaitu pada 18 Jualai 2014. Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kemalangan pesawat MH17. Kali ini sebuah pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 dilaporkan terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia dan mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapalnya. Pesawat itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal.
Tahun 2014 merupakan Tahun Melawat Malaysia, sudah tentu impian negara untuk melihat Malaysia dikunjungi oleh tetamu luar negara menjadi hampa dengan apa yang berlaku. Promosi yang dilakukan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia terpaksa dihentikan untuk menghormati usaha pencarian yang giat dilakukan ketika itu.
Dan di akhir tahun 2014 Malaysia sekali lagi ditimpa musibah apabila banjir besar dan terburuk melanda negeri Kelantan mengakibatkan kerugian hampir mencecah RM1 billion. Awal tahun juga bagi yang mengikuti perkembangan dunia kewangan penggabungan tiga buah bank iaiatu CIMB Islamic, RHB dan MBSB untuk menjadi mega bank dibatalkan sebaliknya Bank Dunia menubuhkan cawangannya di Malaysia dan pertama di rantau asia dan akan berpusat di Sasana Kijang Kuala Lumpur. Pembukaan cawangan itu kenapa tidak di negara-negara lain seperti Singapura, Filipina atau Jepun tidaklah diketahui.
Saya mengharapkan 2015 akan membawakan sinar yang lebih terang dalam dunia penulisan dan saya dapat menghasilkan karya-karya yang lebih kreatif agar dapat berkongsi rasa dengan pembaca.
Saya mengharapkan 2015 akan membawakan sinar yang lebih terang dalam dunia penulisan dan saya dapat menghasilkan karya-karya yang lebih kreatif agar dapat berkongsi rasa dengan pembaca.
23 December, 2014
Sudah terbit novel baru Enchelah Rajadewa: Rambutan Kuala Lumpur
Rambutan Kuala Lumpur (Novel Remaja)
RM 25.00/RM30.00 (Sabah/ Sarawak)
ISBN: 9789674306564
Tahun Terbitan : 2015
Jumlah Muka Surat: 213
Sinopsis
Novel Remaja Rambutan Kuala Lumpur ini sudah beredar di pasaran. Kisah hidup seorang remaja lelaki bernama Yasin yang berhijrah ke Kuala Lumpur setelah kematian ibunya. Sebelum itu ia menjadi anak angkat kepada Pak Hussein yang mempunyai dusun rambutan. Namun ia tidak dapat bertahan lama kerana mendapat tekanan daripada abang angkatnya Abang Jali yang tidak senang dengan kehadirannya dalam keluarga itu hingga sanggup mengancam nyawanya.
Yang membina hidup baru di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan Jijah yang juga berasal dari kampungnya. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata namun salah seorang daripadanya meninggal ketika kecil kerana tercekik rambutan.
Perjalanan hidupnya penuh ranjau yang berliku sehingga akhirnya Yasin terpaksa meninggalkan bandar raya Kuala Lumpur. Anaknya juga (Maisarah) juga terpaksa membuat pilihan sama ada untuk terus bertahan berada di Kuala Lumpur atau pulang untuk hidup bersama keluarganya.
Kalau novelis seperti Pak Sako, A.Samad Ismail, Keris Mas, A.Samad Said dan Anwar Ridhwan umpamanya bercerita tetantang penentangan terhadap penjajahan; pergelutan membangunkan kemerdekaan, dan pengalaman membangunkan kemerdekaan, dan pengalaman manusia merdeka, pengarang muda ini memerikan anjakan nilai-nilai, pergeseran sosial, serta masalah ketenteraman penduduk (terutama rakyat biasa yang miskin) akibat daripada perubahan persekitaran, dan tuntutan pembangunan kota.
Sasterawan Negara Dato' Baharuddin Zainal (Baha Zain)
24 September, 2014
The Swimmers (Cereka Thai)
Cereka
Asia sebenarnya lebih dekat di hati kita. Semalam saya berkesempatan menonton sebuah
cereka dari Thailand The swimmers arahan Sophon Sakdaphisit. Ia sebuah kisah
seram yang menyeramkan dengan bantuan kesan bunyi yang kerap mengejutkan
penonton.
Jika tidak
disertakan kesan bunyi, filem ini sebenarnya telah berjaya memberikan kepuasan
kepada khalayak. Kesan bunyi yang terlalu kerap itu telah membuatkan saya rasa
sering tertipu untuk berasa takut.
Namun setelah
beberapa kali ‘terkena’ dengan kesan bunyi saya akhirnya mengambil keputusan
untuk memberi fokus kepada jalan ceritanya.
Plot cerita amat
menarik. Lokasi penggambaran pula sudah tentulah kolam renang. Kisah cinta tiga
segi pelajar universiti yang berakhir dengan kematian. Ia menampilkan
pelakon-pelakon seperti : Chutavuth Pattarakampol (Perth), Thanapob
Leeratanakajorn (Tan), dan Supassra Thanachat –(Ice) dan berasal dari siri TV
yang popular di Thailand.
Jika anda memberi
tumpuan penuh pada permulaan cerita anda pasti akan dapat mengagak jawapan
kepada babak-babak akhir filem ini. Saya beri 4 bintang untuk filem ini.
05 July, 2014
Datuk Sharifah Aini Meninggal Dunia.
Datuk Sharifah Aini meninggal dunia. Begitulah berita yang menggemparkan seluruh peminat hiburan tanah air. Dilahirkan 2 julai dan baru mencecah 61 tahun.
Sebenarnya saya mendapat berita itu seawal 4 pagi ketika bangun untuk bersahur. Seorang rakan mengirimkannya melalui aplikasi wassup.
Saya termenung bagaikan tidak percaya tetapi telah menjangkakan hal itu kerana berita beliau sakit dan di masukkan ke wad masih kuat diingatan.
Sharifah yang saya suka Terbang Helangnya mengingatkan waktu kecil saya. Arwah ayah sangat suka dengan suaranya. Dan hal itu membuatkan ibu saya sangat cemburu!
Masakan Sharifah Aini akan menjadi ibu tiri saya. Pasti tidak mungkin. Begitulah penangan suaranya.
Arwah ayah suka dengan lagu Seri Dewi Malam. Gemar arwah ayah itu menyuburkan minat saya dengan lagu juga hingga sekarang.
Ramai yang hadir dikhabarkan untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya. Di masjid At-Taqwa TTDI sembahyang jenazah dilakukan sebanyak 3 kali.
Begitulah ketentuan untuk insan pemurah seperti Sharifah Aini yang dermawan.
Semoga Allah mengampuni Allahyarham Sharifah Aini dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman dan soleh. Amin.
14 June, 2014
Rindu pada warna, berus dan drawing block. Apabila dapat menganyam semula imaginasi pada kertas-kertas itu kepala otakku menjadi lapang seperti banduan yang terlepas dari penjara. Alangkah damainya melihat segala bayangan itu menjelma jadi nyata di atas kertas.
Setelah hampir 3 bulan berlalu pada 12 Jun 2014 berakhirlah perjuangan yang bersenjatakan pensil, berus, warna dan kertas. Puas menatap anak-anak ayam yang comel mencicip di atas kertas itu.
Sebuah cerita untuk projek buku elektronik telahpun selesai ditangani dan menanti proses seterusnya dari rakan bersekutu. Semoga ia siap dalam tempoh yang terdekat. Amin.
13 June, 2014
Promo Novel: Lembayung Cinta.
Novel pertama yang meninggalkan banyak kenangan manis. Penghargaan yang harus saya berikan ialah kepada Dato' Bahazain kerana beliaulah yang membuatkan saya mula menulis dalam blog. Sejak menulis saya tidak berhenti menulis lagi dan dunia saya menjadi sibuk. Saya tidak risau jika hujung minggu atau cuti umum tiba. Ada-ada sahaja di dalam kepala yang ingin saya tulis.
Kedua orang yang saya sangat terhutang budi ialah Kak Norzailina Nordin. Beliau orang yang memberi saya tunjuk ajar bagaimana mahu menulis novel. Betapa terharunya saya apabila Kak Norz sanggup datang ke pejabat tempat saya bekerja menghadiahkan cup cake, sebuah buku resepi beliau dan memberikan panduan bagaimana untuk menulis novel. Kak Norz seorang Chef Selebriti dan seorang novelis karangkraf. Sejak itulah detik hidup novelis saya bermula. Saya masih menghubunginya untuk bertanyakan pendapatnya mengenai masalah dalam penulisan yang saya hadapi. Orang lama dalam bidang ini banyak ilmunya.
Novel pertama saya ini memenangi Peraduan Mengarang Novel Remaja MBBY- Pelangi pada tahun 2010.
Kapsul Nurani.
Agak lama tak muncul dengan novel atau buku terbaharu. Berkongsi dengan rakan-rakan dalam Kapsul Nurani begini pun tidak mengapa. Jika anda berpeluang mendapat buku ini jangan lupa untuk buka pada muka surat 93 dan lihat catatan saya.
Saya bongkarkan mengapa saya suka dengan genre novel fantasi. Kerana novel fantasi tidak akan mendedahkan siapa saya sebenarnya. Ya lah untuk memahami penulis kita harus membaca tulisannya. Tapi anda pasti akan gagal mengenali saya melalui tulisan-tulisan dan pemikiran saya di dalam novel. Selamat membaca.
09 June, 2014
Comel sudah mati
"Cik, mulutnya dia pun dah berbau. kalau macam ni tandanya memang dia mempunyai masalah buah pinggang." kata doktor muda Klinik Veterinar pada 16 Mei 2014 beberapa hari sebelum Comel sakit teruk.
Aku cuma diam. Aku tahu mulut comel sebenar dah lama berbau. Tetapi aku tidak tahu itu symptom dia menderita sakit buah pinggang. Padanlah dia sudah tak mahu minum air selepas makan. Terburu-buru mahu lekas keluar rumah. Selepas memboloskan diri dari jeriji besi yang dipanjatnya Comel akan menoleh sekali apabila aku memanggilnya sebelum dia turun turun setiap kali selepas makan.
"Dia sekarang terlalu lemah. Saya akan beri dia antibiotic dan multivitamin. Tapi itu tak menjamin dia akan sembuh. Nanti balik rumah beri dia mimun air rebusan ikan atau ayam sahaja." kata doktor itu lagi.
Dalam hatiku sudah terdetik dia akan pergi tidak lama lagi. Berapa lama Comel hendak minum air rebusan itu?
Pagi 19 Mei Comel seperti biasa menunggu di pintu rumahku menunggu makanannya. Ketika aku sibuk bersiap hendak ke pejabat ketika itu jugalah dia akan sibuk menagih simpatinya dariku. Itu rutin biasanya selama empat tahun sejak dari tahun 2010. Ketika itu dia bersama dengan si Hitam yang telah menghilangkan diri.
Aku menghidangkan makanan keringnya di pinggannya. dia memandang dari jauh sahaja. dengan terkocoh-kocoh aku buka makanan basah pula untuknya. Dia hanya menjauhkan dirinya.. Sikap aneh yang ditunjukkan itu berbekas di hati ini. Comel sudah buang tabiat.
Petang itu aku pulang awal daripada biasa. Aku ingin lihat keadaan Comel yang sudah berubah dari segi fizikalnya kebelakangan ini. Dia sudah terlalu kurus. Hanya tinggal kulit dan tulang. Jam 6.00 lebih aku tiba di tangga apartment aku lihat Comel sudah berada di tangga dalam keadaan tidak berdaya untuk berjalan. Badannya menggigil dia mengiow tapi suaranya tidak kelihatan. Sudah lama aku tidak dengar suaranya kerana Comel mempunyai masalah dalam mulut. Kata doktor mulutnya juga kena ulser.
Aku mengangkat Comel masuk ke dalam sangkarnya dan membawanya masuk ke dalam rumah. Aku alas ia dengan kain dan letakkan di dapur dan mula menyuapkannya air. Dia menepis tapi aku gagahkan juga walau dia mencakar-cakar tanganku. Air rebusan ayam juga aku beri. Amat tenat keadaannya. Setelah air itu masuk ke dalam tubuhnya aku lihat Comel diam dan mula tidur keletihan.
