Showing posts with label *Indahnya pantun. Show all posts
Showing posts with label *Indahnya pantun. Show all posts

16 October, 2012

Indahnya Pantun - Pantun Duka



Entah kenapa hari ini hamba terasa gundah dan kecewa di pagi hari. Terkenang orang yang dikasihi yang lama menghilangkan diri. Sunyi dan sepi apakah benci pada nestapa yang hina dan lara. Hamba memang kebencian orang kerana dagang yang tak sedar diri. Hamba bersenda pada kenalan tak sangka menjadi kebencian orang mendatang.

Biarlah dagang membawa diri, bumi tuhan yang luas hamba nak renangi. Mungkin bukan di sini rezeki hamba berdagang mendapat untung. Hamba mencari kasih nan abadi.

Hujung tanjong orang berjalan,
Pekan Rasah ditelan sunyi;

Saya si punggok rindukan bulan,
Bertepuk sebelah tidak berbunyi.

Pisau sebilah bawa ke seberang,
Orang jawa menjual berangan ;
Kasih sudah diambil orang,
Terkenang tuan dalam fikiran.

Kalau tuan pergi ke sempadan,
Jangan lupa singgah di Jelutong;
Apalah malang nasib badan,
Ditinggal kekasih pengarang jantung.

Cenderawasih siburung pintar,
Terbang tunduk mencari sarang;
Manis berkasih cuma sebentar,
Datang yang elok dia menghilang.

Berlenggang nyonya ke rumah cik baba,
Cik baba pula pulang ke desa;
Biarlah hamba duduk berhiba,
Mengadu nasib pada yang esa.

Sayang selasih bersama rawa,
Dicari orang di negeri Kembayat;
Tinggalkan kasih tinggallah nyawa,
Kasihmu kukenang sepanjang hayat.

Pantun-pantun seperti ini sering didengar ketika uda dan dara kecewa dilanda derita. Tetapi di zaman SMS dan emel ini mahukah lagi si uda menghantarkan mesej kepada si dara dengan bahasa yang begini. Adakah sidara dan si uda mahu berbangga kerana tidak lagi berbahasa indah seperti ini di zaman ini?

05 October, 2012

Indahnya Pantun - Apa khabar semua?

Tampan berseri si teruna pria,
Tingkat berhemat sempurnanya sopan:
Salam diberi di pagi yang mulia,
Agar sihat anda sekalian,

Salam, hello, hai semua kepada penggemar pantun. Saya termenung setiap kali membuka blog ini dan ingin mengetahui apakah bahan yang menyebabkan kunjungan ke blog enchelah ini tidak pernah putus sejak 4 tahun ia dilahirkan. Rupa-rupanya kerana adanya penggemar pantun di seluruh dunia. Saya sangat seronok dan berterima kasih kepada anda kerana mengunjungi blog ini. Kita serupa cintakan keindahan.

Teruskan menggali minat mencari rangkap-rangkap pantun yang indah di mana sahaja ia dilayarkan di maya ini. Saya juga akan terus mengerah keringat untuk berpantun di sini sekerap mungkin. Salam dari saya yuhuuu.

Atas pohon ada duri,
Tepi batu ada kelapa:
Saya mohon mengundur diri,
Di lain waktu kita berjumpa.

Terima kasih pengunjung-pengunjung dari Contagem, Minas Gerais, Contagem, Surabaya, Jawa Timur, Bandung, Jawa Barat, Surabaya, Jawa Timur, Jakarta, Jakarta Raya, Mountain View, California, London,  Medan, Sumatera Utara. Salam perkenalan! (Sekadar penyebut beberapa negara sahaja.)  

Indahnya Pantun - Lagu Gurindam Jiwa



Dengarkan keindahan pantun di dalam lagu Gurindam Jiwa ini.

14 September, 2012

Indahnya Pantun

Baru-baru ini saya telah menciptakan pantun untuk teman, katanya untuk kegunaan kad hari raya. Walau ia tidak digunakan sebagaimana yang diminta saya tidak berkecil hati malah berterima kasih kerana menggerakkan minda saya untuk terus mencipta pantun yang telah lama saya tinggalkan ini.

Indah terserlah songket bercorak,
Titip akal  menjadi warisan:
Berlalu sudah Ramadan al-Mubarak,
Muncul Syawal kita bermaafan.

Indah pakaian tradisonal Melayu,
Tenunan asli menjadi warisan;
Bila Ramadan sudah berlalu,
Menyusul aidifitri untuk diraikan.

Mencipta pantun untuk sesuatu suasana harus menampilkan perkataan-perkataan yang lazim muncul dalam suasana itu. Jadi untuk hari raya aidilfitri - pakaian dan hidangan adalah dua subjek yang saling berkaitan.
Pada awal pantun ini disiapkan rima tengahnya tidak terbina dengan sempurna. Saya mengambil masa beberapa hari untuk memperbaiki rima tengahnya sehingga bentuk terakhir ini tercipta. Mungkin ada baiknya saya perturunkan bentuk awal pantun itu agar dapat dilihat kekurangan pantun ini pada awalnya dan dapat penggemar pantun mengesannya. Mungkin dalam post yang akan datang saya siarkan.

Buat anda jangan jemu untuk berpantun. Jumpa lagi. Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin dari saya. :)

28 August, 2010

Indahnya Pantun - Koleksi Buku Pantun




Salam Ramadan. Sudah lama tidak menulis untuk ruangan indahnya pantun ini. Bukan tiada idea tetapi masalah bagi semua blogger ialah waktu. Sesungguhnya waktu itu amat berharga dan betullah orang dulu-dulu (dan orang sekarang pun kata :)) masa itu emas.

Untuk kali ini saya ingin berkongsi maklumat dengan anda mengenai buku-buku pantun koleksi saya. Sebagai peminat pantun saya memang pantang melihat buku-buku pantun di pasaran dan pasti saya akan membelinya. Tidak kira sama ada ianya murah ataupun mahal.

Buku pantun Hati Budi yang anda lihat sekarang ini merupakan sebuah buku yang diselenggarakan oleh Sasterawan Negara Malaysia yang ke-10 SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan dan E. U. Kratz. Sebuah karya yang menghimpunkan pantun mengikut 35 tema dari ribuan khazanah pantun Melayu.

Tema-tema itu antaranya seperti, alif ba ta, alim taubat, berserak, bertanya, bintang, budi, bunga, cencala, cendawan, cindai, dacing, dagang, doa, intan pujian, karangan Ahmad, kasih, kenang-kenangan, mahkota, merendah diri dan banyak lagi.

Sebagai contoh saya memetik tema bunga yang dimuatkan di halaman 82.

Orang menembak di Pulau Hantu,
Asapnya naik tahun-menahun;
Setangkai bunga di gaung batu,
Taruk kaca tangkainya embun.

Melilit akar beribu-ribu,
Cengkaduk di tengah huma;
Habis akal dengan tipu,
Hendak menjolok setangkai bunga.

Cengkaduk ditengah huma,
Daun melambai di belukar;
Hendak menjolok setangkai bunga,
Bunga ditunggu naga yang besar.

Buku ini terbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2004 dan dicetak oleh Dewama Sdn. Bhd. No ISBN 983-62-8493-1 dan dijual dengan harga RM22.00. Jika hendak mendapatkan buku ini dengan harga yang lebih murah jadilah Rakan Dewan anda akan mendapat potongan harga untuk semua terbitan Dewama termasuk majalah-majalahnya. Kepada peminat-peminat pantun apa lagi yang ditunggu serbulah!

25 October, 2009

Indahnya Pantun-Pantun Majlis Bertunang

Lama sungguh tidak mengisi ruangan ini dengan apa-apa post walhal apabila saya melihat kepada data pengunjung dan carian inilah topik yang paling hangat dibuat oleh pengunjung atau carian google. Bukan kerana tidak mempunyai bahan tetapi saya dihambat oleh waktu dan tugas-tugas yang wajib.

Alangkah baiknya jika 24 jam sehari itu ditambah menjadi 28 jam atau 32 jam sehari. Tetapi kita harus ingat bahawa kejadian Allah itu memang sudah sempurna semuanya. Cuma kita yang harus bersyukur dan tahu bagaimana hendak mengguna atau mengisinya.

Minggu lepas peti mel saya didatangi oleh sebuah emel dari pengunjung blog yang meminta bantuan saya menyediakan pantun untuk majlis hari pertunangannya. Saya pasti dia telah membuat carian di internet dan tidak menemui pantun yang sesuai untuknya. Lalu terbayang di kepala saya alangkah baiknya jika saya dapat menyediakan satu blog yang dapat menyediakan pantun-pantun yang sesuai untuk semua majlis dan dijadikan rujukan.

Sayang sekali waktu yang dihubungi oleh Sufian (pengunjung blos saya) adalah terlalu singkat dan saya tidak ada banyak waktu untuk menggubah pantun untuknya. Beliau sanggup memberikan nombor telefon untuk dihubungi. Tetapi saya cuma membalas emelnya sahaja dan mengirimkan pantun yang dikehendaki sekadar yang termampu oleh saya.

Namun walaupun ia kelihatan ringkas tetapi telah membutuhkan waktu, kosentrasi dan komitmen saya sewaktu membuat carian, mengarang serta mengubahsuai pantun tersebut. Alhamdulillah semuanya telah berlalu dan saya mengucapkan selamat bertunang dan saya doakan anda berdua berjaya hingga ke jinjang pelamin. Jagalah adab bertunang supaya bertambah kasih dan sayang dan tiada halangan yang menimpa serta cepat menjadi nyata.

Di bawah ini saya perturunkan pantun yang mungkin boleh digunakan oleh peminat pantun. Pohon dimaklumkan kepada saya pinjaman pantun dari ruangan ini.

Perahu kolek ke hilir tanjung,
Sarat bermuat tali temali.
Salam tersusun sirih junjung,
Apa hajat sampai ke mari?
KP

Sudah lama langsatnya condong ,
Barulah kini batangnya rebah.
Sudah lama niat dikandung,
Baru sekarang diizinkan Allah.
KP

Malam-malam pasang pelita,
Pelita dipasang atas peti.
Kalau sudah bagai dikata,
Sila terangkan hajat di hati.
KP

Singgah berenang di persiraman,
Mayang terendam di dalam tasik.
Kumbang merindu bunga di taman,
Bintang merindu Cenderawasih
. KP

Ikan sepat di dalam sampan,
Orang membawa ke pinggir kota.
Besar hajat tuan menyimpan,
Baiklah nyata di dalam kata.
EAAB

Panjat- panjat si pohon ara,
Nampak cantik di tepi laman.
Besarnya hajat tidak terkira,
Hendak memetik bunga di taman.
EAAB +KP

Senyum menguntum memakai kebaya,
Gadis sunti menjual kalungan.
Bunga nan sekuntum belum berpunya,
Menjadi penyeri di taman larangan.
EAAB

Dari sumbu terbit apinya,
menjadi asap dan juga jelaga.
Jika begitu akan adanya,
Izinkan kita memetik menjaga.
EAAB

Baik-baik kalau berhuma,
Jangan sampai lalang sepekan,
Hajat yang baik kami terima,
Dalam adat kami serahkan.
EAAB

Kalau gugur buah setandan,
Sampai ke tanah baru tergolek,
Kami bersyukur kepada tuhan,
Datang kami disambut baik.
KP

Selamat bertunang Salwa & Sufian dari saya. Terima Kasih kerana sudi menjemput saya ke majlis tetapi pohon maaf tidak dapat menghadiri kerana sudah ada program. Catatan: KP= Koleksi Pantun PTS, EAAB=Koleksi Pantun Enche Abdullah

14 December, 2008

Indahnya Pantun -Lagi Berbalas Pantun

Salam sejahtera lama sungguh tidak bersua di sini. Tentu ramai yang mencarinya. Bahannya memang ada tetapi hendak diperhalusi untuk disiarkan. Harap kepada peminat pantun gembira dengan beberapa pantun pilihan yang dipetik dari acara berbalas pantun yang pernah saya sertai dahulu.

Anak Baba mengail Gelama,
Jauh mendayung ke tanjung Sentosa;
Sungguh hiba menanti purnama,
Kenapa pula tuan terasa.

Ikan kerapu ikan Gelama,
Jangan berangan hendak dituba;
Si burung pungguk menunggu purnama,
Apa pula kaitan hamba.

Di mana letak bulan purnama,
Bila sebak hatiku sunyi;
Di mana sebak bunyi irama,
Bila ombak sendu menyanyi.

Kutip cendawan tumbuh merata,
Simpan di para beralas guni;
Pandai tuan bermain kata,
Jiwa yang lara memang berseni.

Masak cili siikan Merah,
Hasil jerih mengail di kali;
Buku resepi dikumpul sudah,
Mengapa masih ghairah membeli.

Kalau tuan membeli cili,
Cili merah enak di masak;
Memang hamba ghairah membeli,
Perutku besar tak larat nak masak.

Rama-rama di pinggir kali,
Menghisap madu si bunga Cina;
Luka lama berdarah kembali,
Luka baru parutnya di mana.

Orang lama namanya Tok Kenali,
Mengajar agama di pinggir kota;
Luka lama berdarah kembali,
Luka baru tak nampak di mata.

Hari lebaran pergi ke pekan,
Membawa lemang beserta kuih;
Harap tuan dapat jelaskan,
Apa dia Malaysia boleh.

