21 September, 2009

Salam Aidilfitri-1430 Hijrah


Bersama bonda tercinta di pagi raya. Lihatlah bonda berdandan kalungan bunga Melur di kepala. Dia gemar sekali dengan haruman Melur.

Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga siber di blogspot dan juga facebook atau di mana juga post ini dapat dibaca daripada saya. Di kesempatan ini saya menyusun jari nan sepuluh memohon ampun dan maaf untuk kesalahan yang saya sedari atau tidak. Sebagai manusia yang dilahirkan penuh dengan sifat tidak sempurna saya dengan rendah hati dan diri memohon agar kesilapan itu dapat dimaafkan. Itulah kemuliaan Syawal yang telah Allah jadikan ruang untuk kita saling bermaaf-maafan.

Semoga hati kita lebih bersih dan suci, minda kita lebih terbuka dan besar dengan berlalunya Ramadan dan hadirnya Syawal. Saya mendoakan anda semua memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat pada hari yang mulia ini di samping keluarga, saudara-mra tercinta dan juga rakan taulan.

Yang memandu pulang berhari raya atau mengunjungi sanak saudara dengan kenderaan berhati-hatilah sewaktu di jalanraya. Jangan leka melayani fikiran, saudara mara di dalam kenderaan atau telefon bimbit. Tumpukan konsentrasa anda sewaktu memandu kerana sedikit kecuaian anda mungkin membunuh kebahagiaan anda sendiri atau orang lain.

Akhir sekali tingkatkanlah kesedaran kita terhadap beberapa tuntutan yang perlu kita penuhi sewaktu musim perayaan ini iaitu jangan membazir, berhati-hati di jalan raya dan juga jaga kebersihan dengan mengamalkan langkah-langkah yang sepatutnya sewaktu kunjungi-mengunjungi untuk mengelakkan jangkitan H1N1. Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin