25 January, 2011

Malam Tadi Dia Berlagu lagi.

Siapa dia? Pagi-pagi buta ketika aku mula melenakan mata dia menggangguku lagi untuk kali yang kedua. Kali ini tepat jam 1.02 pagi. Panggilan sesat bentak hatiku. Aku malas nak melayannya. Pasti budak gila yang menjerit-jerit di telefon tempoh hari yang mencari Nadhirah.

Nadhirah itu mungkin teman wanitanya yang telah lari darinya. Kalau Nadhirah lari aku tak hairan jika begini sikapnya. Tapi lelaki ini cukup tekun dan tidak berputus asa. Cinta bangat barangkali. Tapi dia silap orang sudah aku jelaskan aku bukan Nadhirah mengapa dia marah-marah kepadaku.

Sebentar kemudian aku menerima pesanan ringkas yang berbunyi

"Sial kow nad.. kow off phone ye.."

24 January, 2011

Kejutan SMS

"Aq nak kOrang smpy cnie sblum 4.15. klu x siap kOrang...aq iqbal.."

Begitulah mesej yang aku terima dari seseorang yang aku tidak kenali pada jam 4.07 minit petang 23 Januari 2011. Namun kerana sibuk bersembang dengan seorang teman di sebuah cafe aku tidak menyedari mesej itu sampai di telefon bimbitku sehinggalah aku menerima panggilan dari nombor yang sama.

Dia meminta untuk berbicara dengan Nadhirah! Siapa itu Nadhirah? Lawyer? Tuan Doktor? Majisteret? Aku tak pedulik. Kata hati kecilku. Aku senyum menjawabnya walaupun aku menyedari dia tidak dapat melihat tetapi aku yakin dia dapat merasakan senyuman itu. Aku jawab aku tidak mengenali siapa yang dia cari.

Lalu dari nada suara yang sopan tadi ia bertukar menjadi ganas. Lelaki itu menjerit sekuat hati di dalam telefon bimbitku ingin bercakap dengan Nadhirah! Bingit sekali bunyinya. Aku dengan tegas dan masih bersopan mengatakan aku tidak kenal siapa Nadhirah. Dia menuduh aku berpura-pura dan mengugut mengatakan dia tahu aku memang menyembunyikan di mana Nadhirah berada. Lalu bagaimana aku hendak melayani pertanyaan kasar dan bodoh yang merengut damaiku di petang minggu itu. Lalu aku cakap lagi

"Maaf ya saya memang tak kenal Nadhirah!" dan terus memutuskan talian. Teman di hadapanku tercengang melihat reaksi itu. Aduh.

22 January, 2011

Kanvas Kehidupan- Tips Bagaimana Mahu Melupakan Seseorang!

Sungguh simpati mendengar kisahnya. Bertimpa-timpa malang yang dia hadapi. Mula-mula pemergian dua pak ciknya yang di kasihi diikuti dengan pemergian ayahanda tercinta pula. Tidak habis di situ dia mengalami putus cinta ditinggalkan sang kekasih. Tidak dapat aku bayangkan keretakan dan kekecewaan hati seorang teman.

Usianya masih muda. Itulah parahnya jika mahu bercinta diusia yang masih muda. Sebaiknya elakkan diri dari terjerumus dengan cinta ketika masih belajar. Mungkin senang bercakap dari terjebak sendiri dalam realiti. Namun semuanya ketentuan Allah. Kita bisa merancang dan Allah yang menentukan.

Sehebat mana dan sekuat mana diri ini yang kita rasakan jika Allah hendak memberikan ujian ia akan datang begitu sahaja. Saya sudah melihat kekuasaan Allah yang memberikan ujian kepada mereka yang bermulut lancing- senang berkata dan akhirnya apa yang dikatakannya itu berlaku pula terhadap dirinya sendiri. Tetapi saya orang yang bukan mudah untuk melompat dan bertepuk tangan melihat pembalasan Allah itu. Bimbang atas keseronokan itu Allah membalikkan kepada kita pula.

Berbalik pada kisah teman yang malang tadi. Dia menerima semua ketentuan dan takdir yang menimpa ke atas dirinya. Aku yakin dia seorang yang tabah kerana dia tidak melahirkan penderitaannya itu di wajahnya. Aku begitu kagum dengan kekentalan hatinya.

Akhirnya dia bersuara lagi dengan nada yang sangat kecewa.

"Bukan setakat itu sahaja bang. Pembelajaran saya juga merosot dan akhirnya saya ambil keputusan untuk berhenti belajar di IPTA dan itu telah membuatkan ibu saya marah kepada saya." Jelas sabahat itu.

"Sekarang dari pengalaman hidup abang boleh tak beritahu saya bagaimana saya dapat melupakan semua penderitaan saya ini terutama terhadap teman wanita saya." Pinta sahabat itu.

Aduh. Beratnya permintaan itu. Tetapi atas dasar sahabat itu terpaksa juga membantunya walau aku bukan pakar kaunseling. Kataku kepadanya soal untuk melupakan seseorang itu dari kehidupan kita amat mudah dilakukan jika hati kita benar-benar bersedia untuk melupakannya. Hati mestilah ikhlas untuk melupakannya dan jangan mulut berkata ya tetapi hati tidak- ianya tak akan menjadi.

Apa yang perlu kita lakukan ialah pertama pujuk hati kita menerima ketentuan yang terjadi dengan reda. Kedua mempunyai azam melupakan diikuti perbuatan atau pelaksanaanya. Kebanyakkan orang gagal di tahap ketiga iaitu pelaksanaannya. Anda perlu kuat untuk melaksanakannya. Melupakan seseorang bererti melupakan kelibat dan kenangannya yang ada di dalam fikirannya. Anda harus mengosongkan fikiran dan mengelakkan anda berfikir mengenainya. Oleh itu jika ada sebarang pemberian yang boleh menghalakan pemikiran kita terhadapnya haruslah dibuang atau disimpan.

Kaedah ini memang amat sukar kerana anda cuba mengosongkan ingatan itu terhadapnya. Tetapi amat mudah jika anda mengisinya dengan sesuatu yang baru seperti menggantikannya dengan hobi baharu atau berkenalan dengan kawan baru tetapi bukan untuk bercinta. Jika anda berjaya melakukannya bermakna anda sedang menuju kejayaan melupakan seseorang.

Memang tidak seratus peratus anda dapat melupakannya kerana ianya bukan seperti satu kemalangan dia mana anda hilang daya ingatan tetapi di sini apa yang ingin saya jelaskan kekuatan minda memainkan peranan yang sangat penting iaitu sepanjang masa sentiasa fokus.

Saya juga mengajarkannya supaya selalu berdoa menggunakan ayat-ayat al Quran. Sentiasa sepanjang masa terutama di waktu awal pagi dan menjelang petang. Jika kita tidak melupakan pencipta maka pencipta tidak akan melupakan kita. Bayangkanlah betapa hebatnya Pencipta kita yangmenciptakan berbillion-billion kejadian tetapi mampu mendengar dan memerhatikan setiap dari kejadiannya itu dan sangat suka pula kepada orang yang berdoa kepadaNya.

Beberapa bulan kemudian saya menemui lagi sahabat saya itu dan kali ini nadanya sangat berlainan. Dia kelihatan sangat gembira dengan kehidupannya kini. Lebih bersemangat. Malah katanya kedukaannya dahulu bagaikan telah terubat kini. Saya gembira melihat dia gembira.

21 January, 2011

Puisi - Sebuah Taman Teman Yang Pudar



Sebuah taman teman
Kutinggalkan buat beberapa ketika
Kerana kehidupanku
Penuh warna warni
Bebunga anika warna
Pernah tumbuh di sini
Dan haruman seribu aroma

Terdetik hati ketika melangkah pergi
Berkata apakah mungkin
Aku bisa ke mari lagi di sini
Dengan panorama yang sama
Dan keindahan yang serupa
Di taman yang sama tapi waktu yang berbeza
Kerana pepatah pernah bersabda
Sekali air bah pantainya turut berubah


Hari ini aku kembali lagi ke sini
dengan langkah yang sepi
Kerana di perjalanan tadi kulihat
Warna-warna ceria dari taman ini
Sudah berpindah wilayah
Kuntum-kuntum bunga indah sudah menyegar
Di taman lain bersama kupu-kupu cinta
Yang tidak pernah hadir di taman dulu
Kucari seri dan indah dahulu
Kuselongkar segala penjuru yang ada
Kalau-kalau masih berbaki
Haruman dan kuntum-kuntum yang tersisa
Namun yang kutemui kuntum-kuntum dan
Tangkai-tangkai bunga yang sudah kering
Dan tiada lagi harumannya


Taman menjadi sepi sepeninggalanku
Segalanya umpama padang jarak
Tanah kering, kerikil dan tunggul mati
Berteman rerumput layu dan lusuh
Berpagar belukar maut yang kusut
Bebunga kering satu warnanya
Sebuah lanskap monokrom


Pupuk bayu tidak lagi bertiup di sini
Aku mencari indah itu di dalam sendu
Kerana rindu pada kekelopakmu
Berbagai bilangan, bentuk dan rupa
Warna warni coraknya sejuta
Dan harumannya berbagai rahsia


Masihkah ada
semua yang dahulu
Kerana pasti
pengunjung itu hanya aku
yang setia memuji pada kerinduan


Bukankah sering aku bisikkan
Kata-kata keramat rinduku padamu
lalu iapun menjadi baja
buat kau bunga-bunga untuk terus segar dan mekar di sini
Dan bukankah kerap aku persoalkan
Akan terus suburkah kau akan segala khazanahnya
ketika aku kembali lagi ke sini


Aku termangu bagaikan kaku
Ketika perjalanan jauh ke taman ini
Di taman teman yang telah layu
Yang kubina jauh dari gangguan sesiapa
Rupanya sudah pudar bukan lagi malar
mencalarkan doa dan harapan masa silamku


Aku memandang dari kejauhan
Sempadan yang memisahkan taman ini
Sungguh rimbun pepohon yang tumbuh di sana
Memucuk dedaun yang segar melebar
Dan bunga mencorak dan warna menggila
Menjerat kaku seluruh badanku
Memukau mata yang terkesima
Sedang hati menjerit meronta
ketika tangan tidak lagi bisa menggapai
Keindahan yang berpindah
Dari sini ke taman seberang

Lalu pada segumpal hati
yang masih berdenyut
aku belaikan kata-kata
agar tidak menderhaka
pada Pencipta


Enchelah
Ukay Perdana
4 Disember 2010
4.35 am


10 January, 2011

Menguburkan Rangkaian Sosial Facebook pada 15 Mac 2011

Sudah heboh satu Malaya malah seantero dunia bahawa rangkaian social facebook atau lebih mesra dipanggil fb akan dikuburkan pada 15 Mac ini. Aku cuma menyedari apabila rakan sepejabat memanjangkan emel berkenaan ke peti mel ku hari ini.

Sedangkan ada rakan-rakan lain yang mengetahuinya melalui akhbar dan juga siaran berita. Pada awalnya agak kurang percaya dengan perkembangan itu. Ya lah fb dah begitu sinonim dalam kehidupan harian khususnya mereka yang menggunakan dengan komputer dan internet untuk urusan kerja harian ataupun mereka yang sedang belajar. Fb menambahkan kegilaan remaja yang menggunakan telefon bimbit apabila aplikasi ini dimuatkan dalam telefon mereka. Sehingga pengasasnya Zuckerberg menjadi kaya raya kerananya. Namun wang bukanlah segalanya apabila hidup sentiasa dibelenggu stres!

Banyak komen-komen yang merasakan bahawa khabar angin itu hanyalah gurauan atau gimik tetapi bagaimana kalau ianya benar. Zuckerberg berhasrat menamatkan kegilaan yang begitu memuncak dan membuatnay stress. Beliau percaya ini adalah sesuatu yang baik kerana selepas ini pengguna akan dapat keluar dan berjumpa dengan kawan mereka yang sebenar di luar sana.

Memang benar aku kadang-kadang merasa sangat stres berhadapan dengan rakan-rakan yang mempunyai telefon khasnya blackberry yang mempunyai aplikasi facebook di telefon bimbit mereka. Kadang-kadang mereka mengajak kita keluar tetapi sudahnya 50% waktu bersamanya dihabiskan dengan melayan fb!

Saya pernah berkenalan dengan seorang rakan dari rangkaian sosial ini. Berborak dengannya di dalam talian sembang ini memang tidak jemu. Wajah kaku manis yang terpampang di skrin memberikan perhatian dan membalas setiap soalan yang dijawab. Tetapi apabila berjumpa secara berhadapan dengannya masyaAllah dia asyik melayan fb sambil berbicara dengan kita. Sungguh memualkan.

Syukurlah kalau khabar ini menjadi kenyataan kerana tiada siapa lagi dapat berbangga diri di dinding mereka menunjuk-nunjukkan apa yang mereka ada, mengumpat orang yang mereka tidak suka atau membuang masa kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya walaupun banyak juga perkara baik yang boleh diperolehi dari rangkaian sosial ini.

05 January, 2011

Kanvas Kehidupan - Adatlah Tu Orang Bercinta

Aku menghampiri seorang rakan yang kelihatan murung dan wajahnya yang sangat seposen lagi kelat.

"Kenapa ni? Teruk benar muka kau Man." Man cuma mengangkat kening seperti malas nak menjawab.

"Ye ke teruk? " dia bertanya ingin tahu.

Nadanya memang kurang ceria. Aku mengangguk dan dia mula memberikan perhatian kepadaku. Nampaknya aku dah mula berjaya menarik perhatiannya.

"Kalau ada masalah - ceritalah, boleh kongsi. Mana tau aku boleh tolong."

"Aku rasa sunyilah. Best friend aku dah lupakan aku." Man mula bercerita.

Itulah yang aku mahukan. Aku sudah dapat membuka pilinya. Air sudah mulai mengalir. Man mula meluahkan perasaannya yang kesunyian tidak dipedulikan sahabat karibnya lagi. Dahulu katanya ketika mula-mula rapat dengan kawannya itu M sangat mudah dihubungi. Jika dia bosan atau kesunyian M amat mudah menemaninya - tiada masalah.

Tetapi sejak mengetahui M mula berkenalan dengan seorang wanita dan wanita itu akan belajar di Kuala Lumpur, Man sudah dapat menduga bahawa sudah pasti kawannya itu akan melupakan keakraban persahabatan mereka. Tapi kata M semua itu tidak perlu risau keadaan akan berjalan sebagaimana biasa. Tak akan asyik nak jumpa teman wanita setiap minggu bosan juga. Akan ada masa untuk mereka berjumpa dan lepak bersama - kata M kepada Man.

Kini dah masuk hampir setengah tahun berlalu Man sudah amat jarang berjumpa dengan M lagi. M sudah banyak berubah walaupun dia sering berkata bahawa dia masih seperti dahulu. Man sudah hampir bosan menunggu untuk berjumpa dengan M kerana alasan M dia sibuk. Tapi bagaimana sibuk M sekalipun dia tetap ada masa untuk berjumpa dengan teman wanitanya.

Aku tersenyum dan menepuk-nepuk bahu Man."Orang bercinta memang macam itu. Dia sudah ada dunia lain."

"Habis macam mana dengan aku? Kawan-kawan lain memang ramai aku selalu ada masa untuk mereka dan aku juga peruntukan masa untuk M…Cuma M yang tak ada masa untuk aku."

"Masa dah berubah. Kau harus berubah mengikut keadaan. Jangan ikut perasaan. Biarkan yang pergi itu berlalu. Kawan tetap kawan tetapi M tidak akan jadi seperti dahulu. Mustahil - percayalah cakap aku walau bagaimana janjinya dia kepada kau."

Man diam memandang ke lantai.

" Tiba suatu masa M itu akan berkahwin…jika keadaannya sudah begini ketika dia bercinta sudah pasti apabila berkahwin dia akan lupakan semua kawan-kawan baik dia yang macam kau!" aku menambah.

"Tapi Che..M tu kawan aku yang sangat baik yang paling ngam dengan aku. Aku suka kawan dengan dia." Man menambah.

"Habis kau nak keadaan macam dulu itu terus wujud dalam hidup kau? Pergilah kau bunuh teman wanita dia. Itupun belum tentu kau akan rasa persahabatan macam dulu kerana M dengan rasa kehilangan tentu akan berduka sepanjang hidupnya…"

"…yang pergi tu kau kena biarkan berlalu. Dia bukan lagi best friend kau. Dia dah bertukar jadi kawan biasa kau. Statusnya pun dah bertukar dari status single dan dia sekarang digelar sebagai pasangan kekasih!" Man terkulat-kulat melihat aku.

Begitulah kehidupan yang sering berubah-ubah. Kadang kala kita tidak suka dengan perubahan. Dan kita kadang kala begitu kejam kerana tidak mahu orang lain berubah sedangkan diri kita sebenarnya sudah berubah!