30 August, 2009

Catatan Perjalanan - Ke Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-12


Pantainya memang tenang dan damai.

17 Ogos
Pertama kali bagiku menyertai Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) di luar Kuala Lumpur. Sudah tentu ia mencatatkan kenangan baru yang tidak dapat dilupakan. Perjalanan ke Pulau Pinang bermula sehari sebelum persidangan.

Agak beruntung kerana dalam kumpulan kami terdapat dua bekas pelajar USM dan sudah tentu mereka amat mahir selok belok Pulau Pinang dan tidak terkecuali dengan kawasan Batu Feringghi. Kumpulan yang bertolak dengan menaiki kereta dan van ialah tiga kumpulan dan kami adalah salah satu daripadanya. Mereka (Shikin dan Fatehah) ketagihan Laksa Penang di Batu Feringghi rupanya. Sebaik sahaja kereta yang kami menjejaki kawasan persidangan Laksa Power (di sebuah lokasi di Batu Feringghi) menjadi habuan kami.

Shikin melepaskan kempunan Laksa Power agaknya kalau Tsunami datang pun dia tak dulik...

Sebelah malam ada taklimat untuk semua ahli jawatan kuasa PPA 12 dan taklimat diberikan oleh Dr. Hasuria.

18 - 19 Ogos
Persidangan bermula. Aku menjadi pelapor tugas yang belum pernah aku buat sebelum ini. Tugasan pertama untuk Kertas Dasar kedua sesi perasmian dan aku bertugas dengan Puan Hajah Zaiton Abdul Rahman seseorang yang bukan asing bagiku. Kebetulan kami adalah mantan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berbeza beliau mantan kerana berpencen dan aku kerana berhijrah ke ITNM.
Puan Hajah banyak membantu aku untuk tugasan itu dan ia menjadi panduan kepada keseluruhan tugasku untuk PPA 12 kali ini. Terima kasih banyak-banyak.

Malam 19 Ogos ada makan malam di Pen Mutiara Curry House sempat berjumpa rakan-rakan lama di DBP sewaktu mereka Bahagian Terjemahan


Rakan lama Kak Nor, aku, Kak Tim dan Aliah

20 Ogos
Hari terakhir pembentangan dan ada pelancaran buku ITNM. Sebanyak 8 buah buku ITNM telah dilancarkan pada hari itu dan sayang sekali aku terpaksa menyiapkan laporan dan tidak dapat menghadiri majlis itu.


Inilah 8 buah buku ITNM yang dilancarkan sewaktu Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-12. Judul-judul itu saya akan perkenalkan kepada anda dalam ruangan Jom baca Buku dalam post akan datang.

21 Ogos
Hari terakhir telah berlalu semalam dan kebanyakan rakan-rakan telahpun kembali semalam cuma kami berempat (Nizan, Shikin, Fatehah dan aku) kemudian bersama Puan Siti Rafiah dan Puan Noraniza sahaja yang belum pulang kerana ada tugasan yang belum selesai iaitu untuk melawat makmal bahasa di Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, USM bertujuan untuk dijadikan panduan membangunkan prasana yang sama di Unit Latihan dan Kejurubahasaan ITNM.


Sesi penyampaian cenderamata kepada rombongan ITNM oleh pihak USM - Prof. Madya Dr. Tengku Sepora berbaju merah.

Selesai sahaja misi itu kami singgah ke bandar Pulau Pinang mencari ole-ole (sudah tentunya jeruk) untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur. Dan kami menjejaki Kuala Lumpur jam 9.00 malam dan beberapa jam selepas itu bersahur. Ramadan sudah tiba rupanya!

27 August, 2009

Kongsi Emel - JANGAN MENCARI TERLALU “SEMPURNA”


Jika kamu memancing ikan……
Setelah ikan itu terlekat di mata kail……
Hendaklah kamu mengambil ikan itu……
Janganlah sesekali kamu LEPASKAN
ia semula kedalam air begitu sahaja…….
Kerana ia akan SAKIT
oleh kerana bisanya……
Ketajaman mata kail kamu & mungkin ia akan MENDERITA
selagi ia masih hidup……

Begitulah juga……

Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang ……
Setelah ia mulai MENYAYANGI kamu……
Hendaklah kamu MENJAGA hatinya……
Janganlah sesekali kamu terus MENINGGALKANNYA
begitu saja……
Kerana dia akan TERLUKA
oleh kenangan bersamamu……
dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN
segalanya selagi dia masih mengingati kamu……

