15 July, 2008

Debat Di Balai Tun Syed Nasir

Tentunya kalian ingat aku akan berbicara pasal debat - Hari ini bentuk Kerajaan Esok Harga Minyak akan Turun! Di antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat- Datuk Sri Anwar Ibrahim.
Tentulah isu ini amat menarik perhatian bukan aku sahaja malah seluruh rakyat Malaysia. Ketika itu aku melayari internet sambil mendengar siaran TV tetapi ternyata layaran di internet amat perlahan. Mungkin ramai yang menggunakan internet bagi mengikut perkembangan siaran itu. Aku beberapa kali gagal membuat upload pada blog ku. Lalu aku padamkan komputer dan menumpukan sepenuh perhatian pada debat itu.
Dari awal aku sudah faham ia sekadar debat seperti pertandingan debat yang biasa kita lihat. Tidak akan ada yang menang dan tidak ada yang kalah. Penonton sendirilah yang perlu membuat justifikasi terhadap pendapat-pendapat yang dilontarkan.
Ia sekadar untuk meredakan ketidakpuasan hati dan pendapat mengenai kenaikan harga minyak. Logiknya harga minyak dinaikkan oleh sebelah pihak dan logiknya harga minyak diturunkan pada sebelah pihak. Masing-masing memang sudah bersedia dengan hujah.
Kerana sudah dapat mengagak bagaimana perjalanan debat itu akan berlangsung maka ada ketikanya fikiran aku menerawang melihat pergerakan kamera di dalam Dewan Tun Syed Nasir yang dahulunya di panggil Balai Budaya, masih tidak banyak berubah sebagaimana dahulu kecuali nampak anggun dinding senibina melayu kerana dinaiktarafkan.
Lima belas tahun dahulu. Di atas pentas di mana berdirinya dua tokoh pendebat itulah aku beberapa kali naik dan turun pentas bersama rakan-rakan lama di Dewan Bahasa dan Pustaka - Kak Kam, Amiruddin dan Roslin untuk merebut gelaran Juara Pantun Sempena Minggu Sastera 1993. Bukan mudah melaluinya. Beberapa pusingan yang memakan masa hampir dua minggu.
Pasukan kami layak ke pusingan akhir dan di atas pentas itu pasukan kami menang sebagai Juara Pantun dan aku dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik Keseluruhan. Di situlah aku bertemu dengan idola pantun Malaya aku saudara Chuari Selamat. Pertandingan akhir dibuat untuk rakaman radio dan Sabri Yunus rakanku menjadi pengacaranya. Kehadiran isteri Profesor DiRaja Engku Abdul Aziz- Azaz Aziz membuatkan aku sangat terharu masakan tidak aku masih muda ketika dan dapat mengalahkan mereka yang berusia terdiri dari penulis, pelakon, editor dan pelbagai bidang lagi.
Jadi nasihatku kepada adik-adik jangan jadikan faktor usia sebagai penghalang kepada apa yang kita minat jika Allah telah berikan kita bakat atau kelebihan berjalanlah tanpa menoleh ke belakang tetapi bila berjaya jangan pula mendongak langit!
Jue, Suhaimi dan Kak lida masihkah kau ingat?

No comments: