31 May, 2012

Tolong Jangan Marah Saya!


Semua gara-gara Novel Puteri 9 Sepuluh terbitan yang sedang panas di pasaran. Ada pembaca yang telah membacanya tidak puas hati dengan watak Deraman yang saya matikan begitu sahaja dalam novel itu. Sebenarnya sewaktu melakarkan cerita itu saya tidak matikan watak Deraman. Watak Deraman terus hidup tetapi bukan dalam Puteri Sembilan Sepuluh tetapi dalam novel sambungan yang lain.

Deraman adalah suami kepada Siti Sabariah yang kepingin mahu menimang anak setelah lebih sepuluh tahun melayari hidup sebagai suami isteri. Deraman mengambil keputusan berkelana mencari ubat untuk membuatkan isterinya dapat hamil. Pelayarannya sampai ke Pulau Langkawi berjumpa dengan Pak Uda di Pulau Tuba di situ Deraman menyedari kesilapannya mempercayai kepercayaan yang tiada asas. Dia insaf dan berlayar pulang ke kampung halamannya. Malangnya di tertidur di Pulau Biawak tempat dia bertemu Pak Andak.

Saya berharap anda semua bersabar untuk mengetahui kesudahan cerita ini apabila saya menyambungnya kelak. Deraman tidak mati tetapi dia Cuma tertidur dan akan sedar apabila tiba waktunya. Tunggulah…

Puteri 9 Sepuluh * Enchelah* 2012*Pelangi Novel*RM22.90*ISBN 978-967-5671-39-5

24 April, 2012

Sesi Autograf novel Puteri 9 Sepuluh


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan bermula dari 27 April hingga 6 Mei 2012. Sempena itu kelahiran novel Puteri 9 Sepuluh terbitan Pelanginovel Sdn. Bhd akan dimeriahkan lagi dengan sesi autograf penulis.

Jangan lupa untuk temui saya di Gerai Pelangi no: 3147 3156 (Tun Razak Hall 3)
Ahad, 29 April – 3 hingga 4.00 petang
Sabtu, 5 Mei - 3 hingga 4 petang


Jumpa anda di sana!

21 April, 2012

Novel - Puteri 9 Sepuluh di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 (PBAKL 2012)

Akhirnya ia muncul juga. Beginilah lahirnya novel ke-2 Puteri 9 Sepuluh yang akan menjengah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 yang akan bermula pada 27 April 2012 hingga awal Mei. Dalam entri lepas saya belum sedia mendedahkan kulitnya kerana menunggu lampu hijau dari penerbitnya. Kini ia telah menjadi nyata.

Puteri 9 Sepuluh adalah kisah 2 Puteri Kayangan yang menerima hukuman hidup di dunia kerana kesalahannya. Di dunia kedua mereka dipelihara oleh Siti Sabariah dalam sebuah kampung yang dinamakan Kampung Semut Api.Mereka sekeluarga diuji dengan pelbagai ujian hingga terpaksa membawa diri ke sebuah pulau milik Permaisuri Kayangan - bonda mereka.

Apakah kesudahannya...Pastikan anda memiliki naskah novel ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 di Gerai Pelangibooks

17 April, 2012

Senyum – Fail Unit Trust.

Hari ini aku begitu teruja nak ke klinik. Pelik bunyinya. Selalu orang malas nak pergi klinik atau ke klinik kerana tidak sihat. Sebenarnya 3 hari lepas aku sudahpun ke klinik untuk membuat ujian darah. Ia adalah pemeriksaan berkala setahun sekali untuk melihat kadar glukos, kolestrol, keadaan buah pinggang dan lain-lain dalam badan ku okey ataupun tidak. Sudah 3 tahun aku melakukannya. Dan selama itu aku menyimpan rekod ujian darah itu dalam satu fail . Sebelum ini aku lupa untuk bawa ketika berjumpa doktor bagi menjelaskan keputusan ujian darahku.

Kali ini berbeza aku berjaya mendapatkan folder yang mengandungi ujian darahku selama 2 tahun itu. Pasti cara doktor menjelaskan kepadaku kali ini berbeza kerana aku menyimpan data terdahulu. Aku mula membawa fail itu setiap hari ke pejabat dan bersedia bila-bila masa sahaja kalau pihak klinik mengarahkan aku ke klinik.

Hari yang dinantikan tiba jua. Tiba di perkarangan klinik sebelum keluar kereta aku membelek-belek fail yang telah aku sediakan beberapa hari lalu. Mengapa cuma data 2010 sahaja. Di mana data-data yang lain. Aduhhh aku terbawa fail yang salah…Fail Unit Trust..arghhhhhhh!

17 March, 2012

Rindu dengan Sitam




Sudah lebih empat bulan Sitam tidak pulang. Kalau Sitam ada dia akan kejutkan aku waktu subuh minta makan. Sekaligus terjaga waktu solatku. Waktu itu aku selalu fikir siapa Sitam ini sebenarnya. Begitu aku berbudi kepadanya begitu juga dia membalas budiku. Aku tahu kau cuma seekor kucing kerana itu aku tidak pernah minta balasannya.

Sitam aku kenal melalui Tam seekor kucing tua di rumah sampah. dua tahun lalu. Kini Tam juga tidak kelihatan lagi. Sitam mungkin seteru Tam aku tak peduli itu semua. Ketika aku memberi Tam makan Sitam juga meminta, tak sampai hati aku hulurkan juga makanan. Akhirnya setiap hari Sitam dan Tam menunggu aku di rumah sampah. Dari rumah sampai kedua-dua kucing itu sudah pandai merayap mencari kereta aku dan menunggu aku di pintu kereta meminta makanan jika aku tidak ke rumah sampah.

Lama kelamaan Sitam lebih berani mengikut aku pulang ke rumah. Sitam lebih bersih dari Tam. Bulunya hitam berkilat dan dia kuat makan sehingga perutnya boyak. Akupun pada awalnya keliru dengan jantina Sitam kerana perutnya seperti kucing bunting.

Sitam bertukar jadi kucing yang tak suka makan di rumah sampah. Kerjanya menunggu aku balik, makan dan tidur di rumahku. Dia jadi teman waktu aku menulis. Sekali sekala aku akan memanggil namanya ketika 'pause' sekejap dari penulisan.

Kini semuanya telah jadi memori apabila Sitam tidak lagi menunggu aku pulang dan datang ke rumah. Mungkin ada orang ambil Sitam sebab suka akan bulunya yang hitam dan berkilat tapi mereka tak tahu Sitam suka makan...letaklah beberapa kali makanan di dalam bekasnya dia tetap meminta setiap kali habis.

Mengapa mereka ambil Sitam dari aku? Mungkin juga meeka tak suka Sitam bertenggek di hadapan pintu rumah mereka sementara Sitam menunggu aku pulang dari pejabat. Mungkin Sitam nakal dengan orang lain buat karenah yang bukan-bukan tapi dengan aku tidak. Sitam kucing yang baik walau pernah kencing dalam rumahku. Itupun cuma beberapa kali sahaja selepas aku 'ajar' dia tak lagi buat hal.

Sitam..Sitam..baliklah Acik rindu Sitam. Acik rindu bila Acik tidur Sitam datang tidur nyelit celah pinggang, celah ketiak dan celah kelangkang Acik kerana suka haba Acik. Acik cuma ada Comel saja sekarang. Comel pun rindu Sitam juga. Acik rindu tengok Sitam gurau dengan Comel gigit lepas tu mengiow.

Walau di mana Sitam berada Acik doakan Sitam bernasib baik. Kalau Sitam ada tuan baru moga dia jaga Sitam macam Acik jaga Sitam. Jangan nakal-nakal..kalau tuan Sitam solat jangan tidur atas sejadah dia ek.




2010 hingga Oktober 2011

Logo ITBM














Kini ITNM berwajah baru dan namanya pun sudah berubah, tidak lagi ITNM tetapi ITBM atau nama penuhnya Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Pengumuman mengenai penjenamaan semula ITNM diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Disember 2011. Untuk berita lanjut mengenai penjenaman semula ITNM sila tekan di sini.



Seiring dengan penjenamaan semula itu kini logo baru ITBM telah disiapkan untuk digunapakai dalam semua urusan rasminya. Kembara ITNM/ITBM kini telah melengkapi satu lagi dari episode perjalanannya. Lihatlah wajah-wajah ITNM yang telah saya catatkan sebelum ini dientri yang terdahulu.



Syabas ITBM berjalanlah lagi kamu ke hadapan.

16 March, 2012

Puisi - Ziarah

Ziarah

semalam mereka singgah lagi
bawa zuriat penyambung mereka di sini
perhentian sebelum pulang
mencalitkan gamat di dinding hati
mengoyak sunyi yang tebal di sisi
melengkarkan kisah di setiap sudut teratakku
aku yang lesu tenaga direntap tuntutan hidup
gagah kembali menggerakkan tarian hidup
sebuah bab kehidupan sudah siap ditulis
sesudah subuh
teratak ini kembali sepi
seperti biasa adanya
semoga perjalananmu selamat

16 Mac 2012

23 February, 2012

Novel Baru – Puteri 9 Sepuluh







Begitu cepat waktu berlalu. Diam tak diam kita sudah dua bulan melewati tahun 2012. Perjalanan merialisasikan Puteri 9 Sepuluh sebagai satu lagi koleksi novel terbaharu karya enchelah semakin menjadi nyata setelah kelahiran Lembayung Cinta pada 2011.


Sebelum ini di entri yang lalu aku masih belum dapat memutuskan apakah tajuk novel baruku. Ketika post itu keluar ramailah di antara kawan-kawan yang ingin menamakan novelku itu seolah-olah mereka sudah membacanya. Lucu pun ada. Menamakan novel tidak seperti menamakan bayi yang baru lahir kerana novel sudah ada jalan ceritanya. Tajuk harus melambangkan ceritanya. Setuju?


Sedangkan menamakan bayi kita cari nama-nama yang baik ertinya buat mereka dengan harapan bayi itu dapat membawa makna kepada nama yang diberikan kepadanya. Itulah harapan semua ibu bapa di dunia.


Okey kita tinggalkan bab itu. Aku tak nak membebel nanti kau orang bosan dan lari!. Berbalik kepada cerita novel ni. Sekarang dalam peringkat semakan pruf setelah siap atur huruf. Cekap betul orang-orang PelangiNovel ni bekerja J. Terima kasih Puan Istikamah dan Mr. Poh. Aku juga yang minta novel ini disiapkan cepat supaya sempat masuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 yang akan berlangsung pada bulan April ini. Jangan lupa ya dapatkan novel yang panas-panas ini nanti.


Kulitnya cadangannya pun telah aku persetujui. Nak tengok? Haha tak boleh lah. Masih menjadi rahsia. Pada awalnya aku menyiapkan sendiri derafnya dan hantar kepada PelangiNovel. Dari situ mereka dan kembangkan sedikit ideanya. Emmm cantik…macam watak puteri dalam novel tu jugak. J


Di sini aku perturunkan tiga lakaran kasar yang asal untuk novel ini. Insya Allah jika sudah pasti yang mana satu yang akan dicetak aku akan post di sini.

07 February, 2012

Kanvas kehidupan – Kenangan Maulidur Rasul

Maulidur Rasul datang dan pergi setiap tahun. Setiap kali ia tiba kerajaan telah menjadikannya sebagai hari cuti umum semenjak sekian lama. Pada hari itu berbagai program dibuat untuk memperingati rasululllah kerana ianya hari kelahiran junjungan besar kita nabi Muhammad S.A.W. Di peringkat kebangsaan dan negeri selalunya diadakan majlis bacaan yaasin dan tahlil dan juga perarakan yang melibatkan umat Islam di sesuatu kawasan.

Setiap kali Maulidur Rasul datang aku akan ingat akan ada orang berselawat akan ada orang berarak di sesuatu kawasan dan akupun pernah menyertai mereka. Lebih dari itu kedatangan Maulidur Rasul mengingatkan aku mengenai perselisihan faham di antara aku dengan seorang teman mengenai pengisian cuti sempena Maulidur Rasul. Aku ingin menamakan teman ini sebagai H.

Ketika itu sebelum menjelang Maulidur Rasul. Aku telah membawa H ke suatu kedai makan milik emak kawanku yang ingin aku namakan sebagai N. Di situ aku kenalkan H kepada kawanku N. N baharu sahaja dilantik sebagai ahli jawatankuasa untuk majlis sambutan Maulidur Rasul di kawasannya. Tugasnya untuk mendapatkan dana bagi perbelanjaan majlis itu. Aku merasa sangat bangga kerana kawanku N itu masih muda dan sudah mula berjinak untuk acara-acara seperti itu ketika rakannya yang lain suka merempit dan melepak.

Ketika N menyatakan hasratnya mengumpulkan dana itu aku dengan terbuka hati sanggup memberikan sumbangan kepadanya dan aku juga mempelawa kawanku H turut sama menyumbang jika dia tidak keberatan. Tetapi aku sangat kecewa apabila H menolak mentah-mentah perlawaan itu dengan mengatakan perbuatan sambutan Maulidur Rasul itu adalah perbuatan bidaah. Tidak ada di zaman rasulullah. Aduh naik bingung aku jadinya.

Aku tidak menafikannya memang rasulullah tidak menyuruh dan tidak pernah mengadakan acara mengingati kelahiranya. Tetapi jika kita fikirkan secara rasional memanfaatkan cuti sempena kegiatan begitu tiada salahnya daripada tidak berbuat apa-apa. Cuti yang kosong akan menyebabkan anak-anak muda akan berkeliaran, merempit, melepak, buang masa dengan menonton wayang bermain boling atau apa sahaja. Adakah itu yang kita ingin lihat?

Bukanlah elok jika diisi masa dengan aktiviti begitu sambil mengingatkan kepada mereka bahawa kegiatan itu tidak pernah dibuat di zaman rasulullah tetapi demi memanfaatkan waktu supaya tidak terbuang begitu sahaja maka aktiviti tersebut dibuat.

Kini sahabatku H tiada lagi di dunia dia telah pergi buat selama-lamanya tahun lepas. Dia memang seorang yang alim dan baik. Itu cuma perselisihan pendapat di antara kami. Semoga Allah mengampunkan dosaku dan dosanya jika kami tersilap dalam hal ini.

26 January, 2012

Kanvas Kehidupan - Lemas diburu ejen insuran.


Hidup dilindungi insuran membuat hati semua orang merasa tenang. Benarkah begitu? Terpulanglah kepada individu untuk berasa apapun apabila memiliki atau melanggan insuran. Saya kali ini bukan mahu bercerita tentang kebaikan membeli insuran atau memberikan kesedaran tentang kelebihan memiliki insuran tetapi apa yang ingin saya katakan ialah sikap penjual insuran yang menggunakan kaedah telemarketing mendapatkan pelanggan.


Walaupun tidak suka dengan cara mereka saya terbeli juga insuran yang dijual melalui telefon. Sepatutnya dari awal lagi saya memarahi mereka yang mencuri nombor telefon bimbit saya dan menggunakannya untuk tujuan business. Selama setahun yang dilindungi insuran yang saya beli. Apabila tamat tempoh setahun syarikat menghubungi saya untuk menyambung insuran saya pada tahun kedua.


Malang bagi saya kerana saya telah terkeliru dengan syarikat insuran baru yang menghubungi saya. Ingatkan nak sambung insuran lama tetapi terbeli insuran baru pula. Dalam tempoh itu rasa saya ada tiga syarikat insuran yang menawarkan insuran melalui telefon bimbit. Menyedari saya telah terkeliru dengan cara begini pada tahun berikutnya saya nekad untuk tidak membuat urusniaga melalui telefon lagi.


Lagipun urusan begitu membuatkan saya merasa ragu kerana saya dipaksa untuk membacakan detail kad kredit saya. Bagaimana kalau ada cross line ketika itu atau pegawai itu tidak jujur dan menggunakan kad kredit saya. Macam-macam perkara buruk saya terfikir. Lalu saya nekad membatalkan semua urusniaga jika hati saya tidak selesa jika terpaksa membocorkan kod rahsia nombor kad kredit saya.


Malangnya orang meniaga tetap nak meniaga. Bermacam cara mereka akan buat. Mereka tak bagi saya membatalkan insuran kerana katanya saya terikat dengan kontrak. Apahal pula kontrak. Saya bayar untuk setahun kenapa mesti terikat untuk tahun kedua. Mereka mati-mati tak mahu batalkan. Nombor saya dijaja dari satu pegawai ke seorang pegawai untuk memujuk saya. Saya rasa tak kurang dari enam orang dari syarikat yang sama menghubungi saya dalam tempoh satu setengah bulan.


Akhirnya saya jadi lemas dan menjerit di talian telefon kerana mereka memang tak reti bahasa. Nama sahaja insuran macam Islam tapi pendekatan memaksa-maksa pelanggan. Jadi anda berhati-hatilah apabila menerima panggilan telefon yang ingin memperkenalkan produk mereka melalui telefon. Katakan sahaja tidak berminat. Adalah lebih bijak apabila anda memilih sendiri insuran yang anda kehendaki dan pergi ke pejabat mereka dan berurusan dari membiarkan mengganggu anda tidak kira waktu.

15 January, 2012

Tahun Baru 2012

Telah 15 hari tahun 2012 menyapa kita. 2011 meninggalkan banyak kenangan kepadaku. Di antaranya pemergian sahabat tercinta Allayharham Abdul Hadi Ismail pada 20 November 2011. aku termangu sendirian bagai tidak percaya apabila sahabat menelefon untuk mendapatkan pengesahan daripadaku mengenai berita itu. Dan panggilan pertanyaan itulah merupakan perkhabaran buatku.


Terlalu banyak kenangan pahit manis dengan Allahyarham sejak mengenalinya dari tahu 1993. Waktu itu di pejabat ITNM yang beribu pejabat di Menara Pengkalen, Jalan Raja Chulan. Semoga Allah mencucuri rahmatnya dan menempatkannya bersama dengan orang-orang yang soleh.


Permulaan tahun baru juga yang menceriakan aku apabila aku berjaya menyiapkan novel yang mengambil masa selama setahun menyiapkannya. Buat masa sekarang aku menamakannya sebagai Puteri 9 Sepuluh. Semoga ia sempat diterbitkan sempena PBAKL2012 yang akan berlangsung pada bulan April 2012. Hanya itu dapat membuatkan aku gembira ketika banyak berita tahun baru yang membuatkan ramai rakan-rakan di pejabatku gembira dan juga rakyat Malaysia yang dapat baru dapat bantuan BR1M yang bernilai RM500.00.

30 December, 2011

Kanvas Kehidupan – Angry Bird






Jumaat seperti biasa waktunya singkat bagi lelaki muslim bekerja dan hendak ke masjid. Minggu ini aku berselipar baru yang dibeli khusus untuk aku buat ambil wuduk. Selipar lama yang aku beli sudah aku pencenkan kerana ia terlalu ringan dan sering membuatkan aku tergelincir di pintu tandas selepas mengambil wuduk. Aku nyaris tercedera bukan sekali dua tapi banyak kali. Itu yang membuat aku ambil keputusan untuk buang sahaja kerana kadang-kadang bukan aku sahaja yang pakai selipar itu. Ia juga dipinjam oleh kawan-kawan yang lain.


Selipar baru aku ialah….jeng..jeng..jeng…Angry Bird warna merah. Entah kenapa aku nak beli selipar Angry Bird tu padahal aku tak tau dan tak pernah kenal pun Angry Bird tu siapa sehingga suatu hari kawan aku berbisik kepadaku di sebuah pasar raya..


"Awak tahu sekarang ini character yang paling popular dan di sukai kanak-kanak ialah Angry Bird".


"Kartun ke Angry Bird tu?" Tanya aku.


Rakan yang lain pula memberitahu "Bukan. Angry Bird ni sejenis games."


"Ooo .." kataku.


Aku tak kisah Angry Bird itu apa tapi rekabentuknya pada selipar itu sangat menarik. Warna merah. Aku beli di pasar malam hari rabu dengan harga RM10.00. Aku pun sempat menayangkan character popular yang ada di selipar kepada kawan-kawan di pejabat. Malangnya selepas tiga hari aku pakai ia hilang di masjid sejurus selepas solat Jumaat! Adui. Agaknya apa niat orang tu pergi masjid dan tergamak nak ambil hak orang lain.


Walaupun demikian aku reda dengan apa yang terjadi. Bukan rezeki aku nak bersama Angry Bird. Sudah takdir aku hanya layak menikmatinya untuk tiga hari sahaja. Beberpa hari selepas itu aku ke kedai untuk mencari ganti selipar itu dan jeng..jeng...jeng aku jumpa Angry Bird baru dikedai dengan harga RM6.90. Adui…jangan percaya pasar malam lagi dan jangan angry kalau pakai Angry Bird!