ITNM semakin mencipta sejarahnya sendiri kebelakangan ini baik dari segi pencapaian berasaskan matlamat penubuhannya dengan kejayaan menerbitkan karya-karya yang mula mendapat perhatian umum. Rententan itu nama ITNM tiba-tiba menjadi besar dan seperti baru terasa kewujudannya. ITNM menjadi besar seperti diawal ia mula dilahirkan. Di mana ia seperti lubuk emas dan semua orang mahu datang. Bila emas dah kurang orang pun dah tak mahu dan ia ditinggalkan. Kini ITNM tidak lagi dipandang sepi dan remeh.
Seketika juga bisik-bisik suara yang kehairanan kedengaran dengan soalan mengapa sebelum ini unit penerbitan hendak ditutup seolah-olah bidang itu tidak boleh dihidupkan untuk 'mencari makan' walhal sebenarnya apa sahaja jika kena cara dan gayanya semua akan menjadi. Seperti 'Iron Chef' seorang tukang masak yang handal akan menjadikan segala ramuan di sekelilingnya resepi yang akan membuahkan hidangan yang lazat dan tidak pernah terfikirkan! Marilah kita menari kerana lantai sebenarnya bukan jungkang jungkit tetapi harus ingat kita ada irama untuk ditarikan.
Sebelum ini ITNM tidak pernah mengadakan acara yang mengajak orang ramai untuk hadir dan menikmatinya. Iyalah ITNM bukan suatu badan untuk menyuburkan dan memperkembangkan persembahan demi perkembangan sastera negara. Jika itu menjadi suatu komitmen baru ITNM tidak dapat digambarkan betapa sibuklah nanti kepala-kepala di ITNM akan bekerja untuk itu.
Walaupun demikian dua tahun kebelakangan ini dapat disaksikan ITNM telah mengadakan dua persembahan bagi mengenang Sasterwan Negara. Pertama pada 12 Julai 2008 'Malam Sebutir Bintang Dalam Kenangan-Usman Awang' telah mengubah wajah perkarangan Wisma ITNM kepada suatu pandangan igauan nyata yang tidak pernah terlintas.
Pada tahun ini 8 Ogos 2009 sekali lagi ITNM telah memilih tokoh Sasterawan Negara Datuk Dr. A. Samad Said sebagai ikona untuk diserlahkan. Walaupun beliau sebutir permata yang telah bersinar tetapi majlis itu telah memberikan satu signifikan betapa pentingnya sumbangan sasterawan dalam pembangunan negara. Ia suatu peristiwa kesinambungan mengangkat sasterawan dengan cara mengajak khalayak menghayati karyanya melalui berbagai interpretasi persembahan.
Kita mengharapkan usaha yang tidak pernah dibuat sebelum ini akan menjadi acara tahunan yang dinantikan oleh peminat sastera saban tahun dan tokoh-tokoh yang akan diangkatnya tidak hanya kepada Sasterwan Negara malah akan meliputi Pemenang S.E.A Award dan juga Sasterwan lain.
Apa yang ingin saya katakan sehingga melalut kepada dua persembahan besar yang telah diadakan oleh ITNM ialah Dewan Utama ITNM telah mencipta sejarahnya apabila membenarkan persembahan teater 'Kopitiam Ghadir' dipentaskan di situ. Sebuah karya penulis muda yang semakin dikenali ramai dengan karya-karya sastera yang hebat siapa lagi kalau bukan si Faisal Tehrani. Persembahan ini melalui tulisan Faisal di blognya mengalami masalah seterusnya dinasihatkan supaya mendapat kebenaran daripada pihak berwajib agama. Ia pada asalnya dijadualkan dipentaskan di Stor DBP dipindahkan pada saat-saat akhir.
Beberapa hari sebelum itu ketika menghadiri 'Wacana Intelektual DBP' yang bertajuk "Manusia, Peristiwa, Idea dan Penghasilan Karya Besar" saya dibisikkan staf DBP yang kehairanan mengapa Faisal seperti merajuk dengan DBP sekarang!