Setelah selesai solat Maghrib aku mendekati Comel dan berkata kepadanya. "Acik nak keluar makan. Comel duduk baik-baik. Sekejap sahaja nanti Acik balik semula." Memang tak lama aku pergi, setengah jam sahaja aku kembali semula.
Tapi aku sangat terperanjat tatkala melangkah masuk ke rumah kerana kulihat Comel telah berada di luar sangkarnya dengan air kencingnya di lantai dan dia terbaring kesakitan. Aku pasti dia dengan bersusah payah keluar dari sangkarnya untuk kencing di Tanah seperti biasa tetapi kudratnya sudah tiada lagi.
Aku bersihkan lantai dan sedikit badanya dan meletakkan kembali Comel di dalam sangkarnya. Malam itu sementara menonton TV dan sambil membaca mataku tidak lepas dari menjeling ke arah Comel. Dia seperti sudah nazak. Aku melambai-lambai tangan ke arahnya tetapi tiada respon. Matanya seperti sudah buka. Dia bernafas perlahan-lahan dan sekali-sekala tercungap-cungap kesakitan.
Jam 12.00 aku tersedar dari tidur. Entah bila aku terlena. Aku melihat mulut Comel sudah ternganga.
Dan aku berkata dalam hati. " Ya Allah jika kau mahu mengambil nyawa malam ini aku reda Ya Allah tapi berilah aku kesempatan untuk melihat dia pergi Ya Allah." Aku mengusap-usap badannya yang kering. Dia tidak memberi respon lagi ketika itu. Tetapi dia masih terus bernafas. Aku tenang kerana Comel masih bernyawa.
Seketika aku terlena lagi. Jam 4.15 pagi aku tersedar lagi apabila aku dengar nafasnya yang kuat. Mulutnya sudah ternganga. Aku mendekati Comel dan memanggil-manggil namanya. Aku lihat ada sedikit gerakan badannya walaupun keadaannya sudah begitu teruk.
Aku terus memanggil namanya beberapa kali dan selepas itu ketika jam menunjukkan pukul 4.30 pagi perut Comel sudah tidak bergerak lagi. Aku tahu ia sudah pergi buat selama-lamanya.
Terima kasih Allah meminjamkan Comel buatku untuk sementara waktu. Aku harap dapat berjumpa lagi dengan Comel si manja hatiku walaupun cuma hanya di dalam mimpi!
13 February, 2014
Cerita Semalam Di Seri Pacific
Lama
sungguh tidak kemas kini. Dah bersawang blog ni.. syioh, syioh. Labah-labah pun
banyak. Takpa lah.. bukan jadi bangkaipun yang penting dia masih ada dan dapat
menyampaikan suara hatiku. Selamat tahun baru semua.
Semalam
ada Seminar dan Buku Perdana 2014 di Hotel Seri Pacific. Majlis berkenaan
dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang tersohor suatu masa dahulu
iaitu Tun Mahathir Mohamad. Berasa teruja menunggu kemunculan Tun yang akan
merasmikan majlis berkenaan pada jam 3.00 petang. Tun tiba agak lewat sedikit
kerana saya sendiripun tidak tahu sebabnya. Tapi kegelisahan itu reda apabila
kemunculannya menamatkan penantian ramai orang terutamanya pihak penganjur.
Daripada
pemerhatian saya agak Presiden Yayasan Pembangunan Buku Negara ini Tuan Hasan
Hamzah baik benar dengan Tun berdasarkan ucapan-ucapan dan gurau-gurauannya
yang meminta Tun dapat menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam industri
buku Negara.
Saya
bukan hendak melaporkan secara terperinci apa yang berlaku dalam majlis itu
kerana itu kerja wartawan. Heh. Anda boleh baca mengenainya dalam banyak surat
khabar dan berita internet.
Apa
yang menarik perhatian saya mengenai ucapan Tun ialah beliau menganjak kita
untuk menulis. Kerana apa yang kita tulis hari ini pada masa akan datang ia
menjadi sangat berguna untuk generasi akan datang. Apa yang kita tulis hari ini
walaupun mengenai apa yang terjadi hari ini adalah penting sebagai rujukan
kepada generasi akan datang.
