Hari itu seperti biasa aku ke pusat akupuntur untuk mendapatkan rawatan akupuntur. Orang begitu ramai. Bukan begitu ramai lagi malah terlalu ramai. Mereka yang mendaftar diberi nombor dan akan dipanggil mengikut giliran. Ruang menunggu begitu terhad di Klinik akupuntur sehingga orang ramai terpaksa menunggu di kaki lima permis dan melimpah ruah sehingga ke permis sebelah.
Termasuklah aku yang terpaksa duduk di kaki lima permis sebelah. Sesekali terdengar pembantu klinik menjerit memanggil nombor giliran. Aku mengintai kalau-kalau itu nomborku. Lambat lagi mungkin satu jam aku terpaksa menunggu. Hati sudah menerawang jauh. Mungkin waktu itu aku boleh berfikir apa yang tidak pernah aku fikirkan kerana banyak waktu untuk menunggu.
Pandanganku dicuri oleh seorang lelaki yang kelihatan separa siuman dengan pakaian lusuh di tepi klinik itu. Ada bekalan nasi dan air di sisinya. Saat menikmati makan tengah harinya telah tiba hari itu. Dia berjalan terketar-ketar di tepi tangga tanpa mempedulikan orang ramai di situ termasuklah aku.
Bungkusan berisi makanan diletakkan diribaannya dan dia membukanya perlahan-lahan. Diambilnya beberapa ketul lauk dan beberapa kepal nasi lalu ditabur-taburkan di hadapan klinik. Beberapa orang termasuk aku membeliakkan biji mata melihat perlakuan itu. Kami melihat ke kiri dan ke kanan tiada apa-apa. Hatiku tertanya-tanya apa yang dibuat pemuda itu sebenarnya. Memang sewel kata hatiku. Selepas itu dia terus menikmati makan tengah harinya dengan berselera sekali.
Tiba-tiba aku tersenyum sendirian apabila melihat beberapa ekor burung merpati terbang ke arah makanan yang ditabur-tabur pemuda itu. Merpati itu mematuk-matuk makanan yang ada sehingga habis. Pemuda itu melihat perlakuan merpati itu dengan hati yang puas. Nyata pemuda itu punya dunianya sendiri dan menghiburkan hatinya dengan cara yang sendiri. Ingat jangan mudah berkata orang gila kalau kita sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang kita lihat.
No comments:
Post a Comment