20 May, 2010

Kanvas kehidupan - Hati Yang Terluka

Tengah hari itu yang tidak mahu aku ingat lagi bila tarikhnya, aku bersama empat orang teman yang baru sahaja pulang dari menjamu mata di sebuah 'shopping mall' yang baru sahaja di buka di Wangsa Maju. Sayang sekali sebuah shopping mall yang gah seperti itu tidak menyediakan tempat makan yang menyajikan masakan tempatan seperti nasi campur. Padahal 'shopping mall' itu betul-betul tumbuh segar di celahan kediaman anak tempatan yang memang cita rasa lidahnya adalah masakan tempatan juga.

Dek kerana itu kami berempat merasa tidak berselera dengan sajian yang ada di situ. Lalu mengambil keputusan untuk singgah sahaja di Setiawangsa dalam perjalanan pulang untuk makan. Rindu aku untuk menjengah tempat lama aku menyewa sebelum aku mengambil keputusan membeli rumah di Ukay Perdana akhirnya tercapai.

Setiawangsa memang tempat kediaman yang sangat aku suka. Namun sekarang kedamaian yang ada kian dinodai oleh pembangunan yang pesat membangun di situ. Untungnya Setiawangsa sebuah kawasan yang agak kecil. Jadi tidak banyak tanah lagi yang berbaki untuk dibangunkan.

Aku bukan ingin bercerita mengenai Setiawangsa tetapi kejadian di medan selera di Setiawangsa. Setelah memakir kereta di pinggir medan selera berhadapan sekolah di situ kami berjalan masuk dan memilih sebuah gerai yang masakannya memang sut dengan lidah kami orang Melayu.

Beberapa ketika di situ ketika sedang menjamah makanan aku terpandang kelibat teman lama di sebuah gerai yang agak jauh dari gerai yang aku sedang menikmati makanan. Aku melihat dia sedang berdiri barangkali sedang menunggu pesanan makanannya. Hendak aku jerit mustahil dia akan mendengar jeritanku. Lagipun jeritan itu pasti mengganggu mereka yang sedang makan di situ. Hendak aku bangun mendapatkannya aku masih menikmati makanan itu. Serba salah aku dibuatnya.

Keghairahan untuk menegur rakan lama itu tidak terhenti di situ sahaja. Aku tidak mati akal. Telefon bimbit yang ada di depan mata aku gunakan. Nama dan nombornya memang ada dalam telefon bimbitku. Aku mendail nombornya ketika rakan-rakan semeja tidak mempedulikan apapun yang aku lakukan kerana mereka sememangnya sedang kelaparan!

Sejenak keghairahan aku menjadi tumpul. Aku tiba-tiba merasa begitu bodoh kerana sangat teruja untuk menyapa teman lama yang tidak sedikitpun ghairah apabila aku melihat dia mengambil telefon bimbit di dalam seluarnya kemudian dia melihat pada skrin telefon itu lalu telefon itu diletakkan kembali di dalam poket seluarnya. Dia masih terus berdiri menunggu dengan sabar makanan yang di pesan.

Seribu satu persoalan timbul di dalam kepalaku mengapa hal itu terjadi? Adakah aku salah masa untuk membuat panggilan telefon! Adakah aku salah tempat untuk menelefon atau aku tersalah kata sebelum ini yang menyebab dia tidak sudi menerima panggilan ketika itu. Tiba-tiba sahaja aku merasakan kerongkongku sudah tersekat dan seakan-akan tidak mahu lagi menerima makanan yang ada.

Begitu selama ini aku menganggapnya sangat berbudi pekerti, berhati mulia baik dan peramah. Rupa-rupanya bukanlah begitu sebenarnya. Dia rupanya hanya memilih waktu atau mungkin juga memilih teman dan keselesaannya atau juga mencari aku ketika dia memerlukan aku! Peduli apa dia dengan keperluan orang lain!

Sehingga teman itu berlalu dengan makanan yang baru diperolehinya lalu aku mengirimkan sebuah SMS kepadanya yang berbunyi. "Amboi..sampai hati tak angkat telefon. Aku nampak kau tadi!" Beberapa minit kemudian SMS itu berbalas "Sorry tangan aku penuh makanan tadi..kau kat mana?" ketika itu aku merasakan aku sudah tidak perlu untuk membalas SMS itu lagi...

10 May, 2010

Seronoknya Pertemuan Itu AD84-88






Kehadiran Prof Mohainie amat bermakna pada hari itu.
(Tengah berbaju serba putih)


Setelah terpisah selama 22 tahun buat kali pertamanya aku dan rakan-rakan bertemu semula dalam pertemuan reunion AD84-88 di Kafeteria Istana Budaya pada 8 Mei 2010 tepat jam 3 petang. Memang teruja sangat dengan hari-hari menjelang pertemuan itu yang menyaksikan kawan-kawan lama yang muda remaja satu waktu dahulu kini berubah wajah menjadi orang-orang veteren.

Amat seronok bagiku yang tiba awal menyaksikan seorang demi seorang kawan-kawan datang dan masuk menjejakkan kaki ke dalam kafeteria. Sesetengahnya amat jauh bezanya penampilan mereka sehingga sakit kepala otak kami memikirkan mereka itu sebenarnya siapa.


Setelah mangsa dapat dikenalpasti maka berderailah gelak tawa kami di dalam Kafetria itu tanpa menghiraukan minoriti pengunjung kafeteria yang kami anggap sesat di waktu itu. Dan entah apalah pula yang difikirkan oleh adik-adik yang bekerja di kafeteria itu pada hari itu kerana kami seolah-olah tidak merasakan wujudnya orang lain ketika itu kerana seronok.

Mengimbau cerita masa lalu yang telah pergi, bercerita pula apa yang telah terjadi selepas berpisah dan mengimbau rakan-rakan yang telah pergi adalah satu saat yang menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan oleh semua yang hadir pada hari itu. Terima kasih Bad dan Lin serta yang lain-lain yang telah menjadikan pertemuan itu suatu realiti.

Kami menantikan Disember 2010 yang akan datang untuk pertemuan yang lebih besar kerana pertemuan pada hari sabtu lepas merupakan pertemuan bagi mereka yang kebanyakaannya tinggal di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan kawasan yang berhampiran sahaja. Semoga Allah memanjangkan usia kita untuk berjumpa dengan pertemuan yang aka datang. Amin

Hari Terakhir Pelajar Amali USIM di ITNM

Pelajar bergambar bersama penyelia Ustaz Syed Ali dan Ustaz Razali

Setelah enam bulan menjalani latihan praktikal di ITNM pada 7 Mei 2010 lalu merupakan hari terakhir bagi lima orang pelajar iaitu Mohd Nor Ikbal Anuar, Khadijah Sjahrony, Nasyita Ahmad Nawawi, Siti Zubaidah Othman dan C W Aima Ismail. Mereka adalah pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang belajar dalam bidang Bahasa Arab dan Komunikasi.


Mereka diraikan dalam majlis ringkas tamat latihan amali di tingkat 4 oleh kakitangan ITNM dari Jabatan Terjemahan dan Penerbitan dengan penyampaian cenderahati oleh Ketua Jabatan Puan Siti Rafiah

13 April, 2010

Al Fatihah Buatmu Allahyarham Jefrey Haji Bujang


Ia benar-benar mengejutkanku. Namun tidak ada kuasa yang dapat menahan selain dariNya. Al Fatihahku buat mu sahabatku dunia dan akhirat. Jefrey Haji Bujang. 1965-2010. Walaupun kita jauh di mata tapi kita sentiasa dekat di hati. Kehilanganmu amat kurasakan. Akurindukan kecoh tawamu teman.

