03 January, 2009

Yad Menjalani Pembedahan Kecil




Hari ini Yad (Ziyad-anak saudara yang manja denganku) melalui pembedahan kecil membuang ketumbuhan pada lengan sebelah kiri. Ketumbuhan itu semakin lama semakin membesar dan nampak seperti semakin memudaratkannya. Tepat jam 2.30 petang Yad dimasukkan ke Operation Theatre Complex dan 4.06 petang dia dikeluarkan dari situ.

Pada mula untuk membuang ketumbuhan sahaja pada bahu/lengan kiri tetapi atas cadangan Doktor, Yad disunatkan sekali memandangkan Yad dibius dan tidak sedarkan diri. Kagum dengan Yad (5 tahun) sedikitpun tidak menunjukkan rasa gentar ketika menjejakkan kaki ke Hospital Pakar di Bangi.

Aku dan ibubapanya beberapa kali bertanya kepadanya untuk mengetahui sama ada dia faham tujuan dia di bawa ke situ. Memang dia faham 'Nak buang sini' sambil menunjukkan pada lengan 'dan nak potong sini' sambil tunjukkan pada 'burungnya'.

Sedar dari pengsan Yad kelihatan lemah dan masih pening. Yad tidak menangis walaupun ubat bius makin menghilang dan kesakitan makin terasa. Yad cuma pejam mata menahan sakit dan untuk pertama kali Yad minta air kosong setelah dipaksa berpuasa dari pagi.

Maafkan Ayah Lah kerana terpaksa pulang awal. Ayah Lah ada jemputan kawan Ayah Lah buka restoran malam ni. Ayah Lah doa agar Yad cepat sembuh dan cepat dewasa. Ayah Lah sayang Yad dan adik adik.

Puisi-Penari Gurindam Sumbang

Dia datang dan dia pergi
Sedang aku di sini memerhati
Dalam warna yang pelbagai
Tarian demi tarian
Selesai ditari mengikut rentak
Si angkuh menongkat dagu pekak pada irama
Tempurung di lingkaran sempadan sejengkal
Tidak mahu ia memandang jauh
Sedang aku dan kita boleh berada di dalam
Atau di luarnya
Memerhati semua yang datang pergi
Dengan alasan yang tidak berani dinyatakan
Engkaulah yang mengajar rahsia itu
Engkaulah guru kepada nafsumu sendiri
Gurindammu irama yang sangat sumbang
Dalam alunan emosi yang tidak sekata
Bangkitlah jangan tidur lagi
Ceritamu bukan berakhir di sini sahaja
Ada syair syahdu menantimu di akhirat


Enche
3 Januari 2009

02 January, 2009

Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12 2009

'Kelestarian Bidang Penterjemahan'

Begitulah tema Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) Ke-12 pada tahun 2009. PPA diadakan setiap dua tahun sekali dengan penggiliran Institusi Pengajian Tinggi sebagai hos. Pada tahun ini Universiti Sains Malaysia menjadi hos dan ia diadakan di Parkroyal Penang, Malaysia pada 18-20 Ogos 2009. Ianya anjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Persatuan Penterjemah Malaysia(PPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Penaungnya ialah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Mereka yang berminat untuk mengetahui atau menyertai persidangan ini bolehlah melayari di laman sesawang ini:


Apa yang menarik mengenai PPA ialah penyertaan pembentang-pembentang kertas kerja yang terdiri dari pelbagai negara yang terlibat dalam bidang penterjemahan dan ada di antara mereka sangat fasih bertutur dalam Bahasa Melayu.
Tahun Lepas Universiti Malaya sebagai hos tetapi pada saat akhir ITNM mengambil alih tugas tersebut dan ia diadakan di Prince Hotel & Resindence, Kuala Lumpur dengan penaja utamanya ialah Kementerian Pelajaran Malaysia.

01 January, 2009

Blog Enche's Nyaris terkubur gara-gara ingin berubah wajah!

Kerana angan-angan untuk berwajah baru blog ini nyaris terkubur hari ini. Memang dah lama aku berhasrat menukar wajah blog ini kerana dah lama sangat. Beberapa kali mencuba wajah baru akhirnya aku dapati setengah-setengah data hilang. Sebelum itu aku ada membuat back up HTMLnya. Menyedari kehilangan itu aku balik semula ke wajah lama. Namun ada sebahagian data telah hilang. Nasi sudah menjadi bubur, kalau ada telur masin sedap juga makan bubur itu. Tetapi telurpun tak ada waktu itu.

Jika anda perhatikan ada data yang telah hilang. Tetapi sebahagian besar yang penting dapat di selamatkan. Link ada sebahagiannya belum berfungsi dan diharapkan masalah teknikal ini dapat diselesaikan dalam waktu yang terdekat.

Kawan-kawan hati-hati jika ingin bertukar wajah pada blog anda. Buatkan back up dahulu. Jadikan pengalaman ngeriku sebagai teladan dan sempadan. Selamat Berblog dan jangan serik!

Selamat Tinggal 2008 dan Selamat datang 2009

Tahun 2008 telah melabuhkan tirainya dan 2009 menanti kita untuk mencorakkan warna dan cerita di atasnya. Soalan lazim ditanya menjelang tahun baru ialah mengenai azam. Dan jawapan standard yang diterima tentulah inginkan sesuatu yang lebih baik dari tahun sebelumnya.

Biarlah soalan dan jawapan itu sebab kita sentiasa mahu yang lebih baik. Tetapi saya tetap percaya setiap dari kita mempunyai impian di hati apa yang ingin diperolehi pada tahun ini. Cuma tidak dinyatakan apa yang sebenarnya bimbang tidak tercapai kerana itulah lahir jawapan yang klise itu.

Berapa ramai sebenarnya yang mengejar cita-cita yang dipasang sewaktu menjelang tahun baru itu? Dan berapa ramai pula yang cuma menjadikan impian diawal tahun baru sekadar syarat jawapan kepada soalan yang ditanya!

Pernahkah anda mendengar jawapan seperti azam tahun baru ialah untuk mencapai cita-cita yang belum tercapai pada tahun lepas dan jika tidak tercapai pada tahun ini ia akan dibawa pada tahun hadapan. Seperti hutang yang tidak pernah langsai.

Mungkin lebih baik kita kita melupakan sahaja cerita pada tahun lepas dan buka lembaran baru jalan cerita yang baru. Kerana jika kita menyambung-nyambung cerita yang lama ia akan menjadikan kita terus berkhayal dengan kejayaan lama dan kedukaan lama dan ini 'Never Ending Story'.

Saya juga tertanya-tanya mengapa setiap kali menjelang tahun baru orang akan sibuk dengan azam. Siapa yang ingin semak sama ada anda berjaya atau tidak. Diri sendiri sahaja yang tahu dan tidak perlu diheboh-hebohkan. Soalan mengenainya menjadi sinonim dengan ketibaan tahun baru.

Daripada sibuk berfikir perkara yang indah-indah yang bakal dicapai di hari yang akan datang mungkin lebih berfaedah jika kita bermuhasabah diri mengenangkan apa yang telah kita lakukan pada tahun lepas. Menginsafi kekurangan dan kelemahan diri yang menyebabkan orang lain menjadi tidak berpuashati terhadap diri kita.

Akhir kata saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2009 kepada semua pembaca blog enche's. Tolehlah ke belakang dan lihatlah lompang-lompang yang tinggal. Berjalan terus pada tahun ini dan pastikan anda tidak meninggalkan lompang-lompang lagi. Sentiasalah berdoa agar kita terus hidup di dalam keberkatan dan mendapat rahmat dariNya selalu.

Mohon maaf seandainya ada perkara yang disentuh di dalam blog ini sepanjang tahun 2008 mengguris hati dan nurani anda. Aku insan biasa. Ucapan terima kasih juga di atas sokongan berbentuk kritikan dan sumbangan idea dari anda.

Enche's

31 December, 2008

Buku terlaris terbitan ITNM dan terus di cetak ulang


Jika anda ingin mengetahui buku-buku terlaris terbitan ITNM dan terus di cetak ulang, post ini akan memberitahu anda tentang buku yang terus mendapat sambutan itu. Ianya merupakan dua siri iaitu Siri Pembangunan Profesion Perguruan dan Siri Kepemimpinan & Pengurusan Sekolah.

Siri Pembangunan Profesion Perguruan mula dicetak pada tahun 2004 kemudian 2006, 2007 dan 2008. Di antara judul dibawah siri ini ialah:

Inilah Sekolah Idaman Pelajar
Pembelajaran Aktif:101 Strategi untuk Mengajar Apa Jua Subjek
Pengajaran Pakar
Teknik Mendorong Pelajar Belajar…tanpa membunuh semangat mereka.
Mengurus Pembangunan Profesional Di Sekolah
Multimedia Di Dalam Darjah
Pendidikan Moden Jepun


Manakala Siri Kepemimpinan & Pengurusan Sekolah mula diterbitkan pada tahun 1999 seterusnya diulang cetak 2004, 2006 dan 2007. Di bawah adalah judul dalam siri ini.

Belajar Secara Berkesan Di Sekolah
Mengurus Sumber Di Sekolah
Panduan Pengurus Peringkat Pertengahan Di Sekolah
Menyusun Semula Kualiti Di Sekolah
Merancang Kemajuan Sekolah
Strategi Memasarkan Sekolah
Mengajar Secara Efektif
Mengurus Kualiti Di Sekolah
Mengembangkan Profesionalisme di Sekolah

Untuk lebih lanjut atau pesanan anda boleh menelefon ITNM di talian 03-41497210.

29 December, 2008

Kanvas Kehidupan- Di Maki Orang Putih

Waktu tempatan di sini melewati jam 10.15 malam. Suasana malam yang bermula di sini begitu sunyi. Di Albany Hiway, aku bersama teman menyelusuri jalannya untuk menghirup udara malam yang dingin. Seperti terdapat alat penghawa dingin di mana-mana. Aktiviti perniagaan sudah 70 peratus terhenti. Sunyi sekali. Hanya kedengaran bunyi kenderaan yang lalu lalang.
Aku berselisih dengan pemuda mabuk yang bernyanyi entah apa biji butirnya. Hati berdebar ketika dia hampir-hampir dengan aku. Tetiba aku sebuah kereta kulihat ada 3 warga Australia menjerit memaki kepada aku dan teman. Kami berpandangan. Dia fikirkan aku orang hitam. Begitu hinanya orang hitam di sisi mereka? Mungkin bukan semua.

28 December, 2008

Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1430

Assalamualaikum

Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1430H. Semoga semua amalan kita pada tahun yang akan tiba bertambah baik dan diterima oleh Allah s.w.t. Jadikanlah musibah yang menimpa atau kegagalan pada tahun ini sebagai pemangkin kepada kita untuk mencapai sesuatu yang lebih sempurna pada masa akan datang. Dan kejayaan yang dicapai pada tahun ini sebagai permulaan kepada kecemerlangan yang akan digapai pada hari esok

Salam dari kejauhan.

Enche

Meninjau bandar Perth dari King's Park


Pusing-pusing akhirnya aku tiba di King's Park. Bandar Perth dapat dilihat dari atas bukit King's Park. King's Park adalah satu-satunya bukit yang ada di bandar Perth. Sungguh nyaman di sini kerana suasana kehijauannya. Tamannya sangat menenangkan hati. Terdapat pokok 'gum tree' ditanam di sini. Gum Tree adalah dari jenis pokok yang berkualiti dan tahan lama. Sewaktu mula-mula sampai aku sangat 'ghalik'(asyik) memerhatikan tiang-tiang letrik di sepanjang jalan yang menggunakan tiang dari pokok dalam keadaan asli (tidak dimesin). Pokoknya lurus dan tinggi.

Walau bagaimanapun kata teman sekarang pokok itu tidak lagi digunakan kerana mereka sedar jika seluruh bandar Perth menggunakan bahan itu maka berapa banyak pokok Gum akan ditebang! Kerana itu material biasa di tempat kita digunakan untuk tiang-tiang letrik dan tiang lampu.

Di sini (King's Park) juga terdapat Memorial Park bagi memperingati perajurit Australia yang terkorban di medan perang dalam perang dunia pertama dan kedua. Kerajaan Australia telah menjadikan tempat ini sebagai medan memperingati perjuangan askar mereka. Terdapat api yang dinyalakan di kawasan medan yang tidak pernah padam. Dan di sekelilingnya ada dinding separa bulatan yang mencatatkan nama-nama negara termasuk Malay State (merujuk kepada Malaysia waktu itu) di mana askar-askar mereka dihantar oleh kerajaan Australia.

Setiap pejuang yang terkorban telah dihadiahkan sebuah pokok dan ia di tanam oleh ahli keluarga yang terkorban. Pada pokok tersebut di tulis nama dan tarikh mereka meninggal. Terdapat lebih dari 60 ribu pokok ditanam di sini dan ia menjadi hutan simpan di bandar Perth. Perasaan sayu melihat pokok itu seolah-olah ia adalah bayangan kepada mereka yang telah pergi.

Berjalan di pinggir tempat ini, pengunjung dapat melihat pemandangan indah bandar Perth menjelang matahari terbenam. Sungguh cantik. Sebuah sungai besar tidak kelihatan yang terletak antara bandar dan tempat aku berada. Jika kelihatan pasti ianya menjadi lebih menarik.


Nama perajurit pada pokok yang ditanam.
Teman baik yang menjadi host-Ahmad Norly.
Terima Kasih Daun keladi kerana sudi melayani karenah kami.
Di Sebuah medan di Memorial Park , Tercatat nama-nama negara di mana perajurit Australia dihantar sewaktu perang dunia pertama dan kedua. Sebelahnya adalah perajurit dari Malay State!
Pemandangan menjelang senja di King's Park. Waktu 8.30 petang.Memorial Park. Di bawah memorial Park ini tercatat semua nama-nama mereka yang terkorban.

Kongsi Emel-Lawak

Lawak 1
SUAMI : KENAPA SAYANG MENANGIS?
ISTERI : SAYA TELAH BACA SEBUAH BUKU. SAD
ENDINGLAH BANG...
SUAMI : BUKU APA?
ISTERI : BUKU BANK ABANGLAH....

Lawak 2
Pada satu petang, si ibu membawa anaknye berusia4 tahun bersiar2. Menaiki kereta. Dalam perjalanan si ibu membunyikan hon.
Anak : Naper ibu bunyikan hon & saper orang tu?
Ibu : Tu sedara kiter, kenalah hormat.
Dlm perjalanan mereka seterusnya mereka terserempak dengan seekor lembu yang nak melintas lalu si ibu membunyikan hon.
Anak : Itupun sedara kiter jugak ke???

Lawak 3
Aderla sorang lelaki datang ke sebuah rumah untuk meminta derma.
Lelaki : derma untuk rumah orang-orang tua. Seorang budak pun membuka pintu
budak : derma ape bang?
lelaki : derma untuk rumah orang-orang tua. adik ada apa-apa untuk didermakan?
budak : nanti jap. Saya ambilkan atuk saya.
lelaki : ?????

Lawak 4
Tunang Farid, Siti, menelefonnya untuk memutuskan pertunangan ada teman baru. Sebelum tu awak mesti kembalikan semua gambar saya.
Farid : Ok. Tapi saya tak ingatlah yang mana satu gambar awak, Nanti awak pilihlah sendiri. Yang selebihnya kembalikan kepada saya
Siti : Erkkkkkk........ Benci .........

Lawak 5
3 org menaiki motor dan ditahan polis trafik. Namun pemandu motor tersebut tidak berhenti. Katanya, 'Tak Muat Dah Tok, Kami dah bertiga !!!

Lawak 6
Ada 3 sekawan bernama Gaduh, Gila & Bendul. Ditakdirkan Gaduh hilang. Bendul pun membuat laporan polis.
Bendul : Encik, I nak cari Gaduh.
Polis : Adoi. apa la si Bendul ni nak ?
Bendul : I mmg Bendul. Tapi saya nak cari Gaduh!
Polis : #@%

Lawak 7
Dalam kebun ada bermacam buah, tiba2 kebun tu terbakar; semua buah2an musnah kecuali 2 buah je yang terselamat.. buah ape ek?
1. buah cempedak = diluar pagar
2. buah keranji = didalam perahu, dah dibawa belayar... jangan marah haaaa....

Terima Kasih Shukri Shukor

27 December, 2008

Perjalanan

Percaya tak kalau saya katakan di sini sepanjang perjalanan di lebuh raya di sini saya tak pernah jumpa tol. Nak juga tengok bagaimana sistem tol di sini tapi tinggal angan-angan sahaja. Jalan raya memang sibuk tetapi tidak sesak. Saiz lebuh raya dua lane di sini lebih kecil dari di Malaysia tetapi perjalanannya lancar. Dan saya tidak pernah jumpa kemalangan setelah hampir seminggu di sini. Mereka juga tidak gemar membunyikan hon jika anda terlambat.

Saya pernah menoleh beberapa kali apabila melintasi stesen minyak yang mempamerkan harga minyak tidak sampai $1!

26 December, 2008

Aku dan kebuncitanku. Aduh

Setiap langkah di sini mesti nak dirakamkan memorinya. Dan apabila setiap kali melihat memori itu aku rasa pemandangan itu lebih menarik dari diriku yang sudah bertambah buncit! Aduh. Maka selepas sedar akan maju maranya perutku aku terasa malu sendiri dan keadaan itu tidak harus berterusan. Untuk pose yang berikutnya maka akupun terpaksa menarik nafas dalam-dalam dan menjerit kepada teman.

"Cepatlah ambil gambar dah penat ni.."(menahan nafas). Dan teman beberapa kali pernah juga mengenakan aku dengan berkata.
"Okey tahan, tahan. Belum. belum. Tahan..tahan."
Apa lagi aku sudah rasa macam nak pitam. Setelah 'didera' barulah gambarku diambil. Sampai teman selalu berkata aku dah macam Santa Clause! Cuma pakaikan baju merah sahaja.

Entah mengapa sejak tiba di sini aku dilihat teman kuat makan. Mungkin kerana cuaca dingin di sini, membuatkan aku ingin terus-terusan makan agar badan aku terus hangat.