11 December, 2008

Kongsi Emel - Khasiat Peluk Isteri

Apa bunyi senikata lagu Diana Ross? ... heh heh heh ... "Whenever you touch me... I become a hero..." Sejak kecil dulu aku tak pernah faham maksud senikata lagu tu... main nyanyi ikut sedap mulut saja....hik hik hik... Agaknya ini la kot maknanya... hik hik hik...

Khasiat Peluk Isteri (Bagi yang dah kahwin...yang tak kahwin gi cepat2 la kahwin)
Seorang suami yang memeluk isterinya untuk sekurang-kurangnya 10 saat setiap pagi akan panjang umurnya lima tahun.

Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, fakta berdasarkan kajian oleh seorang pakar di Jerman mengenai hubungan antara sentuhan dan tahap kesihatan. ``Seseorang itu boleh panjang umur jika memeluk isterinya setiap hari kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh.

``Bagaimanapun, sebagai seorang Islam kita tidak harus lupa ajal dan maut terletak di tangan Allah,'' katanya ketika memberi syarahan bertajuk Perkahwinan dan Seks: Penawar dan Rawatan Bagi Banyak Penyakit' di Persidangan Ketiga Perubatan Daripada Perspektif Islam anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya di Hotel Sheraton Subang di sini hari ini.

Hormon endorfin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang bertindak sebagai penahan sakit dan mengurangkan keresahan.Jelasnya, selain mempunyai kesan positif dari segi saintifik dan kesihatan sentuhan, pelukan dan gurau senda antara suami dan isteri juga merupakan sunah Rasulullah s.a.w. Tambah beliau, ada kajian di Amerika Syarikat (AS) juga mendapati pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri.

``Oleh itu suami yang inginkan isterinya menurunkan berat badan digalakkan peluk isterinya lebih kerap,'' katanya disambut dengan gelak ketawa oleh peserta persidangan itu. Jelas beliau, hubungan seks dalam penuh rasa kasih sayang juga dapat membantu pasangan untuk awet muda dan berketerampilan menarik. ``Wanita yang mempunyai kehidupan seks yang baik dan bahagia akan lebih cenderung untuk menghiasi diri,'' kata Fadzilah.

Terima Kasih adindaku Affan. Maman bagaimana? Kereta masih rosak lagi ya!

Buku Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia Dilancarkan










Seawal pagi aku bangun hari ini seperti hendak pergi menoreh. Aku difahamkan kena berada di Lobi Parlimen pada jam 7.00 pagi. Tetapi aku rasa amat mustahil kerana badan ini sangat lesu. Malam tadi baru tiba dari Kelantan kerana menjengah bonda dan beraya. 10 jam berada dalam kereta amatlah membosankan nasib baik ada Yad, Damia dan Ajwad yang kenik2 pergi mari dalam kereta tu. Adalah juga permainan dalam perjalanan.


Walaupun demikian aku gagahkan juga untuk sepagi mungkin dan nasibku amat baik kerana berjaya tiba antara yang terawal dan menyiapkan apa yang patut di Booth ITNM

Menghampiri Jam 9.00 pagi majlis yang dinantikan pun bermula.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tiba dan selepas beberapa ucapan beliau melancarkan buku terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bertajuk ``Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia'' di lobi Parlimen. Turut hadir sama pada majlis itu ialah Yang Berhormat Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia .

Buku tersebut yang diterbitkan dalam dwi bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris, memaparkan 26 perjanjian lama dari 1791 sehingga ke saat Akta Perlembagaan Malaysia (Pindaan Singapura) pada 1965.

Buku tersebut merupakan sebuah naskhah yang pertama kali diterbitkan di Malaysia dan yang keempat seumpamanya di dunia.

Sila klik di sini untuk mendapatkan sinopsisnya


Bila di Parlimen etika berpakaian pun mestilah tertib. Terutamanya bagi lelaki. Yang dah biasa dengan suit, bertali leher itu sudah perkara biasa. Bagi yang belum maka terperasan lah segaknya bagai putera raja. Lihat sahaja gambarnya di bawah nanti. Seronok tengok buku ini laris dibeli selepas dilancarkan.



Aku termangu ketika ditegur kawan sekolej dahulu di situ yang sudah lama tidak kutemui. Dia masih boleh mengecam aku yang katanya masih belum berubah walaupun 20 tahun berlalu! Minggu lepas aku terserempak dengan kawan sekolej juga tetapi di pejabat. Kawan itu juga menegurku dengan yakin tapi aku tidak dapat mengenaliku kerana wajahnya sangat, sangat, sangat jauh berbeza. Ampunkan aku kawan!

Selamat bertemu kembali

Lama tidak mengemaskini blog ini rasanya seperti sudah bersawang rupanya. Sehingga ada rakan-rakan yang merasa hairan. Ye lah di kampung agak sibuk sedikit. Walaupun ada kemudahan tetapi waktu pula singkat. Tapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan selamat kecuali di sini khasnya di Bukit Antarabangsa. Ada di antara teman yang menjadi mangsa kejadian tanah runtuh. Takziah kepada yang ditimpa musibah harap banyak bersabar Allah menguji kita jika Dia sayangkan kita itulah di antara tanda-tandanya.

Ada teman yang juga tinggal di situ khabarnya mahu berpindah kerana merasakan keadaan tidak selamat itu tidak sepatutnya wujud dalam keadaan begini. Semasa kejadian itu aku dalam perjalanan pulang ke KB aku menerima tak kurang dari 10 SMS dan juga panggilan telefon dari teman dan saudara mara bertanyakan sama ada selamat ataupun tidak. Terima kasih teman2 dan saudara mara. Alhamdulillah aku masih bernyawa. Kejadian itu agak jauh juga dari rumah ku. Janganlah risau.

Ada juga teman yang tidak tahu apa-apa mengenai kejadian itu kerana baru pulang dari Indonesia. Dia sangka aku bergurau. Tetapi selepas melihat berita di TV baharulah dia percaya. Agaknya aku ni seperti gembala kambing yang menipu orang kampung dengan serigala! Jadi anda janganlah selalu menjadi gembala kambing itu sama seperti aku. Kerana lama-lama bukan orang kampung sahaja tidak akan percaya, kambing pun tak nak percaya lagi kat aku. Katakan tak nak kepada kambing!

07 December, 2008

Selamat Hari Raya AidilAdha

Selamat menyambut Hari Raya korban kepada semua umat Islam di planet bumi. Saat ini aku telahpun berada di Kelantan. Sambil beraya menziarahi bonda yang entahkan sihat hari ini.

Bagi yang ditinggalkan ayahnda bonda kerana menunaikan rukun Islam ke-5. Harap banyak bersabar. Doakan mereka selamat pergi dan kembali. Dan yang penting doakan mereka dapat menyempurnakan ibadah itu.

Yang berkorban lembu dan kambing selamat melapah haiwan tersebut dan hayatilah amalan korban dengan penuh keinsafan. Semoga ibadah kita semua diterima oleh Allah s.w.t

Semoga kita dapat berjumpa semula selepas Hari Raya Korban. Salam hormat untuk semua pembaca yang dikasihi.

06 December, 2008

Tanah Runtuh Di Bukit Antarabangsa


Gambar sebelah krew TV3 bersama Puspawati Ramlu tiba untuk membuat liputan

Seawal jam 7 pagi aku telah menerima panggilan telefon dari rakan sekerja (Avevah) mengatakan ada kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa ataupun di Ukay Perdana. diapun tidak pasti. Mungkin dia sengaja tidak pasti kerana dia yang tinggal di Bukit Antarabangsa jadi kerisauan itu biarlah menjalar kepada penghuni Ukay Perdana pula (Heh.. jangan marah).

Maka akulah pula kena usahakan sendiri di mana kejadian itu berlaku. Jam 8.30 pagi rakan ku pula menelefon mengatakan nasibnya agak baik kerana dia tinggal di Sinaran Ukay. Dia telah bertolak pulang ke kampung semalam. Jika tidak diapun akan terperangkap di dalam kejadian tanah runtuh itu.

Aku sempat meninjau ke tempat kejadian itu walaupun aku sebenarnya harus bersiap sedia menyiapkan diri untuk pulang ke kampung bersama adindaku dari Bangi. Tetapi memikirkan berita ini lebih sensasi dan menarik perhatian aku luangkan juga masa.

Jalan masuk kiri dan kanan termasuk di perkarangan rumah Dato' Siti Nurhaliza telah penuh. Kejadian tanah runtuh yang di laporkan di TV3 memberitahu melibatkan kawasan Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama. Difahamkan 10,000 penduduk terperangkap kerana ia melibatkan laluan utama ke situ. Ia juga melibatkan 2 kematian.

Menurut penduduk di situ sebanyak 7 buah rumah yang terlibat. Sewaktu dilokasi kelihatan anggota Bomba, Polis, Ambulan, Pasukan sukarelawan, Pasukan Pertahanan awam berada di situ. Kenderaan berat seperti jenangkut dan jentolak yang hendak masuk ke situ mengalami kesukaran kerana keadaan jalan yang sempit. Orang ramai juga dihalang dari memasuki kawasan kejadian. Aku lihat beberapa kelompok mungkin penduduk di kawasan itu membentangkan surat khabar dan duduk menunggu dengan penuh sabar mungkin untuk masuk ke situ.

Di harapkan mereka yang berada di situ dapat melakukan kerja-kerja menyelamat dengan jayanya agar keperitan dan penderitaan mangsa dapat diselesaikan secepat mungkin menjelang Aidiladha.

05 December, 2008

Puisi-Di Sebuah Kedai Kopi Moden




Aku sendirian malam ini
dengan rasa kenyang dan layu
tetapi masih mahu melayani gerak hati
di sini di kedai kopi moden
menghirup teh yang pekat lagi manis
di kaki lima permisnya

hati terdetik seperti
terasa ingin aku lakarkan sesuatu

pada ruang yang kosong di fikiran ini
namun terasa mati akalku
kerana bunyi bingit suara petir seorang lelaki
yang pakai bluetooth ditelinganya

mungkin dia baharu jumpa gigi biru itu di bulan
bercakap bagai tiada orang lain
sehingga biji butirnya jelas aku dengar
mahu apa dia berbicara macam speaker orang jual buah
di pasar malam Cina


Cukuplah,
turunkan tona suara itu
mana adabmu di khalayak
kau sedang menelanjangi dirimu
dengan suaramu yang tidak sekolah
yang tercicir dari kelas hidupmu
cuba lihat rakan semejamu
seorang diri melayan komputer riba
kulihat dia tekun sekali menunggumu habis berbicara
seakan dia tidak sabar mahu berkata sesuatu
yang membuatkan dia kemari berjumpamu
kulihat pekertinya sangat besar
yang lebih besar dari badanmu
mengalir ketenangan itu disekelilingnya
pelajarilah kesopanan itu darinya
kurasa dia pasti tidak lokek mengajarmu

Di sebelah mejamu
ada dua insan yang berbicara
yang hampir tidak kedengaran suaranya
tidak kah kau merasa malu
atau kau sememangnya merasa bangga
dengar suara petir nerakamu!

Enche's
Ogos 2008

04 December, 2008

Kongsi Emel - Bila Isteri Dah Tak Cantik

Para suami yang berkemampuan patut peruntukan duit untuk para isteri pergi SPA paling murah pun untuk perawatan badan dan muka about RM150 p/s ....errr...insyAllah bila saya dah bukak tempat SPA nanti boleh bagi diskaun untuk kengkawan!