Jika kamu MENADAH
air biarlah berpada……
Jangan terlalu berharap pada takungannya dan menganggap ia begitu teguh……
Cukuplah sekadar untuk KEPERLUANMU sahaja……
Kerana apabila ia mulai RETAK ….
tidak sukar untuk kamu menampal dan memperbaikinya semula……
Dan bukannya terus dibuang begitu sahaja……

Begitulah juga……

Jika kamu sedang memiliki seseorang….
TERIMALAH dia seadanya……
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan mengganggapkan dia begitu istimewa…… Anggaplah dia manusia biasa……
Kerana apabila dia melakukan KESILAPAN ….
tidaklah sukar untuk kamu MEMAAFKANNYA
dan MEMBOLEHKAN hubungan kamu akan TERUS
hingga ke akhir hayat
Dan bukannya MENGHUKUMNYA dan
MENINGGALKAN dia begitu sahaja kerana kamu merasa terlalu kecewa dengan sikapnya Lalu semuanya akan menjadi TERHENTI begitu sahaja……

Jika kamu MEMILIKI sepinggan nasi……
Yang kamu pasti baik untuk diri kamu……
Yang MENGENYANGKAN dan BERKHASIAT ……
Mengapa kamu berlengah lagi? Cuba mencari makanan yang lain……
Kerana terlalu ingin mengejar KELAZATAN ……
Kelak, nasi itu akan BASI
sendiri dan kamu sudah tidak boleh menikmatinya lagi……
Kamu akan MENYESAL ……

Begitulah juga……

Jika kamu telah bertemu dengan seorang INSAN ……
Yang kamu pasti boleh membawa KEBAIKAN kepada dirimu……
MENYAYANGIMU …. MENGASIHIMU ….dan MENCINTAIMU ….
Mengapa kamu berlengah lagi? Cuba MEMBANDINGKANNYA
dengan yang lain……
Terlalu mengejar KESEMPURNAAN ……
Kelak, dia akan BERJAUH HATI
dan kamu akan KEHILANGANNYA
apabila dia menjadi milik orang lain……
Kamu juga yg akan MENYESAL
dan tidak ada gunanya lagi……

Oleh itu janganlah kita terlalu mengejar KESEMPURNAAN
kerana ia bukanlah faktor utama KEBAHAGIAAN yang sempurna,
sedangkan jika kita boleh memaafkan KESILAPAN
orang yang kita sayang dan akur dengan KELEMAHANNYA
sebagai manusia biasa serta BERSYUKUR
dengan apa yang kita sudah MILIKI
kita akan BAHAGIA, BAHAGIA
dan terus BAHAGIA …itu lebih BERMAKNA !

“Begitu hidup ini tiada yang abadi yg patah Kan tumbuh yang hilang Kan berganti, namun yang berganti tidak mungkin sama seperti yang hilang”

Terima Kasih Rahimah

26 August, 2009

Hotel Halal di Malaysia

Saya ingin memetik dari akhbar Mingguan Malaysia Ahad 23 Ogos 2009.

Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Hotel Malaysia, sehingga Mei lalu, hanya 27 hotel di seluruh negara yang dapur utama mereka diiktiraf halal. Baca seterusnya di sini.

Saya amat terkejut dengan berita itu. Berita mengenai dapur utama hotel yang diiktiraf halal oleh Jakim hanya diketahui pada bulan Ramadan dan ia seperti memberi panduan dan mengingatkan umat Islam berbuka di hotel yang dapurnya halal!

Apa hal dengan bulan-bulan lain dan mengapa tidak memberi label supaya umat Islam di sini dapat mengenali hotel yang menyediakan makanan halal! Berita itu benar-benar mengetuk kepala saya kerana ia seperti "Lu sendiri mau makan Lu sendiri pikir(cari kehalalannya)!"

Maknanya jangan makan sembarangan di hotel. Berita itu tidak pula menyiarkan nama 27 hotel yang dapurnya halal. Saya faham kerana jika ia berbuat demikian seolah-olah hotel itu disabotaj. Jadi bagaimana kita boleh mengenalinya. Baca di sini.

25 August, 2009

Kanvas kehidupan- Kenangan Ramadan

“Apakah kenangan Ramadan yang tidak dapat kau lupakan?” Aku tanya pada Diya. Dia terdiam dan kelihatan seperti cuba mengingatkan apa yang pernah dilaluinya di bulan Ramadan beberapa tahun yang lalu.

“Berbuka puasa di restoran sorang-sorang! Ya berbuka sorang-sorang macam orang gila!” Diya membalas sambil mengangguk-ngangguk seperti baru mengingati peristiwa itu.

“Kenapa boleh jadi begitu?” aku bertanya.

“Masa itu aku berkenalan dengan seorang Pak We baru. Dia call dan tanya bila nak berbuka bersama. Aku dengan mudah dan ikhlas memberikan jawapan dan dia pun bersetuju.” Balas Diya.

“Sampai sahaja di restoran itu aku terus membuat pesanan makanan dan merasa sangat teruja untuk berjumpa dengan Pak We baru itu. Satu meja aku order penuh, ye lah itu kali pertama kami nak berbuka bersama sejak berkenalan, biarlah sampai pecah perut.” Diya ketawa sambil bercerita.

“Habis itu apa yang jadi?” Tanya aku.

“Habis tu apa yang jadi...makanan yang penuh meja itu tak habis! Duit aku yang habis. Sampai hati dia buat macam itu. Aku sebenarnya tak kisah kalau pasal makan ni. Janji tak membazir.” Nada Diya mula berubah.

“Itulah mengapa kau tak janji pergi sama-sama. Kalau tidak tentu tak jadi macam itu.” Aku kata kepada Diya.

“Aku dah buat cadangan macam itu tapi dia kata tak apa dia akan datang sendiri. Sudahnya aku yang malu sendiri apabila semua orang dalam restoran itu pandang-pandang ke meja aku yang penuh dengan makanan apabila waktu berbuka tiba tetapi aku sorang-sorang sahaja di situ. Mau saja aku ajak waiter di situ makan bersama aku.” Diya menyambung cerita dan aku terasa seperti digeletek.

“Sudahnya aku minta waiter itu bungkuskan sahaja makanan yang tak berusik itu dan aku sedekahkan pada Jaga yang bertugas di bangunan pada malam itu.” Sambung Diya.

“Memang dah rezeki Jaga di situ hari itu nak berbuka dengan juadah restoran mewah itu agaknya.” kataku sambil tersenyum.

Diya memandangku dengan wajah blur.
Moralnya: Janganlah membazir di waktu berbuka dan tepatilah janji.

24 August, 2009

H1N1 - Perkembangan Terkini

Untuk mengetahui perkembangan terkini H1N1 sila ke laman sesawang di bawah

Kata-kata - Ucapan Menyambut Ramadan

Marhaba Ya Ramadan. Ya Allah muliakanlah saudaraku yang baik ini. Bahagiakanlah keluarganya. Berkatilah umur, rezeki dan kesejahteraannya. Kuatkan imannya, tinggikan darjatnya. Eratkan persaudaraan kami. Kabulkan doa-doanya. dibuka luas padanya pintu syurga tanpa sempadan. Semoga ibadah yang dijalankan merupakan perwujudan imanan. Wahtasiban Amin YARABBAL AL AMIN. Selamat menyambut Ramadan Al Mubarak.

-Terima kasih Manaf atas ucapan dan doamu di SMS-

23 August, 2009

Selamat Pengantin Baru - Nur Liyana (Yana)

16 Ogos 2009 (AHAD) bertempat di Dewan Kompleks Muhibbah Tmn. Bolton Taman Bolton, Jalan TIB 1 Taman Bolton, 68100 Bt. Caves Selangor menjadi hari bersejarah buat Nur Liyana Baharum atau yang saya panggil Yana sahaja kerana hari itu beliau telah di perkenankan untuk menjadi Raja Sehari bersama pasangannya Kamar Syaiful Bahrain Kamarudin.

Seminggu sebelum itu Yana telah selamat dinikahkan. Yana mengapa kahwin hampir dengan Ramadan? Bukan apa takut terbabas je. Hahaha. Jangan Marah ya Yana!
Kedua mempelai tiba untuk diraikan

Rakan-rakan Yana yang sempat melaram di hari bahagianya,
Nana, Wati, Dayah dan Shikin (Amboi korang, ini bukan majalah hiburan...
dah pakai baju raya ke?)

Juga teman Yana dari ITNM yang hadir, Sue, Zai, Eva Ain dan Mai

Pengantin disajikan dengan persembahan silat

Yana dan suaminya. Selamat Pengantin Baru.

Itu dia hero si Yana. Yana aku lupa nak tanya kau, kau ni nak berapa dozen anak? Kelaskan mulut aku! Ops maaf bulan puasa tak sengaja. Sekali lagi dari aku Selamat Pengantin Baru, semoga jodoh kau bersama suami berpanjangan hingga ke akhir hayat.

22 August, 2009

Selamat Berpuasa

Ramadan menjelma lagi saban tahun tanpa jemu. Ramadan yang datang membawa rahmat Allah yang di dalamnya terdapat Lailatulqadar. Amalan yang paling banyak digandakan pahalanya dan malam lailatulqadar untuk mereka yang dipilih oleh Allah. Sama-samalah kita menadahkan tangan memohon supaya kita adalah orang-orang itu.

Selamat berpuasa kepada semua yang sedang berada di sini. Yang mengunjungi blog ini secara sengaja atau tidak saya mendoakan agar kita akan terus dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah s.w.t. agar dapat menjalani ibadah puasa dengan cemerlang dan sempurna seterusnya mendapat keberkatan dan rahmat dariNya yang dicari-cari oleh semua.

Elakkan membazir dalam apa sahaja yang kita lakukan terutamanya ketika untuk berbuka. Nafsu lapar akan sentiasa menggoda kita untuk sentiasa melakukan pembaziran dan sama-samalah kita berjuang untuk melawan nafsu buruk yang sekian lama menguasai kita selama ini. Jadikan ramadan permulaan kepada semua kebaikan.

Pohon maaf agak lama juga tidak mengemaskinikan blog ini kerana kesibukan menjadi urus setia Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-12, di Pulau Pinang yang baru sahaja selesai. Alhamdulillah.

17 August, 2009

Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12, 2009

Seperti yang digembar gemburkan sebelum ini Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12 akan berlangsung di Hotel Park Royal Pulau Pinang pada 18-20 Ogos 2009. Ia diadakan dengan Persatuan Penterjemahan Malaysia dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia, Insitut Terjemahan Negara Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Maklumat lain yang boleh anda perolehi mengenai hal ini ialah di laman rasmi USM dan diblog Prof. Abdullah.

15 August, 2009

Teater Faisal Tehrani di ITNM


ITNM semakin mencipta sejarahnya sendiri kebelakangan ini baik dari segi pencapaian berasaskan matlamat penubuhannya dengan kejayaan menerbitkan karya-karya yang mula mendapat perhatian umum. Rententan itu nama ITNM tiba-tiba menjadi besar dan seperti baru terasa kewujudannya. ITNM menjadi besar seperti diawal ia mula dilahirkan. Di mana ia seperti lubuk emas dan semua orang mahu datang. Bila emas dah kurang orang pun dah tak mahu dan ia ditinggalkan. Kini ITNM tidak lagi dipandang sepi dan remeh.

Seketika juga bisik-bisik suara yang kehairanan kedengaran dengan soalan mengapa sebelum ini unit penerbitan hendak ditutup seolah-olah bidang itu tidak boleh dihidupkan untuk 'mencari makan' walhal sebenarnya apa sahaja jika kena cara dan gayanya semua akan menjadi. Seperti 'Iron Chef' seorang tukang masak yang handal akan menjadikan segala ramuan di sekelilingnya resepi yang akan membuahkan hidangan yang lazat dan tidak pernah terfikirkan! Marilah kita menari kerana lantai sebenarnya bukan jungkang jungkit tetapi harus ingat kita ada irama untuk ditarikan.

Sebelum ini ITNM tidak pernah mengadakan acara yang mengajak orang ramai untuk hadir dan menikmatinya. Iyalah ITNM bukan suatu badan untuk menyuburkan dan memperkembangkan persembahan demi perkembangan sastera negara. Jika itu menjadi suatu komitmen baru ITNM tidak dapat digambarkan betapa sibuklah nanti kepala-kepala di ITNM akan bekerja untuk itu.

Walaupun demikian dua tahun kebelakangan ini dapat disaksikan ITNM telah mengadakan dua persembahan bagi mengenang Sasterwan Negara. Pertama pada 12 Julai 2008 'Malam Sebutir Bintang Dalam Kenangan-Usman Awang' telah mengubah wajah perkarangan Wisma ITNM kepada suatu pandangan igauan nyata yang tidak pernah terlintas.

Pada tahun ini 8 Ogos 2009 sekali lagi ITNM telah memilih tokoh Sasterawan Negara Datuk Dr. A. Samad Said sebagai ikona untuk diserlahkan. Walaupun beliau sebutir permata yang telah bersinar tetapi majlis itu telah memberikan satu signifikan betapa pentingnya sumbangan sasterawan dalam pembangunan negara. Ia suatu peristiwa kesinambungan mengangkat sasterawan dengan cara mengajak khalayak menghayati karyanya melalui berbagai interpretasi persembahan.

Kita mengharapkan usaha yang tidak pernah dibuat sebelum ini akan menjadi acara tahunan yang dinantikan oleh peminat sastera saban tahun dan tokoh-tokoh yang akan diangkatnya tidak hanya kepada Sasterwan Negara malah akan meliputi Pemenang S.E.A Award dan juga Sasterwan lain.

Apa yang ingin saya katakan sehingga melalut kepada dua persembahan besar yang telah diadakan oleh ITNM ialah Dewan Utama ITNM telah mencipta sejarahnya apabila membenarkan persembahan teater 'Kopitiam Ghadir' dipentaskan di situ. Sebuah karya penulis muda yang semakin dikenali ramai dengan karya-karya sastera yang hebat siapa lagi kalau bukan si Faisal Tehrani. Persembahan ini melalui tulisan Faisal di blognya mengalami masalah seterusnya dinasihatkan supaya mendapat kebenaran daripada pihak berwajib agama. Ia pada asalnya dijadualkan dipentaskan di Stor DBP dipindahkan pada saat-saat akhir.

Beberapa hari sebelum itu ketika menghadiri 'Wacana Intelektual DBP' yang bertajuk "Manusia, Peristiwa, Idea dan Penghasilan Karya Besar" saya dibisikkan staf DBP yang kehairanan mengapa Faisal seperti merajuk dengan DBP sekarang!

13 August, 2009

Dari Komuniti Alumni ESQ - 9 Jenis Anak Setan

Sembilan jenis anak setan

Peringatan untuk kita setiap hari dimana syaitan2 kurang ajar ini mengganggu hidup harian yang mungkin selama ini kita tidar sedar! hasutan mereka. Sampaikan kepada sekalian muslimin/muslimat yang lain semoga menjadi pedoman hidup hingga ke akhir hayat, Insya'Allah. Umar al-Khattab r. a berkata, terdapat 9 jenis anak syaitan

1. Zalituun
Duduk di pasar/kedai supaya manusia hilang sifat jimat cermat. Menggoda supaya manusia berbelanja lebih! dan membeli barang-barang yangtidak perlu.

2. Wathiin
Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah.

3. A'awan
Menghasut sultan/raja/ pemerintah supaya tidak mendekati rakyat.Seronok dengan kedudukan/kekayaan hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

4. Haffaf
Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang yang berada di tempat-tempat maksiat (contoh : disko, kelab malam & tempat yang ada minuman keras).

5. Murrah
Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yg sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah. Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamour etc.

6. Masuud
Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yang mula dari kata-kata mulut.

7. Daasim
(BERILAH SALAM SEBELUM MASUK KE RUMAH...) Duduk di pintu rumah kita.
Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumahtangga (suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan pelbagai bentuk kemusnahan rumahtangga lagi).

8. Walahaan
Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwuduk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat kita yang lain.

9. Lakhuus
Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api/matahari.

12 August, 2009

Tahniah Datuk Dr. Anwar Ridhwan Sasterawan Negara ke-10

Saya mendapat berita ini agak awal iaitu pada petang Datuk Dr. Anwar Ridhwan dikhabarkan sebagai Sasterawan Negara yang baharu. Sekalung tahniah kepada Datuk Dr. Anugerah ini bukan sahaja memberikan impak kepada individu yang bernama Datuk Dr. Anwar Ridhwan tetapi memberikan pengiktirafan sumbangan sastera kepada negara juga apatah lagi ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Nama penanya Anwar Ridhwan dilahirkan pada 5 Ogos 1949 di Selangor. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1973. Kemudian, beliau memperolehi Ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Ph.D (1998) dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ketika masih mahasiswa Anwar telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia dengan cerpennya "Perjalanan Terakhir" (1971). Pada tahun 1973 cerpennya "Dunia Adalah Sebuah Apartmen" memenangi Hadiah Sastera Malaysia, diikuti "Sesudah Perang" (1976), serta "Sasaran", "Sahabat" dan "Menjadi Tua" (1982/83). Pada tahun 1992 cerpennya "Dari Kiev ke Moskova" memenangi hadiah pertama peraduan cerpen DBP - Maybank dan beliau memenangi S.E.A Write Award pada tahun 2002

Di antara karyanya ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Sangkar, Naratif Ogonshoto, Arus, dunia Adalah Sebuah Apartment dan banyak lagi. Sehingga kini ITNM telah menterjemahkan karya beliau Hari-hari terakhir Seorang Seniman ke bahasa Perancis dengan judul Les Derniers Jour D'un Artiste dan terjemahan ke bahasa Inggeris dengan judul The Last Days of an Artist. Sekalung tahniah sekali lagi kepada Datuk Dr. Anwar Ridhwan.