06 March, 2009

ESQ dan Perjalananannya



Memang menyiksakan apabila terpaksa bangun dan bersiap seawal-awalnya lebih dari waktu kerja biasa. ESQ kali ini diadakan di Dewan yang terletak di Bangunan Matrade Jalan Duta. Pada angkatan(bilangan) yang ke 28 -peringkat Eksekutif ini menyaksikan seramai 650 peserta semuanya. Iaitu bilangan yang paling ramai setakat ini sejak ia diadakan.

Kumpulan yang paling ramai datangnya dari Kumpulan Karangkraf iaitu 250 orang termasuk sebahagian kecil ahli keluarga pengasas syarikat itu Dato' Hussamuddin. Para peserta lain aku lihat terdiri dari pelbagai kelas jawatan dari setinggi-tingginya hinggalah serendah-rendahnya. Terdiri juga dari mereka yang bergelar Dato' dan juga yang tiada gelaran apa-apa. Tidak ketinggalan juga selebriti popular yang sering kelihatan di TV.

EQS semakin melebar pengaruhnya setelah 28 kursus diadakan di Malaysia dan di negara-negara lain termasuk Australia, Brunei, Singapura, Amerika Syarikat dan banyak tempat di dunia lagi. Anehnya setiap lepasan kursus ini layak untuk menyertai Alumninya dan mereka pada bila-bila masa boleh menghadiri kursus yang sama di mana-mana sahaja ia diadakan tanpa bayaran lagi. Ini bertujuan untuk menyegarkan kembali ingatan mereka terhadap kandungan kursus yang diadakan.

Sehingga kini seramai 633,314 peserta telah menjadi ahli alumninya dan aku sendiri dapat melihat alumni itu hadir dan ditempatkan di belakang peserta baru. Mereka kelihatan begitu bersemangat untuk mengikuti kursus itu walaupun jadualnya padat selama 12.00 jam!.

Pengasas ESQ (Emotional Spiritual Quotient) atau Kecerdasan Emosi dan Spiritual ialah Sdr. Ary Ginanjar Agustian memulakan kumpulan pertama di Malaysia pada April 2006. Kata alumni yang hadir beliau (Sdr. Ary) sempat mengendalikan kursus ESQ hingga ke angkatan ke 8 sahaja. Ketika ini kursus pada hari pertama di kendalikan oleh Sdr.Legisan Sugiman dan saya merasakan beliau sangat hebat sekali terutamanya dapat mengingati Asma Al Husna dan maknanya serta ayat-ayat Al Quran serta maknanya sepanjang satu hari berkursus sangat pintar bermain dengan emosi peserta sehingga hampir keseluruhan peserta tersentuh dan menangis apabila melihat kembali ke dalam diri kita yang kerdil dan sering terlupa. Sdr. Legisan telah mengendalikan lebih dari 190 angkatan.

Dato' Hussamuddin, alumni VIP telah dijemput untuk berkongsi rasa pada permulaan kursus itu berkata kursus itu seperti Kursus Bina Insan. Sepanjang hayatnya berhijrah dan berjaya di Kuala Lumpur beliau tidak merasa damai tetapi dengan mengikuti kursus itu beliau beroleh kedamaian dan kerana itu beliau mengambil keputusan menghantar pekerjanya untuk mengikuti kursus itu.

Banyak perubahan positif dapat dilihat seperti yang tidak solat sudah mula solat, yang solat bertambah khusyuk, yang malas menjadi rajin, yang rajin bertambah rajin, yang tidak berkawan sudah pandai berkawan. Semua itu kerana soal dunia dan akhirat tidak boleh dipisahkan. Ia harus berjalan seiring dan ESQ menyedarkan hakikat itu kepada anda.

Katanya lagi jika kita mempunyai persepsi yang salah mengenai kursus itu amatlah rugi. ESQ telah dibentuk untuk kita lebih mencintai Allah. Walaupun bapa beliau adalah seorang ustaz tetapi penyampaiannya tidak seperti beliau terkesan dengan kaedah ESQ.


No comments: