30 December, 2011

Kanvas Kehidupan – Angry Bird






Jumaat seperti biasa waktunya singkat bagi lelaki muslim bekerja dan hendak ke masjid. Minggu ini aku berselipar baru yang dibeli khusus untuk aku buat ambil wuduk. Selipar lama yang aku beli sudah aku pencenkan kerana ia terlalu ringan dan sering membuatkan aku tergelincir di pintu tandas selepas mengambil wuduk. Aku nyaris tercedera bukan sekali dua tapi banyak kali. Itu yang membuat aku ambil keputusan untuk buang sahaja kerana kadang-kadang bukan aku sahaja yang pakai selipar itu. Ia juga dipinjam oleh kawan-kawan yang lain.


Selipar baru aku ialah….jeng..jeng..jeng…Angry Bird warna merah. Entah kenapa aku nak beli selipar Angry Bird tu padahal aku tak tau dan tak pernah kenal pun Angry Bird tu siapa sehingga suatu hari kawan aku berbisik kepadaku di sebuah pasar raya..


"Awak tahu sekarang ini character yang paling popular dan di sukai kanak-kanak ialah Angry Bird".


"Kartun ke Angry Bird tu?" Tanya aku.


Rakan yang lain pula memberitahu "Bukan. Angry Bird ni sejenis games."


"Ooo .." kataku.


Aku tak kisah Angry Bird itu apa tapi rekabentuknya pada selipar itu sangat menarik. Warna merah. Aku beli di pasar malam hari rabu dengan harga RM10.00. Aku pun sempat menayangkan character popular yang ada di selipar kepada kawan-kawan di pejabat. Malangnya selepas tiga hari aku pakai ia hilang di masjid sejurus selepas solat Jumaat! Adui. Agaknya apa niat orang tu pergi masjid dan tergamak nak ambil hak orang lain.


Walaupun demikian aku reda dengan apa yang terjadi. Bukan rezeki aku nak bersama Angry Bird. Sudah takdir aku hanya layak menikmatinya untuk tiga hari sahaja. Beberpa hari selepas itu aku ke kedai untuk mencari ganti selipar itu dan jeng..jeng...jeng aku jumpa Angry Bird baru dikedai dengan harga RM6.90. Adui…jangan percaya pasar malam lagi dan jangan angry kalau pakai Angry Bird!

28 December, 2011

Novel belum bernama

Beginilah gambaran yang sangat sesuai dengan imaginasiku untuk novel terbaharuku yang telah memakan masa hampir setahun ditulis. Gambaran ini amat sesuai dengan keadaan di Pulau Koya. Pulau ini milik Permaisuri Lemau Purut Raja Kayangan Negara Asap Sekepal di dunia. Rakyat yang dihukum buang kayangan dibuang ke pulau ini termasuklah Mek Som dan Mek Jah. Ibu angkat Mek Som dan Mek Jah - Siti Sabariah membawa anak-anaknya ke pulau ini setelah dibenci oleh penduduk Kampung Semut Api dan Kampung Rhu akibat fitnah Hassan, Mat dan Budin.


Di Pulau Koya ini Mek Som dan Mek Jah belajar menjadi wanita sejati dan di sini Mek Jah menemui kekandanya dari kayangan yang memulihkan ingatannya bertujuan memujuknya untuk kembali ke kayangan...

Apakah kesudahan novel pengembaraan yang panjang seperti tidak berkesudahan ini. Nantikan kemunculannya pada tahun 2012.

12 November, 2011

Perintah berkurung dan Hari Pembebasan Comel

Comel bebas...Lama aku fikir tentang nak buat post ini kat blog. Tapi hari ini baru kesampaian. Seharusnya aku sudah lama bermula dengan cerita ini tapi kerana waktu begitu mencemburui aku selama ini.

Comel seekor kucing siam yang jinak sering datang mengunjungi aku kebelakangan ini. Bagaimana ia terjadi suatu cerita yang panjang juga. Nantilah di lain post aku ceritakan. Comel wujud dalam hidupku dengan cara yang amat luarbiasa kerana orang kalau membela kucing dengan mengurung kucing itu di dalam sangkar. Tetapi tidak bagi aku. Mungkin anda akan berkata biasalah itu. Ya memang biasa kalau hidup di rumah teres, ada laman dan kucing peliharaan bermain-main di sekitar rumah.

