Memang betul cuma satu stesen aku pun tiba di Stesen Hang Tuah. Sudah tiga kali aku tiba di stesen itu untuk ke DBP. Ada setengah jam sebelum jam 4.30 petang aku berjalan hampir berlari menyusuri tepi jalan dan kawasan penempatan Flat Samping.
Tidak banyak berubah kawasan flat itu sebagaimana dahulu. Aku pernah minum petang bersama teman-teman sekerja dan berjalan menuju ke Masjid Penjara yang mereka panggil melalui Flat Samping itu. Tidak pasti masih ada lagikah masjid itu. Dua tahun lepas aku sempat juga bersama teman Din namanya meninjau ke kawasan perniagaan di situ. Sangat berbeza dari sepuluh tahun dahulu. Banyak kedai borong di situ rupanya dan aku sempat membeli sepasang baju melayu di situ dengan harga yang sangat murah. Berbaloi.
Perjalanan aku pada petang itu tidak akan merentasi kawasan perniagaan itu aku akan menyeberang jalan bersebelahan kawasan masjid yang kata kawanku dibina oleh jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Dan dalam surat khabar lepas ada melaporkan beliau adalah antara 40 orang yang terkaya di Asia.
Lima belas minit dari situ aku akhirnya tiba di DBP tempat yang dikata orang Soliloquy suka bermain. Terus aku menuju ke tingkat empat di mana Pusat Dokumentasi berada. Sebelum datang ke situ aku telah meminta Mie (Suhaimi) memberikan aku panduan. Memang mudah jadinya.
Pintu Pusat Dokumentasi dikuak aku melihat seorang petugas menyambung kedatanganku dengan pandangan matanya. Aku mencari kelibat seorang lagi Azhar Mat Joror kata Mie dia bertugas di situ. Azhar itu adalah teman sepejabat di Reka Bentuk sewaktu aku bertugas di DBP dahulu. Kalau betul dia ada memang mudah lagi kerjaku. Tetapi malang sekali bayang Azhar memang tak ada. Aku terpaksa melalui prosedur biasa untuk membuat pinjaman.
Terus aku tanya adakah Soliloquy di situ. Dia (petugas itu) yang aku ingat-ingat lupa wajahnya kerana banyak berubah terus membuat carian melalui data di komputer. Terus dia memberikan aku nombor rujukannya. 899.233 Suh.
Setelah membuka akaun sebagai Rakan Dewan aku terus ke ruang bawah mencari Soliloquy. Tepat jam 4.30 aku mendapat Soliloquy. Sebuah antologi cerpen karya Suhaimi Haji Muhammad mengandungi 14 buah cerpen. Berpeluh aku. Nah kau dalam genggamanku sekarang Soliloquy.