Hijau berkilat si daun sireh,
Jarang orang jumpa di kota;
Boleh Malaysia semua boleh,
Itulah maksud di sebalik kata.

Cantik petola tumbuh memanjat,
Sarat menjalar di pohon saga;
Itikku bela mati terperanjat,
melihat ular kepalanya naga.

Jika tuan menjemur bantal,
Letak dan jemur di tempat tinggi;
Jika tuan suka berkhayal,
Di alam mimpi semua jadi.

16 November, 2008

Indahnya Pantun - Contoh Berbalas Pantun

Salam Bahagia. Seperti yang dijanjikan saya akan menampilkan sebahagian dari contoh-contoh berbalas pantun yang dipetik dari pertandingan berbalas pantun yang pernah di sertai dahulu. Walau bagaimanapun ada pantun jawapan yang disiarkan di sini telah melalui proses penyempurnaan kerana jawapan yang diutarakan sewaktu pertandingan kurang tepat. Saya akan menyorot kembali post ini dan menyertakan pantun jawapan sebenar sebagai perbandingan. Silalah semak kembali post ini dalam waktu yang terdekat.


Membawa beras ke Inderagiri
Pucuk paku di dalam raga
Kenapa keras jariku ini
Ikan dilukis menjadi naga?

Kelapa bali kelapa puan
Ditawan orang di dalam kebun
Kalau nak lembutkan jarimu puan
Rendamlah di dalam airnya sabun

Bunga Melati indahnya rupa
Sayang dicampak di tepi kali
Buah hati sudahku jumpa
Sayang ditembak SiBentung Kali?

Tok Guru mengayuh basikal
Laju menuju ke rumah Pak Pandir
Janganlah ragu janganlah kesal
Bukankah itu suratan takdir

Anak Merbah mati di lapah
Tertelan selasih di atas para
Bertemu sudah bicara sudah
Kenapa masih gundah gulana?

Burung puyuh terbang rendah
Mencari makan dengan pantas
Hatiku resah lagi gulandah
Kerana kasihku tidak berbalas

Bacang masak bersama manggis
Dalam guri orang membawa
Bulan teresak matahari menangis
Mengapa pula bintang tertawa?

Bacang masak bersama manggis
Dibawa orang bersama pulut
Bulan teresak matahari menangis
bintang tertawa si bumi terkentut

Buah belimbing dahannya sekah
Mari diatur di dalam pinggan
Sedang bersanding di sengat lebah
Apa tindakan puan lakukan?

Kalau tuan pergi ke Mekah
Jangan lupa membawa bekalan
Sedang bersanding disengat lebah
Kusuruh suami tolong ciumkan

Anak Cina di Kampung Lembah
Meraut selasih ditepi paya
Tidur lena makan bertambah
Mengapa masih tidak bermaya?

Meraut selasih ditepi paya
Paya penuh si pohon semalu
Jika mahu badan bermaya
Makan cukup senamlah selalu.

Klik di sini untuk semua post yang lepas. Sehingga jumpa lagi untuk contoh yang lain pula

09 November, 2008

*Indahnya Pantun - Syarat dalam Berbalas Pantun

Salam bahagia


Saya ingin membuka ruang yang lebih luas lagi terhadap topik di dalam pantun ini. Saya terfikir bukan sahaja orang ingin mencari contoh-contoh pantun berbalas, malah pengadil pantun juga menggunakan internet untuk mendapatkan panduan. Jadi berdasarkan pengalaman yang lalu saya paparkan syarat-syarat yang harus ada di dalam sesebuah pertandingan berbalas pantun. Ini juga boleh menjadi panduan kepada peserta-peserta yang ingin membeli dan menjual pantun.


Saya bimbang jika istilah yang saya gunakan ini tidak difahami oleh mereka di luar dari Malaysia. Kalau di Malaysia apa yang dimaksudkan menjual pantun ialah memberi pantun yang perlu dijawab dan membeli pantun ialah menjawab pantun yang telah disoal.
Syarat-syarat dalam berbalas pantun


1.Pantun tidak boleh menyentuh perkara-perkara sensitive, peribadi, agama, perkauman, etika kerja atau undang-undang.
2.Pantun hendaklah ciptaan asli atau dikarang sendiri termasuk pembayang maksud
3.Pantun hendaklah menggunakan bahasa yang indah berunsur kemelayuan, pembayang maksud selalunya menggambarkan unsur alam, kesesuaian memilih perkataan hendaklah mengikut keadaan pantun tersebut.
4.Pantun jawapan spontan mestilah dalam tempoh yang telah ditetapkan (contoh seperti satu minit )menepati soalan. Pantun jawapan yang tidak menjawab soalan hendaklah dielakkan
5.Pembahagian markah kepada pantun yang diberi berdasarkan
Isi 40 markah
Bahasa 30 markah
Gaya 10 markah
Seni pantun 20 markah
Markah pantun yang dijual adalah separuh dari pantun yang dibeli.
6.Pemantun hendaklah menjual pantun dengan jelas dan terang untuk mengelakkan soalan dibaca berulang kali.
7. Pantun yang hendak dijual jika ianya abstrak hendaklah dielakkan.


Saya akan menampilkan banyak contoh-contoh pantun jual beli pada minggu hadapan.


Selamat kembali bertugas. Hingga jumpa lagi.

Wasalam.

04 November, 2008

Indahnya Pantun - Mengapa sepi?

Assalamualaikum w.b.t.
Sejak meletakkan Live traffic feed di dalam blog ini terasa seperti ada panduan untuk menulis kerana berdasarkan rekod saya sudah tahu apabila pelayar membuat carian pilihan post yang bagaimana ingin dicari. Dan apa yang mengejutkan saya ialah kebanyakan pengunjung blog dari luar Kuala Lumpur dan luar dari Malaysia lebih berminat dengan Indahnya Pantun. Sayangnya kebelakangan ini saya dikejar waktu yang cemburu untuk membuahkan pantun yang indah untuk diletakkan diruangan itu.

Ini bermakna ruangan itu bertapa sebentar. Mungkin telah lama kecenderungan ini wujud dan saya baru menyedarinya apabila meletakkan Live traffic feed. InsyaAllah saya akan meneruskan ruangan itu apabila bahannya ada. Menulis ruangan ini bukan mudah kerana ia mengambil masa yang lebih. Menggubah pantun perlukan imaginasi dan kehalusan perasaan. Jiwa dan jati diri Melayu kena lebih besar.

Saya biasanya akan menghasilkan pantun apabila idea datang dan menyimpan dan masa hujung minggu saya akan gunakan untuk menyusun dan menyuntingnya semula. Jika mendapat sambutan mungkin ia boleh dibuat koleksi yang boleh dibukukan. Ia sesuatu yang saya impikan sejak mula saya mewujudkan ruangan ini.

Apa khabar penggemar pantun di Oslo, penggemar pantun di Indonesia, Kedah, Negeri Sembilan dan Wilayah. Jangan lupa pada 24 dan 25 November ini ada Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional Kebangsaan dengan tema “Pantun, Syair, Gurindam dan Nazam: Ketekalan Minda Melayu” di DBP layari www.dbp.gov.my untuk keterangan lanjut.

Salam hormat dan jumpa lagi.

12 October, 2008

Indahnya Pantun- Pantun Di SMS

Selain dari kad raya media yang paling popular dan mungkin menghapuskan tradisi menghantar kad raya sekian lama ialah khidmat pesanan ringkas (SMS).
Berikut disiarkan pilihan pantun yang saya terima melalui SMS. Saya percaya ada di antaranya adalah cuma SMS yang dipanjangkan sahaja dan ada juga karya asli si pengirim. Walau apapun itu saya anggap hanya perkara kedua. Yang utama ialah pantun tetap popular untuk meraikan Aidil Fitri.

Mencari mengkuang ditepi paya,
air di paya teramatlah dingin;
ingin mengucapkan selamat Hari Raya,
minta ampun maaf zahir dan batin.
(Saiful Anuar)

tanak ketupat di pagi hari,
jamah lemang berendang kari,
sms ini pengganti diri;
kususun sepuluh jari,
mohon ampun keterlanjuran diri,
dari hujung rambut ke hujung kaki.
(Saiful Azman)

Lapar puasa terketar-ketar,
Bila berbuka lega rasanya.
Kad raya tak sempat nak hantar.
Cara SMS pun dah kira ok lah ya.
(Shah )

Masak lemang sambil berdiri,
Hendak di makan di aidil Fitri;
Nak hantar kad raya posmen dah cuti,
Hanya sms pengganti diri.
(Mariani)

Kambing ranggi naik LRT,
Katak pisang tercekik tulang;
Walau SMS saja yang diberi,
Itu tanda ingatan tak hilang.
(Nijam & Isteri)

Satu syawal menjelang tiba,
Takbir bergema mengegar jiwa;
Sekiranya ada salah dan dosa,
Ampun dipinta di Hari Mulia.
(Faizal)

27 September, 2008

Indahnya Pantun - Pada Kad Pengganti Diri


Saat dan minit bertukar ganti,
Sahur dan berbuka berselang-seli;
Ibadah berpuasa kini tamat diuji,
Syawal menjelma menyambut Aidilfitri.

Dalam hening pagi 1 Syawal ini,
Dalam kilauan cahaya Aidilfitri,
Dalam gema takbir segala puja puji;
Kurenung sekeping kad pengganti diri,
Tersusun rapi sepuluh jari mohon diampuni,
Moga silaturahim sentiasa mekar abadi.

Anak muda berpasang-pasangan,
Pakai baju kerongsang keemasan;
Di Aidilfitri bermaaf-maafan,
Semoga ikatan erat berpanjangan.

Irama merdu alunan biola,
Suara gemersik mengalun lagu;
Syawal menjelma disambut gembira,
Ramadan berlalu terasa pilu.

Hari Bahagia menjelang tiba,
Bersama kita eratkan mesra;
Tangan dihulur maaf dipinta,
Semoga gembira di Hari Raya.

20 September, 2008

Indahnya Pantun - Seloka Hari Raya

Melihat pantun di dalam lagu Seloka Hari Raya. Saban tahun walau beratus kali mendengarkan lagu ini tiadalah akan jemu oleh hamba. Tiada lagu ini diputarkan dalam satu musim macam tiada sempurna raya kerana meriahnya bukan pada puasa juga tapi pada telinga yang hauskan halwanya.

Kecil-kecil dahulu sukanya hamba memndengarkan si Dara dan Teruna usik mengusik di dalam lagu ketika raya, menjaga tata susila budaya dan adat melayu di dalam lagu. Nasihat teladan menghormati yang tua ada jua diselit dalam bait-baitnya dan akhirnya mengajak agar kita bermaaf-maafan di hari yang mulia.


Seloka Hari Raya
(Uji Rashid & Hail Amir)

Indahnya sungguh di hari raya,
Ramainya orang bersuka ria;
Adikku manis cantik bergaya,
Bolehkah abang ikut bersama

Usahlah abang membuang waktu,
Mari menuju ke rumah bonda;
Sanak saudara sedang menunggu,
Di hari mulia bertemu mesra

Katamu itu abang mengerti,
Kusanjung budi puteri ibunda;
Pada yang tua kita hormati'
Barulah hidup saling bahagia.

Miskin dan kaya sama sahaja,
Hulurkan tangan berjabat mesra;
Saling bermaaf kita bersama,
Lupakan saja sengketa lama.

31 August, 2008

Indahnya Pantun 7

Pantun Budi

Kalau menebang
Kalau menebang si pohon jati
Papan di Jawa, aduhai sayang
Papan di Jawa dibelah-belah
Kalaulah hidup
Kalaulah hidup tidak berbudi
Umpama pokok, aduhai sayang
Umpama pokok tidak berbuah

Bunga selasih
Bunga selasih si bunga padi
Buat hiasan, aduhai sayang
Buat hiasan di dalam taman
Pertama kasih
Pertama kasih kedua budi
Yang mana satu, aduhai sayang
Yang mana satu nak diturutkan

Datuk laksamana

Datuk laksamana ke Bangkahulu
Belayar kapal, aduhai sayang
Belayar kapal membawa garam
Bagailah mana
Bagailah mana kapal nak lalu
Kuala sudah, aduhai sayang
Kuala sudah dilimbung karam

Bungalah padi
Bunga padi bunga kiambang
Buat hiasan, aduhai sayang
Buat hiasan di taman bunga
Buahlah hati buahlah hati Kekasih orang
Hamba menumpang, aduhai sayang
Hamba menumpang gembira saja

( Lagu : Tradisional - Lirik : Tan Sri Dato' SM Salim )


Salam sejahtera bertemu lagi dalam ruangan indahnya pantun kali ini saya memilih lagu Pantun Budi nyanyian Tan Sri S.M Salim. Lagu ini berasaskan pantun tetapi diulang-ulang sebahagian dari pembayang dan sebahagian dari maksud untuk memenuhi kekosongan ekoran bentuk sebenar pantun adalah pendek dan ringkas. Ini menambahkan lagi penekanan kepada pembayang dan maksud yang diulang-ulang itu. Perhatikan bentuk sebenar pantun rangkap pertama jika tiada perulangan dan penekanan kata

Kalau menebang si pohon jati,
Papan di Jawa dibelah-belah ;
Kalaulah hidup tidak berbudi ,
Umpama pokok tidak berbuah.

Dari segi rima rangkap pertama adalah pantun yang sederhana kerana rima tengah tidak terjaga manakala rima akhir cuma dari segi vokal akhir sahaja yang sama. Namun penggunaan objek dan peristiwanya amatlah indah kerana menggunakan unsur-unsur semula jadi seperti pohon jati dan papan yang di belah-belah. Pantun pada rangkap kedua lebih baik kerana rima tengahnya sedikit terjaga begitu juga dengan kesemua rima akhir.

Datuk laksamana ke Bangkahulu,
Belayar kapal membawa garam;
Bagailah mana kapal nak lalu,
Kuala sudah dilimbung karam.

Kita ikuti sebahagian lagi dari pantun untuk majlis-majlis.

Buah delima di tanah rata,
Diletak Seri atas jerami;
Tuan umpama intan permata,
Datang menyeri majlis kami.

Bagai disergah harimau mengaum,
Pipit menangis berkawan-kawan;
Seri wajah kerana senyum,
Seri majlis kerana tuan.

Daun purut si daun palas,
Tidakkan sama daun kasturi;
Seri wajah kerana ikhlas,
Seri majlis tuan ke mari.

Ikan Siakap di Tasik Cini,
Di bawa puan bersama tenggiri;
Rasa lengkap majlis ini,
Kerana tuan hadir ke mari.

Cincin suasa manakan berkarat,
Sama seperti emas tempawan;
Sempurna rasa segala sifat,
Bertambah sempurna adanya tuan.

Tuan hendak ke Kuala Kedah,
Saya mahu membeli kuini;
Rasa gundah hilanglah sudah,
Bila melihat tuan di sini.

Terbang bersama lima berlima,
Undan berlagu di tepi paya;
Tuan umpama cahaya purnama,
Hadir membawa sinar yang mulia.

Sungguh cantik puteri rupawan,
Dalam gerhana nampak serinya;
Kasih kita kepada tuan,
Sempurna sudah dengan hadirnya.


Akhir kata dari saya selamat berpuasa dan serangkap pantun sempena Ramadan.

Burung tempua terbang lagi,
Terbang bersama empat berempat;
Ramadan yang mulia menjelang lagi,
Selamat berpuasa muslimin muslimat.

Bilal bertasbih Imam meratib,
Dari Subuh bawa ke Zuhur;
Kalau sudah berpuasa wajib,
Jangan pula kerap ke dapur.

24 August, 2008

Indahnya Pantun 6 - Berbalas Pantun

Berbalas pantun.

Pantun digunakan selain dalam bentuk pernyataan dan penceritaan dengan bentuk berkait, orang Melayu juga menggunakan pantun untuk bersoal jawab. Dalam bentuk lagu pantun soal jawab ini jelas dalam Dondang Sayang. Lagu baru berirama tradisional yang menampilkan penyanyi duet juga sering kali menyanyi lagu yang mengandungi pantun soal jawab. Namun ada juga yang tidak.

Golongan-golongan bangsawan waktu dahulu menggunakan pantun di dalam acara merisik, bertunang dan perkahwinan. Pakar-pakar pantun akan mewakili dua pihak akan berjual beli pantun dan sehingga sekarangpun pantun masih digunakan namun ia tidaklah sehebat dahulu, pantun cuma di selitkan sahaja sebagai penyeri.

Boleh dikatakan pantun soal jawab yang diteruskan di dalam rancangan berbalas pantun adalah yang paling digemari. Sayapun dahulu sejak dari kecil berminat dengan pantun kerana mengikuti rancangan berbalas pantun di Radio Televisyen Malaysia. Tentunya anda masih ingat dengan nama Sdr. Chuari Selamat ia terlalu sinonim dengan pantun.

Saya telah melalui dua keadaan berbalas pantun yang tentunya boleh dikongsi dengan anda. Berbalas pantun bentuk yang pertama ialah pantun untuk dijual disediakan terlebih dahulu dan akan diserahkan kepada pihak yang membeli lebih awal.

Pihak yang membeli akan menyediakan pantun balasan iaitu pantun beli sebelum hari berlangsungnya berbalas pantun. Keadaannya kedua-dua pihak lebih bersedia walaupun apa bentuk jawapannya tidak diketahui dan cuma akan diketahui pada hari acara berbalas pantun itu sahaja.

Bentuk pertandingan yang kedua ialah pantun jual hanya diketahui ketika berlangsungnya acara tersebut dan pihak lawan hanya diberi masa kadang-kadang sehingga seminit sahaja dan ini betul-betul memerlukan kepantasan, ketajaman dan kecekapan berfikir.

Panduan mudah dan ringkas jika anda dikehendaki menjawab pantun dalam keadaan ini. Pertama sekali perbendaharaan kata mestilah banyak. Lihatlah seberapa banyak perkataan yang suku kata keduanya boleh anda gunakan untuk rima akhir. Simpan di dalam memori anda dan ia pasti berguna apabila keadaan memerlukan itu tiba.

Kedua dengar pantun yang dijual dengan berhati-hati terutamanya pada bahagian maksudnya. Anda boleh menjawab, menyokong, menyanggah atau melawak dengan pantun itu. Kesemuanya akan dikira jawapan. Cuma teknik menyediakan jawapan perlu bijak kerana anda mempunyai waktu yang terhad untuk menjawab.

Apa yang pernah saya lakukan ialah menulis maksudnya sahaja manakala untuk jawapan cuma patah perkataan yang terakhir sahaja bagi kedua baris pembayang. Bacaan pembayang yang sepontan dengan menyambungkan ayat terakhir adalah kaedah yang paling cepat tetapi memerlukan konsentrasi agar baris kedua mempunyai kesinambungan dengan baris pertama.

Contoh-contoh pantun soal jawab atau jual beli adalah banyak boleh di dapati dan anda biasa mendengarnya di mana-mana. Jadi tidak perlulah saya mengulanginya di sini.

Kali ini kita teruskan lagi dengan pantun pembuka

Ke Inderagiri dengan pedati,
Pedati dibuat Datuk Panglima;
Nanti-nanti sudahpun nanti,
Masa bermula sudahpun tiba.

Malam bermimpi Puteri Sakti,
Puteri bertapa di pinggir kayangan;
Nanti-nanti sudahpun nanti,
Acara pertama kita mulakan.

Dara jelita senyum berukir,
Membawa delima ke dalam pekan;
Penantian kita sudahpun berakhir,
Ke acara pertama kita mulakan.

Kenari biru dan laba-laba,
Nama bahtera orang di Lokan;
Yang ditunggu sudahpun tiba,
Lembaran pertama kita mulakan.

Lautan apa hendak diredah,
Jalan terburu di senja kala;
Kata bermula dibuka sudah,
Lembaran satu majlis bermula.

Lautan apa hendak diredah,
Pekan Batu cuma berpaya;
Kata bermula dibuka sudah,
Selembar bicara dari yang mulia.

Masam rasa seperti cuka,
Cuka apa di botol bulat;
Kata bermula sudah dibuka,
Selembar bicara dari Yang Berhormat.

Jangan suka bermuka-muka,
Bukan budaya hamba sahaya;
Kata bermula sudah dibuka,
Selembar bicara Yang Berbahagia.

17 August, 2008

Indahnya pantun 5

Pembayang Pantun

Perhatikan kepada pantun warisan empat kerat di bawah ini.

Oh bulan mana bintang,
Atas pucuk kayu ara:
Oh Tuan mana hilang,
Dalam bilik anak dara.

Pinang muda serupa di ceruk,
Lepas standing setandang pula:
Orang muda sedap dipeluk,
Lepas semalam, semalam pula.

Kalau ada pauh Daik,
Bawa sebiji ke tanah seberang:
Kalau ada budi baik,
Jadi abu dikenang orang.

Jika berlayar ke tanah Aceh,
Singgah dahulu di kota Deli:
Jika hendak orang mengasih,
Hendaklah baik bicara budi.

Bahagian pembayang selalunya menceritakan tentang alam semula jadi, kehidupan, atau juga falsafah orang-orang Melayu yang semua berkisar kepada kehidupan di alam Melayu atau kawasan nusantara. Kehidupan di waktu dahulu merangkumi aktiviti di dalam ekonomi, politik, sosial dan agama sama juga seperti kehidupan sekarang cuma kemajuan sains dan teknologi belum wujud ketika itu.

Aktiviti bercucuk tanam, nelayan, perniagaan manakala dalam politik awal ketika itu jawatan menteri bukan seperti sekarang yang ada hanyalah gelaran-gelaran seperti memanda menteri , bendahara, hulubalang, panglima, penghulu dan sebagainya. Jadi pembayang pantun selalunya akan menggunakan pangkat atau gelaran ini dan aktiviti-aktiviti kehidupan.

Yang pasti dalam pantun dahulu kala tiada kita jumpa rangkap yang berbunyi seperti Orang berkereta menuju ke Bandar, Singgah di stesen mengisi minyak. Tetapi jikalau bunyinya seperti ini amatlah nyaman dan terasa keindahannya, Berkereta lembu menuju ke pekan, Singgah di wakaf tempat berehat.

Bayangkan sahaja pembayang-pembayang di bawah ini

Ramai orang ke Putrajaya,
singgah di serdang membeli plastik.

Ramai orang ke Pasar Besar,
Pergi membeli si Kordial Epal:

Atau

Jurutaip sedang menaip,
Menaip pula di dalam pejabat;

Semua di atas merakamkan suasana yang ada sekarang. Dan saya secara peribadi berpendapat suasana zaman seperti itu tidak harus bercampur dengan unsur-unsur klasik di dalam membentuk sesebuah pantun. Biarkan ia dengan penceritaan zamannya dan tidak harus di campur dengan kehidupan di zaman terkebelakang kerana jika ia dicapuradukkan ia akan membuatkan pantun itu kelihatan janggal. Ialah tentulah tidak kena ibarat menonton sebuah cerita melayu lama dalam kehidupan nelayan tiba-tiba di atasnya kelihatan pesawat kapal terbang melintas. Atau adegan di pasar melayu lama wanita dengan baju kebaya labuh bertudung dan lelaki berbaju melayu bersongkok tiba-tiba ada pula gerai yang menjual kereta kawalan jauh. Atau kelihatan seorang wanita Cina sedang menjual buah pir atau strawberi!

Akan jadilah pantun itu seperti pantun jenaka lihat contoh pembayang di bawah,

Ramai orang ke pekan Batu,
Membeli pistol bersama peluru;

Orang berakit pergi ke hulu,
Membawa bekalan si buah epal;

Cik Nyonya di tepi tanjung,
Menari balet di tanah rata;

Memang terdapat pantun-pantun ciptaan baru yang tidak menitik beratkan unsur-unsur keindahan itu dalam membina pantun. Jadi tepuk dada tanyalah selera. Kita lihat sebahagian lagi pantun-pantun baru yang saya persembahkan untuk anda bagi tujuan sebagaimana biasa. Kali ini tanpa awal bismillah atau salam.

Buluh sebatang diikat rotan,
Diwarna orang berwarna merah;
Selamat datang kami hulurkan,
Semoga majlis tambah meriah.

Mana di mana nenek kebayan,
Di hujung kampong Tanjung Tualang;
Majlis sempurna adanya tuan,
Terima kasih sudi datang.

Kaloi mati termakan tuba,
Diracun orang dari seberang;
Saat dinanti sudahpun tiba,
Mari mulakan majlis gemilang.

Tampan ayu nyonya dan baba,
Di tengah pekan menjual kebaya;
Masa ditunggu sudahpun tiba,
Mari mulakan acara nan mulia.

Burung hantu burung merpati,
Di bawa orang ke kuala perlis;
Apa ditunggu apa dinanti,
Mari mulakan acara majlis.

Teluk Bidara tempat berlabuh,
Tempat bermanja Sang Laksamana;
Apa dinanti apa ditangguh,
Teruskan sahaja majlis bermakna.

Apa diharap besi begitu,
Basah berhari karat begini;
Apa diharap kepada waktu,
Marilah mula majlis ini.

09 August, 2008

Indahnya Pantun 4- Pantun Berkait

Pantun sangat unik kerana selain mempunyai berbagai-bagai kerat ia ada juga yang jenis berkait. Yang dikatakan berkait kerana cerita pantun di rangkap pertama mempunyai kesinambungan dengan pantun dirangkap kedua dan seterusnya. Tetapi jika dilihat pantun ini ia telahpun lengkap pada rangkapnya yang tersendiri. Cerita pembayang dan maksudnya lengkap dan tidak tergantung. Cuma kehadiran rangkap kedua lebih menjelaskan makna untuk pantun pertama.

Perhatikan pantun di bawah ini,

Kalau tuan pandai bermadah,
Seloka cinta tolonglah cipta;
Kota Bharu kota yang indah,
Tempat berniaga kaum wanita.

Seloka cinta tolonglah cipta,
Agar terhibur hati kami;
Tempat berniaga kaum wanita,
Mencari rezeki membantu suami.

Agar terhibur hati kami,
Seloka indah jadi kenangan;
Mencari rezeki membantu suami,
Beban yang berat menjadi ringan.

Pembayang pantun di baris kedua dalam rangkap pantun pertama akan diulang menjadi baris pertama dalam rangkap pantun kedua. Pembayang baris kedua dalam rangkap pantun kedua adalah cerita baru dan lengkap tersendiri. Sementara maksud di baris keempat pada rangkap pantun pertama akan diulang menjadi maksud untuk baris ketiga dan akan hadir baris keempat sebagai cerita pelengkap yang baru.

Begitulah bentuk dan proses perulangan akan terjadi pada rangkap pantun yang berikutnya. Seberapa banyak rangkap pantun dalam pantun berkait ini tiada hadnya selagi pengarangnya merasakan maksud kepada apa yang ingin disampaikan telah tercapai. Namun pantun berkait akan menjadi tergantung dan sukar difahami jika dibacakan cuma serangkap kerana apa yang ingin disampaikan oleh pengarangnya terkandung di dalam keseluruhan rangkap pantun berkait tersebut.

Pantun berkait menjadi pilihan untuk menyatakan perihal sesuatu agar pengucapannya kelihatan indah berbanding pernyataan dalam bentuk prosa. Ia sering juga digunakan dalam penceritaan kerana ceritanya berterusan dalam rangkap-rangkap berikutnya.

Ada juga yang menggunakan bentuk seperti pantun tetapi tidak mempunyai pembayang, kesemuanya maksud yang hendak diperkatakan tetapi mengekalkan rima berpasangan sama seperti di atas. Jika rimanya tidak berpasangan sudah tentu sekali ia akan menjadi syair.

Untuk pantun majlis minggu ini lihatlah jambangan-jambangan pantun di bawah:

Ramai orang ke Tanjung Bidara,
Hingga lengang orang di kota:
Awal bismillah pembuka bicara,
Salam diberi pelengkap kata.

Indah sungguh sinar suria,
Hati yang rungsing menjadi longlai:
Awal bismillah pembuka bicara,
Diikuti salam pelengkap tirai,

Kuala Pilah tanahnya rata,
Tempat orang membeli lada:
Awal bismillah pembuka kata,
Salam teriring pada yang ada.

Pak Dolah singgah di pekan,
Membawa nangka bersama duku:
Awal bismillah saya mulakan,
Berserta doa dalam salamku.

Sakit apa bukannya tulah,
Ganjil tiada tercari ubatnya:
Awal kata dengan bismillah,
Salam sejahtera untuk semua.

Keris Sari berbilah-bilah,
Diletak dayang dalam talam;
Dimula bicara dengan bismillah,
Salam untuk seisi alam.

Dibawa orang di dalam talam,
Talam berisi si buah bidara:
Bicara tiada tanpa bismillah,
Doa sejahtera buat anda.

Selamat berhujung minggu. Kepada yang berminat menyertai Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional Kebangsaan dengan tema “Pantun, Syair, Gurindam dan Nazam: Ketekalan Minda Melayu”. Tarikh: 24 & 25 November 2008. Bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Malaysia. Lawatilah laman sesawang DBP untuk penyertaan secara percuma ini. Ayuh hidupkan pantun, ke arah memelihara jati diri kita.

03 August, 2008

Indahnya Pantun 3

Pantun adalah pernyataan perasaan orang melayu, suka, duka, percintaan, kegembiraan, usik mengusik dan semua keadaan ada di dalamnya. Pantun diwujudkan dan sesuai untuk semua peringkat umur dari kanak-kanak hingga orang dewasa.
Kanak-kanak diterapkan dengan nilai-nilai keindahan dalam pantun sejak dari kecil dan selalunya pantun kanak-kanak dibina dengan perkataan yang mudah dan bentuk yang lebih ringkas. Misalnya berbentuk dua kerat sahaja atau suku kata yang kurang dari bentuk pantun yang biasa.

Perhatikan pantun di bawah ini:
Gendang gendut tali kecapi
Kenyang perut suka hati
Siakap senohong, gelama ikan duri
Bercakap bohong, lama-lama mencuri

Paku dulang paku serpih
Mengata orang dia yang lebih

Banyak udang banyak garam
Banyak orang banyak ragam

Sudah gaharu cendana pula
Sudah tahu bertanya pula

Keli masuk ruan keluar
Matahari masuk bulan keluar

Anak rusa nani
Baru kembang ekor
Apa dosa kami
Lalu tidak tegur

Buai laju-laju
Sampai puncak sana
Apa dalam baju?
Sekuntum bunga Cina

Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Pandai baca kitab
Menjadi bentuk hiburan dan pengucapannya dalam perasaan yang penuh gembira, nasihat dan teladan.Bahasanya yang indah, ringkas dan padat itu telah menjadi suatu alat menajamkan minda di peringkat kanak-kanak sedang membesar dan di lafazkan juga dalam permainan tradisional Melayu.
Pada kali ini ada beberapa lagi rangkap pantun pengenalan yang akan diberikan supaya majlis menjadi bertambah seri.
Alam seluruh di dalam Bahtera,
Bahtera lindungan dari bencana;
Kalimah bismillah salam sejahtera,
Mari mulakan majlis bermakna.

Jalan yang tengah menuju kota,
Bawa bekalan penghilang lelah;
Lama sudah penantian kita,
Mari Mulakan dengan bismillah.

Dari Jedah terbang merpati,
Saudagar Inggeris mengira laba;
Lama sudah kita menanti,
Yang ditunggu sudahpun tiba.

Pohon Kuini si Pohon Jati,
Di tengah-tengah si Pohon Tuba;
Apa lagi yang kita nanti,
Kerana yang ditunggu sudahpun tiba.

Dengarlah tuan dengarlah sabda,
Junjungan kasih pekertinya mulia;
Yang ditunggu sudahpun tiba,
Eloklah bermula majlis nan mulia.

26 July, 2008

Indahnya Pantun- 2

Meneruskan ruangan ini dengan segmen pantun agar kesinambunganya terus ada dan subur. Saya tidak berniat untuk berbicara mengenai pantun secara ilmiah kerana saya ingin anda melihat pantun sebagai sesuatu yang mudah dan santai dan sesuai dengan orang-orang melayu.

Bentuk pantun yang paling pendek ialah dua kerat. Dari segi jumlah suku kata tidak jauh beza dengan pantun empat kerat yang sangat popular iaitu di antara 8 hingga 12 suku kata. Cuma pantun dua kerat hanya mempunyai sebaris pembayang dan sebaris maksud.

Tak tumbuh tak melata
Tak sungguh orang tak kata

Kura-kura dalam perahu
Pura-pura tidak tahu

Kerana pulut santan binasa
Kerana mulut badan merana

Kerana pantun ini sudah sebati dengan jiwa orang melayu kadang-kadang jika orang melayu bermaksud mengatakan sesuatu secara bersopan dan beralas mereka hanya melafazkan sebaris pembayangnya sahaja seperti:

Ah macamlah orang tak tahu. Kami nampak kau ada ditempat kejadian tu semalam.
Kau ni macam kura-kura dalam perahu!

Begitulah hebatnya pantun dalam kehidupan orang-orang melayu. Tapi sekarang sudah jarang kedengaran orang mengucapkan hal yang demikian. Pantun sekarang Cuma ada dalam seni kata lagu-lagu melayu asli seperti Dondang Sayang, Joget, Inang, Ghazal, Zapin, Dikir Barat, Boria dan yang seumpama dengannya sehingga lagu-lagu asli ciptaan baru masih membawa pantun di dalam lagunya.

Entah mengapa kita tidak pernah mendengar pantun dalam irama Rock, R dan B, Blues atau Jazz kecuali lagu asli yang diberi nafas baru dalam irama asing itu.

Selain dari bentuk-bentuk dua kerat dan empat kerat pantun tersedia dalam bentuk enam kerat lapan, sepuluh, dua belas dan gandaan dua berikutnya sehingga enam belas kerat.

Pernah atau tidak anda mendengar lagu Gurindam Jiwa dalam filem Gurindam jiwa. Pantun mengenai jiwa dan perasaan dua insan yang bercinta dan tidak mahu berpisah. Masing-masing mangikat janji setia sehidup semati dan segala perasan kasih sayang, cinta dan taat setia manjelma dalam bentuk pantun empat kerat yang indah

Gurindam Jiwa

Tuailah padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intailah kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Anak cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati

Batang selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan

Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga

Pantun saya untuk anda sebagai pengacara, jemputan atau penceramah yang kadang kala mengalami kebuntuan kerana terpaksa memikirkan banyak perkara dalam sesuatu majlis kali ini ialah pantun pembuka bicara. Semoga anda dapat memanfaatnya.

Lada sulah di tepi jendela,
Dijemur orang si anak dara;
Lafaz bismillah kata bermula,
Salam sejahtera penanda bicara.

Pohon meranti dan kayu jati,
Tempat bersarang si laba-laba:
Nanti-nanti sudah dinanti,
Yang ditunggu sudahpun tiba.

Jual lukah di tengah pekan,
Pekan Baru di tepi kota;
Kata bismillah saya mulakan,
Semoga berkat majlis kita.

Parang sebilah jual di pekan,
Jadi tukaran si burung tempua;
Ucapan bismillah saya mulakan,
Doa sejahtera pada semua.

Dara jelita menangkap tempua,
Tempua bersarang di rumah rehat;
Salam sejahtera buat semua,
Harap semuanya sihat walafiat.

Selamat berhujung minggu.

18 July, 2008

Indahnya Pantun!

Keindahan pantun itu merangkumi aspek bahasanya yang indah, persamaan bunyi rima akhir dan rima tengah. Selain itu juga keindahannya yang lain dari segi bunyi ialah gaya pengucapannya yang berirama. Pengucapan bunyi rima pada bahagian pembayang dan diulangi tekanan bunyi yang hampir sama pada bahagian maksud menjadikannya suatu bentuk pengucapan yang sangat indah. Perhatikan sahaja pantun yang mula disuburkan pada semua jiwa kanak-kanak di alam Melayu ini

Buai laju-laju,
sampai pucuk sena:
Apa dalam baju,
Sekuntum bunga cina.

Dan tentunya anda masih ingat dengan pantun ini

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik Bercabang tiga;
Hancur badan di kandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga
.

Dilagukan menjadi sebati dan sesuai dengan luahan perasaan dalam kegembiraan jiwa kanak-kanak. Saya masih ingat dengan bentuk-bentuk mirip pantun yang sangat popular dilagukan oleh ibu-ibu pada masa dahulu termasuk bonda saya ketika mendodoikan anak –anak mereka.

Tepuk amai-amai
Belalang kupu-kupu
Tepuk ramai-ramai
Emak upah susu

Susu lemak manis
Santan kelapa muda
Adik jangan menangis
Emak ada kerja

Saya tidak pasti ibu-ibu pada masa sekarang masih memilih warisan tradisional itu untuk menidurkan bayi mereka. Mungkin ramai yang tidak sedar persekitaran pada masa awal tumbesaran bayi akan banyak mempengaruhi jiwa kanak-kanak apa bila mereka dewasa kelak. Sehingga sekarang saya masih ingat dengan pantun dua kerat yang dilafazkan oleh arwah bapa saya suatu ketika dulu. Sungguh menarik sekali bunyinya

Lengkuas belakang pintu,
Budak buas(nakal) biarkan begitu.

Ketika itu saya terlalu nakal dan apabila mendapat sesuatu kecelakaan kecil kerana kedegilan tidak mendengar kata orang tua, arwah bapa saya akan melafazkan pantun dua kerat itu. Dari kesakitan yang amat sangat dirasai oleh saya, saya sebenarnya lebih tertarik dengan rangkap pantun yang penuh makna itu. Lalu saya menghafalnya. Pantun itu mengajar saya berfikir berhari-hari lamanya dan di situ saya fikir saya telah jatuh cinta dengan pantun.
Kegemilangan pantun dalam kehidupan orang Melayu suatu dahulu memang tidak dapat dinafikan kerana disitu seperti terletaknya jati diri orang-orang Melayu. Pantun hidup di dalam masyarakat Melayu bersama bentuk sastera lain seperti syair, gurindam, seloka dan lain-lain lagi. Yang menjadikan pantun lebih istimewa ialah kerana pantun boleh diucapkan dalam pelbagai keadaan seperti majlis ataupun adat istiadat.

Dalam perkembangan sekarang masyarakat lebih berterus terang dalam menyatakan sesuatu hasrat mereka. Menjadikan pantun dipinggirkan dan tinggal hanya sebagai suatu warisan. Namun pantun tetap diselitkan dalam majlis-majlis peminangan, ucapan, di dalam lirik lagu-lagu berunsur tradisional atau dalam acara-acara berbalas pantun.

Penguasaan masyarakat Melayu terhadap pantun juga kebelakangan ini berkurangan walaupun pantun masih terus diajar melalui sistem pembelajaran di negara ini. Pertandingan berbalas pantun yang diadakan di antara sekolah-sekolah adalah satu usaha yang baik dan wajar diteruskan serta dipertahankan.

Saya berhasrat untuk terus menyuburkan warisan bangsa Melayu sejak berkurun lamanya ini agar pantun tidak terus dilupakan oleh kita menerusi blog ini. Pantun masih sesuai digunakan dan diselitkan di dalam pengucapan atau pun dalam bidang pengacaraan.

Sekian lama saya menyimpan cita-cita ini iaitu semenjak berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka lagi. Tetapi ketika itu saya tidak begitu jelas dengan cara bagaimana saya dapat melakukannya. Dengan adanya kemajuan teknologi internet ini saya kira saya sudah ada media yang dicari itu.

Semoga saya dipanjangkan umur untuk meneruskan usaha ini dan diberikan Allah kekuatan. Dalam Post yang berikut dan dari masa ke masa saya akan menerangkan bentuk-bentuk pantun dan pantun-pantun yang saya cipta dan juga pantun warisan yang boleh digunakan di dalam acara-acara jika anda terlibat menjadi pengacara atau pengisian sesuatu majlis. Jumpa lagi.
Wasalam.