Aku tinggal di tingkat dua sebuah apartmen yang tidak mempunyai lif. Jadi seekor kucing harus betul-betul kenal rumah tuannya. Begitulah juga dengan Comel. Sering kali apabila bersendirian di rumah aku akan ke balkoni dan memanggil Comel di bawah. Comel dengan pantas akan berlari menaiki tangga mencari rumahku. Jika jeriji berkunci dia akan melompat masuk ke dalam rumah. Begitulah Comel yang pintar.

Comel hidup sangat bebas. Petang dia menunggu aku pulang kerja dan akan menaiki tangga sama-sama hingga ke rumah. Bermalam di rumahku dan pagi akan keluar turun tangga bersama dan menghantar hingga ke kereta. Dia setia memandang kereteku hingga kereta yang aku naiki hilang dari pandangan.

Diringkas cerita ketika hendak pulang berhari raya (korban) minggu lepas aku menghantar Comel ke pusat jagaan haiwan untuk mengelaknya hilang. Itu pernah aku lakukan ketika hari raya puasa baru-baru ini.

Sepanjang perjalanan dan tiba di pusat itu Comel asyik mengiau sahaja minta dilepaskan. kasihan tetapi demi menjaga keselamatannya aku harus buat begitu. pulang dari kampung Comel aku bebaskan. Lihatlah gambar pembebasanya di atas dan video sewaktu di pusat jagaan itu.

02 November, 2011

Kanvas Kehidupan – Pengemis Muda


Sudah lama tidak mengisi blog ini dengan coretan. Al maklumlah sahaja penulis begitu sibuk dengan kerjaya barunya J sebagai penulis novel. Kali ini Kanvas kehidupan ingin mengajak anda merenung satu kejadian yang dialami oleh penulis dan saya percaya anda juga pernah mengalami peristiwa yang sama kerana selagi anda hidup di Kuala Lumpur kita tidak akan dapat lari dari mengalami situasi kehidupan yang sama.


Suatu pagi aku bergegas hendak menziarahi adikku di suatu kawasan di luar Kuala Lumpur. Rindu menjengah di hati kepada adik dan anak-anak saudaraku. Jadi sebelum aku meneruskan perjalanan seperti biasa aku akan pastikan keadaan kereta berada dalam keadaan baik dan juga minyak telah diisi dengan penuh. Maklum sahajalah Kuala Lumpur tidak dapat diduga keadaan jalan rayanya. Biasa tidak jem tiba-tiba tanpa hujan ribut atau kemalangan jalan itu menjadi sesak dengan tidak tahu hujung pangkal.


Tiba si suatu stesen minyak berhampiran dengan rumahku aku ingin mengisi minyak lalu berjalan ke kaunter. Di kaki lima stesen petrol kebanggaan negara itu aku melihat seorang pengemis muda. Mungkin dalam lingkungan umur 25-29 tahun. Dia mengalami obesiti melampau sehingga setiap kali aku lihat dia di tempat itu dia asyik duduk sahaja. Pernah juga aku melihat dia berdebat dengan seseorang di situ. aku beranggapan kalau keadaannya tidak terdesak tak kan lah dia sanggup meminta-minta begitu jadi buat apalah nak berdebat dengan orang yang serba kekurangan begitu.


Hari ini aku tergerak hati untuk menghulurkan bantuan kepadanya. Sekeping not merah aku hulurkan kepadanya sebagai tanda aku simpati kepada keadaannya. Tiba-tiba wataknya segera berubah seperti dia menukar siaran di remote astro. Dia yang tadi kelihatan biasa-biasa sahaja sudah melakonkan watak sedih.


"Bang-bang tunggu." Katanya.


Ketika aku mahu lekas beredar kerana begitulah aku tidak suka berlengah-lengah. Aku terhenti rayuannya.


"Kenapa?"


