22 June, 2009

Kanvas Kehidupan - Hutang

Jijah memang kepoh. Jijah juga yang mencadangkan Temah meminjam dari Kiah sebab Jijah kata dia tak ada duit. Sebenarnya kalau orang tengok Jijah orang tak kata Jijah tak ada duit sebab pakaian Jijah, kereta Jijah dan cakap besar Jijah memang macam orang kaya. Yang pelik bila orang nak pinjam duit Jijah halakan pada Kiah. Jijah kata Kiah banyak duit.

Padahal Kiah itu macam biasa-biasa sahaja. Entah betul ataupun tidak siapapun tak tahu sebab Kiah memang tak suka nunjuk-nunjuk atau Kiah yang kedekut pada diri sendiri. Kiah tak tahu Temah datang padanya sebab Jijah yang suruh. Temah dah pinjam dari Kiah sebab Kiah kasihan lihat muka seposen Temah yang datang kepadanya.

Hari ini dah dua tahun Temah meminjam dan dia tak ingat-ingat nak bayar balik pada Kiah. Temah pun memang suka melaram. Dia pun nak ikut Jijah juga. Kiah memang nampak orang kelilingnya macam banyak duit termasuk orang-orang yang berhutang dengannya tapi Kiah bukan jenis orang yang datang tuntut hutang.

Kiah kuat dengan pegangan agama walaupun mulutnya kadang-kala pedas. Kata Kiah orang Islam wajib tolong saudaranya yang susah. Tetapi bukanlah tanggungjawab si pemiutang pergi menuntut hutang pula. Sebab pemiutang tidak akan pernah tahu keadaan kewangan penghutangnya.

Hari itu Jijah rasa dengki bila dengar Temah ada banyak duit sebab dapat rezeki terpijak. Temah bilang dia nak beli barang kemas. Jijah jadi dengki. Dia pergi tanya pada Kiah sama ada Temah dah bayar hutang Kiah. Kiah Terperanjat sebab dari mana Jijah tahu Temah berhutang dengannya. Sah-sahlah Jijah yang suruh Temah berhutang dengannya suatu waktu dahulu.

Petang itu tembelang Jijah pecah. Jijah malu dan minta maaf pada Kiah. Jijah kasihan pada Kiah. Kasihan atau dengki pada Temah sebenarnya? Jijah suruh Kiah pergi tuntut hutang pada Temah. Tapi Kiah tidak mahu. Kiah cakap itu bukan dirinya pergi menagih hutang.Tapi Kiah tetap sabar dan ingin lihat sahaja sama ada Temah akan datang dan bayar hutang kepadanya. Tinggallah Jijah dalam keadaan serba salah!

Menuju Sri Pena I


Penantian sesuatu yang membosankan tetapi masih ada yang
seronok dan boleh tersenyum dalam penantian itu

Pagi 18 Jun sebahagian warga ITNM berkumpul di perkarangan Wisma ITNM. Sebuah bas telahpun bersedia menunggu di awal pagi itu. Sebahagian yang ada sudah menunggu dengan membawa beg besar, mungkin pakaian untuk tinggal 3 hari.

Yang berkeluarga terpaksalah tinggalkan keluarga dan aku terpaksa meninggalkan bonda yang sudah uzur benar keadaannya dan itu adalah satu pengorbanan kepada kewajiban yang telah diamanahkan.

Sewaktu memberitahu bonda yang sudah kurang pendengarannya dan aku terpaksa bisikkan keperluan itu beberapa kali kepadanya. Dia memandang berat kepadaku seperti tidak mahu aku meninggalkannya. Akhirnya bonda bersetuju untuk ke rumah adik di Seremban. Walaupun keperluannya cuma untuk 3 hari tetapi bonda tahu dia terpaksa berada di sana untuk seminggu kerana tidak bisa bagiku ke sana di hari bekerja. Bonda bisik kepadaku jangan lupa jemputnya bila tamat kem itu nanti dan aku mengangguk sambil mencium pipi dan dahinya.

