Ketika berakhirnya acara penghargaan ASWARA kepada Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan malam tadi di ASWARA saya ingin merasa amat lega sekali kerana minggu ini terasa mat padat sekali dengan jadual mengikuti seminar di luar ITNM. Pulang dari UKM 2 hari yang lepas dan malam tadi ke ASWARA pula mewakilkan ITNM ke majlis itu. Ada seorang teman yang saya kenali di UKM sewaktu seminar SAKM X menyapa dan menanyakan kepada saya sama ada saya akan turut serta ke Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 di DBP esok. Saya cuma mengeleng kepala kerana saya tidak didaftarkan untuk majlis itu.
Tapi ternyata ngelengan saya itu tidak selari dengan apa yang tercuit di dalam hati saya yang mahukan saya menjengah ke majlis yang dirasakan sinomim dengan kecenderungan saya menghasilkan puisi-puisi pada contengan kertas mahupun di blog-blog saya.
Dan pagi ini dek kerana tidak lena tidur saya ingin membatalkan rasa bersalah itu dengan persiapan menuju ke DBP. Siber memang banyak membantu saya mendapatkan maklumat mengenai majlis ini. Saya mendaftarkan diri secara individu walaupun selalu tersasul memperkenalkan diri dari Institusi saya.
Intipati dari kunjungan ke majlis itu dan seminar di UKM saya menyedari satu hakikat yang sangat serius melanda Bangsa Melayu di Malaysia ialah sikap sambil lewa mereka terhadap bahasa ibunda mereka sendiri. Di UKM seorang pembentang dari Thailand Tara Shintaro yang fasih berbahasa Melayu menceritakan senario penghakisan bahasa Melayu di Selatan Thailand. Bahasa Melayu baku telah digantikan dengan loghat daerah dan menggunakan bahasa Thai dan tidak lagi ejaan rumi. Maka beliau nampak jika orang-orang siam jika mahu belajar bahasa Melayu dengan betul haruslah datang ke Malaysia. Malang sekali di sini orang-orang kita lebih merasa sempurna dengan berbahasa Inggeris jika berkomunikasi! Jelek sekali keadaan itu.
Dr. Rahmat Haron Hashim pula mengatakan orang-orang Melayu malu untuk berbahasa Melayu di buminya sendiri dengan itu kita sudah melihat beberapa nama bank yang bunyinya Melayu telah menjadi Inggeris seperti AGRO Bank manakala istilah public phone lebih popular berbanding dari pondok telefon, sindrom ini sudah merebak dan dirasakan tidak janggal lagi.
Dalam Ucaptama oleh Prof Dr. Muhammad Haji Salleh hari ini dalam Pertemuan Penyair Nusantara isu sama semalam yang belum dapat diselesaikan sekali lagi dilontarkan dan membuatkan saya benar-benar merasa bahawa bahawa Bahasa Melayu benar-benar kian diancam oleh anak bangsanya sendiri. Memang benar katanya bahawa tidak ada bahasa yang dijajah kecuali bangsa yang dijajah. Walaupun kita telah merdeka tetapi hakikatnya fikiran kita masih lagi dijajah.
Orang asing sanggup belajar bahasa Melayu kerana akan datang berurusan di Malaysia tetapi mereka tiba dan pulang tanpa menggunakan bahasa yang mereka pelajari itu. Alangkah ruginya semua itu! Bukanlah tidak boleh berbahasa Inggeris tetapi harus ada pada tempatnya. Penggunaan seperti so, on the way, at least adalah penggunaan lazim yang bertujuan untuk mencapai standard bahasa rojak yang mungkin tinggi bagi mereka.
Kita disogokkan dengan budaya iklan di televisyen dan sehingga kita menjadi bangsa pengguna dan bukannya bangsa yang mencipta kemajuan. Akhirnya orang Melayu menjadi consum yang konyol dan mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang diiklan. Kegilaan untuk membeli belah membuatkan masyrakat tiada masa untuk membaca, berfikir atau keluar mencari hiburan (menonton teater).
Di antara perkara yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh semua penyair yang hadir pada hari ini ialah cabaran Sasterwan Negara Prof Dr. Muhammad Haji Salleh kepada mereka termasuk diri saya sendiri ialah supaya menulis dengan bahasa yang terbaik dan jangan mudah berpuashati. Kekuatan atau kelebihan penyair ialah mereka boleh memperbaharui bahasa tetapi ini tidak dapat dilakukan oleh novelis. Kerana penyair menggunakan perkataan yang minumum dalam karya mereka.
Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh juga menasihatkan penyair agar dapat mengingati 20-30 kata-kata hikmat agar ial tidak hilang dalam persuratan Melayu. Bangsa yang besar mesti ada sastera yang besar oleh itu beliau menyeru penyair menghasilkan sajak yang panjang cuma dalam satu tema sahaja dan elakkan menceritakan diri sahaja dan harus ada tujuan yang besar. Begitulah besarnya harapan beliau kepada penyair!