“Manusia
ini lemah. Mereka tidak dapat mengingati dengan banyak. Oleh itu penting untuk
kita menulis (agar apa yang ingin kita sampaikan tidak hilang.)” kata Tun
Mahathir.
Sesuatu
yang lucu apabila Tun berkata orang Melayu suka percaya kepada hantu dan
jembalang. Bila buat cerita hantu jembalang dapat sambutan. Heh. Betul juga
cakap Tun kita kena tulis cerita hantu jembalang secara ilmiah dan beri
manafaat bukan yang beri ketakutan semata-mata.
Boleh
dikatakan kebanyakan ucapan para pembentang semalam adalah mengenai kerisauan
jumlah buku yang diterbitkan dalam negara. Untuk menjadi negara maju menjelang
2020 jumlah buku harus 1% daripada jumlah penduduk. Bermakna untuk 28 juta
orang penduduk kita mestilah mempunyai 28 ribu judul buku baru. Tetapi untuk
tahun 2011 kita hanya mempunyai sekitar 17,923 judul buku sahaja.
Masalah dalam dunia perbukuan tidak hanya dari segi kekurangan jumlah
buku tetapi meliputi masalah kurangnya minat membaca dan membeli buku itu
sendiri. Industri perbukuan negara harus dibantu oleh pemerintah dengan membuat
pembelian buku apabila ia dicetak.
21 July, 2013
Kenangan Bunga Buatku
Sesungguhnya ciptaan Allah yang sungguh indah di dunia ini ialah bunga. Tidak mengira apa jenisnya ia tetap mempunyai daya tarikan tersendiri. Manusia khasnya pula Orang Melayu mengaitkan bunga dengan wanita kerana kelembutan, sensitif dan kecantikannya.
Lebah mendapatkan madu dari bunga-bunga yang cantik dan tiada siapa yang dapat menghalangnya apabila melihat lebah terbang mendekati bunga!
Bunga juga sering menjadi pilihan untuk dijadikan cenderamata kepada orang sakit dalam budaya baru yang diperkenalkan oleh barat. Orang yang sedang sakit tidak berselera lagi untuk menikmati makanan. Melihat bunga yang indah dan cantik akan menjadikan mereka lebih ceria dan bersemangat untuk hidup.
Bunga sering juga menjadi alat untuk meluahkan perasaan dan alat untuk memikat sang gadis tatkala sedang bercinta. Dan dalam adat orang Melayu ada istilah mandi bunga.dan mandi bunga ada banyak tujuannya di antaranya untuk memberikan kesegaran dan menaikkan seri pengantin. Dan bunga juga dibawa oleh orang masih hidup ke kuburan ketika acara ziarah disiram bersama air di pusara.
Nenek-nenek dan ibu-ibu kita mungkin malu untuk menceritakan ketika mereka muda dahulu sering dipakaikan dengan bunga di telinga mereka oleh ibu-ibu mereka.
Itulah sebahagian daripada cerita bunga. Bagiku pula bunga bisa membungkus rasa sepi agar hidup lebih ceria. Setiap kali sepi menjelma aku akan membeli bunga di gerai nyonya di Setapak
" Jika mahu bunga awak tahan lama awak taruk air sejuk, dari peti ais ma, sikit gula tapi for the first day saja aa dan hari-hari hujung dia mesti kasi potong haa."
Itulah petua nyonya itu. Tapi kini nyonya itu sudah tarak. Sudah mati. Aku tahu dia mati setahun selepas itu ketika aku cari bunga lagi. sekarang adiknya yang ganti nyonya itu jual bunga. Tapi cinta aku pada bunga tidak mati. Kerana itu cerita bunga ini tetap segar dalam fikiran aku selagi aku suka dengan bunga-bunga.