Jam 8.00 pagi tiba-tiba kulihat semua bergegas menaiki bas. Man dah panggil rupanya patutlah semuanya meluru ke dalam perut bas! Aku cuma mengalas perutku dengan cekodok pisang dan karipap Kak Sal sahaja. Perjalanan sedikit membosankan kerana perjalanan ke Port Dickson bukanlah asing bagi aku. Barangkali pejam matapun aku masih boleh melihat keadaan sekelilingnya.Man menghitung-hitung mereka yang ada dan aku meladeni fikiranku sendirian.

Sesuatu yang seronok dalam bas itu bila aku dapat melihat wajah-wajah teman-teman sepejabat wanita yang dinaikkan taraf untuk kem itu. Manis-manis sebelumnya dan bertambah manis lagi kali ini. Mereka akan manis untuk 3 hari yang akan datang.

Hadiah & Selamat Pengantin Baru



11 Jun aku dapat hadiah lagi. Untuk hari jadi. Ia yang keduaku untuk tahun itu. Kali ini dari ITNM tempat aku bekerja. Terima kasih kerana tak lupa menghadiahkan staf bila mereka bertambah 'dewasa'. Kalau nak tahu apa hadiahnya itulah hadiahnya. Sebatang pen Parker.

Sekali lagi terima kasih banyak-banyak atau orang yang kuat jati dirinya akan selalu mengaitkan terima kasih dengan daun keladi-kalau boleh berilah lagi. Dalam dunia Melayu penghargaan untuk menyatakan sanjungan dan perasaan terima kasih menyebabkan lahirnya banyak pantun-pantun ucapan terima kasih yang indah dan di warisi zaman berzaman. Seperti dibawah

Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa;
Sekalung budi seuntai bahasa,
pusaka warisan budaya bangsa.

Anak haruan lima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Budi tuan kami terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.

Ada padi adalah beras,
Bertanak nasi periuk tembaga;
Ada budi adalah balas,
Orang berbudi kita berbahasa.

Selamat Pengantin Baru
Tahniah juga pada Khairul yang lahir pada bulan yang sama (2 Jun) cuma awal 2 hari sahaja dariku. Selamat Pengantin baru juga kepadanya dan kepada bekas staf Mohd Hidayat yang melangsung perkahwinan pada awal Jun yang lalu. Maaflah kerana tak dapat hadir. Bonda hamba ada di sini dan selalu tidak sihat untuk ditinggal-tinggalkan. Walau bagaimanapun saya mengiringkan doa buat kedua pasangan agar bahagia berkekalan hingga ke akhir hayat. Amin

Aku cuma senyum sewaktu menerima hadiah itu kerana Encik Mohd Khair bertanya yang ke berapa? Aku menjawab yang ke 24! sebenarnya ada campur-campur lagi. Dicampur nombor yang ada muncul diawal post ini dan dicampur lagi satu dekad.

18 June, 2009

Dari Komuniti Alumni ESQ - Facebook


Tahukah anda bahawa Facebook telah berjaya mengaut keuntungan sebanyak USD300 juta pada tahun 2008? Ini tidak menghairankan kerana ia disokong oleh 140 juta pengguna aktif di seluruh dunia dan sejumlah 8.5 juta foto dimuat turun setiap hari. Tahukah anda bahawa pengasas Facebook, iaitu Mark Zuckerberg dilahirkan dalam sebuah keluarga
Yahudi-Amerika
dan dibesarkan di Dobbs Ferry, Westchester County, New York? Tahukah anda bahawa Mark Zuckerberg semasa menuntut di Universiti Harvard telah menggodam laman sesawang universiti untuk mendapatkan profail peribadi para pelajar tanpa kebenaran mereka? Maka, adakah jaminan terhadap profail peribadi para pelanggan Facebook tatkala kini beliau adalah merupakan CEO-nya? Tahukah anda bahawa Majalah Time telah mengiktiraf Zuckerberg dalam ranking ke 52 daripada 101 tokoh sebagai antara 'tokoh paling berpengaruh dunia 2008รข€², iaitu sebaris dengan nama besar Barrack Obama dan Dalai Lama? Tahukah anda bahawa majalah Forbes Top400 telah menyenaraikan Mark Zuckerberg sebagai individu ke-321 terkaya Amerika daripada 400 individu lain pada 2008? Namun apa yang lebih penting, Zuckerberg merupakan individu termuda pernah disenaraikan Forbes, ketika usianya baru mencecah 24 tahun dengan kekayaan peribadi sebanyak USD1..5 billion. Tahukah anda bahawa Mark Zuckerberg, CEO Facebook adalah merupakan seorang ahli aktif kepada sebuah pertubuhan persaudaraan Yahudi Amerika Utara,
Alpha Epsilon Pi Fraternity (AEPi)?


Sedikit Info tentang AEPi:
1) Diasaskan untuk membantu lelaki Yahudi mencari pasangan Yahudinya.
2) Ia juga bertujuan untuk mengekal dan menguatkan hubungan sesama Yahudi diperingkat sekolah tinggi dan di bidang pekerjaan nanti...
3) Mengekalkan idealisme Yahudi supaya terjaga di sudut nilai, etika, dan menyiapkan peserta untuk menjadi pemimpin negara dan organisasi Yahudi pada masa depan dan dalam pelbagai lapangan bidang profesional.
4) Mark Zuckerberg termasuk dalam senarai alumni AEPi yang masyhur namanya
5) AEPi berkait secara langsung dengan Israel melalui Ikatan Inisiatif Israel
6) AEPi sangat berkait rapat dengan kebanyakan pertubuhan Yahudi/Zionis antarabangsa seperti AIPAC, Hillel, Israel on Campus Coalition, Aish HaTorah, Chabad on Campus, Hasbara Fellowships, B'inai Brith International, Shaare Zedek, Chai Lifeline, Holocaust Museum, dan Gift of Life. Dan tahukah anda bahawa keuntungan Facebook datang daripada iklan-iklan yang dipapar. Semakin banyak pengguna dan pengunjung Facebook, maka semakin banyak pulalah keuntungannya. Pergi ke manakah pula semua keuntungan tersebut? Persoalan paling besar di sini ialah, adakah keuntungan besar yang diperolehi oleh Facebook turut digunakan untuk membiayai dana perang Israel menentang umat Islam di Gaza, Palestin dan umat Islam di seluruh dunia?

Kanvas Kehidupan- Jerat Tidak pernah lupakan Pelanduk

Aini baru sahaja meletakkan ganggang telefonnya. Tapi sejak meletakkan telefon itu dia termenung sahaja. Konsentrasinya terhadap kerjanya tadi telah terganggu. Malah hilang langsung. Dia terkulat-kulat di stesen kerjanya tidak tahu apa yang dia nak buat.

Fikirannya melayang teringatkan suara kenalan lamanya tadi di telefon, Mastura. Lebih sepuluh tahun dia tidak sepejabat dengan Mastura. Rezekinya di tempat kerja barunya sekarang. Suami Mastura - Zul baru sahaja bekerja di tempatnya. Sejak itu Mastura sering menelefon untuk bercakap dengan suaminya Zul.

Ada sesuatu yang terbuku di hati Aini dengan Mastura. Beberapa tahun lalu Mastura pernah menelefon ke pejabat Aini hendak bercakap dengan ketua Aini. Malangnya ketua Aini tiada dan Ainilah yang menjawab bagi pihak ketuanya. Aini memang tahu permasalahan yang diperkatakan oleh Mastura sebab itu dia berani menjawab masalah yang dikemukakan Mastura.

Sayangnya Mastura bukan bertujuan baik dia menelefon semata-mata untuk menyalahkan syarikat tempat Aini bekerja. Apabila Aini cuba menerangkan kedudukan masalahnya Mastura tidak mahu mendengarnya dan dia terus meletakkan telefonnya. Aini menjadi sangat-sangat tidak berpuas hati dan terbuku di hatinya terhadap teman lama yang bertindak melulu begitu.

Imbuhan kepada kesabarannya yang cuba menerangkan masalah sebenar kepada sahabatnya hanya berbalas dengan sakit hati. Itulah yang di simpan oleh Aini dan dia tidak akan dapat melupakan sampai bila-bila.

Sebab itulah apabila berbual dengan Mastura tadi nadanya tidak lagi begitu mesra sebagaimana dahulu walaupun dia tahu dan kenal benar dengan suara Mastura. Dia cuma melayan seadanya sahaja. Pernah Zul datang kepadanya dan bertanya sama ada Aini cam dengan suara Mastura. Aini mengangguk tanda dia kenal. Dan pernah Zul berbisik kepadanya katanya "Jika Aini tahu itu suara Mastura pasti nadanya tidak seperti itu." Aini cuma tersenyum kelat membuatkan Zul bertambah hairan!

Begitulah ceritanya apabila kita melukakan hati sesorang kita pasti tidak akan mengingatinya tetapi orang yang pernah terguris dek perbuatan kita tidak akan pernah lupa dengan apa yang kita buat meskipun dia telah memaafkannya seperti kata pepatah " Jerat tidak pernah lupakan pelanduk meskipun pelanduk selalu lupakan jerat!

17 June, 2009

Kem Motivasi-Selamat berkursus Warga ITNM

Menaiki rakit yang kedalamannya 100 kaki bersama ahli kumpulan gambar koleksi 1996


Selepas penat dengan kerja berkumpulan kami mandi manda di dalam tasik.
Saat post ini tersiar aku dan kawan-kawan seramai 35 orang akan menjalani kursus yang dinamakan Kem Motivasi di Port Dickson, Negeri Sembilan sehingga 20 Jun 2009. Aku terpilih untuk kumpulan yang kedua.

Apa yang terbayang di minda ialah ceramah, makan, aktiviti riadah dan aktiviti dalam kursus yang berkaitan tugas. Kali pertama ITNM menganjurkan kursus ialah pada tahun 1994 semasa Pengarah Urusan pertama Prof Madya Dr. Mohd Zaki. Juga dibahagikan dua kumpulan. Kumpulan aku berkursus di Bayu Beach Resort, Port Dickson dan kumpulan kedua di Bukit Tinggi.

Kali kedua lebih 1996 semasa Pengarah Urusan kedua Datuk Mahpor Baba. Kali ini di Kem Bina Semangat Ampang Pecah (14-16 September 1996). Satu kenangan yang tidak boleh dilupakan kerana banyak aktiviti luar yang dirancang. Permainan dan gerak kerjanya jelas menunjukkan betapa perlunya perancangan bersama dan dan pelaksanaann juga secara bersama. Kerja sebagai satu pasukan.

Permainan yang paling mencabar ialah membina sebuah rakit dari empat biji tong, kayu dan tali dan sesudah membina rakit itu kami di suruh pula menguji dengan menaiki rakit itu. Penuh sarat ahli kumpulan menaiki rakit kecil itu. Ternyata idea bersama dan kami tahu dimana kekuatan dan kelemahan rakit itu. Rakit kami tidak pecah dan berjaya sampai ke darat semula.

Tidak semua kumpulan berjaya. Ada yang pecah rakitnya kerana idea yang tidak bagus (bersatu) dan asyik nak bertekak sahaja sewaktu pembinaannya. Itulah realiti dalam sebuah kumpulan dan masyarakat. Jika tidak bersatu akan hancurlah kita jadinya. Ada rakit yang pecah ketika di tengah tasik yang kedalamannya 100 kaki!
Itulah selingkar kisah lama. Kepada kumpulan pertama yang telah pulang selamat kembali bertugas dengan semangat dan jiwa yang baru. Jaga pejabat baik-baik sepeninggalan kami. Haha.

Jom Baca Buku- The Dam (Empangan)

THE DAM
Empangan

After ten years abroad, J returns home to find his village has undergone cultural and social change. Development has come to the village with the new dam; a highway is being planned and a capitalist economy has engulfed the villagers. The negative effects of development and the unethical, grasping administrators do not escape the worldly J, who sides with the marginalised villagers against unscrupulous development.