Untuk renungan dan perhatian isteri-isteri dan bakal isteri... Buat iktibar kita semua dan para suami / lelaki, renung-renung kan lah... Pembaca Semua, Saya ingin berkongsi pengalaman ini dengan semua kerana saya ingin puan-puan tahu apa sebenarnya tersirat di dalam benak sesetengah suami dan bagaimana dia melihat kita dari pandangan mata mereka.

Walaupun mereka tidak pernah komplen tentang perawakan kita tetapi di sudut hati mereka, mereka menilai secara diam2 dan membanding kita dengan perempuan lain. Barangkali suami puan-puan tidak begitu, tapi ini boleh jadi panduan. Saya seorang isteri baru berusia 29 tahun dan mempunyai 3 orang anak.

Perawakan saya biasa sahaja, tidaklah hodoh, sedikit gempal setelah melahirkan 3 orang anak. Saya berkerja sebagai seora ng eksekutif dan suami saya berkerja biasa saja. Kebanyakan belanja seperti ansuran rumah dan kereta, saya yang membayarnya demi suami yang mempunyai gaji tidak seberapa.

Suami saya bolehlah dikatakan menarik jika dibandingkan dengan saya. Suami saya tinggi, cerah kulit dan menarik minat ramai perempuan semasa bujangnya. Saya mengabdikan diri seluruhnya untuk rumahtangga, pagi sebelum pergi kerja saya akan masak utk anak2, sarapan utk suami, saya memandu sendiri ke pejabat dan setelah balik ke rumah pada petangnya sayalah yang menyediakan segala keperluan rumahtangga. Sepanjang perkahwinan suami tidak pernah komplen pasal perwatakkan saya.

Saya memakai tudung, dia nampak biasa saja,tetapi dia tidaklah sentiasa tertarik kepada saya semasa di rumah seperti cuba mencium saya, memeluk atau memegang saya, kami akan bersama bila waktu malam apabila dia perlukan saya. Baru-baru ini saya mendapat tahu dia mempunyai kekasih di tempat kerja sendiri. Gadis tersebut bukanlah muda dari saya tetapi sudah berumur 30 tahun.

Saya mendapat tahu juga yang suami saya sering ke rumah gadis tersebut semasa waktu kerja. Hubungan yang terjalin nampaknya telah sampai ke tahap hubungan seks. Bila saya bersemuka dan bertanya kepadanya, pada mulanya dia menafikan,tetapi setelah dikemukakan bukti dan sebagainya, baru dia mengaku. Saya ingin tahu kenapa dia menjalin hubungan. Apa kurangnya saya, dia akhirnya berterus terang mengatakan memang tiada apa yang kurang dengan saya.

Saya menjaga makan minum, membantu kewangan, menguruskan rumahtangga dengan baik tetapi saya hanyalah setakat itu sahaja. Dia tiada rangsangan lagi bila melihat saya. Baginya, dia kadangkala ingin bersama wanita yang dilihat cantik,menarik minat lelaki lain dan bila berjalan sama menimbulkan cemburu pada lelaki lain.Dia dengan berani memberitahu saya bahawa teman wanitanya mempunyai kuku yang cantik, perut yang nipis, bau yang sedap, fesyen yang menarik. Sedangkan saya menurutnya walaupun tidak hodoh tetapi hanyalah wanita yang sangat biasa saja, kuku saya pendek dan kadang kala rosak kerana memasak, rambut pulak kadang kala berbau bila balik kerja kerana bertudung sepanjang hari.

Kulit perut saya pula tebal, tidak menarik di rumah bila hanya ber t-shirt dan berkain batik. Hari-hari melihat saya dia merasa tiada apa yang dibanggakan tentang saya, bercakap di rumah pula hanyalah tertumpu pasal rumah dan anak-anak. Tiada topik menarik separti teman wanitanya yg boleh bercakap pasal politik, carreer, mempunyai taste yang tinggi dan dapat membantu dia mengenali dunia yang baru mengenai fashion, korporat, jadi dia merasakan seperti lelaki yang berjaya bila bersama wanita tersebut.