11 April, 2010

Puisi - Khabar Bergulung Rona Hitam




Khabar itu terbang dan hinggap
di dada hari ini
melengkapkan debaran yang ku kira
sudah seminggu kencang tanpa sebabnya
bersarang di sini

Khabar yang bisa mengalirkan manik-manik jernih
dari pancainderaku yang tidak ternilai harganya
merundukkan ceria yang semakin berbalam
dalam diri ini
menyedarkan aku hakikat kehidupan
yang sementara
dan nikmat yang terpinjam tanpa cagaran

ku teguk udara yang nyaman
selepas khabar itu datang
namun kurasakan
duri-duri mula menyucuk kerongkongku
dan bisanya akan mula mengalir
dalam diri anak-anak bonda

saudara-saudaraku
tabahkanlah hatimu
jika rona-rona hitam pada khabaran itu
kian memekat sedikit waktu lagi
kerana Tuhan itu sentiasa mahu menguji kita
sebagaimana dia menguji Nabi Daud dengan kesakitan
dan sekalian hamba yang disayanginya
tunduk dan redalah
pada ketentuanNya
kerana kita semua pasti akan
kembali kepadaNya
suatu hari nanti

Enchelah
April 2010

10 April, 2010

Kanvas kehidupan - Sudah Seminggu Bajunya Yang Sama (Bahagian 1)

Malam itu seperti biasa aku selepas mandi dan bersolat maghrib aku duduk melepak di hadapan tv untuk mengikuti siaran berita. Dah lama benar tak menonton siaran tv kerana sibuk yang memanjang. Kerja-kerja di pejabat dan lain-lain urusan peribadi menyebabkan aku sudah tiada masa untuk menonton tv di waktu malam kebelakangan ini.

Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Ah teman yang sudah lama menyepikan diri menelefon rupanya. Mesti ada hal penting nih. Kalau tidak masakan dia menelefon. Aku mengangkatnya dan tumpuanku untuk menonton siaran berita di tv tadi terhenti dek perbualan yang berlangsung selama hampir 15 minit.

Rupanya dia sedang tersepit dalam rasa kemanusiaannya sendiri dan menyeret aku sama ketika itu. Katanya beberapa hari lepas dia ke hentian bas di Jalan Pahang untuk menghantar anaknya yang akan pulang ke sekolah di Pantai Timur. Di hentian bas itu dia bersolat di sebuah surau. Ada seorang pemuda yang duduk berhampiran dengan surau itu dalam keadaan yang amat bingung katanya.

Pada mulanya dia amat bimbang dan curiga dengan pemuda itu kerana rupanya seperti pencuri kasut, mat gian ataupun peragut. Tetapi dia menghampiri pemuda itu setelah beberapa lama memerhatikan pemuda itu tidak pula mencuri walaupun banyak beg dan kasut ditinggalkan dihadapannya oleh orang ramai yang mahu bersolat di surau itu.

Mengusul apa yang telah terjadi kepadanya lalu pemuda itu bercerita dia datang dari kampung untuk bekerja di Kuala Lumpur kerana di kampung tiada kerja yang dapat dilakukan. Bermula dari kerja di kedai makan dengan gaji yang tak seberapa dia berubah kepada menjaga parkir haram kerana pendapatnya lebih lumayan. Namun kerja seperti itu tidak menjamin hidupnya lagipun ia satu kerja haram. Dia ditangkap pihak berkuasa akhirnya dan dimasukkan ke dalam lokap. Setelah beberapa hari ditahan dia di bebaskan semula.

Sewaktu di dalam lokap dia teringat kepada ibu bapanya di kampung dan dia teringin benar pulang ke kampung untuk memohon maaf dengan mereka dan meminta restu dari mereka untuk memulakan hidup baru. Tidak pula disangka-sangka dalam perjalanan itu beg dan dompetnya pula di kebas orang. Jadi pemuda itu sudah kehilangan punca apa yang perlu dilakukannya tambahan pula dia tidak mempunyai kenalan dan saudara mara di sini.

Temanku lalu menghulurkannya sedikit wang untuk membolehkan dia meneruskan hajatnya untuk pulang ke kampung. Pemuda itu meminta nombor telefonnya sebelum berlepas pulang dengan bas dari stesen itu dengan kata-kata dia akan pulang semula ke Kuala Lumpur setelah berjumpa dengan ibu bapanya di kampung...

30 March, 2010

Kanvas Kehidupan - Makcik Rindu



Beberapa kali juga kak Ya (kakak ku) menyampai hasrat seorang yang ku panggil Makcik ingin melihat aku setelah lebih dari 30 tahun keluarga aku pindah dari rumahnya yang kami sewa.

Bonda melahirkan aku di rumahnya. Aku membesar di rumah sewanya. Lama juga kami tinggal di rumahnya sehingga aku berumur 4-5 tahun aku pun lupa. Sejak pindah di kediaman baru di WMZ di Kota Bharu kami sekeluarga sudah jarang datang ke rumah Makcik.

Kak Ya akhirnya kahwin dengan saudara kami yang tinggal sekampung dengan rumah Makcik. Pun begitu aku tidak terlintas untuk mengunjungi Makcik lagi. Seolah-olah hubungan tuan rumah-penyewa itu sudah tiada lagi.

Suatu hari aku Kak Ya berjumpa dengan Mek anak Makcik di sebuah kenduri. Mek masih ramah. Aku ingat Mek sebab rajin menghidangkan aku air gula dan kami makan nasi cicah budu dengan kangkung dari belakang rumah Makcik! Itu aku tidak lupa.

Mek bilang Makcik sudah uzur hanya boleh mengensot sahaja sekarang tapi masih sihat. Dia kata teringin sangat nak tengok aku setelah puluhan tahun pindah. Ya lah sejak umur aku 4-5 tahun pindah dan sekali sekala datang menjengah dia. Selepas itu berpuluh tahun aku menyepikan diri. Aku fikir apalah sangat diriku anak penyewa rumah.

Apabila aku pulang ke kampung tahun lepas Kak Ya menyampaikan hasrat Makcik kepada aku. Aku masih menyimpan hasrat bertemu Makcik kerana tempoh aku pulang sangat singkat dan jadual terlalu padat. Aku merancang pulang kali kedua dan aku pastikan aku dapat berjumpa dengan Makcik ketika itu.

Hari yang di nantikan itu tiba aku ke rumah Makcik bersama Kak Ya. Kami dua beradik berjalan kaki sahaja ke rumah Makcik di dalam Kampung Batu Dua itu sambil aku cuba mengingati jalan-jalan itu sewaktu kecil dahulu.

Tiba di perkarangan rumah Makcik aku termenung sejenak kerana semuanya sudah berubah. Rumah sewa kami dahulu sudah tak ada. Makcik sekarang tinggal dengan Mek yang telah kematian suami. Masih rumah yang asal tetapi telah diubahsuai. Betapa lama aku tidak datang sehingga rumah itu berubahpun aku tidak sedar. Kak Ya masih sempat menunjukkan kepada aku tapak rumah aku dilahirkan.

Setelah dijemput masuk oleh Mek aku duduk di ruang tamu bersama Kak Ya. Mek ke dapur menyiapkan minuman. Mek kata Makcik ada di dalam bilik sedang solat Asar. Hati aku tak sabar nak jumpa Makcik yang pernah manjakan aku di waktu kecil.

Seketika itu akupun melihat seorang wanita yang usianya 80 tahun dalam keadaan yang amat susah mengensot keluar dari bilik. Sangat pilu dan hiba sekali aku melihatnya. Mek memerhatikan sahaja Makcik mengensot perlahan-lahan ketika dia membawa dulang minuman kepada kami. Makcik mengambil tempat bersila di ruang tamu. Melihatkan Makcik duduk di situ aku dan Kak Ya turun dari kerusi yang empuk untuk duduk di lantai bersama Makcik.

"Oh..dah besar macam gini rupanya" kata Makcik dengan reaksi yang sangat gembira ketika aku bersalam dengannya.

Aku cium tangan Makcik dan pipi Makcik kiri dan kanan. Aku peluk Makcik lama-lama sebab aku sedar Makcik sedang sebak dan menangis ketika itu. Aku malu nak pandang semua sebab aku tahu Kak Ya dan Mek juga sebak ketika itu.

Kami terus berborak selepas itu. Macam-macam Makcik tanya pada aku. Makcik tanya abang, kakak dan adik-adik yang lain. Lepas itu Makcik cerita kepada aku betapa romantisnya Bonda dan Ayahnda ku ketika duduk di rumah sewanya. Sesuatu yang sangat aku ingat dan tidak pernah diketahui oleh adik beradikku yang lain.

Kata Makcik arwah abah selalu uzur di waktu mudanya. Ketika arwah abah tidak larat untuk mandi bonda akan mengambil tuala dan mengelap seluruh badan arwah abah. Setiap petang Makcik nampak dari rumah Makcik bonda lap badan abah setelah penat menguruskan rumah tangganya seharian dengan pelbagai karenah anak-anaknya yang sebelas orang. Bonda sangat tabah walaupun penat sambil lap bonda bernyanyi-nyanyi kecil. Makcik senyum sambil bercerita dan tak sedar aku dan Kak Ya sedang mengalirkan airmata mendengarnya.

Aku juga sempat tanya kepada Makcik di mana pohon rambutan yang aku suka akan buahnya. Makcik senyum lebar. Dia ingat sangat tentang buah rambutan itu kerana setiap kali datang aku akan minta Makcik kaitkan untuknya. Tapi pohon itu sudah Makcik tebang bertahun-tahun yang lalu.

Tiba masa untuk pulang aku mohon diri kepada Makcik untuk pulang. Aku memegang erat tangan Makcik dan menciumnya sambil tertanya sendiri di dalam hati bila lagi aku akan datang ke rumah Makcik. Buat kakakku yang lain, abang dan adik-adik kalau ingat Makcik ziarahlah Makcik yang sedang rindu dengan keluarga kita! Keluarga kita pernah wujud di hati Makcik dan Makcik sekali sekali tidak dapat melupakannya. Terima Kasih Makcik kerana mengingati aku dan pernah memberikan kasih sayang sewaktu aku kecil dahulu.

18 March, 2010

Kongsi Emel - Renungan Jumaat



Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan...

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya...

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka..
Terima Kasih Zaidan

BUKU: Lakaran Masa Depan PBAKL 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 Ke-29 akan bermula esok 19 Mac hingga 28 Mac. ITNM sebagaimana lazimnya akan menyertainya dan kali ini bagi peminat-peminat buku yang ingin meneroka minda penulis pelbagai negara yang diterjemah dalam bahasa ibunda atau minda penulis tempatan yang diterjemah dalam bahasa asing silalah ke gerai ITNM.

Jangan terperanjat kerana kali ini ITNM telah menempah bilangan gerai yang lebih banyak daripada biasa. di Lot C01-C03, C25-C30, C49-C51, Aras 3 Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Pelbagai acara menarik tersedia di gerai ITNM sepanjang PBAKL ini berlangsung. Umpamanya Wawancara Sofa Putih ITNM iaitu sesi bual bicara bersama tokoh terkemauka berkenaan dunia penerbitan, isu perbukuan dan budaya keilmuan yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar. Di antara tokoh yang menanti anda ialah A. Samad Said, Kartunis LAT, Datin Fatini Yaacob, Dato' Saifuddin Abdullah, Faisal Tehrani, Malim Ghozali PK dan Anwar Ridhwan Sasterwan Negara ke-10.

Juga sesi autograf dengan penulis-penulis seperti Faisal Tehrani, Lim Swee Tin, Azizi Haji Abdullah, Bahazain dan AGI di samping pelbagai hadiah menarik menanti anda jika anda membeli buku-buku ITNM. Jadi apa lagi jom ke gerai ITNM.

07 March, 2010

Kanvas Kehidupan- Terlena

Cerita seorang kawan lama. Ku simpan juga lama. Dipaparkan di sini untuk diambil teladannya dan bukan sekadar hiburan semata-mata. Cerita teman kepadaku dengan gelak tawanya yang tidak tertahan-tahan. Katanya memberi nasihat kepadaku jika terlalu letih rehatlah janganlah menyusahkan orang lain.

Dia melalui hari-hari yang padat. Tanggungjawabnya sebagai pengurus di tempat kerja menyebabkan dia terpaksa berkejar ke sana ke mari. Hari itu dia dalam perjalanan ke pejabat setelah keluar bermesyuarat di luar. Tiba di suatu simpang berlampu isyarat kerana lama sangat menunggu dia terlena. Dan nak dijadikan cerita setelah lampu itu bertukar dari merah ke hijau dia masih juga terlena.

Dia rasa dia tak tidur kerana telinganya mendengar bunyi hon kereta di luar sana. Tiba-tiba dia terdengar bunyi orang mengetuk cermin keretanya dan kedengaran suara sayup sayup orang itu bersuara.
"Encik lampu dah berapa kali bertukar hijau..berapa lama nak tunggu."

Dia terpinga-pinga bangun dan di hadapannya sudah tiada kereta lagi. Apabila dia menoleh ke belakang, masyaAllah punya panjang deretan kereta. Ada yang kelihatan mengangkat tangan mungkin sedang menyumpah atau memakinya. Dia juga mengangkat tangan tanda memohon maaf.

Apabila lampu bertukar hijau dia memecut selaju-lajunya kerana meresa amat bersalah dan malu.

03 March, 2010

Puteri itu di Malam Ceritera Legenda- Colmar Tropicale!



Puteri itu akhirnya berani juga ke pentas. Nampak mudah tetapi setiap pergerakan harus dirancang dan memerlukan storyboard. Sekarang barulah kau orang faham ya betapa sukarnya hendak menghiburkan orang!

Ceritera Legenda 2010

Gerun juga mengenangkan nasib yang dilanda phobia untuk membuka dan mengemaskinikan blog ini. Aku cuba merenung ke dalam diri dan memikirkan kenapa keghairahan itu sudah semakin menghilang sedangkan dalam kotak fikiran ini begitu banyak cerita yang terkumpul. Di antara keghairahan yang menghilang dan cerita yang melimpah ruah tetapi jawapannya tiada di situ. Ia sebenarnya kerana kecemburuan masa terhadap aktiviti yang ada. Aku berharap ia tidak berulang lagi.




Gambar 1: aku, Gambar 2: Aku Atie dan Aisyah, Gambar 3: Sesi latihan Tarian Endang, Gambar 4 & 5: Persiapan pentas menjelang Malam Ceritera Legenda dan Gambar 6: Aku bersama Krew yang banyak bersabar dengan karenah kami. Sorrylah semuanya dah over..

Ceritera Legenda

Beberapa minggu yang lepas sebelum tarikh 20-21 Februari aku dan rakan-rakan sekerja terutama yang mereka terlantik sebagai AJK Ceritera Legenda begitu risau dengan kehadiran tarikh itu kerana tanggungjawab amat besar di bahu mereka. Walaupun ia kelihatan santai dan cuma hiburan tetapi bekerja untuknya tidaklah seperti terhibur melihatnya. Maka berhempas pulaslah mereka memerah kepala selepas waktu bekerja mencari idea dan membuat latihan (termasuk di hari cuti perayaan) untuk setiap persembahan yang bakal ditampilkan.

Ceritera Legenda adalah tema Hari Keluarga ITNM untuk tahun 2010. Hari Keluarga ITNM diadakan setiap tahun kebiasaannya temanya tidaklah begitu mencabar tetapi tahun ini ada kelainan sedikit kerana ia melibatkan tema yang bukan begitu mudah untuk direalisasikan. Bukan setakat memakai baju berwarna tetapi ia harus menggambarkan watak dari cerita-cerita legenda sama ada dalam atau luar negeri. Hasilnya lihatlah gambar-gambar yang dirakam ini.

Terima kasih kawan-kawan kerana sporting untuk berpakaian mengikut tema. Terima kasih juga untuk Nor kerana sudi menjadi 'Puteri' ku. Teringat juga hari-hari sebelum menjelang pementasan dengan telatah Nor yang tak senang duduk kerana tidak pernah membuat persembahan. Semoga selepas ini bertambah ghairah untuk naik ke pentas. Syabas untuk semua team Ceritera Legenda khasnya buat Nizan (Floor Manager) kerana banyak bersabar, Shikin, Aisyah, Sabarina, Alia dan Fatehah, serta Saiful dan Atie juga Rohaizah kerana memberi peluang. Atie ITNM, Shuaimi kerana membantu dan juga yang lain-lain tak tersebut namanya.

Peristiwa yang tak dapat dilupakan begitu sahaja petang rehearsal itu apabila tiba masa sekumpulan kanak-kanak yang naik ke pentas membawa bunga manggar dan salah seorang dari mereka begitu teruja sehingga melompat dan hampir merosakkan prop yang ada. Alahai kanak-kanak apalah yang mereka tahu..