20 January, 2013

Tahun Baru 2013

Salam. Tahun 2013 sudah lebih dua minggu. Cepat betul waktu berlalu. Begitulah kalau sentiasa mengisi waktu. Tetapi kalau dibiarkan berlalu begitu sahaja rasanya bumi seperti tidak berputar. Tahun 2012 meninggalkan banyak kenangan manis dan pahit. Yang ingin dikenang dan yang ingin dilupakan. Di antaranya novel Puteri 9 Sepuluh diterbitkan. Novel itu sempat menemui khalayak di Pesta Buku Kuala Lumpur 2012. Itulah novel yang paling lama untuk aku tulis bermula Januari 2011 hingga Disember 2011.

Pemergian sahabat ke rahmatullah Kak Kamsiah Mahmood yang sama bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Aku sempat berbual di telefon sahaja sebulan sebelum arwah meninggal. Memori ketika bekerja bersama sangat banyak. Arwah seorang yang happy go lucky. Seorang pelukis ilustrasi kanak-kanak yang baik. Dan ketika di DBP kami sempat bekerjasama menyudahkan grafik buku Tarian Malaysia karya Mohd Ghouse Nasuruddin terbitan tahun 1994. Aku menghasilkan layout dan kulit manakala arwah menghasilkan ilustrasi tarian. Aku sengaja memilih beliau untuk membuat ilustrasi buku itu kerana selain pandai melukis, berpantun beliau juga bekas seorang penari. Dan apabila menyebut soal pantun – dengan beliaulah aku berjaya membawa kumpulan kami Bahagian Reka Bentuk sebagai pemenang pantun sempena Bulan Bahasa DBP tahun 1993 dan aku dinobatkan sebagai pemantun terbaik. Semoga roh allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Amat mengembirakan juga apabila bondaku bertandang kembali ke rumahku dan tinggal dengan ku selama hampir lima bulan. Tak terkira kudrat melayannya tetapi apalah sangat kudrat itu jika dibandingkan dengan kudrat dia memeliharaku sehingga aku besar dan menjadi manusia. Aku masih ingat ketika seorang berceramah di televisyen, katanya beza itu ialah ibu bapa memelihara kita supaya kita membesar dan terus hidup tetapi kita memelihara ibubapa sementara mereka masih hidup hinggalah pejam matanya.

Sesuatu yang tidak pernah aku lakukan juga ketika 2012 semakin menginjak ke penghujungnya. Aku diminta oleh saudara untuk menjadi pengacara suatu majlis perkahwinan – hah demi sebuah pengalaman aku menerimanya. Bukan tak biasa jadi pengacara. Sudah berpuluh kali jadi pengacara untuk majlis-majlis santai di pejabat tapi kali ini ia sesuatu yang berbeda dan menyeronokkan. Terima kasih kerana memberikan pengalaman itu.
Selamat tahun baru 2013.

Yang pastinya sebuah lagi novel remaja baru akan muncul. Nantikan kemunculannya sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013