09 February, 2009

Puisi - Di Bawah Runtuhan itu

(Khas buat saudara-saudaraku di Palestin)




di bawah runtuhan itu
ada suara tangisan
si anak kecil yang kesakitan
dihempap batu angkara bebola api

di bawah runtuhan itu
ada jasad yang telah kaku
tetapi darahnya masih mengalir
ia pergi dalam syahid

di bawah runtuhan itu
ada kehidupan yang telah musnah
dan cerita yang berkecai
membuah harapan yang sangat jauh untuk dicapai

di bawah runtuhan itu
ada kehidupan baru
yang bermula dengan airmata dan dendam
menuntut kedaulatan dan darah yang tumpah

kaulah permulaannya
syaitan berwajah manusia
menyatakan penyesalan
pada angkara yang terpaksa dilakukan
atas nama apa sekalipun
nyawa yang tidak berdosa

di bawah runtuhan dinding itu
ada suara simpati dari seluruh alam
yang seagama denganmu
tidak mampu hadir dalam jasad
tapi hadir dalam doa

di bawah runtuhan itu
kau telah memusnahkan segalanya

menyuburkan dendam kerana dendam
mematikan yang hidup kerana kematian yang lalu
yang mati itu tidak pernah akan mati
dan tidak akan pergi dengan kematian itu
tekad itu terus tinggal di situ
membesar bersama anak kecil
kau akan lihat padahnya nanti
saat mentari hampir muncul dari barat

Enche
Februari 2009

No comments: