25 January, 2011

Malam Tadi Dia Berlagu lagi.

Siapa dia? Pagi-pagi buta ketika aku mula melenakan mata dia menggangguku lagi untuk kali yang kedua. Kali ini tepat jam 1.02 pagi. Panggilan sesat bentak hatiku. Aku malas nak melayannya. Pasti budak gila yang menjerit-jerit di telefon tempoh hari yang mencari Nadhirah.

Nadhirah itu mungkin teman wanitanya yang telah lari darinya. Kalau Nadhirah lari aku tak hairan jika begini sikapnya. Tapi lelaki ini cukup tekun dan tidak berputus asa. Cinta bangat barangkali. Tapi dia silap orang sudah aku jelaskan aku bukan Nadhirah mengapa dia marah-marah kepadaku.

Sebentar kemudian aku menerima pesanan ringkas yang berbunyi

"Sial kow nad.. kow off phone ye.."

24 January, 2011

Kejutan SMS

"Aq nak kOrang smpy cnie sblum 4.15. klu x siap kOrang...aq iqbal.."

Begitulah mesej yang aku terima dari seseorang yang aku tidak kenali pada jam 4.07 minit petang 23 Januari 2011. Namun kerana sibuk bersembang dengan seorang teman di sebuah cafe aku tidak menyedari mesej itu sampai di telefon bimbitku sehinggalah aku menerima panggilan dari nombor yang sama.

Dia meminta untuk berbicara dengan Nadhirah! Siapa itu Nadhirah? Lawyer? Tuan Doktor? Majisteret? Aku tak pedulik. Kata hati kecilku. Aku senyum menjawabnya walaupun aku menyedari dia tidak dapat melihat tetapi aku yakin dia dapat merasakan senyuman itu. Aku jawab aku tidak mengenali siapa yang dia cari.

Lalu dari nada suara yang sopan tadi ia bertukar menjadi ganas. Lelaki itu menjerit sekuat hati di dalam telefon bimbitku ingin bercakap dengan Nadhirah! Bingit sekali bunyinya. Aku dengan tegas dan masih bersopan mengatakan aku tidak kenal siapa Nadhirah. Dia menuduh aku berpura-pura dan mengugut mengatakan dia tahu aku memang menyembunyikan di mana Nadhirah berada. Lalu bagaimana aku hendak melayani pertanyaan kasar dan bodoh yang merengut damaiku di petang minggu itu. Lalu aku cakap lagi

"Maaf ya saya memang tak kenal Nadhirah!" dan terus memutuskan talian. Teman di hadapanku tercengang melihat reaksi itu. Aduh.

22 January, 2011

Kanvas Kehidupan- Tips Bagaimana Mahu Melupakan Seseorang!

Sungguh simpati mendengar kisahnya. Bertimpa-timpa malang yang dia hadapi. Mula-mula pemergian dua pak ciknya yang di kasihi diikuti dengan pemergian ayahanda tercinta pula. Tidak habis di situ dia mengalami putus cinta ditinggalkan sang kekasih. Tidak dapat aku bayangkan keretakan dan kekecewaan hati seorang teman.

Usianya masih muda. Itulah parahnya jika mahu bercinta diusia yang masih muda. Sebaiknya elakkan diri dari terjerumus dengan cinta ketika masih belajar. Mungkin senang bercakap dari terjebak sendiri dalam realiti. Namun semuanya ketentuan Allah. Kita bisa merancang dan Allah yang menentukan.

Sehebat mana dan sekuat mana diri ini yang kita rasakan jika Allah hendak memberikan ujian ia akan datang begitu sahaja. Saya sudah melihat kekuasaan Allah yang memberikan ujian kepada mereka yang bermulut lancing- senang berkata dan akhirnya apa yang dikatakannya itu berlaku pula terhadap dirinya sendiri. Tetapi saya orang yang bukan mudah untuk melompat dan bertepuk tangan melihat pembalasan Allah itu. Bimbang atas keseronokan itu Allah membalikkan kepada kita pula.

Berbalik pada kisah teman yang malang tadi. Dia menerima semua ketentuan dan takdir yang menimpa ke atas dirinya. Aku yakin dia seorang yang tabah kerana dia tidak melahirkan penderitaannya itu di wajahnya. Aku begitu kagum dengan kekentalan hatinya.

Akhirnya dia bersuara lagi dengan nada yang sangat kecewa.

"Bukan setakat itu sahaja bang. Pembelajaran saya juga merosot dan akhirnya saya ambil keputusan untuk berhenti belajar di IPTA dan itu telah membuatkan ibu saya marah kepada saya." Jelas sabahat itu.

"Sekarang dari pengalaman hidup abang boleh tak beritahu saya bagaimana saya dapat melupakan semua penderitaan saya ini terutama terhadap teman wanita saya." Pinta sahabat itu.

Aduh. Beratnya permintaan itu. Tetapi atas dasar sahabat itu terpaksa juga membantunya walau aku bukan pakar kaunseling. Kataku kepadanya soal untuk melupakan seseorang itu dari kehidupan kita amat mudah dilakukan jika hati kita benar-benar bersedia untuk melupakannya. Hati mestilah ikhlas untuk melupakannya dan jangan mulut berkata ya tetapi hati tidak- ianya tak akan menjadi.

Apa yang perlu kita lakukan ialah pertama pujuk hati kita menerima ketentuan yang terjadi dengan reda. Kedua mempunyai azam melupakan diikuti perbuatan atau pelaksanaanya. Kebanyakkan orang gagal di tahap ketiga iaitu pelaksanaannya. Anda perlu kuat untuk melaksanakannya. Melupakan seseorang bererti melupakan kelibat dan kenangannya yang ada di dalam fikirannya. Anda harus mengosongkan fikiran dan mengelakkan anda berfikir mengenainya. Oleh itu jika ada sebarang pemberian yang boleh menghalakan pemikiran kita terhadapnya haruslah dibuang atau disimpan.

Kaedah ini memang amat sukar kerana anda cuba mengosongkan ingatan itu terhadapnya. Tetapi amat mudah jika anda mengisinya dengan sesuatu yang baru seperti menggantikannya dengan hobi baharu atau berkenalan dengan kawan baru tetapi bukan untuk bercinta. Jika anda berjaya melakukannya bermakna anda sedang menuju kejayaan melupakan seseorang.

Memang tidak seratus peratus anda dapat melupakannya kerana ianya bukan seperti satu kemalangan dia mana anda hilang daya ingatan tetapi di sini apa yang ingin saya jelaskan kekuatan minda memainkan peranan yang sangat penting iaitu sepanjang masa sentiasa fokus.

Saya juga mengajarkannya supaya selalu berdoa menggunakan ayat-ayat al Quran. Sentiasa sepanjang masa terutama di waktu awal pagi dan menjelang petang. Jika kita tidak melupakan pencipta maka pencipta tidak akan melupakan kita. Bayangkanlah betapa hebatnya Pencipta kita yangmenciptakan berbillion-billion kejadian tetapi mampu mendengar dan memerhatikan setiap dari kejadiannya itu dan sangat suka pula kepada orang yang berdoa kepadaNya.

Beberapa bulan kemudian saya menemui lagi sahabat saya itu dan kali ini nadanya sangat berlainan. Dia kelihatan sangat gembira dengan kehidupannya kini. Lebih bersemangat. Malah katanya kedukaannya dahulu bagaikan telah terubat kini. Saya gembira melihat dia gembira.

21 January, 2011

Puisi - Sebuah Taman Teman Yang Pudar



Sebuah taman teman
Kutinggalkan buat beberapa ketika
Kerana kehidupanku
Penuh warna warni
Bebunga anika warna
Pernah tumbuh di sini
Dan haruman seribu aroma

Terdetik hati ketika melangkah pergi
Berkata apakah mungkin
Aku bisa ke mari lagi di sini
Dengan panorama yang sama
Dan keindahan yang serupa
Di taman yang sama tapi waktu yang berbeza
Kerana pepatah pernah bersabda
Sekali air bah pantainya turut berubah


Hari ini aku kembali lagi ke sini
dengan langkah yang sepi
Kerana di perjalanan tadi kulihat
Warna-warna ceria dari taman ini
Sudah berpindah wilayah
Kuntum-kuntum bunga indah sudah menyegar
Di taman lain bersama kupu-kupu cinta
Yang tidak pernah hadir di taman dulu
Kucari seri dan indah dahulu
Kuselongkar segala penjuru yang ada
Kalau-kalau masih berbaki
Haruman dan kuntum-kuntum yang tersisa
Namun yang kutemui kuntum-kuntum dan
Tangkai-tangkai bunga yang sudah kering
Dan tiada lagi harumannya


Taman menjadi sepi sepeninggalanku
Segalanya umpama padang jarak
Tanah kering, kerikil dan tunggul mati
Berteman rerumput layu dan lusuh
Berpagar belukar maut yang kusut
Bebunga kering satu warnanya
Sebuah lanskap monokrom


Pupuk bayu tidak lagi bertiup di sini
Aku mencari indah itu di dalam sendu
Kerana rindu pada kekelopakmu
Berbagai bilangan, bentuk dan rupa
Warna warni coraknya sejuta
Dan harumannya berbagai rahsia


Masihkah ada
semua yang dahulu
Kerana pasti
pengunjung itu hanya aku
yang setia memuji pada kerinduan


Bukankah sering aku bisikkan
Kata-kata keramat rinduku padamu
lalu iapun menjadi baja
buat kau bunga-bunga untuk terus segar dan mekar di sini
Dan bukankah kerap aku persoalkan
Akan terus suburkah kau akan segala khazanahnya
ketika aku kembali lagi ke sini


Aku termangu bagaikan kaku
Ketika perjalanan jauh ke taman ini
Di taman teman yang telah layu
Yang kubina jauh dari gangguan sesiapa
Rupanya sudah pudar bukan lagi malar
mencalarkan doa dan harapan masa silamku


Aku memandang dari kejauhan
Sempadan yang memisahkan taman ini
Sungguh rimbun pepohon yang tumbuh di sana
Memucuk dedaun yang segar melebar
Dan bunga mencorak dan warna menggila
Menjerat kaku seluruh badanku
Memukau mata yang terkesima
Sedang hati menjerit meronta
ketika tangan tidak lagi bisa menggapai
Keindahan yang berpindah
Dari sini ke taman seberang

Lalu pada segumpal hati
yang masih berdenyut
aku belaikan kata-kata
agar tidak menderhaka
pada Pencipta


Enchelah
Ukay Perdana
4 Disember 2010
4.35 am


10 January, 2011

Menguburkan Rangkaian Sosial Facebook pada 15 Mac 2011

Sudah heboh satu Malaya malah seantero dunia bahawa rangkaian social facebook atau lebih mesra dipanggil fb akan dikuburkan pada 15 Mac ini. Aku cuma menyedari apabila rakan sepejabat memanjangkan emel berkenaan ke peti mel ku hari ini.

Sedangkan ada rakan-rakan lain yang mengetahuinya melalui akhbar dan juga siaran berita. Pada awalnya agak kurang percaya dengan perkembangan itu. Ya lah fb dah begitu sinonim dalam kehidupan harian khususnya mereka yang menggunakan dengan komputer dan internet untuk urusan kerja harian ataupun mereka yang sedang belajar. Fb menambahkan kegilaan remaja yang menggunakan telefon bimbit apabila aplikasi ini dimuatkan dalam telefon mereka. Sehingga pengasasnya Zuckerberg menjadi kaya raya kerananya. Namun wang bukanlah segalanya apabila hidup sentiasa dibelenggu stres!

Banyak komen-komen yang merasakan bahawa khabar angin itu hanyalah gurauan atau gimik tetapi bagaimana kalau ianya benar. Zuckerberg berhasrat menamatkan kegilaan yang begitu memuncak dan membuatnay stress. Beliau percaya ini adalah sesuatu yang baik kerana selepas ini pengguna akan dapat keluar dan berjumpa dengan kawan mereka yang sebenar di luar sana.

Memang benar aku kadang-kadang merasa sangat stres berhadapan dengan rakan-rakan yang mempunyai telefon khasnya blackberry yang mempunyai aplikasi facebook di telefon bimbit mereka. Kadang-kadang mereka mengajak kita keluar tetapi sudahnya 50% waktu bersamanya dihabiskan dengan melayan fb!

Saya pernah berkenalan dengan seorang rakan dari rangkaian sosial ini. Berborak dengannya di dalam talian sembang ini memang tidak jemu. Wajah kaku manis yang terpampang di skrin memberikan perhatian dan membalas setiap soalan yang dijawab. Tetapi apabila berjumpa secara berhadapan dengannya masyaAllah dia asyik melayan fb sambil berbicara dengan kita. Sungguh memualkan.

Syukurlah kalau khabar ini menjadi kenyataan kerana tiada siapa lagi dapat berbangga diri di dinding mereka menunjuk-nunjukkan apa yang mereka ada, mengumpat orang yang mereka tidak suka atau membuang masa kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya walaupun banyak juga perkara baik yang boleh diperolehi dari rangkaian sosial ini.

05 January, 2011

Kanvas Kehidupan - Adatlah Tu Orang Bercinta

Aku menghampiri seorang rakan yang kelihatan murung dan wajahnya yang sangat seposen lagi kelat.

"Kenapa ni? Teruk benar muka kau Man." Man cuma mengangkat kening seperti malas nak menjawab.

"Ye ke teruk? " dia bertanya ingin tahu.

Nadanya memang kurang ceria. Aku mengangguk dan dia mula memberikan perhatian kepadaku. Nampaknya aku dah mula berjaya menarik perhatiannya.

"Kalau ada masalah - ceritalah, boleh kongsi. Mana tau aku boleh tolong."

"Aku rasa sunyilah. Best friend aku dah lupakan aku." Man mula bercerita.

Itulah yang aku mahukan. Aku sudah dapat membuka pilinya. Air sudah mulai mengalir. Man mula meluahkan perasaannya yang kesunyian tidak dipedulikan sahabat karibnya lagi. Dahulu katanya ketika mula-mula rapat dengan kawannya itu M sangat mudah dihubungi. Jika dia bosan atau kesunyian M amat mudah menemaninya - tiada masalah.

Tetapi sejak mengetahui M mula berkenalan dengan seorang wanita dan wanita itu akan belajar di Kuala Lumpur, Man sudah dapat menduga bahawa sudah pasti kawannya itu akan melupakan keakraban persahabatan mereka. Tapi kata M semua itu tidak perlu risau keadaan akan berjalan sebagaimana biasa. Tak akan asyik nak jumpa teman wanita setiap minggu bosan juga. Akan ada masa untuk mereka berjumpa dan lepak bersama - kata M kepada Man.

Kini dah masuk hampir setengah tahun berlalu Man sudah amat jarang berjumpa dengan M lagi. M sudah banyak berubah walaupun dia sering berkata bahawa dia masih seperti dahulu. Man sudah hampir bosan menunggu untuk berjumpa dengan M kerana alasan M dia sibuk. Tapi bagaimana sibuk M sekalipun dia tetap ada masa untuk berjumpa dengan teman wanitanya.

Aku tersenyum dan menepuk-nepuk bahu Man."Orang bercinta memang macam itu. Dia sudah ada dunia lain."

"Habis macam mana dengan aku? Kawan-kawan lain memang ramai aku selalu ada masa untuk mereka dan aku juga peruntukan masa untuk M…Cuma M yang tak ada masa untuk aku."

"Masa dah berubah. Kau harus berubah mengikut keadaan. Jangan ikut perasaan. Biarkan yang pergi itu berlalu. Kawan tetap kawan tetapi M tidak akan jadi seperti dahulu. Mustahil - percayalah cakap aku walau bagaimana janjinya dia kepada kau."

Man diam memandang ke lantai.

" Tiba suatu masa M itu akan berkahwin…jika keadaannya sudah begini ketika dia bercinta sudah pasti apabila berkahwin dia akan lupakan semua kawan-kawan baik dia yang macam kau!" aku menambah.

"Tapi Che..M tu kawan aku yang sangat baik yang paling ngam dengan aku. Aku suka kawan dengan dia." Man menambah.

"Habis kau nak keadaan macam dulu itu terus wujud dalam hidup kau? Pergilah kau bunuh teman wanita dia. Itupun belum tentu kau akan rasa persahabatan macam dulu kerana M dengan rasa kehilangan tentu akan berduka sepanjang hidupnya…"

"…yang pergi tu kau kena biarkan berlalu. Dia bukan lagi best friend kau. Dia dah bertukar jadi kawan biasa kau. Statusnya pun dah bertukar dari status single dan dia sekarang digelar sebagai pasangan kekasih!" Man terkulat-kulat melihat aku.

Begitulah kehidupan yang sering berubah-ubah. Kadang kala kita tidak suka dengan perubahan. Dan kita kadang kala begitu kejam kerana tidak mahu orang lain berubah sedangkan diri kita sebenarnya sudah berubah!

31 December, 2010

Peristiwa Sepanjang Dua Minggu Berlalu


Kak Lid dua dari kiri dan Sue empat dari kiri.

Terlalu banyak peristiwa yang berlalu sepanjang dua minggu yang berlalu hingga tidak berkesempatan untuk mengemaskinikan di blog ini. Pada 17 Disember 2010 dua sahabat di ITNM menamatkan perkhidmatannya secara serentak. iaitu Sdr. Suziana Abd Aziz (Sue) dan Sdr. Norlida Jantan (Kak Lid). Sue memang lama telah berkhidmat dengan ITNM iaitu sebelum kewujudan ITNM lagi-kira lebih dari 17 tahun dan Kak Lid saya kira mungkin mencapai 12 tahun.

Kedua-duanya ingin memberikan tumpuan kepada kehidupan peribadi dan masih mahu meneruskan kerja-kerja penterjemahan secara sambilan. Kepada keduanya saya mengucapkan selamat maju jaya. Ucapan selamat maju jaya juga tidak lupa untuk Puan Zinitulniza kerana menamatkan perkhidmatan dengan ITNM dengan tarikh yang hampir sama.


Puan Ramlah Sedang menyanyi


Pada 18 Disember 2010 bertempat di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam telah berlangsung perkahwinan anak rakan yang aku kenali di sewaktu berkunjung ke Australia pada 2008- Yana. Selamat pengantin baru Yana semoga bahagia hingga ke akhir hayat.
Puan Ramlah tak lepas peluang menyumbangkan sebuah lagu - Jerat yang dipopularkan oleh Harvey Malaiholo. Aku pun sempat juga melepaskan gian menyanyikan 2-3 lagu dalam majlis itu. Dapat Hadiah lagi dari abang dan adik yang jaga karaoke tu. Terima kasih ya.



18 Disember 2010 juga Nur Hanani Laidin rakan sepejabat dan pasangannya Mohd Yusri Yahya selamat diijabkabulkan di Dewan LJT di Taman Melawati. Besar dan selesa dewan tu. Yang tak tak best ada adik yang bagi cuba-cuba minum air Gofresh keluaran Sime Darby depan pintu masuk. Dah minum-minum segan lak tak beli. Beli pulak sampai 6 pek sebab terpedaya dengan hadiah percuma. Aduya. Apa pun untuk Hanani semoga berbahagia hingga ke akhir hayat.

29 December, 2010

Pening kerana Security Shield

Ketika hati berkobar-kobar merangka draf untuk novel humor terbaru, komputer di rumah buat hal. Tekan sahaja sebarang applikasi muncul notis Security Shield kecuali explorer atau Mozilla. Sah komputerku sudah diserang virus. Aku ni bukan pandai sangat nak betulkan komputer. Macam mana virus itu boleh masuk aku pun tak faham. Tapi menyedari bahawa komputer ini terletak dalam bilik tamu dan siapa sahaja bebas menggunakanny ketika menjadi tamu, aku menerima sahaja apa yang terjadi dengan reda. Tetapi kenapa di waktu ini? Ketika idea datang dengan lebat sekali? Itulah ujian namanya.

Seperti biasa aku menelefon doktornya iaitu adikku yang memang pakar dengan komputer dan itu memang tugas rasminya di pejabat. Aku sebutkan nama virus itu-nyata dia tidak pernah mendengarnya. Lalu menasihatiku supaya mencari di google bagaimana cara untuk menghapuskannya. Pada awalnya aku mendapat panduan dalam laman sesdawang secara bertulis tanpa bantuan visual. Banyak rupanya panduan-panduan itu. Tetapi yang kurang enak ialah kebanyakan panduan itu dalam bahasa Inggeris. Aduhai.

Akhirnya aku mendapat idea untuk mendapatkan panduan itu dalam bentuk visual sepenuhnya dan youtube menjadi pilihanku. Memang di situ juga terdapat berpuluh-puluh penerangan dan tata cara menghapuskan virus yang dimuatturun oleh virus trojan dengan tujuan untuk menjual produk dan juga menyalin nombor debit kad pengguna yang terpedaya. Awas anda di luar sana jangan mudah terpedaya mengikut langkah-langkah yang dinasihati dalam perangkap virus Security Shiled.

Di sini saya ingin berkongsi cara jika anda menghadapi masalah berkaitan virus yang menyerang komputer anda. Jangan panik berfikir dengan tenang. InsyaAllah jalan penyelesaianya ada. Cari di google apa virus yang menyerangnya dan selepas itu gunakan youtube untuk mendapatkan panduan secara visual langkah demi langkah menghapuskannya. Hasilnya anda akan merasai dirinya sangat bernilai!

24 December, 2010

Novel Lembayung Cinta

Dato' Abdul Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Baju Batik yang aku pakai itu ITNM bagi - RM180.00- Gaya Warisan.

Alhamdulillah semuanya selamat sempurna selesai walaupun di awal pagi semalam aku menerima berita kurang baik dari teman yang telah berjanji untuk hadir sama ke majlis ini tetapi membatalkan janjinya di saat-saat akhir kerana ada urusan di luar Kuala Lumpur. Teman tidak mahu menghampakanku dan menggantikan orang lain tetapi aku kurang selesa kerana aku juga mengenali dan memaklumi kondisi penggantinya itu.

Hari semalam jadualku terlalu padat kerana aku mempunyai acara di DBP pada sebelah pagi manakala sebelah petang adalah acara yang sangat bermakna buat diriku sendiri. Aku cuma tenang menerima semua yang hadir secara tiba-tiba dan aku memikirkan tentang rahmat yang ada di sebalik ini.

Aku menelefon seorang lagi teman lain yang juga berminat untuk hadir pada majlis itu. Namun jawapannya tidak menyebelahi diriku. Temanku sibuk untuk hari semalam. Aku melewati bilik kawalan di apartmentku ketika meneruskan perjalanan ke DBP dan aku melihat anak remaja tetangga ramai melepak di situ lalu aku melakukan percubaan menculik salah seorang dari mereka untuk hadir-bertujuan tidak lain cuma untuk menjadi juru rakam peristiwa yang penting buatku pada petang semalam. Rugi kalau berlalu begitu sahaja. Ia mungkin sekali seumur hidupku! Tak akan ada lagi selepas ini.
Aku ingat cuma dapat RM500.00 tapi rupanya lebih dari itu. Alhamdulilah terima kasih panel juri, MBBY dan Pelangibooks.

Salah seorang dari mereka aku sasarkan dan tentulah yang aku nampak berkaliber untuk melakukan tugas itu. Perbualan berlangsung selama lebih kurang 3 minit dengan memperkenalkan diriku dan masalah yang aku hadapi serta tujuanku yang aku sangat harap-harapkan darinya. Alhamdulillah, adik yang memperkenalkan dirinya sebagai Danial itu bersetuju.


Semua pemenang (kecuali seorang pemenang dari Sarawak yang tidak hadir)bersama panel juri.

Lalu aku menetapkan jam 1.00 ptg sebagai waktu untuk aku untuk menjemputnya di tempat itu. Tanpa banyak soal dia bersetuju dan aku merakamkan no telefon bimbitnya untuk memudahkan urusan.

Pagi itu ketika acara penyampaian Hadiah Pertandingan Menterjemah Cerpen Mahua IPT Malaysia berlangsung di DBP dan hampir melabuhkan kesudahannya hatiku semakin gelisah. Bimbang dengan segala macam kemungkinan yang akan berlaku. Ye lah aku tak kenalpun Si Danial tu mahu ke dia menolongku? Lalu aku berfikir positif sahaja dan mendoakan yang baik-baik. Aku melangkah awal keluar dari majlis itu untuk menelefon Danial dan memberi signal satu jam dari waktu itu akan sampai di tempat yang dijanjikan.

Danial mengangkat telefon dan memberitahu dia sedang berada di Hospital menemankan kawannya yang menerima rawatan di situ. Aduhai! Sempatkah dia balik ke apartmentnya? Itulah soalan yang bermain di mindaku. Bagaimana kalau rawatan itu memakan masa yang panjang sehingga Danial membatalkan janjinya. Aku cuba bertenang lagi. Yang aku fikirkan jika Allah mengizinkan semuanya akan jadi.

Perjalanan pulangku ke apartment untuk menjemput Danial menjadi semakin menyesakkan dadaku apabila aku terperangkap dalam kesesakan jalanraya di MRR2. Adakalanya aliran jalanraya itu tidak bergerak untuk 5 minit. Aku kelewatan 15 minit dari waktu yang aku sendiri tetapkan. Tiba di apartment aku menelefon Danial -dia masih dalam perjalanan dari Hospital! Aduh. Jam menunjukkan 1.15 petang sedangkan aku dikehendaki melaporkan diri pada jam 2.30 petang. Aku nekad jika Danial tidak tiba sehingga jam 1.30 petang aku akan ke PWTC- lokasi majlis tanpa dirinya. Tak di rakamkan pun tak apalah jika itu sudah takdir.

Dalam waktu menunggu itu aku tidak henti-henti menelefon Danial untuk mengetahui lokasinya. Alhamdulillah jam 1.30 ptg dia tiba dan kami sepantas kilat menuju ke PWTC dan aku melewati peristiwa itu dengan nafas lega. Tak sangka di situ dapat jumpa kawan-kawan lama dari DBP Nan dan juga Sdr. Uthaya Sankar dan paling tidak di duga En Razin Pengurus Jabatan Korporat ITNM yang juga turut hadir memberikan ucapan tahnaih! Terima kasih. Terima Kasih juga Danial.

Jam 5.30 petang di kawasan pakir kereta Hentian Putra hari itu ketika selesai menghadiri majlis yang membuatkan aku senyum sepanjang hari. Jantungku aku berdebar kencang apabila aku menyedari ada percubaan menceroboh keretaku. Kunci pintu kereta rupanya sudah diumpil!

Novel Lembayung Cinta. RM15.90 Sem/RM16.90 Sabah Serawak
ISBN:978-967-5671-21-0

21 December, 2010

Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Mengarang Novel Remaja MBBY-Pelangi



Setahun penantian yang berakhir dengan kepuasan dan dapat menarik nafas lega buatku apabila inilah novel pertama dapat diterbitkan setelah memenangi hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Novel Remaja MBBY-Pelangi. Hadiah akan disampaikan sempena Pesta Buku Kanak-kanak Kuala Lumpur KLCBF 2010. Jangan lupa dapatkan novel ini di Gerai Pelangibooks ya teman-temanku dan peminat novel.

Lembayung Cinta mengisahkan tentang hidup sebuah keluarga Mariam yang terpaksa berhadapan dengan kematian suaminya Rosli. Mereka mempunyai dua orang anak yang sedang membesar bersamanya iaitu Adam dan Marsya. Berbagai masalah yang dihadapi oleh Mariam setelah suaminya meninggal. Namun Mariam tetap sabar dan tabah mengharungi dugaan. Mariam juga bernasib baik ketika behadapan dengan semua masalahnya itu Lembayung Cinta peninggalan suaminya membantu menyelesaikan misteri yang ada.

Apakah Lembayung Cinta itu dan apakah masalah-masalah yang dihadapinya sehingga Mariam dapat membantu kes jenayah yang dihadapi oleh pihak Polis? Dapatkan jawapannya di dalam Lembayung Cinta! Lembayung Cinta setebal 280 halaman, terbitan Pelangibooks.

Kata-kata-Dipinjam dari teman tagged

Ketika menelusuri profile tagged teman-teman yang menghulurkan salam perkenalan, tiba-tiba hati terpaku pada serangkai kata-kata yang selalu menepati kejadian. Bunyinya:

Kesedihan umpama hujan, Walau selebat mana ia turun tetapi suatu masa ia pasti akan reda juga.

Bagaimana ia reda sama ada dipujuk, memujuk diri sendiri atau setelah penat bersedih dan berhenti secara sendiri, yang pasti ia tetap akan reda. Jangan biarkan diri anda mati dalam kesedihan kerana Allah menjadikan dunia ini tempat ujian dengan berbagai rencah rasa-suka duka, gembira, berdebar-debar, takut, murung, pilu dan berbagai lagi.
Anda berupaya membawa perasaan itu dari satu keadaan ke suatu keadaan jika anda keluar sebentar dari perasaan yang anda alami itu dan mengarahkan perasaan anda ke destinasi yang betul sesuai dengan keadaannya.