Hari sudah larut pagi biasanya saya telah tidur waktu begini. Tetapi kita tidak dapat lari dari keadaan di mana mata tidak boleh lelap seperti ada sesuatu yang tidak beres pada hari itu. Begitulah dengan saya. Tadi saya membuat panggilan kepada kawan lama di Sarawak Jef dan dia bertanyakan adakah saya telah membaca postnya pada hari ini. Saya sebenarnya tidak sempat pun untuk membaca blog kawan- kawan hari ini, apatah lagi mengemaskini blog sendiri.
Jika saya mempunyai waktu sudah tentu perkara pertama yang saya lakukan mengemaskini blog enche's.Saya agak ada sesuatu yang istimewa mengapa Jef beria-ria menyuruh saya membacanya dan dalam kepayahan saya menguatkan juga semangat untuk membacanya di pagi- dalam keadaan semua orang sedang lena. Membaca tulisannya lalu mengingatkan saya kisah kami sama-sama belajar di ITM Shah Alam. Tetapi kenangan saya berbeza dengan Jef. Biarlah kelemahan diri ini dapat kita kongsi bersama agar dapat sama kita tidak mengulanginya.
Seperti cerita Jef apabila bila 14 Februari pelajar-pelajar yang dilamun cinta akan mengirimkan bunga mawar kepada cinta hati masing-masing. ITNM mempunyai ramai pelajar-pelajar yang majoritinya orang Melayu- Islam. Biasalah sewaktu muda kita cetek dengan pengalaman dan pengetahuan. Seperti kata Imam di dalam khutbah Jumaat semalam orang Islam tidak wajar terlibat dengan Budaya Songsang.
Budaya Songsang telah menjalar di dalam masyarakat kita seperti penagihan dadah, menyambut Hari Valentine, budaya gay dan lesbian, merempit, skin head, punk, bersekedudukan dan lain-lain lagi.
Sebenarnya apa yang dikatakan Tuan Imam itu telah wujud berpuluh tahun dahulu lagi dan ia nampaknya seperti berterusan jika kita sendiri tidak mahu menghentikannya. Kembali kepada cerita saya. Keghairahan menyambut hari kekasih itu menyebabkan perniagaan bunga ros dan perkhidmatan penghantarannya amat menggalakkan di kalangan pelajar-pelajar waktu itu.
Pelajar-pelajar yang bermodal akan berniaga dengan menjadi pembekal bunga ros. Mereka juga menyediakan khidmat menghantarnya sekali. Agen-agen diperlukan untuk menjadi penghantar di asrama-asrama lelaki dan perempuan. Antaranya termasuklah saya dan teman saya yang ingin membantu apabila diminta oleh seorang teman yang lain. Bukan apa saya seronok melihat reaksi orang mendapat bunga. Macam-macam gelagat. Ada yang menjerit. Ada yang terpinga-pinga. Ada yang gembira dan bersalaman dengan penghantarnya.
Teman saya bercerita kepada saya dia telah masuk ke dalam bilik di mana di dalamnya ada siswanya yang alim dan lantang. Bila sahaja dia masuk ke dalam bilik itu siswa itu dengan berang menjerit kepadanya dengan berkata perbuatan itu adalah satu dosa kerana ia adalah amalan orang kafir. Dia dengan keras menghalau teman saya keluar dari bilik itu dan jika tidak berbuat demikian dia akan memijak bunga-bunga yang di bawanya. Kerana ketakutan teman saya terus mengangkut bunga-bunga yang dibawanya keluar dari bilik.
Apa yang saya ingin katakan di sini ialah sikap siswa alim yang tidak bijak dalam berdakwah ketika itu. Alangkah baik jika dia dapat menerangkan secara lembut kepada teman saya mengenai kesilapannya bukanlah dengan cara menengking atau menghalaunya.
Dakwah yang berkesan ialah dakwah yang disampaikan dengan cara yang sangat diplomasi dan berhemah bukan cara yang paling buruk kerana ia akan melambangkan ketidakelokan ajaran yang ingin dibawakannya. Cara itu akan menjadi penghalang kepada pendengarnya dan dakwahnya tidak akan berkesan. Dia pasti akan diingati dengan kenangan yang buruk juga dan akan melihat pendakwah dengan pandangan yang negatif.
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita atas kelemahan dan kekurangan diri kita. Amin
No comments:
Post a Comment