Memang saya akur tentang perawakan saya kerana pertamanya memang saya dilahirkan begini, kedua saya terlalu sibuk untuk membelek diri sendiri, ketiga saya tidak mempunyai cukup wang untuk berbelanja sepenuhnya untuk kecantikan. Begitulah hati budi lelaki sebenarnya walau bagaimanapun kita menjaga dia tetapi dia masih mementingkan fizikal jauh di sudut hati ingin bersama wanita menarik yang boleh membuat dia berasa bangga.

Saya telah pun berpisah dengan suami sekarang tetapi saya tidaklah duduk meratap tetapi menghadiri slimming session dan membelanjakan duit separuh untuk kecantikan bukan untuk lelaki tetapi untuk kepuasan sendiri, biarlah saya pendek dan sedikit tembam tetapi saya berazam untuk menjaga kebersihan dan kelihatan menarik.

PS (Pendapat Saya) : Penting di sini kita memahami erti perkahwinan. Perkahwinan adalah bukan tempat kita untuk berseronok-seronok dan jangan bertindak zalim dengan perbuatan kita. Perkahwinan adalah sebahagian cara utk kita mencari keredhaan Allah. Dan perkahwinan itu sebahagian dari Iman. dan perkahwinan juga tempat kita di uji. Maka, bersabarlah dan bertindak dengan bijak dan penuh hikmah . Bagi lelaki yg berfikir utk bertindak seperti ini, fikirkanlah, betapa besarnya pengorbanan seorg isteri demi sebuah keluarga yg sempurna. Jadikanlah kebaikkan seseorang isteri itu sebagai hiasan untuk anda, tetapi jadikanlah keburukkan seseorang isteri itu sebagai tanggungjawab anda untuk memperbaikinya.... InsyaAllah....... hargai laaa isteri anda..

Terima Kasih Nor Azira Ishak

Jom Baca Buku - Perdagangan Elektronik



Perdagangan Elektronik
electronic-commerce


Berdasarkan kajian kes terhadap beberapa syarikat seperti Marshall Industries, FedEx, Industry.Net, Amazon.com, Citius Belgium dan TradeZone, buku ini mengetengahkan isu penting yang dihadapi pengurus masa kini ketika melangkah memasuki dunia perniagaan baru. Sambil meninjau peluang serta risiko yang ada, buku ini memberikan contoh bagaimana syarikat inovatif membangunkan kelebihan daya saingnya dengan menjalankan perniagaan menerusi internet. Selain itu, ia juga menunjukkan bagaimana syarikat boleh mengatur perniagaannya dengan mengkategorikan pelbagai alat dan model perniagaan perdagangan untuk mengembangkan strategi pemasaran internet. Turut dipaparkan adalah beberapa senario yang menyingkap masa depan perdagangan elektronik antara syarikat dengan syarikat.

Perdagangan Elektronik
electronic-commerce


Paul Timmers
ISBN: 978-983 068 201 3
Tahun Terbit : 2007
Jumlah halaman : 348 Muka Surat
Harga : RM50.00

Hubungi ITNM 03-41497210 untuk mendapatkan naskah anda.



03 December, 2008

Kanvas Kehidupan- Antara Hak dan Simpati

Aku memandu menghampiri palang pintu tempat letak kereta. Berdiri seorang budak lelaki. Ku ingat pekerja pasar raya itu. Terus dia mengambil tiketku. Kemudian dia berlari memberikan tiket kepada kakaknya. Aku tercengang. Palang pintu ternganga. Aku terkial-kial menekan lagi butang untuk mengambil tiket. Tapi tiket tak mahu keluar lagi. Kereta belakang membunyikan hon. Hatiku berkata'ah sibuk la kau'

Aku keluar mengejar budak lelaki itu. Aku mahu tiket itu. Budak lelaki itu menunjukkan arah seorang wanita lain yang telah ambil tiket dia. Jadi seperti dia mahu aku juga buat begitu. Tapi aku tak suka menyusahkan orang yang tiada kena mengena. Aku minta tiket itu. Akhirnya wanita yang ambil tiket budak lelaki itu memberikan semula kepadaku.

