Barang kali ada orang yang jemu dengan cerita-cerita serius saya di sini. Entahlah kerana sememangnya cara penulisan itu selalunya banyak dipengaruhi oleh emosi dan persekitaran penulisnya. Ada yang minta saya menulis mengenai cerita seram! Bagaimana saya bisa menulisnya jika saya sendiri tidak mengalaminya sendiri.
Saya akan cuba untuk mengingati peristiwa-peristiwa seram sepanjang hidup yang pernah saya lalui. Barangkali saya ini tidak mudah takut dengan keadaan kerana itu saya jarang untuk takut atau merasa seram.
Mungkin pengalaman sewaktu kecil ini boleh saya kongsi dengan anda khasnya Kak Rocs. Kejadian ini berlaku pada tahun 1970an dahulu. Saya tinggal di sebuah kawasan perumahan di Pantai Timur. Dahulu tidak semua rumah yang mampu memiliki peti telivisyen. Waktu itu TV siarannya hanya hitam dan putih sahaja dan salurannya hanya dua sahaja. TV 1 dan TV2 kalau tidak silap saya.
Bagi keluarga yang tidak mempunyai TV mereka akan bertandang ke rumah jiran yang mempunyainya dan akan penuh sesaklah rumah itu untuk menonton TV. Kesian juga kepada tuan rumah bila dikenang-kenangkan kembali.
Rancangan keluarga yang digemari ketika itu ialah tayangan cerita Melayu dan kalau tidak silap saya siarannya pada malam jumaat selepas waktu maghrib. Tayangan itu selalunya dihentikan untuk siaran Berita Utama jam 8.00 malam diikuti siaran Peristiwa yang dinamakan Dunia Sana Sini.
Lebih kurang satu jam penonton terpaksa berehat dan kanak-kanak seperti saya akan keluar
bermain atau bersantai di halaman rumah. Kawasan perumahan kami adalah hutan ketika itu. Suatu malam ketika menanti tayangan cerita di sambung kembali saya dan kawan-kawan telah bermain-main di tepi jalan. Entah bagaimana ketika bermain-main itu hanya saya yang dapat melihat bayangan sesuatu yang terbang ke udara dari tempat kami bermain. Dan sambil terbang itu sesuatu itu telah meninggalkan kain dan saya dapat menangkap kain sepanjang 2 meter jatuh ke bumi.
Apabila saya menjerit mengatakan kain itu datangnya dari udara dan terbang kepada saya semua kawan-kawan sepermainan telah lari lintang pukang mendapatkan ibubapa masing-masing dan saya terus mengheret kain itu separuh jalan tetapi apabila melihat kawan-kawan takut dengan kain itu saya meninggalkannya dan lari ke arah mereka.
Berita sampai ke pengetahuan orang-orang tua di situ dan salah seorang dari mereka menyuruh saya untuk mengambil kain tersebut dan saya dengan selamba telah pergi mendapatkannya. Maka keributan sekali lagi terjadi bila nampak saya dan kain dari langit itu!
1 comment:
che lah, kenapa cerita tak ada ending..? what happened to the kain after that ?
Post a Comment