Selamat menyambut aidiladha kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Walaupun ini adalah hari raya yang kedua Raya Korban masih belum terlambat untuk mengucapkan itu kepada semua saudara seugamaku. Seramai 2.5 juta umat Islam telah selamat menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun ini. Pada tahun ini kejadian banjir telah melanda Jeddah dan telah mengorbankan 77 jiwa sementara 900 orang terselamat daripada pusaran banjir. Walau bagaimanapun tiada rakyat Malaysia yang terkorban.
Sesungguhnya perjalanan menyambut perayaan ini amatlah besar pengorbanannya bagi yang bermusafir dan yang bekerja diluar dari kampung halaman. Apatah lagi dengan suasana musim tengkujuh ini dan banjir yang melanda di sesetengah negeri membuatkan anak watan berfikir banyak kali untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Perjalananku sendiri dua hari yang lepas mengambil masa 12 jam bermula dari jam 6.30 pagi melalui Gua Musang. Di sesetengah tempat perjalanan terhenti tanpa bergerak hingga hampir 20 minit. Terima Kasih teman (Zani) yang menumpangkan aku untuk pulang berhari raya di kampung. Tanpamu mungkin aku berhari raya sendirian di Pangsapuriku kerana pembatalan rancangan di saat-saat akhir oleh adindaku Akram kerana keadaan kesihatannya sekeluarga.
Walau bagaimanapun itulah yang dinamakan takdir dan rezeki ketentuan dari Allah S.W.T. Alhamdulillah di atas kurniaanMu. Aku reda dan sentiasa bersyukur. Perjalanan itu juga merekodkan tiada kemalangan maut dijumpai walaupun beberapa sisa kemalangan adalah perkara lumrah dalam setiap musim perayaan.
Semoga mereka yang pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing selamat dalam perjalanan pergi dan balik. Cergaskan minda dan terangkan mata dan hati dan sentiasalah berwaspada ketika memandu. Selamat pulang dengan selamat.
Semoga adinda Dwan sekeluarga selamat pulang ke Seremban hari ini. Terima kasih ke Adinda Affan dan Khalilah kerana meminjamkan Broadband ini untuk aku membuat kemaskini. Terima Kasih juga kepada kekanda Zailani kerana bawakan Sup Kasut Lembu buatku dan adinda-adinda semua. Sedap!
No comments:
Post a Comment