Aku minta dia laporkan kecurian tiket itu pada info kaunter. Kalau aku nak laporkan sudah tentu aku tahu pencurinya. Tentu wanita itu tidak mahu. Sebelum itu aku dan wanita itu pergi ke tempat palang pintu itu. Dia tekan punat. Tapi tiket tak nak keluar. Mungkin kena ada pemberat. Aku berdiri di tempat kereta sepatutnya berada. Aku belum cukup berat. Aku lompat-lompat. Palang tak mahu terbuka. Tiket tak mahu keluar!

Apa Khabar--Abdul Razak Ismail


Hampir terlupa kiriman emel teman lama di dalam kotak emel. Al maklum sahajalah makin nak ke penghujung makin singkat pula waktu bekerja rasanya. Kepada kawan-kawan yang msaih mengingati Ajak ni disiarkan cerita terbaru dia.



Nama: Abdul Razak Ismail

Apa khabar?
Alhamdulillah, baik

Tempat sekarang
ISIS Malaysia

Bagaimana kehidupan sekarang?
Alhamdulillah, bagus.

Mula kerja dan tinggalkan ITNM tahun berapa?
Sejak ITNM ditubuhkan dan tinggalkan ITNM masa itnm sedang berpindah ke bangunan sekarang.

Saya nak tanya pengalaman bekerja di ITNM. Boleh cerita sedikit?
Bagus kerja di ITNM, semangat teamwork tu kuat la....

Ada pandangan anda secara peribadi bekerja ITNM dan bezanya dengan kerja sekarang?
Biasa je.....

Dulu siapa Pengarah Urusan.
Dr Ahmad Zaki & Datuk Mahpor Baba

Masih ada menghubungi staf ITNM yang lain?
(siapa dia-kalau ada?)
Ada, che lah & jet li dan

Sudah berapa orang anak?
3 org.

Apa ucapan atau pesanan kepada warga ITNM lama dan baru?
Semoga berjaya

Jika ada yang nak menghubungi boleh beri alamat emel?
ajax@isis.org.my

Siapa yang anda teringin nak jumpa?
Kawan-kawan lama la.....

Terima Kasih
Sama-sama


Malam Kenangan Usman Awang




Sabtu lepas (29 November) bertempat di Hotel Federal Jalan Bukit Bintang telah berlangsung sambutan Malam Kenangan Usman Awang memperingati pemergian Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang.

Majlis ini dianjurkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia & China (PPMC) dengan kerjasama UA Enterprise Sdn. Bhd dan penaja HAI-O. Melihatkan situasi tempat, penajaan dan kehadiran tetamu hati terdetik mengatakan bahawa Allahyarham sememangnya rapat dengan bangsa-bangsa lain sepanjang hidupnya.

Kalau tidak masakan sahabat-sahabat beliau sanggup bekerjasama mengadakan majlis untuk mengingati beliau sebagai tanda perhabatan yang terjalin erat suatu masa dahulu dalam hidupnya. Apakah hal ini masih dalam kehidupan individu lain hari ini? Kehidupan muhibbah yang diimpikan oleh banyak pemimpin negara baik yang telah tiada mahupun yang masih ada.

Kebanyakakan dari kita cuma bercita-cita mewujudkan keharmonian kehidupan yang muhibbah antara pelbagai bangsa tetapi Sasterawan Negara memperaktikkan cita-cita itu di dalam hidupnya dan persahabatan tulen itu terus mekar terjalin di antara sahabat-sahabat Allahyarham dengan anak-anaknya walaupun Allahyarham telah tiada.