The Dam
Empangan

Publisher: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Author: Zakaria Ali
Year of Publication: 2009
ISBN: 978-983-068-351-5
No of Pages: 110
Price: RM25.00

Kindly call ITNM at this number 03 4149 7210 to get your order now or visit MPH bookstore (Alamanda dan Mid Valley).

16 June, 2009

Kepada Semua Warga Emas dan Ahli Keluarga Warga Emas

Sekadar menyampaikan risalah yang saya perolehi di sebuah surau di Ukay Perdana. Kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat melancarkan beberapa program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Program yang dinamakan MESRA USIA EMAS dan OKU (Orang Kurang Upaya) yang berdaftar secara sah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat) tanpa mengira jantina, kaum, agama, pendapatan, kedudukan dan fahaman politik. Pendaftaran skim adalah percuma. Warga emas yang layak mendaftar adalah yang berumur 60 tahun dan ke atas. DAN

Sama ada
1.Lahir dan sedang menetap di Negeri Selangor; Atau
2. Lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1/2/1974 DAN sedang menetap di Negeri Selangor atau bermastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
DAN
3. Bermastautin di Negeri Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun.

Manfaat dari program ini Kerajaan Negeri Selangor akan menyumbang RM2,500 kepada Penama Warga Emas yang telah didaftarkan. RM1,000 akan diberikan dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan kematian. Baki RM1,500 akan diberikan dalam tempoh 60 hari seterusnya. Segala sumbangan ini akan disalurkan oleh ADUN sendiri melalui Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Kelang.

Pendaftaran hendaklah dibuat sebelum 30 Jun 2009. Anda Hanya perlu membawa salinan kad pengenalan bagi ahli, penjaga dan penama.
Mohon maaf penyiaran kandungan risalah ini bukan bermaksud menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti tetapi sekadar menyampaikan maklumat sahaja. Wang yang hendak disalurkan itu adalah juga wang rakyat. Siapa dan bagaimana rakyat mendapatnya semula adalah persoalan kedua. Rebutlah peluang yang telah ditawarkan itu.

15 June, 2009

Di Malam The Frankincense-Mana Setangginya dilancarkan



Gambar atas: Pengerusi ITNM dan SN Prof. Muhammad Haji Salleh, Pn Jurina dan Pn Siti Rafiah. Gambar 2 kiri: Pelakon yang menjayakan persembahan teater Mana Setangginya. Gambar 3 kanan: SN Dato' Noordin Hassan sewaktu pelancaran Mana Setangginya.

Pelancaran Buku The Frankincense karya Dato' Noordin Hassan telah disempurnakan oleh Dato' Saifuddin Abdullah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di pentas teater Panggung Sari, Istana Budaya.

Dengan gimik pelancaran yang sederhana buku itu dilancarkan oleh Dato' Saifuddin Abdullah yang kerap memberi sokongan kepada pelancaran buku dan program anjuran ITNM. Sebelum itu Encik Mohd Khair Ngadiron dalam ucapan awal menyifatkan Dato' Noordin mempunyai semangat seorang pejuang yang menang setelah sepuluh tahun teater Mana Setangginya kembali semula ke Istana Budaya.

Terjemahan The Frankincense merupakan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 di mana ITNM akan menterjemahkan seratus judul karya sastera ke bahasa asing untuk di ketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Apa yang membanggakan ialah naskhah Mana Setangginya ini dapat diterjemahkan dalam waktu tidak sampai sebulan setelah mengetahui naskhah Mana Setangginya akan dipentaskan. Ucapan tahniah disampaikan kepada dua penterjemahnya Sdr. Mohd Bahadun dan Sdr. Malim Ghozali Pk. Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada penaja tiket iaitu Attin Press dan 3F Resources untuk jemputan.

Yang Berhormat Dato' Saifuddin dalam ucapannya pula berkata bukan mudah mencari aktivis yang tahan lama untuk berkarya dan lebih sukar lagi mencari pemikir seperti Dato' Noordin Hassan. Ia adalah langkah yang tepat apabila ITNM menterjemah dan membawanya ke persada antarabangsa.

