09 February, 2013

Novel aku untuk siapa

"Kau buat novel cintake? Aku nak carilah." kata seorang teman lama. Saya kaget sebentar. "Eh tidak, tidak saya bukan novelis cinta macam Fauziah Ashari - Ombak Rindu itu atau Norhayati Berahim atau beberapa nama besar yang lain. Novel saya untuk remaja." kata saya. Kalau semua orang nak tulis novel cinta dan pasaran penuh dengan lambakan novel-novel kegemaran siapa pula yang akan menulis untuk anak-anak kita yang mula gemar membaca novel. Haruskah mereka terpaksa menerima novel-novel sebegitu yang begitu banyak di pasaran.

Biarlah orang lain menulis tetapi buat masa ini saya masih mahu menulis untuk mengisi kelompongan bahan bacaan begitu untuk golongan anak-anak yang mula minat membaca novel. Selama pengalaman menceburi bidang ini saya melihat ibu bapa amat berhati-hati apabila memilih bacan-bahan bacaan untuk anak-anak mereka. Sehingga novel pertama saya Lembayung Cinta yang tidak mempunyai kisah percintaan uda dan dara pun tidak mahu mereka beli kerana menyangkakan ianya novel cinta.

Padahal ia mengisahkan keperitan hidup seorang ibu untuk membesarkan dua anaknya lantaran kematian suami tercinta. Lembayung Cinta hanyalah nama sebuah katil pusaka yang ajaib.dihadiahkan oleh seorang nenek kepada arwah Cikgu Seli - suami Mariam watak utama dalam cerita ini. Begitu juga dengan Puteri 9 Sepuluh - sebuah novel tentang kehidupan Puteri-puteri kayangan - negeri asap sekepal yang ingin menjalani kehidupan seperti kehidupan manusia.

Sebenarnya dalam hal penceritaan penulis boleh mengelakkan tema percintaan walaupun ia sesuatu yang tidak dapat lari dalam kehidupan manusia. Banyak isu-isu yang boleh di ketengahkan untuk dijadikan santapan anak-anak kita disamping menyelitkan pengajaran kepada mereka.
Saya berharap lebih ramai penulis yang dapat menyedari hakikat bahawa penulisan juga adalah suatu tanggungjawab penulis kepada bangsanya bukan sekadar suka-suka atau menyapa kesukaan bangsa. Kita mengimpikan untuk menjadi negara maju setaraf dengan negara-negara maju yang sedia ada tetapi sikap dan kegemaran kita masih ditahap yang lama dan sama. Suka berhibur dengan cerita-cerita cinta dan lara.

Begitu juga dalam dunia hiburan terutamanya penerbitan filem atau drama. Produser dan penerbit drama/filem yang cenderung menerbitkan filem/drama yang bertemakan cinta dengan alasan genre sedemikian yang paling mendapat sambutan berbanding yang lain. Sedangkan mereka mempunyai banyak pilihan mengetengahkan isu-isu yang lebih membina pemikiran masyarakat. Yang mana sebenarnya betul - melahirkan filem/karya berdasarkan sambutan atau melahirkan filem/karya untuk melahirkan kegemaran masyarakat? Jika perkara ini dapat dikenal pasti barulah persoalan seperti ini dapat diselesaikan.

Karya terbaharu saya berjudul Sumpahan Jemalo (yang akan terbit April nanti) juga satu kisah misteri untuk remaja. Kisah mengenai kemunculan makhluk Jemalo di Kampung Aruma Kesturi. Kematian Jemalo secara tidak sengaja dipercayai telah mendatangkan mala petaka kepada penduduk kampung itu.

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina!

Lakaran visual Sumpahan Jemalo yang akan diterbitkan