Majlis telah diserikan oleh persembahanan daripada sahabat-sahabat Usman Awang, Sasterawan yang lain seperti Dr. Lim Swee Tim,, Nian Hang, Prof Hashim Yaakob, Dato Baharuddin Musa, Prof Rahman Shaari, , Selina Sai Fa, Sutung Umar,Saad Zahari Dato Noor Azam, Encik Mat Nordin dan juga artis Uji Rashid serta Cico Harahap.

01 December, 2008

Saat Bulan Tersenyum Padaku

Bulan madu di awan biru..
tiada yang mengganggu,
bulan madu di atas pelangi,
hanya kita berdua

Kata Amy Search

Bulan sabit yang jatuh di pelataran
Bintang redup tanpa cahaya gemintang

Pula kata Mendiang Broery

Malam bulan dipagar bintang
Makin indah jika dipandang
Bagai gadis beri senyuman
Pada bujang idaman

Lain pula kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Tetapi itulah bulan yang menjadi Ilham M. Nasir untuk lagu Fantasia Bulan Madu, Broery Marantika dan P. Ramlee. Mereka berkata tentang bulan yang satu itu. Bulan itu telah wujud beratus malah beribu tahun.

Bulan bukan sahaja menjadi ilham untuk lagu malah untuk filem dan drama seperti Tentang bulan (2006) Arahan Ahmad Idham. Dengan pelakon Nik Adruce, Fatin Nur Afifah, Mohd. Addy Ashraf. Dan juga drama Gadis dari Bulan di astro. Orang putih juga ada yang tengah bikin filem judul 'New Moon' (Ha nak tau kenalah search sendiri).

Kepentingan bulan pada manusia dan agama. Umat Islam nak berpuasa kena lihat anak bulan hendak berhari raya juga mesti lihat bulan. Orang Cina ada kuih Bulan. Semua orang suka bila hujung bulan...hehehe. Dan orang tak suka bila tengah bulan. Huhuhu

Bulan yang satu yang kita lihat sekarang pernah terbelah dua dan bercantum semula kerana menjadi mukjizat Nabi. Malah itu tidak cukup untuk menarik manusia untuk beriman dengan agama yang Nabi bawakan.

Manusia berkejar-kejar pergi ke bulan. Malah kemajuan teknologi negara diukur hanya dengan kejayaan bila sampai ke bulan. Angkasawan negara Dr. Sheikh Muszaphar belum sampai ke bulan tetapi telah mahsyur seantero Malaya.

(Penatnya aku membebel belum sampai-sampai juga) Sebenarnya aku nak beritahu tadi (malam) lebih kurang jam 9.00 malam aku mendapat panggilan telefon dari Suhaimi. Menyuruh aku mendongak ke langit melihat bulan. Aku hampir terperanjat kerana melihat bulan sedang tersenyum. Itulah pertama kali melihat bulan sabit melintang dan ada dua bintang di kiri dan kanan di atasnya perisis wajah malam yang sangat ceria. Kamera telefon bimbit hanya dapat merakam setakat itu sahaja visualnya

Waktu itu aku memang berada di bawah cahaya bulan sedang 'packing' 100 buah buku Malaysian Standard Method of Measurement for Civil Engineer Work yang dipesan adindaku dari Kelantan. Kasihan dengan budak-budak Politeknik di Kota Bharu yang akan mengambil peperiksaan selepas Hari Raya Haji ini.

Mudah-mudahan buku yang akan aku kirimkan esok dengan bas itu akan terselamat dari banjir yang kini sedang ghairah mengunjungi Kelantan. Warga Kelantan hati-hatilah dengan banjir melanda. Malah pesanan ini untuk semua negeri-negeri yang dilanda banjir juga.

Mie terima kasih untuk sapaan di malam hari.

Selamat Malam Bandung, Jawa Barat, Jakarta Raya, Pekan Baru, Riau, Semarang, Santa Clara, Carlifornia, Puchong, Bandar Penggaram, Petaling Jaya,, Rawang, Kota Kinabalu, Terengganu, Doha, Ad Dawhah, Kelang, Pantai, Indonesia, Brunei, Singapura dan Butterworth.