Selamat berpuasa semua dan selamat berbuka semua
Selamat berpuasa semua dan selamat berbuka semua
14 July, 2013
Selamat Berpuasa
Ramadan telah tiba lagi. Setiap kali Ramadan tiba suasana kehidupan turut berubah kerana tuntutan berpuasa di bulan yang mulia itu. Aktiviti harian turut berubah terutama aktiviti makan. Hari-hari manusia di hari minggu menjadi sibuk terutama di waktu menjelang maghrib tetapi tenang pada awal pagi setelah bersahur. Terasa bagai punya waktu yang sangat banyak tanpa persediaan untuk sarapan atau makan tengah hari. Rupa-rupanya kita setiap hari di sibukkan oleh hal makan-makan.Hidup untuk makan atau makan untuk hidup? Keduanya saling berkaitan jangan tangan yang mana satu datang dahulu kerana semua jawapan adalah betul seperti telur atau ayam yang lebih dahulu?
petikan akhbar Kosmo muka surat 26 Ruangan Varia
Menjelang Ramadan juga sekali lagi Enche berpeluang muncul di akhbar harian Kosmo pada 8 Julai 2013. Kemunculan itu membuatkan saudara-mara dan kenalan menjadi gempak juga.Sapaan di Mukabuku, SMS, Weechat dan Wassup menjadi lebih rancak lebih daripada biasa. Terima kasih yang mengucapkan tahniah. terlalu banyak untuk dibalas. Jikalau ada yang tercicir pohon maaf diminta.
Terima kasih juga kepada wartawan Khadijah Mohamad Nor yang sudi menemuramah. Jasamu kukenang kerana ia sumbangan yang sangat bermakna kepada Enche dalam mengharungi dunia penulisan yang masih baharu ini. Sokongan dari pihak media sangat-sangat bermakna sekali. Saya akan terus berkarya selagi hayat dikandung badan kerana setelah saya sedari bahawa penulisan itu sebenarnya satu bentuk terapi yang indah. Ia menemukan saya kepada dunia yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.
Puteri Saadong dalam bahasa Jepun
Inilah rupa kulit buku Siri Cerita Rakyat terbitan ITBM yang diterjemahkan ke bahasa Jepun karya saya untuk genre kanak-kanak yang terbaru. Dan di bawah ini pula ialah ilustrasi saya yang telah lama dibuat dahulu untuk Siri Bacaan Kanak-Kanak terbitan DBP dengan judul Hari Ini Panas.Rindu untuk melukis. Mungkin suatu hari saya akan muncul dengan versi cerita bergambar yang semuanya saya lakukan seratus peratus. Insya-Allah.
Untuk sahabat yang tidak sempat membaca artikel di Kosmo tempoh hari anda boleh juga baca di link ini untuk membacanya.
27 June, 2013
Jerebu Selangor dan Kuala Lumpur 2013 bertambah baik- Alhamdulillah
Alhamdulillah Jerebu di Kuala Lumpur dan Selangor bertambah baik. di Kuala Lumpur dua hari lepas indeks IPU mencecah 140. manakala di Muar Johor pernah mencapai tahap sangat tidak sihat iaitu lebih dari 700 IPU, begitu juga negeri lain yang ditimpa jerebu seperti Melaka dan Negeri Sembilan. Nampaknya barangkali usaha pembenihan awan telah berjaya dengan izin Allah menurunkan hujan yang melenyapkan parkitel dalam udara yang menyebab jerebu.
Terasa amat bersyukur sekali apabila bangun dan buka tingkap dapat melihat corak-corak awan di langit biru. Argh betapa nikmatnya dapat menikmati udara segar begini. Bagaimanapun keadaan ini adalah bersifat sementara kerana ia bergantung kepada keadaan kebakaran yang berlaku di Sumatera, Indonesia. Semoga kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya. Amin.
Harap ia bertambah baik kerana sabtu ni pasukan Kelantan akan berentap dengan pasukan Johor pusingan akhir Piala FA.
.
16 June, 2013
Sumpahan Jemalo Kecundangan
14 Jun 2013 sepuluh hari selepas ulang tahun kelahiranku. Rasa gundah yang melanda sekian lama akhirnya berakhir dengan rasa kecewa. Manuskrip Sumpahan Jemalo novel ke-3 ku ditolak dengan rasmi melalui emel. Dengan alasan-alasan yang aku kira aku dapat menerimanya maka dengan itu juga aku menerima dengan hati terbuka.
Sekian lama aku merasakan aku tidak pernah kecewa dengan dunia penulisan yang baru aku ceburi ini dan sekian lama juga aku merasa hairan bagaimana penulis-penulis baru atau mereka yang baru mencuba untuk menjadi penulis di gigit rasa kecewa kerana manuskrip mereka ditolak kini pertanyaan itu mengakhiri persoalan itu.
Agak kacau juga detik membaca emel penolakan itu. ‘Patutlah dia diperap begitu lama,’ fikirku sendirian. Tapi aku harus rasional dengan sebab-sebab kelewatan yang diberikan sebelum ini. Pihak penerbit sibuk dengan projek-projek besar dan manuskrip aku terpinggir untuk diberi keutamaan. Walaupun pada peringkat awalnya mereka telah memberi persetujuan untuk menerbitnya.
Berbalik pada soal penolakan itu hari tidak mahu berfikiran negatif. Ianya adalah pangalaman yang harus dilalui oleh semua orang yang mahu bergelar penulis aku rasa. Jadi biarlah aku merenung di sebalik kelemahan yang dinyatakan oleh puan editor. Barangkali aku terlalu ghairah menulis sehingga menolak ke tepi nilai-nilai murni yang seharusnya dipegang oleh setiap penulis kerana itu adalah tanggungjawab mereka. Menulis bukan semata-mata mencari kepuasan diri malah menulis sebenarnya adalah untuk memberi pengajaran kepada pembaca, membuka minda mereka akan perkara-perkara yang tidak terlintas oleh fikiran mereka.
Aku terus membuat carian di internet mengenai manuskrip yang ditolak. Kononnya mahu melihat perasaan penulis-penulis yang ditolak karya mereka. Apa yang mereka lakukan apabila karya mereka ditolak. Aku ingin mencuri pengalaman hidup mereka atau berkongsi cara bagaimana mereka menangani kegagalan itu.
Nah, dari carian itu aku menemui sesuatu yang tidak aku terlintas sebelum ini. Rupanya bagai karya-karya yang berjaya di dunia adalah hasil dari kegagalan pada peringkat awal. J.K. Rowling misalnya mengalami penolakan 14 kali ke atas novelnya Harry Porter. Dan penulis-penulis lain gagal lebih dari 30 kali pun ada ketika awal kerjaya mereka.
Jadi aku seharusnya lebih berhati waja dengan apa yang terjadi. Sumpahan Jemalo tidak harus diperapkan begitu sahaja. Sumpahan Jemalo manuskrip yang mempunyai virus di dalamnya. Jika diterbitkan ia pasti menularkan virus itu kepada pembaca-pembacanya. Jadi aku harus merawatnya sebelum ianya dihidangkan semula. Sumpahan Jemalo perlu dibedah dan dibuang bahagian-bahagian yang rosak itu. Aku berjanji kepada diriku agar jangan jadikan saat ini sebagai titik yang melemahkan diriku. Tuhan berikan aku kekuatan. Aku sedar tiada kesenangan yang datang menggolek seperti kata pepatah ‘jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’ barulah ‘yang bulat datang menggolek dan yang pipih datang melayang.’ Selamat maju jaya enchelah – jangan kuburkan ‘Sumpahan Jemalo’ lahirkan ia semula dengan wajah baharu sehingga dia menguasai carta judul yang disenangi!
14 May, 2013
Lahirnya Siri Cerita Rakyat: Puteri Saadong dan Princess Saadong
Princess Saadong (General) ISBN 978-967-430-142-2
Puteri Saadong (Umum) ISBN 978-967-430-183-5
Harga: RM10.00 Semenanjung Malaysia & RM15.00 Sabah/Sarawak. 24 halaman
Alhamdulillah. Tiada kata yang dapat diucapkan selain dari ucap syukur kepada Ilahi dengan lahirnya Siri Cerita Rakyat ditulis oleh Enche Abdullah Abdul Kadir ini. Buku ini terbitan ITBM dijual dengan harga RM10.00 setiap judul. Jom beli!
Alhamdulillah. Tiada kata yang dapat diucapkan selain dari ucap syukur kepada Ilahi dengan lahirnya Siri Cerita Rakyat ditulis oleh Enche Abdullah Abdul Kadir ini. Buku ini terbitan ITBM dijual dengan harga RM10.00 setiap judul. Jom beli!
Subscribe to:
Posts (Atom)



