Proses penterjemahan berlaku dengak agak menarik apabila dalam masa tidak sampai sebulan buku dapat diterbitkan. Dato' Saifuddin menyeru semangat dan kecekapan tiga pihak ini ( ITNM, IB dan Dato' Nordin) dapat dicontohi oleh ahli-ahli politik yang lain.

Pementasan Mana setangginya selepas itu ditonton oleh Sasterawan Negara lain yang hadir seperti Prof. Muhammad Haji Salleh dan sebahagian pemenang S.E.A Write Award yang lain seperti Dato' Baha zain, Dato' Anwar Ridhwan, Dato' Kemala, Dr. Zurina Hassan, Sdr. Zakaria Ariffin, Azizi Haji Abdullah dan lain-lain penulis.

13 June, 2009

Puisi- Khabar Apa Mimpi Itu?



khabar apa mimpi itu
menyapa ibu
ketika subuh mula menyingkap tirainya
membuat ibu sedar
dalam gumpalan gundah
tercungap-cungap datang kepadaku
menjadi pencerita lara yang kalut
di pagi dinginku yang sibuk
aku dibangkit resah mendengar lagunya
sebelum tafakurnya di sejadah

arwah makcik dan kanak-kanak misteri
banjir dan air deras
tandas dan lorong selamat
menyulam menjadi mimpi ngeri
ibu mengurut dadanya
bercerita dalam gelora
akupun dicakar resah
menerawang tafsiran kelam
tanpa menemui titik noktah
mencari maksud
terhadap mimpi mainan tidurnya!

pergilah ibu
pada istirahatmu yang terhenti
biarku pangku kepalamu
dan kutiupkan lagu damai
dari kalimahNya
agar terpadam memori itu
dan kau tidak lagi

dibayangi cerita cemas itu
yang mungkin dikarang
si lembaga penghuni neraka!

Kalamullah bantalmu
tiada zat yang lain
dari Pencipta Alam Semesta
tiada diizinkan terjadi untuk kejadian itu
dan kita diberi pilihan untuk semuanya
mohonlah keampunan atas kealpaan
dalam sujud kala kau menyeru namaNya
sebelum lenamu tadi

Enche
Jun 2009

Kanvas Kehidupan - Aku Sudah Pulih

Tepat jam 1.43 petang telefonku berdering. Seorang wanita pembantu Klinik menelefonku. Baru semalam aku mengunjungi klinik itu dan kata doktor semalam, dalam dua atau tiga hari lagi mereka akan menghubungiku semula setelah keputusan ujian darahku mereka perolehi dari makmal yang mereka hantar. Tetapi dua tiga hari itu dah jadi sehari sahaja. Memang mereka cekap.

Pembantu itu meminta aku meminta aku datang ke klinik esok (ahad) sebelum jam tiga petang tetapi kerana aku ada hal terpaksa menghantar bonda ke Seremban lantaran aku akan menghadiri kem motivasi jadi aku cepatkan temu janji itu kepada hari ini juga. Tidak sabar untuk melihat keputusannya.

Di bilik rawatan Dr. Rafida meneliti catatan laporan darahku dari makmal yang baru diperolehinya. Aku memehatikan sahaja riak wajahnya. Tampak dia tenang sahaja. Dialah juga yang memeriksa aku dan menasihati aku menjalani rawatan tiga bulan dahulu setelah aku tahap kesihatanku merosot.

Setelah dia menerangkan satu persatu disebalik catatan itu aku menarik nafas lega. Semua keputusannya positif. Kolestral dalam badanku telah menurun dengan baik sekali iaitu 4.0 dan paras gula dalam darah juga menurun dari 6.3 ke 5.3. Bacaan tiga minggu sebelum ini lebih baik iaitu 4.7. Tetapi apapun keputusan terbaharu itu masih baik juga.

Aku faham mengapa ianya terjadi begitu. Pertama kerana pemakanan. Sejak ibu ada di rumah aku terpaksa memakan makanan yang ibu hulurkan kepadaku bimbang dia berkecil hati atau aku sengaja menemankannya makan supaya dia berselera makan. Dan yang kedua sehari sebelum menjalani ujian darah aku mengikuti kursus dan sepanjang kursus yang aku ikuti itu makanan yang disediakannya ya Allah..manis-manis semuanya dan tidak banyak yang dapat aku elakkan.

Aku dinasihati supaya mengekalkan diet seperti itu dan pengambilan Lipitor tidak lagi perlu bagi aku. Dan aku juga diingatkan supaya kerap menjalani ujian darah. Iaitu sekurang-kurangnya enam bulan sekali. Mulai sekarang aku sudah boleh untuk senyum sepanjang masa. :)

Kanvas Kehidupan - Kecut Perut Mereka

Kiah dah lama tak buat rawatan muka. Kiah terperasan wajahnya makin banyak dikunjungi kedut. Keringnya pun sudah melarat-larat. Tapi itu cuma perasaan Kiah sahaja. Kawan-kawannya tidak pernah komen apapun. Atau mereka sedar tapi sengaja biarkan agar Kiah kelihatan hodoh dan semakin hodoh.

Lalu Kiah bercadang-cadang mengunjungi teman lamanya yang mempunyai salun rambut dan membuat rawatan muka dan juga make up. Petang itu Kiah melenggang maut berjalan masuk ke dalam salun tiba-tiba dia terhenti di pintu kedai dan cuba menolak pintu yang baru dipasang alat keselamatan. Terkial-kial dia menolak pintu sementara kawannya dari dalam memberikan isyarat yang diapun tidak faham. Beberapa saat pintu itupun terbuka dan Kiah masuk.

Kiah sedikit angin dan merasa hairan mengapa susah nak masuk ke salun hari itu. Tak seperti hari-hari biasa. Lalu JJ tuan punya salun yang unik itupun mula buka mulut bercerita pokpek pokpek. Dua minggu lepas kedai itu kedai itu kena rompak dengan seorang perompak. Astagfirullahaladzim. Meremang bulu ketiak Kiah. "Eh cepat, cepat kunci pintu" jerit Kiah.

Ha, baru Kiah tahu takut. JJ kata habis semua wang tunai, barang kemas, telefon bimbit telah di sapu dek perompak Melayu remaja yang malas nak kerja itu. Semuanya berjumlah RM60,000. Aduh. Bukan barang JJ sahaja yang kena sapu itu tetapi barang-barang pembantu kedainya yang tiga orang itu juga termasuk sama.

Kasihan JJ bercerita dengan nada hiruk biruk. Airmatannya pun dah tak mahu nak keluar lagi. JJ menampak dah lah kena rompak dia kena terajang sampai pengsan. Kejam laknat betul si perompak itu katanya. "Macam mana boleh berlaku?" tanya Kiah pelik.

Kata JJ petang itu entah macam mana sekitar kawasan kedai sunyi sepi. Tiba-tiba datang seorang remaja bertopi keledar dan terus masuk dalam salunnya. Mukanya bertutup dan terus menghunuskan sebilah parang memaksa mereka menyerahkan apa yang ada. Itulah cara paling senang nak dapat harta. Rampas sahaja hak orang lain yang sudah bersengkang mata cari duit.

JJ dan pembantu kedai pula meluahkan hidup seperti dah tak selamat lagi dah kat bumi Malaya ni. Samseng dan macam klimaks dah. Sana sini orang merompak. Baru-baru ini kedai kawannya di Taman Melawati kena rompak. Dia dah beri peringatan tapi jadi juga. Alah perompak sekarang ni dah berilmu. Sebelum buat kerja-kerja terkutuk tu dia dah study dahulu.

Sambil cerita sambil muka Kiah kena tenyeh dengan tepung gomak oleh pembantu JJ. Akhirnya rawatan itu siap dan Kiah yang dah perasan dirinya lawapun keluar dari salun sambil berkata. " Sabarlah ya semua itu dugaan Tuhan.". Kepada yang membaca cerita ini berhati-hatilah beringat sebelum kena. Pasanglah alat keselamatan di kedai anda. Cegah sebelum kena. Jangan melopong gigit jari padahal sebelum itu dah ada kawan yang mengingatkannya.