Tiada apa yang boleh membangkitkan kemarahan kita jika hati kita disakiti tanpa sebab yang jelas. Tapi bagi perompak, pencuri atau penyamun mereka peduli apa dengan perasaan orang lain. Jika itu yang menjadi pertimbangannya, sudah tentu mereka tidak akan memilih 'bidang' itu sebagai sumber pencarian.
Suatu malam kerana ingin memenuhi permintaan teman yang sudah lama tak jumpa. Aku bersetuju untuk menemuinya di Medan Selera sebuah pasar raya. Kami makan malam bersama di situ. Tidak lama berada di situ kerana rimas dengan suasana bising aku bercadang dia datang sahaja ke rumah untuk menyambung cerita.
Rupanya kunjungan yang sebentar di pasar raya di tempat letak kereta itu telah memberi peluang kepada mereka yang memang mencari mangsa di situ. Keputusan aku untuk meletak kereta di tempat yang agak jauh dan terlindung dari pintu keluar telah memberi peluang kepada mereka untuk membuat operasi dengan selesa. Apatah lagi dengan cara aku meletakkan kereta secara mengundur iaitu belakang kereta bertemu kereta belakang maka pencuri mendapat posisi yang sangat terlindung untuk mengopak kunci bonet keretaku.
Menyesalpun ada tetapi sudah suratan takdir jadi tidak guna untuk disesali. Lagipun cuma sebuah beg yang berisi pakaian untuk bersukan yang sentiasa berada di dalam bonet itu yang di ambil oleh penceroboh itu. Itupun cukup bagi mereka.
Aku ceritakan kepada teman-teman lain agar berhati-hati meletakkan kenderaan di pasar raya berkenaan sebaliknya mereka tidak hairan kerana kata mereka di situ memang kecurian kereta sering berlaku.
Akupun termenung seketika mengingatkan apa lagi barang berharga yang ada di dalam beg yang dicuri itu; ada baju, ada seluar sukan, ada tuala..oh ada seluar dalamku juga. Mesti pencuri itu menyumpah aku.
No comments:
Post a Comment