12 January, 2009

Ada Seperti Tiada atau Punya Tapi Nggak Bisa Digapai

Ada seperti tiada lebih baik tak ada kerana hati tak sakit. Ini dah bayar tapi habuk je dapat. Hari-hari balik rumah buka komputer dan buat sambungan streamyx dengan debaran tapi hampa. Telefon TM 100 janjinya line streamyx akan pulih dalam tempoh dua hari. Masuk hari keempat mereka tambah lagi dua hari.

Nanti dua hari nak jadi berapa hari lagi. Kalau dapat diskaun bayaran bil tu terubat lah juga hati ini. Alasannya masalah kabel rosak. Ada 28 jiran-jiranku yang mengalami nasib yang sama. Tapi takkan macam itu sahaja jawapannya. Bikin panas sahaja hati kalau nak diikutkan. Sekurang-kurangnya berilah sesuatu timbal balik agar situasi ini dirasakan adil.

Bagaimana dengan mereka yang benar-benar menjalankan perniagaan yang seratus peratus bergantung kepada internet? Sudah tentu keadaan ini merugikan dan menyusahkan mereka. Tahap kebergantungan masyarakat terhadap internet sekarang adalah berbeza dari dahulu. Ia menjadi semakin berkesan dan sangat penting. Melalui internet masyarakat dapat melakukan pelbagai perkara yang menjimatkan waktu tidak dinafikan juga mereka dapat melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan faedah dan merosakkan.

Soal positif atau negatif itu adalah perkara kedua. Soal yang pertama ialah kepentingannya dalam kehidupan dan ia semakin relevan. Kerana Internet merangsang perkembangan bidang-bidang yang lain dan ia banyak membantu.

Masakan aku sanggup berkunjung ke CC di malam-malam buta begini semata-mata mahu mengemaskini blog yang berhari-hari telah beku? Aduh Streamyx tolonglah! Kamu telah membekukan kreativiti dan aktivitiku. Mungkin ramai yang kehairanan gara-gara kegagalan kamu berfungsi.

08 January, 2009

Kongsi Emel- 4 Cerita

Air Mata Nabi Adam

Tahukah saudara semenjak Nabi Adam terkeluar dari syurga akibat tipu daya iblis, beliau menangis selama 300 tahun. Nabi Adam tidak mengangkat kepalanya ke langit kerana terlampau malu kepada Allah swt. Beliau sujud di atas gunung selama seratus tahun.Kemudian menangis lagi sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip. Dari air mata Nabi Adam itu Allah tumbuhkan pohon kayu manis dan pokok cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata beliau. Burung itu berkata,"Sedap sungguh air ini."Nabi Adam terdengar kata-kata burung tersebut. Beliau menyangka burung itu sengaja mengejeknya kerana perbuatan derhakanya kepadaAllah. Ini membuatkanNabi Adam semakin hebat menangis. Akhirnya Allah telah menyampaikan wahyu yang bermaksud, "Hai Adam, sesungguhnya aku belum pernah menciptakan air minum yang lebih lazat dan hebat dari air mata taubatmu itu."

Apa Yang Akan Ditanya:

Dalam sehari ada 24 jam? Dalam sejam manusia bernafas sebanyak 4320 kali. Dalam setiap kali bernafas Allah akan tanya dua perkara semasa nafas keluar dan masuk. Pertanyaan itu ialah, "Apa perbuatan yang kita lakukan semasa nafas itu keluar dan masuk ?

Tiga Cahaya Di Hari Kiamat

Di hari kiamat ada tiga cahaya yang berlainan :* Cahaya yang pertama seperti bintang-bintang.* Cahaya yang kedua seperti cahaya bulan.* Cahaya yang ketiga seperti cahaya matahari. Apabila ditanya cahaya apakah ini ? Lalu dijawab : "Cahaya yang pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia yang ketika di dunia, mereka akan meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci dan mengambil air sembahyang apabila terdengar azan.Yang kedua ialah cahaya wajah mereka yang mengambil air sembahyang sebelum azan.Cahaya yang ketiga ialah cahaya mereka seperti matahari. Mereka di dunia sudah bersiap sedia di dalam masjid sebelum azan lagi."

Kala Jengking Neraka

Di hari kiamat akan keluar seekor binatang dari neraka jahanam yang bernama"Huraisy" berasal dari anak kala jengking. BesarnyaHuraisy ini dari timur hingga ke barat. Panjangnya pula seperti jarak langit dan bumi. Malaikat Jibril bertanya : "Hai Huraisy! Engkau hendak ke mana dan siapa yang kau cari?"Huraisy pun menjawab, "Aku mahu mencari lima orang. Pertama, orang yang meninggalkan sembahyang. Kedua, orang yang tidak mahu keluarkan zakat. Ketiga, orang yang derhaka kepada ibubapanya. Keempat, orang yang bercakap tentang dunia di dalam masjid. Kelima, orang yang suka minum arak."

Simpanlah baik2 email ini dan sebagai peringatan kita setiap hari. Sampaikan kepada sekelian muslimin/muslimat yang lain semoga menjadi pedoman hidup hingga ke akhir hayat , Insya'Allah .Wassallam.

Terima Adindaku Affan

Perutusan Tahun Baru oleh Pengarah Urusan ITNM

Semalam aku menjadi beku kerana line streamyx aku mengalami gangguan. Banyak yang ingin ditulis menjadi beku dalam kepala nasib baik juga ada teman lama mengunjungiku bertanyakan khabar berita.

Semalam telah berlangsung perhimpunan bulanan dan juga perutusan tahun baru oleh Pengarah Urusan ITNM En. Mohd Khair Ngadiron.

ITNM telah mencapai kecemerlangannya dan keuntungan yang sangat memberangsangkan sepanjang tahun lepas. Buktinya pemberian bonus yang dalam kadar yang tidak pernah diberikan sebelum ini. Semua itu diharapkan akan dapat memberikan semangat dan motivasi kepada staf untuk bekerja dengan lebih tekun.

Pengarah Urusan berharap pencapaian itu dapat dikekalkan untuk tahun ini. Sepanjang tahun lepas banyak perbelanjaan telah dikeluarkan untuk acara-acara bertujuan memperkenalkan ITNM agar ianya lebih menyerlah dan usaha itu nampaknya berhasil. Tambahnya jika staf lebih berhati-hati dan bersungguh dengan apa yang kita lakukan, kita pasti akan dapat mencapai apa yang kita inginkan.

Hasil kerja keras tidak mengenal masa itulah rahsia disebalik dikejayaan. Beliau berharap banyak perkara kemudahan yang disediakan untuk staf digunakan sebaik-baiknya umpamanya penggunaan telefon bimbit. Ia seharusnya digunakan dengan berhemat dan mengikut terma perjanjian. Pihak pengurusan tidak teragak-agak untuk menarik balik jika ia melanggar peraturan.

Perbelanjaan kepada staf tidak semata-mata kepada penggajian sahaja ia meliputi kemudahan manfaat tambahan yang lain kepada staf seperti KWSP, insuran perubatan, Socso, bil telefon bimbit dan lain-lain adalah contoh-contoh perbelanjaan sampingan yang dikeluarkan oleh ITNM kepada staf.

Untuk kebajikan yang lebih baik pihak pengurusan juga telah merancangkan pemberian rebet kepada pinjaman perumahan dan kenderaan staf. Memandangkan belum ada ketetapan dicapai mengenainya maka pengumuman mengenainya akan dibuat kemudian.

Beliau juga menyentuh soal ketelusan atau transparency untuk keharmonian dan kelicinan kerja. Setiap teguran dibuat adalah ikhlas dan tiada dendam supaya institusi ini ada intergitinya. Selain itu katanya kejayaan menghasilkan dan melancarkan buku Treaties di Parlimen baru-baru telah membuka lembaran baru dalam dunia penerbitan sehingga ia diperkatakan di mana sahaja. Beliau mencadangkan dokumen Sejarah Penubuhan Malaysia pula dikumpul dan diterbitkan selepas ini.

En. Khair juga menyeru staf menambahkan ilmu. Ilmu tidak dengan hanya mempunyai sekeping Sijil, Diploma atau Ijazah. Hanya dengan ilmu kita akan dilihat berbeza. Usia juga tidak membataskan kita menimba ilmu. Ilmu boleh diperolehi dengan banyak membaca.

Keredaan Allah terhadap kita tidak dapat diukur dengan kebendaan sebaliknya dengan ketaqwaan terhadapNya. Kegembiraan ialah apabila kita melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan atau sesungguh hati dan apabila kita dapat mencapai apa yang kita inginkan.

Di akhir ucapannya beliau menyampaikan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran. Peluang berada di ITNM adalah ruang hidup yang cukup menggembirakan. Beliau cukup gembira berada di tempat lama dan sekarang dan berdoa apa yang agar apa yang dirancang akan berjaya dan diberkati. "Percayalah Tuhan akan memberikan apa yang selayaknya kepada diri kita".

Dalam Majlis itu juga staf diperkenalkan dengan dua staf baru iaitu Sdr. Shaziniwati dan Sdr. Khairul Anuar dan pelajar yang menjalani latihan amali Sdr. Belinda dan Sdr. Nur Amalina.

Yang tidak dapat menahan kesedihan dalam majlis itu ialah pengacara majlis Sdr. Norsyidah (jangan marah haku Syidah...hehe) ketika mengumumkan Staf yang akan menamatkan perkhidmatan pada 9 Januari 2009 kerana akan mengikuti Latihan Perguruan (KPLI) di Institut Perguruan Ipoh Ulu Kinta Perak iaitu Sdr. Mohd Hidayat Mohamad Nordin.
Yat aku pun sedih la...semoga berjaya dengan cita-cita mu.

06 January, 2009

Steak itu-Terima Kasih Puan Ramlah




Pokok anggur di rumah Puan Ramlah Perth-Australia.

Terima Kasih Puan Ramlah. Sungguh enak makan steak di rumah anda tempoh hari. Rasanya itulah steak yang paling enak pernah aku makan dengan rasanya yang masih segar. Walaupun baru pertama kali jumpa Puan Ramlah seperti dah lama mengenaliku. Agaknya semua orang kita di Australia macam gitu. Anaknya Liana juga cepat mesra.


Puan Ramlah mengusahakan sebuah premis menjual daging halal dengan jenama Mecca Meats & Small Goods. Peluang mengunjungi tempat beliau bekerja memproses daging halal sekaligus mengikis persoalan dalam kepalaku bagaimana untuk mendapatkan daging halal di Australia.

Sebelah siang melawat premis itu dan sebelah malam beliau menjemput aku dan rakan-rakan menikmati makan malam di rumahnya. Bukan sekali malah dua kali makan malam. Di rumah Puan Ramlah ini juga aku dapat melihat pokok anggur dan memegang buah anggur yang masih di pohonnya. Manis kenangan itu tetapi tidak semanis buah anggur yang belum masak. Anggur yang muda rasanya tersangat masam seperti belimbing buluh!


Daging halal dari Mecca Meats & Small Goods ini rupanya dibekalkan ke Restoran Makan2. Jadi jika anda inginkan makanan halal yang telah di masak datanglah ke Restoran Makan2 di Albany Hiway Australia.

Buku Baru bakal dilancarkan

Sebuah buku tulisan Datuk Saifuddin Abdullah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berjudul Politik Baru atau New Politics bakal dilancarkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Buku Dwi bahasa itu bakal dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat dan persiapan giat dijalankan. Apa yang diperkatakan dalam buku setebal 90 muka surat (versi Melayu) dan 88 muka surat (versi Inggeris) yang berharga RM30.00 itu? Tunggulah dalam post yang berikutnya. Pastikan anda membuat tempahan awal untuknya.

Petua - Menghaluskan tapak tangan

Serbuk kopi atau teh yang telah digunakan jangan terus dibuang. Ia ada khasiatnya. Caranya dengan meletakkan serbuk kopi atau teh yang telah digunakan di tapak tangan anda selepas itu gosok tapak tangan anda untuk beberapa ketika. Bersihkan dan bilas tangan anda dengan pencuci sebersihnya dan rasakan perbezaannya. Anda akan dapat rasakan tapak anda lebih lembut dan halus. Selamat mencuba!

04 January, 2009

Restoran Dapur Sarawak di Diamond Square - Gombak














Mahmud Bersama pose istimewa hidangan Sarawak











1.Dapur Sarawak mengalu-alukan kedatangan anda.
2.Jemputan sempena pembukaan Restoran Dapur Sarawak











Resepi dari Dapur Sarawak dan pencuci mulut












Mahmud bersama teman Jai dan juadah Mee Kolok dan Laksa Sarawak

Semalam 3 Januari aku menerima panggilan telefon teman selebriti Mahmud Ali Bahsa menjemput ke Majlis pembukaan Restoran barunya yang terletak di Bangunan Diamond Square gombak (Belakang Balai Polis Setapak-Jalan Genting Kelang). Memang dah ada rancangan tetapi sebagai tanda sokongan aku membatalkan rancangan terdahulu semata-mata untuknya.

Ramai jemputan yang hadir yang kebanyakannya adalah dramatis tanahair.(Maaflah nak sebut nama tak ingat tetapi sangat biasa dengan wajah mereka di kaca TV, yang aku ingat Rosnah Johari, Rozie Othman, Shila Mambo dan Maria Farida sahaja kerana masih cun melecun).

Jam 8.30 malam majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh seorang Ustaz yang kulihat duduk berseorangan. Selepas itu jamuan yang menyaksikan mereka menerpa juadah Sarawak yang disediakan. Memang lain dari yang lain. Aku sendiri sempat merasa nasi campur dengan Kerabu Umai dan Pajeri Terung Dayak, fuh sedap beb.

Mahmud yang kupanggil Mud sahaja memang suka berniaga makan. Dahulu ketika 1998 ramai artis berniaga makan di Celebrity Corner, dia mengajak aku berniaga tetapi keadaan tidak mengizinkan. Beliau berpindah ke Kuantan ketika dunia drama dan filem tempatan suram dan memulakan restoran makan di sana bersama rakan. Setelah suasana ekonomi pulih beliau kembali ke Kuala Lumpur meninggalkan perniagaan di sana dan beraksi semula di kaca TV.
Tahun lepas beliau yang tidak dapat memisahkan diri dengan cita-citanya, berkongsi dengan adiknya membuka restoran Anjung Selera Dagang Jaya makanan selera Sarawak di Taman Dagang Jaya, Ampang.

Hari perniagaan rasmi akan bermula pada 5 Januari (esok) dari pagi hingga malam. Jika anda ingin merasakan masakan Sarawak mampirlah di sini. Good Luck Mud!

03 January, 2009

Yad Menjalani Pembedahan Kecil




Hari ini Yad (Ziyad-anak saudara yang manja denganku) melalui pembedahan kecil membuang ketumbuhan pada lengan sebelah kiri. Ketumbuhan itu semakin lama semakin membesar dan nampak seperti semakin memudaratkannya. Tepat jam 2.30 petang Yad dimasukkan ke Operation Theatre Complex dan 4.06 petang dia dikeluarkan dari situ.

Pada mula untuk membuang ketumbuhan sahaja pada bahu/lengan kiri tetapi atas cadangan Doktor, Yad disunatkan sekali memandangkan Yad dibius dan tidak sedarkan diri. Kagum dengan Yad (5 tahun) sedikitpun tidak menunjukkan rasa gentar ketika menjejakkan kaki ke Hospital Pakar di Bangi.

Aku dan ibubapanya beberapa kali bertanya kepadanya untuk mengetahui sama ada dia faham tujuan dia di bawa ke situ. Memang dia faham 'Nak buang sini' sambil menunjukkan pada lengan 'dan nak potong sini' sambil tunjukkan pada 'burungnya'.

Sedar dari pengsan Yad kelihatan lemah dan masih pening. Yad tidak menangis walaupun ubat bius makin menghilang dan kesakitan makin terasa. Yad cuma pejam mata menahan sakit dan untuk pertama kali Yad minta air kosong setelah dipaksa berpuasa dari pagi.

Maafkan Ayah Lah kerana terpaksa pulang awal. Ayah Lah ada jemputan kawan Ayah Lah buka restoran malam ni. Ayah Lah doa agar Yad cepat sembuh dan cepat dewasa. Ayah Lah sayang Yad dan adik adik.

Puisi-Penari Gurindam Sumbang

Dia datang dan dia pergi
Sedang aku di sini memerhati
Dalam warna yang pelbagai
Tarian demi tarian
Selesai ditari mengikut rentak
Si angkuh menongkat dagu pekak pada irama
Tempurung di lingkaran sempadan sejengkal
Tidak mahu ia memandang jauh
Sedang aku dan kita boleh berada di dalam
Atau di luarnya
Memerhati semua yang datang pergi
Dengan alasan yang tidak berani dinyatakan
Engkaulah yang mengajar rahsia itu
Engkaulah guru kepada nafsumu sendiri
Gurindammu irama yang sangat sumbang
Dalam alunan emosi yang tidak sekata
Bangkitlah jangan tidur lagi
Ceritamu bukan berakhir di sini sahaja
Ada syair syahdu menantimu di akhirat


Enche
3 Januari 2009

02 January, 2009

Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12 2009

'Kelestarian Bidang Penterjemahan'

Begitulah tema Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) Ke-12 pada tahun 2009. PPA diadakan setiap dua tahun sekali dengan penggiliran Institusi Pengajian Tinggi sebagai hos. Pada tahun ini Universiti Sains Malaysia menjadi hos dan ia diadakan di Parkroyal Penang, Malaysia pada 18-20 Ogos 2009. Ianya anjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Persatuan Penterjemah Malaysia(PPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Penaungnya ialah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Mereka yang berminat untuk mengetahui atau menyertai persidangan ini bolehlah melayari di laman sesawang ini:


Apa yang menarik mengenai PPA ialah penyertaan pembentang-pembentang kertas kerja yang terdiri dari pelbagai negara yang terlibat dalam bidang penterjemahan dan ada di antara mereka sangat fasih bertutur dalam Bahasa Melayu.
Tahun Lepas Universiti Malaya sebagai hos tetapi pada saat akhir ITNM mengambil alih tugas tersebut dan ia diadakan di Prince Hotel & Resindence, Kuala Lumpur dengan penaja utamanya ialah Kementerian Pelajaran Malaysia.

