11 July, 2008

Pyanhabib dan Puisi Seluar Dalam.


Ada sesuatu yang saya ingin anda tahu mengenai Pyanhabib. Beliau menghafal kebanyakan puisi yang dideklamasikannya. Ketika dijemput untuk membaca puisinya di arena walaupun membawa gulungan kertas yang mengandungi puisinya beliau tidak melihat catatan tersebut dan membacakan puisi-puisinya dengan selamba dan ada yang pernah saya dengar sebelum ini tetap sama bunyinya, itulah kelebihan Pyan.

Ada satu puisinya yang cukup mencuit hati saya (dan bukan saya seorang malah semua yang hadir) dengar darinya. Sayang sekali saya tidak dapat mencatatnya kerana suasana kelam dan saya tidak mempunyai alat perakam suara. Jadi saya cuma boleh memberi intipati kepada puisi tersebut sahaja.

Puisi itu bertajuk 'Seluar Dalam'. Puisi itu menceritakan bagaimana ia tidak boleh tidur malam kerana mengingatkan seluar dalamnya yang hilang. Seluar dalamnya yang mengandungi 'Abstrak'. katanya semua orang pakai seluar dalam, Pak Lah pakai seluar dalam, Tun Mahathir pakai seluar dalam dan Rafidah Aziz pun pakai seluar dalam.Tok Imam pakai seluar dalam Bilal pun pakai seluar dalam. Dia pernah melihat Tok Imam menanggalkan seluar dalam sebelum sembahyang. Seluar dalam ada berbagai warna tetapi beliau suka seluar dalam warna hitam dan biru. Seluar dalam ada berbagai saiz. Ada seorang perempuan gemuk di hujung kampung sana, dia rasa perempuan itu tidak memakai seluar dalam kerana mungkin tak ada saiz!
Bagaimana kita menerima puisi itu ialah bergantung kepada cara pemikiran kita sendiri. Jika kita melihat puisi itu sebagai suatu pernyataan ia tidak mempunyai apa-apa tetapi jika kita menerimanya sebagai satu hiburan santai maka itulah yang kita dapat. Kita tidak boleh memaksa orang lain supaya serius jika yang serius itu sebenarnya kita. Orang lain itu telah melihat sesuatu yang mungkin anda tidak nampak. Jika anda boleh menerimanya dalam pelbagai keadaan dalam suatu waktu anda adalah seorang yang terbuka mindanya kerana memahami semua keadaan dan kejadian corak pemikiran yang Allah s.w.t. jadikan!
Begitulah abstraknya puisi dan juga seni. Satu subjek yang dipandang tidak semestinya mempunyai satu tanggapan dan pandangan yang sama.Dan seni itu sifatnya terbuka dan tidak boleh memaksa orang lain bersetuju dengan anda. Biarkan seni itu hidup kerana ia akan menghidupkan jiwa dan hati. Jiwa dan hati itu perlu hidup kerana ia akan menjanakan fikiran anda untuk terus berfikir dengan waras. Dan jika anda berfikir dengan waras anda sebenarnya manusia!

No comments: