11 February, 2009

Kanvas Kehidupan - Cinta Monyet

Pernah anda melihat monyet bercinta? Barangkali sukar kerana haiwan sukar dilihat ekspresinya. Tetapi jika ditanya pernah mengalami cinta monyet? Mungkin semua orang pernah melaluinya. Cinta monyet dilabelkan kepada anak-anak yang terlalu muda yang dilamun perasaan cinta. Ah, anda sendiri pernah melaluinya bukan?

Tidak ada yang luar biasa yang saya ingin paparkan di sini sekadar coretan yang saya korek dari teman. Saya memujuknya untuk bercerita tentang cinta pertamanya. Iaitu perasaan cinta yang pertamanya. Saya namakan dia sebagai X sahaja. Kata X perasaan cinta itu sangat suci. Dan manusia memang dilahirkan dengan perasaan cinta. Tanpa cinta tidak akan ada kehidupan yang berterusan. Kita semua dilahirkan kerana cinta orang tua kita. Kita hidup di dunia ini pun kerana cinta Allah kepada kita.

Saya memujuknya lagi untuk bercerita. Sebab kita memang seronok untuk mendengar cerita orang. Tetapi saya sudah memberitahunya awal-awal untuk berkongsi dengan pengunjung di blog enche. Akhirnya dia berkata "ok lah benda lama dan dah lepas." Cinta pertamanya bermula di usianya 13 tahun. Sewaktu di bangku sekolah dengan rakan sekelas.

Sebelum berkenalan di sekolah katanya dia pernah berjumpa dengan teman lelaki yang dia ingin saya kenalinya sebagai Saiful (bukan nama sebenar). Orangnya memang hensem meletup. "Perfect" dan pintar pula. Saiful ini anak guru besar tetapi di sekolah lain.

Waktu persekolah di tingkatan satu itu ialah pada waktu petang. Jadi X akan hadir awal untuk berjumpa dengan Saiful walaupun dia akan bersama di dalam kelas hari itu tetapi berjumpa dan berbual sementara menunggu waktu persekolahan bermula amat bermakna bagi dirinya.

Saya bertanya lagi apa yang paling seronok bila berjumpa. Kata X menatap wajahnya yang sangat sempurna dan menjadi kegilaan ramai rakan-rakan wanitanya yang lain. Katanya dia bernasib baik kerana Saiful suka dan jatuh cinta padanya.

"Pernah dating dengannya diluar waktu persekolahan?" saya bertanya. dia mengeleng kerana katanya takut dengan ibu bapanya. Begitulah orang dulu-dulu yang takut dan taat dengan ibu bapa. Saya bertanya lagi apa yang paling dia tidak boleh lupa dengan Saiful. Dia termenung mengingatkannya semula.

"Oh, ada." Waktu pulang dari sekolah dia bergurau dengan Saiful sehingga teman lelakinya marah lalu mencubitnya di lengan dan kesan dari cubitan itulah yang dilihat X hari-hari dan dia sentiasa senyum bila melihat kesan cubitan itu sehinggalah kesannya hilang dua tiga hari selepas itu.

"Di mana Saiful sekarang? Dia mengeleng-ngeleng kepala sambil memandang kepada saya. Katanya cinta kepada saiful cuma sekejap sahaja kerana Saiful bertukar sekolah. Berhari-hari dia menangis mengingatkan Saiful yang telah 'pergi' darinya. Saiful ada meghantar surat kepadanya dan sekeping gambar foto dirinya tetapi di telah memulangkan semula kepada Saiful kerana marah dengan tindakan Saiful bertukar sekolah.

Saya bertanya lagi kenapa Saiful bertukar sekolah. Saiful takut dengan seorang guru yang garang di sekolah itu!

Jika anda terimbas kisah cinta monyet anda silalah kirimkan dan kita kongsi di sini. Ia akan membuatkan jiwa anda segar semula.

10 February, 2009

Makluman

Persidangan Kebangsaan Penerbitan Ilmiah
PWTC Kuala Lumpur. 18 - 19 April 2009
Panggilan untuk Kertas Kerja
"Pengantarabangsaan Penerbitan Ilmiah Malaysia"

09 February, 2009

Kain Dari Langit dan Program Gerak Usahawan Nasional 2009




Seronok jika dapat melihat respon dari anda! Saya sudah agak anda tentu akan tertanya-tanya apa akan jadi dengan kain dari langit. Cerita itu memang tidak habis di situ sahaja. Saya tidak dapat menulis panjang ketika itu kerana berada di Hotel Seri Pacific ketika itu sejak 2 hari lepas menemankan kawan yang datang dari Australia untuk program Gerak Usahawan nasional 2009 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di PWTC. (6-8 Februari 2009)

Kepada Ahmad Norly dan Puan Ramlah selamat kembali ke tanah air. Seorang kenalan lama dan seorang kenalan baru yang berjaya membuka perniagaan di Australia dalam perniagaan Restoran(Makan2) dan pembekalan Daging Halal (Mecca Meats and Smallgoods). Hari itu juga teman lama dari Jakarta Zamry yang bekerja dengan syarikat pengiklanan di sana kembali ke tanah air untuk sama-sama berjumpa.

Seronok sekali dapat melawat gerai-gerai pameran di situ dan mengetahui ramainya rakyat Malaysia di luar negara yang berjaya menjalankan perniagaan di negara orang. Mereka kembali ke tanah air untuk berkongsi pengalaman dengan kita di sini dan mendedahkan peluang-peluang yang ada, memberi bimbingan dan sebagainya. Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang.

Cerita yang tergantung itu akan saya sambung jika mendapat syarikat penajaan. (Hehee... tunggu saja waktu yang saya lapang kerana saya juga terpaksa membahagikan masa untuk sebuah novel yang akan menemui anda tidak lama lagi.)

Puisi - Di Bawah Runtuhan itu

(Khas buat saudara-saudaraku di Palestin)




di bawah runtuhan itu
ada suara tangisan
si anak kecil yang kesakitan
dihempap batu angkara bebola api

di bawah runtuhan itu
ada jasad yang telah kaku
tetapi darahnya masih mengalir
ia pergi dalam syahid

di bawah runtuhan itu
ada kehidupan yang telah musnah
dan cerita yang berkecai
membuah harapan yang sangat jauh untuk dicapai

di bawah runtuhan itu
ada kehidupan baru
yang bermula dengan airmata dan dendam
menuntut kedaulatan dan darah yang tumpah

kaulah permulaannya
syaitan berwajah manusia
menyatakan penyesalan
pada angkara yang terpaksa dilakukan
atas nama apa sekalipun
nyawa yang tidak berdosa

di bawah runtuhan dinding itu
ada suara simpati dari seluruh alam
yang seagama denganmu
tidak mampu hadir dalam jasad
tapi hadir dalam doa

di bawah runtuhan itu
kau telah memusnahkan segalanya

menyuburkan dendam kerana dendam
mematikan yang hidup kerana kematian yang lalu
yang mati itu tidak pernah akan mati
dan tidak akan pergi dengan kematian itu
tekad itu terus tinggal di situ
membesar bersama anak kecil
kau akan lihat padahnya nanti
saat mentari hampir muncul dari barat

Enche
Februari 2009

08 February, 2009

Kak Rocs Mahu Cerita Seram?

Barang kali ada orang yang jemu dengan cerita-cerita serius saya di sini. Entahlah kerana sememangnya cara penulisan itu selalunya banyak dipengaruhi oleh emosi dan persekitaran penulisnya. Ada yang minta saya menulis mengenai cerita seram! Bagaimana saya bisa menulisnya jika saya sendiri tidak mengalaminya sendiri.

Saya akan cuba untuk mengingati peristiwa-peristiwa seram sepanjang hidup yang pernah saya lalui. Barangkali saya ini tidak mudah takut dengan keadaan kerana itu saya jarang untuk takut atau merasa seram.

Mungkin pengalaman sewaktu kecil ini boleh saya kongsi dengan anda khasnya Kak Rocs. Kejadian ini berlaku pada tahun 1970an dahulu. Saya tinggal di sebuah kawasan perumahan di Pantai Timur. Dahulu tidak semua rumah yang mampu memiliki peti telivisyen. Waktu itu TV siarannya hanya hitam dan putih sahaja dan salurannya hanya dua sahaja. TV 1 dan TV2 kalau tidak silap saya.

Bagi keluarga yang tidak mempunyai TV mereka akan bertandang ke rumah jiran yang mempunyainya dan akan penuh sesaklah rumah itu untuk menonton TV. Kesian juga kepada tuan rumah bila dikenang-kenangkan kembali.

Rancangan keluarga yang digemari ketika itu ialah tayangan cerita Melayu dan kalau tidak silap saya siarannya pada malam jumaat selepas waktu maghrib. Tayangan itu selalunya dihentikan untuk siaran Berita Utama jam 8.00 malam diikuti siaran Peristiwa yang dinamakan Dunia Sana Sini.

Lebih kurang satu jam penonton terpaksa berehat dan kanak-kanak seperti saya akan keluar
bermain atau bersantai di halaman rumah. Kawasan perumahan kami adalah hutan ketika itu. Suatu malam ketika menanti tayangan cerita di sambung kembali saya dan kawan-kawan telah bermain-main di tepi jalan. Entah bagaimana ketika bermain-main itu hanya saya yang dapat melihat bayangan sesuatu yang terbang ke udara dari tempat kami bermain. Dan sambil terbang itu sesuatu itu telah meninggalkan kain dan saya dapat menangkap kain sepanjang 2 meter jatuh ke bumi.

Apabila saya menjerit mengatakan kain itu datangnya dari udara dan terbang kepada saya semua kawan-kawan sepermainan telah lari lintang pukang mendapatkan ibubapa masing-masing dan saya terus mengheret kain itu separuh jalan tetapi apabila melihat kawan-kawan takut dengan kain itu saya meninggalkannya dan lari ke arah mereka.

Berita sampai ke pengetahuan orang-orang tua di situ dan salah seorang dari mereka menyuruh saya untuk mengambil kain tersebut dan saya dengan selamba telah pergi mendapatkannya. Maka keributan sekali lagi terjadi bila nampak saya dan kain dari langit itu!

07 February, 2009

Senyum - Gila

Gila, hilang akal, mereng, tiga suku itulah gelaran yang diberikan kepada orang yang sudah tidak siuman. Kita harus bersyukur kerana Allah masih memberikan kita kewarasan akal untuk berfikir. Bagaimanapun kita sebenarnya tidak tahu apa yang orang gila nampak dalam dunianya sehingga mereka boleh berbicara sendirian atau melakukan sesuatu yang aneh-aneh.

Orang gila pun pandai mengenakan kita. Seperti suatu cerita orang gila di hospital pesakit jiwa yang sedang memancing di dalam baldi lalu seorang pelawat tersenyum lalu menyoal "Hai banyak ke dapat Ikan?". Lalu dia berkata kembali "Gila ke. dalam baldi mana ada ikan!"

Apa yang ingin saya ceritakan ialah cerita orang gila yang masuk ke dalam sebuah salun rambut. Saya mengalami sendiri peristiwa itu. Saya melihat seorang gila masuk ke dalam salun, meluru ke tempat gunting yang disimpan. Kami yang berada di dalam salun panik tetapi tuan kedai menenangkan kami dan tidak bertindak menghalau orang gila tersebut sebaliknya membiarkan sahaja tindakannya.

Tuan kedai:
Kita tengok je apa dia nak buat
Saya : Selalu ke dia masuk ke sini?
Dia mengangguk
Saya: Dia buat apa selalunya?
Tuan kedai: Dia cuma nak potong sendiri rambutnya.

Selepas itu tuan kedai itu berkata kepada orang gila yang baru memotong rambutnya sendiri.
Tuan kedai: Okay dah cantik dah boleh keluar sekarang.

Orang gila itu melibas-libas tangan membuang rambut yang melekat di baju dan berjalan keluar.
Kami yang ada di dalam salun itu menarik nafas lega dan senyum sesama sendiri.
Tuan kedai: Orang gila pun tau nak cantik!

