13 February, 2014

Cerita Semalam Di Seri Pacific


Lama sungguh tidak kemas kini. Dah bersawang blog ni.. syioh, syioh. Labah-labah pun banyak. Takpa lah.. bukan jadi bangkaipun yang penting dia masih ada dan dapat menyampaikan suara hatiku. Selamat tahun baru semua.
Semalam ada Seminar dan Buku Perdana 2014 di Hotel Seri Pacific. Majlis berkenaan dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang tersohor suatu masa dahulu iaitu Tun Mahathir Mohamad. Berasa teruja menunggu kemunculan Tun yang akan merasmikan majlis berkenaan pada jam 3.00 petang. Tun tiba agak lewat sedikit kerana saya sendiripun tidak tahu sebabnya. Tapi kegelisahan itu reda apabila kemunculannya menamatkan penantian ramai orang terutamanya pihak penganjur.
Daripada pemerhatian saya agak Presiden Yayasan Pembangunan Buku Negara ini Tuan Hasan Hamzah baik benar dengan Tun berdasarkan ucapan-ucapan dan gurau-gurauannya yang meminta Tun dapat menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam industri buku Negara.
Saya bukan hendak melaporkan secara terperinci apa yang berlaku dalam majlis itu kerana itu kerja wartawan. Heh. Anda boleh baca mengenainya dalam banyak surat khabar dan berita internet.
Apa yang menarik perhatian saya mengenai ucapan Tun ialah beliau menganjak kita untuk menulis. Kerana apa yang kita tulis hari ini pada masa akan datang ia menjadi sangat berguna untuk generasi akan datang. Apa yang kita tulis hari ini walaupun mengenai apa yang terjadi hari ini adalah penting sebagai rujukan kepada generasi akan datang.
“Manusia ini lemah. Mereka tidak dapat mengingati dengan banyak. Oleh itu penting untuk kita menulis (agar apa yang ingin kita sampaikan tidak hilang.)” kata Tun Mahathir.
Sesuatu yang lucu apabila Tun berkata orang Melayu suka percaya kepada hantu dan jembalang. Bila buat cerita hantu jembalang dapat sambutan. Heh. Betul juga cakap Tun kita kena tulis cerita hantu jembalang secara ilmiah dan beri manafaat bukan yang beri ketakutan semata-mata.
Boleh dikatakan kebanyakan ucapan para pembentang semalam adalah mengenai kerisauan jumlah buku yang diterbitkan dalam negara. Untuk menjadi negara maju menjelang 2020 jumlah buku harus 1% daripada jumlah penduduk. Bermakna untuk 28 juta orang penduduk kita mestilah mempunyai 28 ribu judul buku baru. Tetapi untuk tahun 2011 kita hanya mempunyai sekitar 17,923 judul buku sahaja.
Masalah dalam dunia perbukuan tidak hanya dari segi kekurangan jumlah buku tetapi meliputi masalah kurangnya minat membaca dan membeli buku itu sendiri. Industri perbukuan negara harus dibantu oleh pemerintah dengan membuat pembelian buku apabila ia dicetak.