01 January, 2009

Blog Enche's Nyaris terkubur gara-gara ingin berubah wajah!

Kerana angan-angan untuk berwajah baru blog ini nyaris terkubur hari ini. Memang dah lama aku berhasrat menukar wajah blog ini kerana dah lama sangat. Beberapa kali mencuba wajah baru akhirnya aku dapati setengah-setengah data hilang. Sebelum itu aku ada membuat back up HTMLnya. Menyedari kehilangan itu aku balik semula ke wajah lama. Namun ada sebahagian data telah hilang. Nasi sudah menjadi bubur, kalau ada telur masin sedap juga makan bubur itu. Tetapi telurpun tak ada waktu itu.

Jika anda perhatikan ada data yang telah hilang. Tetapi sebahagian besar yang penting dapat di selamatkan. Link ada sebahagiannya belum berfungsi dan diharapkan masalah teknikal ini dapat diselesaikan dalam waktu yang terdekat.

Kawan-kawan hati-hati jika ingin bertukar wajah pada blog anda. Buatkan back up dahulu. Jadikan pengalaman ngeriku sebagai teladan dan sempadan. Selamat Berblog dan jangan serik!

Selamat Tinggal 2008 dan Selamat datang 2009

Tahun 2008 telah melabuhkan tirainya dan 2009 menanti kita untuk mencorakkan warna dan cerita di atasnya. Soalan lazim ditanya menjelang tahun baru ialah mengenai azam. Dan jawapan standard yang diterima tentulah inginkan sesuatu yang lebih baik dari tahun sebelumnya.

Biarlah soalan dan jawapan itu sebab kita sentiasa mahu yang lebih baik. Tetapi saya tetap percaya setiap dari kita mempunyai impian di hati apa yang ingin diperolehi pada tahun ini. Cuma tidak dinyatakan apa yang sebenarnya bimbang tidak tercapai kerana itulah lahir jawapan yang klise itu.

Berapa ramai sebenarnya yang mengejar cita-cita yang dipasang sewaktu menjelang tahun baru itu? Dan berapa ramai pula yang cuma menjadikan impian diawal tahun baru sekadar syarat jawapan kepada soalan yang ditanya!

Pernahkah anda mendengar jawapan seperti azam tahun baru ialah untuk mencapai cita-cita yang belum tercapai pada tahun lepas dan jika tidak tercapai pada tahun ini ia akan dibawa pada tahun hadapan. Seperti hutang yang tidak pernah langsai.

Mungkin lebih baik kita kita melupakan sahaja cerita pada tahun lepas dan buka lembaran baru jalan cerita yang baru. Kerana jika kita menyambung-nyambung cerita yang lama ia akan menjadikan kita terus berkhayal dengan kejayaan lama dan kedukaan lama dan ini 'Never Ending Story'.

Saya juga tertanya-tanya mengapa setiap kali menjelang tahun baru orang akan sibuk dengan azam. Siapa yang ingin semak sama ada anda berjaya atau tidak. Diri sendiri sahaja yang tahu dan tidak perlu diheboh-hebohkan. Soalan mengenainya menjadi sinonim dengan ketibaan tahun baru.

Daripada sibuk berfikir perkara yang indah-indah yang bakal dicapai di hari yang akan datang mungkin lebih berfaedah jika kita bermuhasabah diri mengenangkan apa yang telah kita lakukan pada tahun lepas. Menginsafi kekurangan dan kelemahan diri yang menyebabkan orang lain menjadi tidak berpuashati terhadap diri kita.

Akhir kata saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2009 kepada semua pembaca blog enche's. Tolehlah ke belakang dan lihatlah lompang-lompang yang tinggal. Berjalan terus pada tahun ini dan pastikan anda tidak meninggalkan lompang-lompang lagi. Sentiasalah berdoa agar kita terus hidup di dalam keberkatan dan mendapat rahmat dariNya selalu.

Mohon maaf seandainya ada perkara yang disentuh di dalam blog ini sepanjang tahun 2008 mengguris hati dan nurani anda. Aku insan biasa. Ucapan terima kasih juga di atas sokongan berbentuk kritikan dan sumbangan idea dari anda.

Enche's