"Tolong. Tolonglah saya Bang. Tengok ni." Dia menunjukkan sekeping laporan doktor dari Hospital Swasta yang popular di Kuala Lumpur. Wah mampu pula dia ke sana benak hatiku berkata. Aku cuba mengamati adakah surat itu palsu atau benar. Tetapi aku diganggu dengan pujuk rayunya pula.


"Saya sakit bang, minggu depan nak kena operate. Tapi tak cukup duit. "


Aku memujuk hati supaya tidak mudah terpedaya. Di sini segalanya mungkin. Kuala Lumpur bukan sahaja mengajar orang lebih berperikemanusiaan malah ia juga mengajar aku supaya berhati-hati. Tanpa berfikir panjang berasaskan kepada kata-kata orang beragama – jangan berperasangka buruk kepada sesama manusia. Akupun hulurkan lagi not yang lebih besar dari itu.


Aku sangkakan semua drama swasta itu akan berakhir dengan kebahagiaan (happy ending). Anda tahu apa yang terjadi seterusnya? Inilah dialognya.


"Kalau abang ada duit zakat bagilah kat saya bang. Empat lima ratuspun cukuplah. Saya tak ada sape-sape lagi bang. Saya sorang-sorang sahaja. Abanglah yang saya harapkan sekarang."


Aku macam diberatkan dengan kata-kata macam itu. Tetapi waspadapun ada juga. Akhirnya aku menamatkan sesi pagi itu dengan berkata aku akan semak kalau-kalau ada zakat yang masih belum aku lunaskan. Jika ada aku akan cari dia dan terus meninggalkannya. Sepanjang perjalanan itu aku memikirkannya dan dipendekkan cerita drama yang dilakonakan dengan baik itu berjaya membuatkan aku tidak tenang seharian dan mengganggu tidur malamku. Apakah benar orang Kuala Lumpur tidak berhati perut sehingga orang sakit begitu dibiarkan sahaja. Mana wakil rakyat mana ketua-ketua kampung atau ketua agama. Mana peranan mereka. Bersenang lenang agaknya. Rakyat dibiarkan melarat sahaja.


Dan aku berfikir lagi. Aku seorang sahajakah yang baik di sini. Mana taukeh stesen minyak itu sehingga tak peduli orang mengemis di permisnya. Keesokan harinya aku ke stesen petrol itu lagi melalui laluan belakang supaya tidak terserempak dengan pengemis muda itu.. aku menyelinap masuk ke kedai petrol itu untuk berjumpa dan bertanya kakitangan di situ apa yang mereka tahu tentang pengemis muda itu.


Kakitangan itu menunjukkan aku kepada seorang wanita yang karakternya aku rasa dialah empunya stesen petrol itu. "Puan tahu tentang budak di hadapan itu?" aku bertanya.


"Mengapa?" dia bertanya.


"Betul-betulkan dia sakit atau dia memperdayakan orang di sini." Aku bertanya.


Wanita itu senyum. "Entahlah. Tak tahulah Encik." Dia membalas.


Tiba-tiba stafnya menyampuk.."banyak dia dapat duit. Hari itu dia nak tukar wang besar di sini RM80.00 setelah tamat dia mengutip duit lepas tu beli macam-macam di sini..membeli makanan macam orang tak sakit nak makan."


"Dia sendiri datang ke sini?" aku menambah.


"Tak. Ada orang hantar dia dengan kereta. Kalau tak dia datang naik teksi ke sini."


"Dia bermalam di situ?" tanya ku lagi.


"Tak." Selepas itu stafnya yang lain datang dan menyampuk lagi. "Bukan tak ada orang yang nak tolong bawa berjumpa dengan ADUN atau orang kebajikan. Hari ini janji nak bawa dia jumpa dengan seseorang esok. Esok dia tak datang. Lama beberapa hari baru dia muncul lagi."


Okay sekarang aku faham. Aku pulang dan dapat tidur lena tapi sebentar sahaja. Kemudian aku tersedar lagi..oh duit ku! Celakanya! Kuala Lumpur aku terpedaya dalam berhati-hati.

