Baru usik-usik mengenai istilah H1N1 yang digunapakai sekarang yang kurang mesra dan melupakan punca datangnya penyakit itu dalam post diblog ini beberapa hari lepas tiba-tiba hari ini Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim menyarankan pengguna istilah Selsema Babi digunakan kerana ia lebih mudah disebut dan perkataan babi bukan khinzir kerana masyarakat di negara ini lebih mengenali babi daripada khinzir. Katanya penggunaan selsema babi juga jika digunapakai impaknya lebih besar. Lagipun negara barat sendiripun menggunakan istilah Swine Flu.
Sehingga hari ini dalam Harian Metro melaporkan sebanyak empat buah sekolah ditutup untuk mengelakkan dari wabak itu terus merebak. Dan di sebuah sekolah di Wangsa Maju di Seksyen 2 di tutup satu kelas selama seminggu. Begitu penyakit itu semakin menghampiri kita dan ia akan terus merebak jika kesedaran mengenainya tidak diuar-uarkan.
Saya membaca berita diakhbar dan merasa sangat kecewa dengan tindakan ibubapa yang dikenakan kuarantin kerana disyak terlibat dengan wabak itu masih membenarkan anak-anak mereka menghadiri kelas-kelas agama!
Sementara itu UiTM pula adalah institusi pengajian yang pertama menghalang pelajar-pelajar dan kakitangannya ke luar negara. Universiti Malaya juga dikatakan telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan wabak itu jika ada.
Pekerja yang disyaki dijangkiti virus selsema babi pula berhak menerima gaji harian penuh jika mereka diberikan cuti sakit oleh doktor, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam. Kenyataan itu dikeluarkan berikutan terdapat majikan yang memberikan cuti tanpa gaji walaupun mereka diberi cuti sakit oleh doktor.
Sepuluh perkara yang perlu dilakukan ketika menjalani kuarantin di rumah.
1. Hendaklah berada di rumah sepanjang tempoh kuarantin yang ditetapkan dan mesti
berasingan dari ahli keluarga lain yang sihat.
2. Semasa berada dalam tempoh kuarantin, anda tidak dibenarkan keluar dari rumah sama ada untuk bertugas, sekolah, tuisyen, majlis makan malam, kenduri, membeli belah atau mana-mana tempat awam.
3. Dapatkan bantuan daripada saudara mara atau rakan bagi memperolehi keperluan harian jika tinggal bersendirian.
4. Kurangkan pertemuan dengan rakan dan saudara mara serta elakkan dari hadir di tempat awam.
5. Catatkan nama, nombor telefon dan alamat mana-mana saudara mara atau rakan mengunjungi dan memasuki rumah anda.
6. Gunakan penutup muka sepanjang masa jika mengalami batuk dan demam.
7. Amalkan kebersihan diri seperti menutup mulut semasa batuk atau bersin. Cuci tangan selepas menyentuh, hidung, mulut atau mata dan pastikan pengudaraan dalam rumah baik.
8. Pantau kes-kes demam dan tanda-tanda jangkitan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin.
9. Hubungi segera pegawai kesihatan daerah berdekatan sekiranya mengalami demam dan simptom berkaitan.
10. Mengikuti perkembangan semasa mengenai penyakit ini dari media massa seperti radio, televisyen, akhbar dan lain-lain.
Hari ini saya telah membeli topeng muka sebagai persediaan jika terpaksa menghadapi sebarang kemungkinan berhadapan dengan kawasan yang dijangkiti. Wah 5 topeng muka pun harganya sudah mencecah RM29.90!
1 comment:
Dahulu perkataan "khinzir" yang digunakan kerana lebih sopan bunyinya. Namun kini "babi" pula, kerana ada pemimpin yang terasa disamakan namanya dengan khinzir. Khabarnyalah...
Post a Comment