05 February, 2009

Kongsi Emel - Mandi

Mandi

KAJIAN terbaru berkaitan dengan mandi mendapati ia bukan saja bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran, tetapi menjauhkan stress serta berperanan penting meningkatkan sistem kekebalan tubuh.. Penyelidikan yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine menunjukkan penderita diabetes yang menghabiskan masa selama setengah jam berendam dalam airsuam dapat menurunkan tingkat gula darah sekitar 13 peratus. Kajian di Jepun pula menunjukkan 10 minit berendam dalam air panas dapat memperbaiki kesihatan jantung terutamanya untuk lelaki.

Berikut beberapa manfaat mandi kepada individu yang mengamalkannya.

Mengeluarkan racun: Mandi air panas sekitar 32 hingga 35 darjah Celsius membuka ruang yang dapat membantu mengeluarkan toksin. Mandi air panas membantu menurunkan tingkat gula darah, menyembuhkan sakit otot dan membantu menjaga usus besar supaya bekerja dengan baik. Waktu yang dianjurkan ialah selama 10 hingga 20 minit. Mandi air sejuk sangat baik untuk meredakan ketegangan. Ia dapat menyempitkan darah dan meningkatkan tingkat gula darah. Suhu yangdianjurkan ialah sekitar 12 hingga 18 darjah Celsius.

Jangkitan kulit: Penyakit kulit tertentu seperti ruam atau gatal-gatal boleh di atasi dengan menambahkan soda penaik (sodium bicarbonate) ke dalam air mandian. Ia bertindak sebagai antiseptik. Isikan air ke bekas mandian dan tambahkan soda penaik dan aduk sehingga rata. Digalakkan untuk berendam selama 10 hingga 20 minit.

Selesema dan sakit kepala : Merendam kaki dalam air panas membantu menyembuhkan selsema, sakit kepala dan menyegarkan kembali kaki yanglelah. Masukkan air panas secukupnya dalam bekas sehingga menenggelamkan pergelangan kaki kemudian tambahkan beberapa titis minyak seperti lavender, peppermint atau lemon. Selepas basuh dengan air sejuk. Lakukannyaselama 10 hingga 20 minit.

Insomnia : Merendamkan kaki dalam air dingin sangat baik kepada anda. Yang mempunyai masalah imsonia atau memiliki masalah tidur. Masukkan kaki sehingga ia merasa dingin. Perubatan ini berguna bagi kaki lelah, pendarahan hidung, selsema dan sembelit.


Terima Kasih Zolkepli Musa

Itulah khasiat mandi yang kita tidak tahu selain membersihkan badan ia juga merupakan cara rawatan kepada penyakit yang kita alami.

04 February, 2009

Jom Baca Buku- Penjenamaan Merentasi Sempadan


Penjenamaan Merentasi Sempadan
Branding Across Border

Buku ini adalah jilid ketiga daripada trilogi karya Jim Gregory mengenai pembinaan jenama korporat yang menjadi topikhangat masa kini. Ia melontarkan pemikiran dan pengalaman menarik penulis sambil menjelaskan langkah yang perlu diambil dalam usaha membina dan menguruskan jenama global. Buku ini turut mengetengahkan beberapa panduan berguna dan kelemahan yang perlu diatasi apabila membawa sesuatu jenama merentasi sempadan negara. Turut dibincangkan secara terperinci adalah kewujudan internet serta perkara berkaitan e-pelanggan.

Judul :
Penjenamaan Merentasi Sempadan
Branding Across Border
Karya Terjemahan : Institut Terjemahan Negara Malaysia
Penulis: James R Gregory
ISBN: 978 983 068 195 5
Tahun Terbit: 2007
Jumlah Halaman: 243 Muka Surat
Harga: RM40.00

Sila dapatkan naskhah dengan menghubungi talian ITNM 03-41497210 atau kunjungi MPH Alamanda ataupun di Mid Valley.

03 February, 2009

Senyum - Salah kereta

Janji temu di hadapan pejabat untuk makan tengah hari. Mat telah berjanji dengan Mon untuk menjemput dengan keretanya di hadapan pejabat Mon. Mat Tiba tepat pada waktunya dan menanti dengan penuh sabar. Kelihatan Mon keluar tergesa-gesa dari pejabat berjalan menuju ke sebuah kereta di hadapannya. Mat merasa hairan dan pelik. Belum sampai seminit kelihatan Mon keluar dari kereta itu tersengih-sengih dan masuk ke dalam kereta Mat.

Mat: kenapa kau tersengih ni?
Mon: Salah kereta da... orang tu tengah tunggu boss dia, cepat-cepat aku keluar dan minta maaf!
Mat: Apa orang itu cakap?
Mon: Dia kata tak pe. Dia pun tak kenal boss yang dia tunggu tu.

Renung Sejenak

Nabi s.a.w. bersabda, Maksudnya:

"Allah berfirman: Setiap amal anak Adam adalah untuk Adam itu sendiri melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagiKu dan Aku membalas puasanya itu" (Sahih Bukhari).

02 February, 2009

Pandu Cermat Jiwa Yang Lain-lain Turut Selamat!

2 Februari 2009


Setiap masa akan ada saja kemalangan berlaku jika kita tidak berhati-hati atau melanggar peraturan. Peraturan dibuat untuk mewujudkan keselamatan kepada semua. Peraturan dibuat berdasarkan kajian atau pengalaman kejadian sebelumnya.

Malang sekali jika ada di antara kita merasa peraturan hanya untuk orang lain. Peraturan perlu dipatuhi jika ada orang yang mengawasinya. Atau peraturan adalah untuk orang-orang yang tidak cekap sahaja!

Saya tidak ingin mengatakan kereta yang terlibat ini (di dalam gambar) bersalah atau tidak mengikut peraturan kerana sayapun tidak pasti bagaimana kejadian ini bermula. Ketika melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) semalam lebih kurang jam 3.34 petang saya dan rakan telah merempuhi kesesakan jalan raya yang baharu sahaja bermula. Kami mendengar siren bomba dan semua kereta yang bergerak perlahan memberikan laluan.

Telahan kami benar mengatakan bomba menuju misi menyelamatkan kemalangan ngeri di hadapan kami. Dan ada di antara kami tidak mahu memandang langsung ke arah tempat kejadian kerana membayangkan kemalangan itu sangat dahsyat.

Saya yang memang bersedia dengan kamera telefon terus merakamkan gambar yang sangat eksklusif ini untuk anda. Berbagai andaian boleh kita buat melalui gambar ini. tetapi yang pasti senantiasa 'berhati-hatilah di jalanraya- pandu cermat jiwa selamat'.

Jika pemandunya membuat temujanji dengan seseorang dan anda adalah orang itu apa perasaan anda menerima berita itu dan apa nasihat anda kepadanya jika anda tahu ianya akan berlaku?

Selamat Berbahagia hingga ke Akhir Hayat- Firdouse

2 Februari 2009



Selamat Pengantin baru kepada teman sepejabat Firdouse dan isteri. Semoga jodoh anda berkekalan hingga ke akhir hayat. Terlambat sedikit menyiarkan post ini. Pertama kerana saya memang lupa nak catat nama isterinya. Saya tercari-cari kad jemputan itu dan baru teringat kad itu cuma satu sahaja dan di kongsi bersama rakan-rakan yang lain dan kad itu di tampal di papan kenyataan di unit penerbitan.

Dari hari ke hari asyik terlupa sahaja nak membelek kad itu. Al maklum sahajalah di pejabat sekarang kalau melangkah masuk sahaja akan lupa untuk hal-hal lain kerana 'Unit Penerbitan' sedang dilanda taufan kecil sekarang!

Nasib baik tarikh kenduri itu saya tidak lupa. Kebetulan masih berada di Kuala Lumpur saya mengambil kesempatan itu bersama anak saudara menghadiri kenduri Fir. Saya tiba jam 3.00 petang dan suasananya seperti lengang dan lesu sahaja seperti wajah kedua pengantin. Mungkin kemeriahan itu telah berlalu dan saya mendapat suasana 'hujung-hujung' sahaja.

Sempat bersalaman dengan Fir dan mengucapkan tahniah. Kata Fir tak ramai teman sepejabat yang datang. Saya fikir mungkin ramai yang bercuti apatah lagi cuti panjang sempena Tahun Baru Cina ada yang balik kampung untuk 'beraya' sama.

Sekali lagi untuk Fir 'Selamat Pengantin Baru'.