08 October, 2011

Kanvas Kehidupan - Buat Baik Jangan Sekali, Buat Jahat Berpada-pada




Begitukah kehidupan? Kalau aku merasakan pahit ketika ini adakah itu pembalasan yang tuhan berikan ke atas apa yang telah aku lakukan terhadapmu selama ini? Aku masih tidak menemui jawapannya. Sehingga saat ini bermula dari saat itu aku menjadi bingung berfikir dan terus berfikir mengapa SMS aku atas ucapan Selamat Hari Raya tidak berbalas. Mungkin dia tak punya kredit lantas aku mengiriminya pula melalui MukaBukunya pula. Pun tiada balasan. Mustahil dia tidak membuka akaun itu kerana kau seringkali melihat dia mengemaskini akaunnya itu siap memuatnaik gambar-gambar bahagianya.




Pernah keluhan aku didengar oleh sahabat baik. Lantas katanya lupakanlah orang yang sudah melupakan kita. Ingat diri kita sendiri. Betul kata itu tapi tidak semudah itu melaksanakannya. Sebenarnya apa yang terjadi ini bukanlah kekecewaan yang pertama terhadap sikap rakan di sekeliling. Ia adalah ulang dan ulangan. Luahan ini sekadar mengingatkan diriku dan teman-teman yang membaca ini. benarlah pepetah kita menyebut




Buat Baik Berpada-pada
Buat Jahat Jangan Sekali.




Fahamlah maksudku bukan? Tetapi pepatah ini juga kebelakangan ini sering telah dipusingkan kata-katanya tetapi maksudnya masih sama dengan apa yang kita fahami. Pepatah ini sekarang kononya kata mereka sesuai begini



Buat Baik Jangan Sekali
Buat Jahat Berpada-pada.




Maksudnya buat baik jangan cuma sekali, buatlah banyak kali dan buat jahat itu berpada-pada kerana kerana harus berfikir banyak kali jika kita hendak melakukan jahat kepada orang.

02 August, 2011

Ramadan Datang Lagi


Kedatangan Ramadan kali ini tidak seperti sepuluh tahun yang dahulu buat diriku. Biasanya aku menyambut Ramadan dengan bersemangat berbeza dari bulan-bulan biasa tetapi Ramadan kali ini memberikan aku warna yang sangat berbeza. Selalunya bonda akan datang berkampung di rumahku menyambut Ramadan bersamaku tetapi kali ini Bonda memberitahu dia tidak lagi datang kerana keuzurannya. Di telefon Bonda sering meminta maaf dariku kerana menyedari keuzurannya. Beberapa bulan yang lalu lututnya mengalami masalah. Jika bonda datang dia terpaksa menaiki dan turun tangga setiap minggu kerana aku sering bawa Bonda makan angin.


Nampaknya kali ini aku akan bersahur dan berbuka sorang diri sahaja. Jika itu petanda awal untuk membiasakan aku dengan keadaan masa hadapan aku reda dengan ketentuannya. Semalam nasibku baik kerana ada teman-teman yang mengajak untuk berbuka bersama hilanglah aku rasa rindu terhadap bonda.


Semoga keluargaku di kampung gembira kerana kali ini bonda akan berpuasa seterusnya menyambut raya di sana. Tolong jangan jemu untuk melayan karenah bonda, bersabar dengan tingkah lakunya kerana itu sahaja harta yang paling berharga yang kita ada buat masa ini. Selamat berpuasa dan selamat menjalani ibadah puasa semoga kita bertemu di hari raya.

23 June, 2011

Pesta Buku Selangor 24 Jun - 3 Julai 2011

Hai, Pesta Buku Selangor yang akan berlangsung dari 24/6 hingga 3/7 di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam.


Dapatkan buku pilihan anda di sana dan jangan lupa kunjungi Gerai Pelangi di N6 dan N7 Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).


Temui saya bersama penulis-penulis lain di sana pada 2 Julai 2011 jam 3 petang untuk sesi autograf.


Daa...salam sayang!

22 June, 2011

Kanvas Kehidupan : Angkuh kerana Naik Pangkat


Baru petang tadi di pejabat aku menerima memo edaran carta organasasi baru. Carta itu memaparkan kedudukan terkini tentang pertukaran staf ke bahagian-bahagian tertentu dan juga kenaikkan pangkat staf.


Memo yang masih panas sedang tekun aku nak mentelaahnya. Niat di hati cuma untuk mengetahui kedudukan terkini staf. Niat untuk dengki-dengki orang itu dah lama pupus dalam jiwa ini. Seorang teman lama (sebenarnya aku lagi lama) dinaikkan pangkat satu takuk atas dari aku. Turut sama menyibuk untuk melihat carta itu sedangkan saat itu adalah hak aku.

Atas rasa timbang rasa aku membenarkan dia melihat sama. Maka terjadilah situasi di mana aku mahu lihat yang itu dan dia pula mahu lihat yang lain. Dari helaian pertama aku ingin menyelak ke helaian kedua tetapi kawan lama itu masih hendak menatap helaian pertama tadi. Aku mengalah dan terus menatap helaian pertama bersamanya. Ketika itu dia menunjukkan kedudukannya yang lebih tinggi dari aku berkali-kali diulanginya(atau apa maksudnya yang lain aku tidak jelas). Kerana selain dari tunjuk dia juga mendabik dada mengatakan aku nak kata apa tentang itu - jika ditafsirkan ha sekarang aku lebih tinggi dari kau, begitulah lebih kurang maksudnya.


Aku termangu dan sedikit terkedu dengan sikap kawan lama. Soal kenaikaan pangkat sangat sensitif walaupun semua orang aku percaya tidak akan berkata secara terang-terangan mengenainya jika mereka tidak berpuashati dan ia juga berkait dengan soal rezeki dan ketentuan Allah. Jadi buat apalah nak berbangga jika dinaikkan pangkat. Itu namanya bongkak dan riak dengan kurniaan Allah. Aku berisytifar dalam hati kerana tidak mahu berkata apa-apa. Kerana aku tahu jika aku berkata mulut aku ini tiada hadnya. Jika tidak kerana perbuatannya itu mahu sahaja aku ucapkan tahniah kepadanya tetapi melihatkan sikapnya begitu aku rasa kau orang pun setuju kalau aku diam sahaja. Semoga Allah tidak menimbulkan rasa benci aku kepadanya pada, masa akan datang. Aku mohon Allah terus menggembirakannya dan berikanlah juga aku kegembiraan dengan cara yang berlainan pula.


Lalu aku merenung diri sambil berkata - bilalah penantian aku akan berakhir. Akupun dah lama rasa seperti mayat hidup. Sesungguhnya jika 'penantian aku' benar-benar berlaku, aku harap Allah tidak terbalikkan hati aku untuk bersifat bongkak seperti kawan lama tadi. Kalau aku dapat berkata kepadanya tanpa melukakan hatinya mahu sahaja aku katakan begini: Kurniaan yang telah Allah berikan kepada kamu itu tadi cuma untuk duniawi sahaja, baru sedikit tetapi kamu telah memperlihatkan apa yang ada dalam dirimu sebenarnya dan sememangnya kamu adalah manusia yang mudah lupa!

06 June, 2011

Majisnya Pesbuk

Ianya suatu fenomena. Bagai ketinggalan jika tidak memiliki akaun pesbuk. Apa itu Pesbuk? Pesbuk ejaan yang dipermudahkan oleh ramai golongan muda di sini yang sangat popular malah terkenal juga di Indonesia. Pesbuk atau facebook sebenarnya diasaskan oleh Mark Zuckerberg yang dilahirkan daripada keluarga Yahudi-Amerika. Majalah Forbes Top400 telah menyenaraikan Mark Zuckerberg sebagai individu ke-321 terkaya Amerika daripada 400 individu lain pada 2008. Kerana facebook Zuckerberg telah menjadi individu termuda yang pernah disenaraikan Forbes, ketika usianya baru mencecah 24 tahun dengan kekayaan peribadi sebanyak USD 1.5 billion.

Tiga tahun dahulu apabila seorang kawan mencadangkan saya untuk memiliki akaun Facebook saya cuma mencebik di dalam hati dan berkata apa perlunya memiliki akuan itu tetapi sekarang jika bertemu kawan lama atau baru masing-masing selain dari meminta nombor telefon dan alamat emel mereka juga akan meminta nama untuk ditambahkan sebagai rakan dirangkaian sosial itu. Seperti kekurangan apabila menyatakan anda sebenarnya tiada akaun itu.

Ada teman menasihati saya supaya jangan meletakkan butiran diri yang benar atau tepat sebagai maklumat yang boleh di akses oleh manusia dari seluruh dunia. Saya berada dalam dilema kerana seringkali terheret dengan prinsip telus sepanjang masa. Kerana jika meletakkan butiran palsu sebagai butir pengenalan diri itu sendiri telah menunjukkan bahawa kita adalah seorang yang tidak ikhlas terhadap orang lain.

Saya bertanya kenapa perlu menyembunyikan identiti sendiri dia memberikan alasan bahawa tidak mustahil semua maklumat ini akan disimpan oleh pihak tertentu. Jika berlaku peperangan sasaran yang tepat untuk membunuh golongan profesional dapat dilakukan dengan mudah hanya berpandukan maklumat yang telah kita berikan. Saya menurunkan nasihat itu kepada teman yang lain lalu dia pula mentertawakan saya kerana katanya kalau dah berperang lebih semua tempat akan jadi sasaran musuh, tidak hanya berpandukan kepada maklumat di Facebook!

Facebook telah banyak memudahkan manusia untuk memperbaiki hubungan kemanusiaan. Mengeratkan silaturahim. Menemukan sahabat dan saudara lama yang terpisah dengan syarat semua yang menyertainya menggunakan identiti yang benar. Kebelakangan ini ramai kawan-kawan bercerita keseronokan bertemu sahabat lama melalui alumni. Pertemuan di alam siber berubah menjadi pertemuan di alam nyata. Jarak tidak lagi menjadi alasan untuk berkomunikasi.

Tidak dinafikan juga perkenalan di rangkaian sosial juga telah membawa ke jinjang pelamin dan pertemuan sang kekasih lama di dalam facebook juga telah mengakibatkan perceraian dan keruntuhan dalam institusi kekeluargaan. Bagaimana kita melihat kesan yang dibawa oleh kemudahan rangkaian sosial facebook ini? Adakah ianya baik atau buruk jika ditanya tentulah ia akan menimbulkan pelbagai pandangan positif dan negatif. Pokok pangkalnya bagaimana kita menggunakannya. Seperti ubat-ubatan yang mengandungi dadah. Betul cara pengambilannya dia akan menjadi ubat tetapi jika berlebihan atau tidak betul ia akan menjadi racun yang membinasakan diri sendiri.

Pesbuk oh pesbuk. Begitulah majisnya ia. Kadang kala saya suka membuat analisa dan mengkaji tingkah laku kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang menurunkan perbualan di dinding mereka. Seharusnya hal (perbualan) itu dibuat secara tertutup tetapi kerana faktor apa ia sengaja didedahkan sehingga segala rahsia terbongkar dan inilah dikatakan teknologi telah berjaya menelanjangi diri anda. Si dara dengan tidak ada segan silu melafazkan kata cinta pada si teruna. Perlukah satu dunia mengetahui lafaz kata cinta itu dan ianya untuk apa jika hubungan itu masih lagi bukan dalam ikatan pertunangan atau perkahwinan? Sudah hilang segan silunya dan nilai-nilai yang ada dalam sesuatu bangsa mulai terhakis kerana kemajuan yang tidak dibendung. Maka kerana itu bolehkah kita mengaitkan atau menyalahkan kes-kes pembuangan bayi kerana perkembangan teknologi ini? Belum lagi saya katakan facebook telah mengakibatkan kemerosotan persahabatan di dunia nyata kerana keasyikkan menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer riba, telefon atau gadget yang menyediakan kemudahan tersebut mengakibatkan manusia ketiadaan waktu untuk berjumpa sahabat handai secara nyata.

15 May, 2011

Puisi - Masihkah aku dicari

Sudah tenang aku di sini
Kalau dahulu guguplah rasa
Bimbang hilang segalanya
Yang kukumpul di perjalanan

Jadi hairan dibuatnya
Engkaukah yang memilih
Atau angkara siapa
Sang jiwa satu
Hilang dalam perhatian
dipinjam tidak dipulang
dikepung dalam tawanan
Bagai berjuta harganya
diletak tanda harga
yang menunding
berdarah jarinya

Sementara masih mahu
Kutelan perit hempedu
Dan permainan rasa
Bukanlah aku kemaruk
Dengan semua perkara
Bukan aku merajuk
Dengan semua rasa
Bukan mahu dipujuk
Dengan semua noda

Aku sudah tidak punya rasa
Sudah kebal menjadi bebal
Hati batu kian membeku
Deriapun seakan diangkat tuhan
Tiada lagi merasa
Pada panasnya bahang
Jalan nan gelap
Menjadi tegal biasa
Mungkin aku tersilap
Untuk bertakhta di sini

Adakah lagi rindu untukku
Tolonglah khabarkan kepadaku
Wahai Sang Semut
Kerana nasibku
Telah sama dengan Si Buta
Yang berjalan di malam hari

Enchelah
15 Mei 2011

10 May, 2011

Wanita - sasaran simbahan cecair?


Beberapa bulan yang lepas aku mendapat emel tentang kegiatan menyimbah cecair ke muka wanita dan sasarannya ialah wanita Melayu berleluasa di sekitar Kuala Lumpur oleh lelaki bermotosikal. Emel itu menasihatkan agar dapat dipanjangkan emel yang berupa peringatan agar sanak saudara dan kenalan penerima emel tidak menjadi mangsa kepada perbuatan khianat yang tidak dapat dikenalpasti puncanya. Beberapa orang wanita yang menjadi mangsa dikatakan terlantar di beberapa hospital di sekitar Lembah Kelang.


Semalam 9 Mei 2011 - akhbar Utusan Malaysia melaporkan secara rasminya berita itu di dada akhbar di muka hadapan seolah-olah memberi amaran bahawa kejadian itu masih belum reda dan belum ada jalan penyelesaian. Untuk itu kepada wanita-wanita yang mengguna kemudahan perkhidmatan awam di harap dapat lebih berhati-hati ketika berada di jalanraya sama ada ketika menunggu kenderaan atau pun berjalan kaki kerana mereka adalah sasaran utama.


Apa dah jadi ini? Mengapa kamu wahai penjenayah sengaja mewujudkan keadaan suasana yang tidak selamat kepada mereka yang tidak berdosa? Dendam? Kerana apa? Atau kamu sakit mental?

22 April, 2011

PBAKL 2011 – Sesi Autograf Bersama Penulis Pelangi Novel!


Salam Sejahtera dan Selamat Pagi semoga anda beroleh kesihatan yang baik-baik sahaja. Hari ini telah bermula secara rasmi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL 2011). Diharapkan lebih ramai pengunjung akan datang sepanjang 10 hari pesta ini berlangsung dari 22 Mei hingga 1 Mei 2011. PBAKL 2010 telah dicatatkan sebagai pesta buku paling besar setakat ini dengan penyertaan 150 kerana mendapat 855 penyertaan sehingga mendapat pengiktirafan "Malaysia Book of Records" sebagai Pesta Buku Antarabangsa terbesar di Malaysia, dan jumlah pengunjung ke pesta buku tersebut juga telah mencapai angka 1.5 juta orang.


Tahun ini merupakan kali yang ke-30 ia dianjurkan dan diiktiraf sebagai pesta buku terbesar di Negara ini dan antara yang terunggul di rantau ASEAN. Jadi bagi anda yang tidak mempunyai perancangan ke mana-mana kunjungilah PBAKL 2011 ini pasti anda akan menemui bahan bacaan yang sesuai untuk dimiliki. Jadilah masyarakat yang gemar membaca kerana kita tidak akan berubah tanpa ilmu dan salah satu pintu untuk mendapatkan ilmu ialah dengan membaca.


Dapatkan Novel Lembayung Cinta dan temui saya di Gerai Pelangibooks A13 - A22 Dewan Tun Razak, Hall 3 PWTC pada 24 April 2011 jam 2.00 hingga 4.00 petang untuk sesi autograf!


"Buku: Dunia Tanpa Sempadan" ("Books: World Without Borders").