25 December, 2009

Kanvas Kehidupan - Doa Mangga

Yam memang dah masuk dalam golongan warga emas. Yang kebanyakan orang diusianya sudah uzur. Tetapi diwaktu itulah Yam mampu mengumpulkan duit untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Sudah lama Yam berazam untuk ke Tanah Suci. Sejak dia mula mengenal dan memeluk Islam lagi. Sesungguhnya dengan Islam Yam merasa amat tenteram dan tenang. Lagipun sekarang anak-anak Yam sudah besar ada yang telah berkahwin dan ada yang masih belajar. Pendek kata semuanya sudah besar dan tiada masalah kalau Yam nak tinggalkan mereka. Tahulah mereka menguruskan diri mereka sendiri.

Beberapa bulan sebelum datangnya bulan Zulhijjah Yam dah mula jogging. Lari keliling kawasan rumah. Suami Yam pun naik hairan mengapa Yam begitu beriya-iya bersenam. Kata Yam kalau dah sampai di Mekah Yam nanti tak susah, senang nak mengerjakan ibadah di sana. Memang betulpun Yam di Mekah tiada masalah kesihatan dan yang pasti niat Yam yang ikhlas untuk beribadah di sana telah memudahkan Yam di sana.

Suatu peristiwa yang aneh dan ingin dikongsi di sini ialah peristiwa Yam berdoa di Kaabah. Memang di situ adalah tempat yang amat mustajab untuk berdoa. Yam berdoa apa sahaja yang terlintas di hatinya dan tiada siapa yang tahu akan doanya termasuklah suaminya sendiri.

Di kampung halaman Yam selepas beberapa minggu selepas itu orang kampung Yam dah mula heboh dan merasa hairan dengan perihal sebuah pohon mangga di halaman rumah Yam yang berbunga lebat setelah bertahun-tahun tidak pernah berbunga walau sekalipun. Dari bunga bertukar menjadi buah yang sangat lebat dan lazat sekali. Puaslah anak beranak Yam makan buahnhya. Lebih dari itu mangga yang terlalu banyak buahnya itu disedekahkan kepada jiran-jirannya.

Lalu datanglah kawan-kawan Yam menziarahinya dan bertanyakan apakah baja yang Yam letak hingga pohonnya itu tak larat lagi nak berbuah. Yam senyum sambil memberitahu mereka Yam bela pohon itu macam biasa saja tetapi Yam teringat sewaktu di Kaabah Yam sempat berdoa agar pohon mangga yang Yam tanam di halaman rumahnya itu berbuahlah walaupun sekali kerana Yam teringin sangat nak makan buahnya.

Itulah doa Yam yang membuatkan pohon mangga itu berbuah dengan lebat sekali dengan segera dan Yam pun terkejut dalam tempoh sebulan Yam tinggalkan rumah untuk ke Mekah dan bila pulang Yam tengok pohon mangga itu lebat berbunga. Yam rasa sangat bersyukur dan bertambah iman Yam.

Namun setelah beberapa musim mangga itu tidak lagi berbunga. Hanya sekali sahaja. Suami Yam yang sudah tidak sabar dengan lokek pohon mangga untuk berbunga lagi itu terus menebang pohon mangga itu walaupun hati Yam berat membenarkan suaminya menebang pohon itu. Yam agak terkilan kerana Yam hanya berdoa agar pohon itu berbuah hanya sekali. Lupa Yam akan hal itu. Sebab itulah pohon mangga itu hanya berbuah sekali kalau Yam berdoa agar pohon itu berbuah banyak kali tentu pohon itu tak kena tebang.

Yang jelas sejak balik dari Mekah kata anak-anak Yam hatinya sudah tak ada di Malaysia lagi di sini. Yam macam terlalu rindukan Mekah dan kalau boleh Yam mahu lagi ke sana, tinggal dan beramal ibadah selama-lamanya.

No comments: