24 April, 2013

Pilihan Raya Umum Ke-13 dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013

Pilihan raya PRU13 dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL2013) adalah dua perkara yang sangat berbeza. Pilihan raya Malaysia akan berlangsung empat atau lima tahun sekali dalam sistem demokrasi berperlembagaan manakala Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pula berlangsung setiap tahun di Kuala Lumpur khususnya di PWTC.

Pilihan raya dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan pemerhati-pemerhati luar negara kerana ia akan memberi kesan besar kepada corak pentadbiran negara dan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara lain.

Mengapa saya kalut dengan kedua-dua peristiwa ini ialah kerana kedua-dua peristiwa yang akan berlangsung ini berlaku dalam tempoh yang hampir sama. PRU13 akan berlangsung pada 5 Mei manakala PBAKL2013 akan berlangsung pada 26 April – 5 Mei. Hari terakhir PBAKL ialah hari mengundi bagi seluruh warga Malaysia.

Saya menjangkakan dengan berlangsungnya PBAKL2013 ketika musim pilihan raya akan memberi kesan kepada jualan-jualan buku yang berbentuk politik atau tokoh-tokoh politik tanah air atau mungkin juga jualan buku di PBAKL akan mengalami kemerosotan sedikit  dari segi jualan kerana ketika ini tumpuan warga Malaysia ialah terhadap pilihan raya. Setiap malam pasti ada kempen-kempen pilihan raya di adakan dan ini akan memberi kesan kepada jumlah pengunjung yang berminat dengan politik dan juga bahan-bahan bacaan. Keasyikan menghadiri ceramah-ceramah politik pada malam hari pasti akan mengambil masa individu untuk berehat di rumah pada keesokan harinya sedangkan jika PBAKL berlaku bukan pada musim pilihan raya pasti individu akan menggunakan waktu itu untuk ke PBAKL.

Bahang pilihan raya mula terasa apabila hari penamaan calon berlalu. Sana sini orang politik mula berkempen. Akhbar pula setiap hari bercerita pasal politik dan menjadikan isu-isu politik sebagai headline. Apa yang tidak dapat saya gambarkan ialah bagaimana keadaan di PWTC pada 5 Mei nanti. Suasana PBAKL pasti lengang di waktu siang hari dan menjelang petang ia pasti dipenuhi oleh manusia-manusia yang ingin menyaksikan keputusan pilihan raya dan perisytiharan penubuhan kerajaan baru. Mungkin saya dapat menyaksikannya di situ kerana saya akan bertugas di sana.

Selamat mengundi rakyat Malaysia. Undilah dengan bijak untuk masa hadapan anda dan jangan lupa berkunjungkanlah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 di PWTC untuk dapatkan buku-buku menarik khususnya di Gerai BUKU ITBM kerana pastinya terdapat diskaun-diskaun istimewa yang tidak akan anda perolehi di kedai buku atau di mana-mana tempatpun.