30 December, 2009

Mantan Presiden Indonesia Gus Dur Meninggal

Begitulah berita yang dibacakan sejurus sebelum Buletin TV3 berakhir. Gus Dur atau Abdurrachman Wahid alias Gus Dur adalah Mantan Presiden dipastikan meninggal dunia pukul 18.45 di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM). Khabar tersebut diakui oleh Puteri Gus Dur Yenny Wahid melalui telefon kepada Kompas.com.

Sebelumnya, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) datang ke Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM) Jakarta, Rabu (30/12/2009) petang. Presiden Yudhoyono tiba di halaman RSCM sekitar pukul 18.30 menggunakan kenderaan Presiden dengan pengawalan tidak terlalu ketat iaitu hanya dikawal lima kereta Pasukan Pengamanan Presiden (Paspampres).
Berita ini dipetik dari laman berikut: http://clickoverall.com/gus-dur-meninggal-dunia.html

Salam takziah buat kaum kerabat beliau dan warga indonesia juga. Pasti kehilangan Gus Dur dirasai setelah pernah berbakti beberapa ketika kepada rakyat Indonesia.

29 December, 2009

Jom Baca Buku-Bahasa Verbal dan Bukan Verbal I

Sebuah buku lagi diperkenalkan di sini terbitan bersama Insitut Terjemahan Negara Malaysia dan Universiti Sains Malaysia

Bahasa Verbal dan Bukan Verbal I
Buku ini memperlihatkan hubungkait penggunaan bahasa verbal dan bukan verbal dalam pelbagai bidang ilmu di Malaysia, dan perkongsian idea ini dilihat dari sudut komunikasi, pendidikandan penterjemahan. Dari aspek komunikasi, perbincangan berkisar kepada komunikasi verbal dan bukan verbal dalam rancangan audiovisual, dalam kalangan guru pelatih, penggunaan telefon bimbit, dalam budaya masyarakat majmuk di Malaysia, dan gerak siyarat menerusi perspektif neurokognisi.

Bahasa Verbal dan Bukan Verbal I
Pengarang: Hasuria Che Omar, Rokiah Awang, Syed Zainal Ariff Syed Jamaluddin dan Noriah Mohamed.
Penerbit: ITNM & USM
ISBN: 978-983-068-465-9
Harga: 30.00/35.00
Jumlah Halaman: 316 Muka Surat
Dapatkan hari ini naskhah anda dengan mengunjungi Kedai Buku ITNM atau Kedai-kedai MPH. Nombor bantuan 03-41497210

25 December, 2009

Kanvas Kehidupan - Doa Mangga

Yam memang dah masuk dalam golongan warga emas. Yang kebanyakan orang diusianya sudah uzur. Tetapi diwaktu itulah Yam mampu mengumpulkan duit untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Sudah lama Yam berazam untuk ke Tanah Suci. Sejak dia mula mengenal dan memeluk Islam lagi. Sesungguhnya dengan Islam Yam merasa amat tenteram dan tenang. Lagipun sekarang anak-anak Yam sudah besar ada yang telah berkahwin dan ada yang masih belajar. Pendek kata semuanya sudah besar dan tiada masalah kalau Yam nak tinggalkan mereka. Tahulah mereka menguruskan diri mereka sendiri.

Beberapa bulan sebelum datangnya bulan Zulhijjah Yam dah mula jogging. Lari keliling kawasan rumah. Suami Yam pun naik hairan mengapa Yam begitu beriya-iya bersenam. Kata Yam kalau dah sampai di Mekah Yam nanti tak susah, senang nak mengerjakan ibadah di sana. Memang betulpun Yam di Mekah tiada masalah kesihatan dan yang pasti niat Yam yang ikhlas untuk beribadah di sana telah memudahkan Yam di sana.

Suatu peristiwa yang aneh dan ingin dikongsi di sini ialah peristiwa Yam berdoa di Kaabah. Memang di situ adalah tempat yang amat mustajab untuk berdoa. Yam berdoa apa sahaja yang terlintas di hatinya dan tiada siapa yang tahu akan doanya termasuklah suaminya sendiri.

Di kampung halaman Yam selepas beberapa minggu selepas itu orang kampung Yam dah mula heboh dan merasa hairan dengan perihal sebuah pohon mangga di halaman rumah Yam yang berbunga lebat setelah bertahun-tahun tidak pernah berbunga walau sekalipun. Dari bunga bertukar menjadi buah yang sangat lebat dan lazat sekali. Puaslah anak beranak Yam makan buahnhya. Lebih dari itu mangga yang terlalu banyak buahnya itu disedekahkan kepada jiran-jirannya.

Lalu datanglah kawan-kawan Yam menziarahinya dan bertanyakan apakah baja yang Yam letak hingga pohonnya itu tak larat lagi nak berbuah. Yam senyum sambil memberitahu mereka Yam bela pohon itu macam biasa saja tetapi Yam teringat sewaktu di Kaabah Yam sempat berdoa agar pohon mangga yang Yam tanam di halaman rumahnya itu berbuahlah walaupun sekali kerana Yam teringin sangat nak makan buahnya.

Itulah doa Yam yang membuatkan pohon mangga itu berbuah dengan lebat sekali dengan segera dan Yam pun terkejut dalam tempoh sebulan Yam tinggalkan rumah untuk ke Mekah dan bila pulang Yam tengok pohon mangga itu lebat berbunga. Yam rasa sangat bersyukur dan bertambah iman Yam.

Namun setelah beberapa musim mangga itu tidak lagi berbunga. Hanya sekali sahaja. Suami Yam yang sudah tidak sabar dengan lokek pohon mangga untuk berbunga lagi itu terus menebang pohon mangga itu walaupun hati Yam berat membenarkan suaminya menebang pohon itu. Yam agak terkilan kerana Yam hanya berdoa agar pohon itu berbuah hanya sekali. Lupa Yam akan hal itu. Sebab itulah pohon mangga itu hanya berbuah sekali kalau Yam berdoa agar pohon itu berbuah banyak kali tentu pohon itu tak kena tebang.

Yang jelas sejak balik dari Mekah kata anak-anak Yam hatinya sudah tak ada di Malaysia lagi di sini. Yam macam terlalu rindukan Mekah dan kalau boleh Yam mahu lagi ke sana, tinggal dan beramal ibadah selama-lamanya.

23 December, 2009

Ciki- Mohd Azwan Hasahar

Si Ciki yang gemar bersukan tiba-tiba mengisi ruangan yang sudah bersawang ini. Harap ianya dapat memanjangkan silaturahim dan memberikan hiburan kepada anda.

Nama penuh sebagaimana tercatat dalam Sijil Lahir?
Mohd Azwan Hasahar

Tarikh pertama anda menyentuh dunia?
12 November 1986

Tempat dilahirkan
Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

Pendidikan:
Sijil Pelajaran Malaysia aje.

Adik Beradik
Anak ke 3 dari 4 adik beradik

Anda suka warna apa?
Hitam Putih dan Biru

Waktu lapang suka buat apa?
Main PS2, Jogging dan Swimming

Paling suka
Main game, lepak kat rumah, ubah suai dan hiasan di rumah dan menyakat kawan

Paling tidak suka
Orang panas baran dan pergi ke tempat ramai orang, orang yang cerewet dan kuat membebel

Makanan kegemaran
Apam balik, Pisang, Ayam dan telur goreng

Minuman kegemaran
Teh o ais dan Nestlo ais

Di mana anda bekerja?
CIMB Bank

Adakah anda seronok dengan kerja sekarang?
Seronok, sebab selalu keluar dan dapat balik awal untuk latihan bola.

Cita-cita sebenar anda?
Untuk jadi pemain bola sepak...alhamdulillah dah jadi sekarang continue kat CIMB aje.

Apa yang belum tercapai dalam hidup?
Nak kereta Suzuki Swift, sekarang alhamdulillah dah ada Myvi

Jika anda kaya?
Sedekah amal jariah dan hantar Ma dan Pa pergi haji-bahagiakan keluarga.

Prinsip hidup?
Tidak mudah putus asa. Usaha kena lebih. Jangan Malas.

Tempat yang ingin dilawati
Mekah dan Milan

Pengalaman yang sukar dilupakan
Pertama kali bekerja di Kuala Lumpur saya kena keluar pejabat menaiki motosikal. Lepas itu minyak motor habis. Masa itu dah tak tahu nak buat apa, tiba-tiba datang anggota polis dan mereka membantu saya. heheh..Terima kasih ler.

Alamat emel untuk dihubungi
mohdazwanhasahar@gmail.com

Jika anda minat mengisi ruangan ini sila emel ke alamat wwwenche@blogspot.com

21 December, 2009

Sahabat atau kawan?

Anda ingin mempunyai sahabat atau kawan? Sahabat sifatnya lebih dari seorang kawan. Anda memberi sedikit jiwa anda kepadanya. Anda memberi rahsia anda kepadanya manakala kawan adalah mereka yang kebetulan setiap masa berada di sekitar anda dan anda mengenalinya. Jika anda mempunyai masalah, anda akan mencari sahabat untuk menceritakannya bukannya kawan. Kerana itu kehilangan sahabat lebih dirasai dari kehilangan seorang kawan.

Mengenali hati budi seseorang sebenarnya membenarkan anda menjadi seorang yang lebih matang dalam membentuk sikap dan tindakan. Tetapi untuk mengenali hati budi kita memerlukan masa dan sensitiviti. Jika anda beranggapan bahawa A adalah sahabat anda seharusnya anda mencari masa dan keinginan untuk menyelami hati budinya.

Ramai orang mengaku mempunyai sahabat tetapi sejauh mana mereka cuba menyelami sikap sahabat mereka. Kadang-kadang kita lihat ada orang yang sudah lama kenal tetapi masih berselisih pendapat. Perselisihan mungkin kerana perbezaan dan percanggahan pendapat, atau mungkin juga kerana prinsip. Mengapa?

Kegagalan memahami sikap sahabat sering membawa kepada perselisihan faham yang besar namun ia tidak sehebat kegagalan memahami sikap kawan yang akibatnya lebih parah.

Adalah lebih baik menghadkan bilangan kawan sehingga anda dapat membaca hati budinya dan ia bertukar menjadi sahabat daripada menambahkan bilangannya tanpa ada apa-apa kualiti dari penambahannya dan ia tidak membezakan anda mempunyai ramai kawan atau tiada kawan!

Seseorang kawan atau sahabat yang telah berjaya diselami hati budinya akan membolehkan anda meneka apakah tindakan yang akan dibuat dan jika ini berlaku anda sebenarnya telah berjaya melalui liku-liku sebuah persahabatan.

20 December, 2009

Tamat Sudah Zaman Bujangmu UzairAisyah -Selamat Pengantin Baru

19 Disember 2009 itulah hari yang indah buat pasangan Muhammad Uzair Salleh dan Siti Aishah Haji Harun. Itulah hari mereka disatukan dan bermula kehidupan sebagai suami isteri. Semoga kehidupan anda berdua semakin damai dan kekal jodoh hingga ke akhir hayat.

Perjalanan 2 jam 30 minit bukanlah terlalu lama untuk sampai ke Ipoh tetapi jika tidak berhati-hati apa-apa pun bisa berlaku dan itulah berita yang tidak diingini telah berlaku saat pasangan ini disandingkan di atas pelamin indah di Dewan Banquet Carsem, Jalan Lapangan-Ipoh, Perak.


Sebuah kereta yang dipandu oleh rakan wanita pasangan pengantin baru ini telah mengalamai kemalangan di kawasan melepasi Behrang. Kami diberitahu kereta ini hilang kawalan setelah percubaan untuk memotong kenderaan di hadapan yang memandu perlahan. Kereta Myvinya telah terbalik beberapa kali dan yang menakjubkan ketiga-tiga wanita kenalan pengantin baru
ini telah terselamat. Alhamdulillah.

Sama cantik dan sama padan Uzair dan Aisyah bagai Pinang dibelah Dua

15 December, 2009

Kanvas Kehidupan-Sudah Jatuh di Timpa Tangga (II)

Di Kaki lima di luar Hospital yang agak sepi dari kesibukan kota raya itu hujan masih turun renyai-renyai. Nak tak nak aku tiada pilihan selain menelefon Madi sendiri dan bertanyakan di mana dia ketika itu.

Nada dering itu bersambut dengan suara lemah Madi-mungkin dia sedang tidur ketika itu atau itulah suaranya seharian kerana menahan kesakitan sepanjang hari akibat kemalangan. Setelah mendapat tahu Madi berada di rumah aku terus menuju ke rumahnya.

Di rumah Madi terbaring dengan kaki kiri yang berbalut dan mata sebelah kiri juga bertampal kapas. Kata Madi ada satu jahitan di bahagian muka dan tujuh lagi jahitan di bahagian kakinya. Aku nasihatkan Madi supaya tidak banyak bergerak dan baring sebagaimana sebelum aku tiba.

Lalu minit-minit terawal itu Madi bercerita bagaimana kemalangan itu berlaku. Kata Madi pagi itu dia menunggang motosikal dan membawa kawannya untuk urusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tiba di suatu simpang terdapat sebuah kereta yang gagal mengawal kenderaannya ketika lampu merah menyala dan saat itu dia telah bergerak.

Madi nampak kereta itu bergerak laju dan Madi cuma memejamkan mata saat kereta itu hampir kepadanya. Madi cuma ingat mati sahaja dan selepas itu Madi pengsan. Sedar dari pengsan Madi sudah di tepi jalan di pangkuan temannya. Temannya terselamat kerana sempat terjun dari motosikal yang Madi bawa.

Madi telah dibawa ke hospital oleh pemandu kereta yang langgar Madi dan di hospital yang aku pergi tadi Madi menerima rawatan. Madi juga direhatkan beberapa ketika di itu tetapi Madi teringatkan motosikal baru yang ditinggalkan ditepi jalan di tempat kemalangan. Lalu Madi menyuruh temannya menghantarkannya ke situ.

Nak tak nak temannya itu terpaksa menurutkan sahaja kata Madi walaupun Madi seharusnya berehat dan melupakan semua itu. Apa nak dirisaukan motosikal itu telah dikunci di situ. Petang nanti mereka boleh pergi meninjaunya. Tentu ia selamat di situ.

Jangkaan kita tentang keadaan itu memang meleset. Apabila tiba di situ puas Madi pandang dan cari keliling dalam keadaan terenjut-enjut dan dia seakan-akan tidak percaya di situlah dia ditimpa kemalangan tadi. Motosikal Madi telah tiada. Motosikalnya telah hilang.

10 December, 2009

Jom Baca Buku-Pengenalan Mekatronik dan Sistem Pengukuran

Pengenalan kepada Mekatronik dan Sistem Pengukuran
Introduction to Mechatronics and Measurement Systems

Pengenalan kepada Mekatronik dan Sistem Pengukuran memberikan gambaran keseluruhan tentang bidnag mekatronik yang sedang berkembang. David G. Alciatote dan Michael B. Histand mengambil langkah yang cermat untuk menyampaikan system pengukuran dan elektronik yang merupakan asa untuk memahami system mekatronik.

Pengenalan kepada Mekatronik dan Sistem Pengukuran
Introduction to Mechatronics and Measurement Systems

Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia

Pengarang: David G. Alciatore & Michael B. Histand
Jumlah Halaman: 478 Muka Surat
ISBN: 978-983-068-401-7
Harga: 20.00/25.00

Dapatkan naskhah anda hari ini di MPH Mid Valley atau MPH Alamanda atau di Kedai Buku di Lobi ITNM atau menelefon di nombor 4149 7210

07 December, 2009

Tulisan Khat Haji Sulaiman Awang




Gambar pejabat Aji dan pohon-pohon kedondong dan rambutan di laman rumah Aji.

Haji Sulaiaman Awang tapi aku memanggilnya Tuan Haji dan kadang-kadang tinggal Aji sahaja. Dia dah macam ayah sahaja. Seorang penulis khat yang tidak asing lagi di Malaysia dan tulisannya sering digunakan dalam rancangan baca Al Quran tidak lama dahulu. Pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum beliau pencen. Memulakan tugas sebagai pelukis. Dia sangat rapat dengan semua orang.

Dia bercerita mengenai kerjaya selepas pencen. Pernah berdoa supaya diberi perkerjaan yang senang dan mudah mendapat duit. Dan dia percaya tuhan mendengar doanya lalu kerana itu dia menjadi penulis khat untuk kebanyakan batu nisan yang terdapat di Kuala Lumpur.

Aji cerita dia mengambil masa 2 minit untuk menyiapkan tulisan pada khas. Tulisan itu hanya ditulis pada sekeping kertas dan akan di pindahkan secara teknologi oleh pembekal batu nisan iaitu seorang taukeh Cina. Tambah Aji lagi kadang-kadang jemarinya hampir kejang kerana terlalu banyak menulis tulisan jawi setiap hari.

Memanglah menyeramkan menulis dengan banyak nama-nama hamba Allah yang telah pergi meninggal dunia tetapi itu akan sentiasa mengingatkan kita kepada kematian katanya kepadaku. Kerja menulis ini bermula dari suka-suka dan ingin menolong tetapi akhirnya sudah menjadi suatu kerja yang menuntutnya duduk berjam-jam setiap hari kerana terlalu banyak tempahan.

Beliau sangat bersyukur dengan rezeki yang diberikan ini kerana menjadikan kerisauannya sebelum pencen terubat. Hari-harinya terisi dengan jadual yang ketat untuk menyiapkan tempahan. Haji Sulaiman Awang menjadikan koridor di tepi rumah teresnya yang terbuka sebagai 'pejabatnya'. Beliau meletakkan bidai buluh untuk menghalang cahaya dan panas matahari. Sebuah kipas dinding akan di pasangnya jika cuaca panas. Bukan tidak mampu untuk membuatkan dinding di situ tetapi Aji lebih suka pandangan yang terbuka.

Di dalam laci meja itu terdapat telefon selari untuk memudahkannya menjawab telefon jika ada Aji tidak mahu masuk ke dalam rumah menjawab panggilan. Rumahnya juga dilengkapi dengan mesin faks bagi memudahkan beliau menerima tempahan nama dan juga menghantar tulisan khat yang siap dibuatnya.

Ketika bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka tulisan-tulisannya pernah menghiasi pingat-pingat DiRaja, buku cenderamata perayaan, kalendar DBP malah wang kertas Malaysia dari RM1.00 hingga RM500.00.

Aji pernah menceritakan salah seorang daripada anaknya berkebolehan untuk menulis jawi dan pernah memenangi peraduan tulisan jawi tetapi tidak mengembangkan bakatnya. Salah seorang lagi anaknya juga (Ahmad Khazim-kawan saya di DBP) mewarisi bakatnya sebagai pelukis dan sekarang bertugas di Utusan Melayu.

Mengakhiri cerita hari itu Aji memberikan saya buah rambutan dan Kedondong untuk di bawa dan di agih-agihkan di pejabat! Enak sekali buah dari laman Aji itu tak puas memakannya.

Ada sebuah papan nota di hadapan meja Aji itu aku terpandang gambar Intan Azura seorang pelakon yang popular juga. Teringat Aji ada cakap kat aku-16 tahun dulu anaknya dari model nak jadi pelakon sekarang sudah menjadi. Kuah nak tumpah ke mana kalau tidak ke nasi Aji pun dulu model juga kan!

Saban Tahun Hari Lahir Yang Tidak Jemu Datang


Mereka memang suka posing tak kira majlis apa mereka akan tetap rasa cantik dan ingin mendapat perhatianku..jangan mare semua. Hahaha

17 November lalu adalah tarikh biasa bagi aku dan rakan-rakan tetapi ia adalah hari bermakna buat Puan Siti Rafiah Sulaiman bos di Jabatan Terjemahan dan Penerbitan kerana hari itu stafnya dan sepakat nak buat majlis mengejut sambutan ringkas hari jadinya.

Daripada nak hadiahkan sejambak bunga terus mereka beli dua biji kek kerana dah terlebih bajet dek sumbangan pungutan kilat di kalangan mereka. Sekalung tahniah kepada semua yang menjayakan terutamanya Yana, Fauziah, Ayu, Vevah dan mereka yang dah lupa nak sebut namanya di sini tetapi begitu bersemangat menjadikannya realiti.

Terima kasih juga kerana gimik yang menjadi. Siap padam-padam lampu dan berpura-pura blackout lagi selepas itu mereka membawa kek ke bilik bos. Panik gak nampak wajah bos kerana memang dia menyangka bekalan elektrik terputus!

Mungkin tahun hadapan boleh kita cuba beli piza pulak!

Nampaknya dah jadi tradisi sambut hari jadi begini di Jabatan Terjemahan dan Penerbitan. Sedap dapat makan kek yang dicuit-cuit. Nak makan banyakpun keadaan dah tak mengizinkan lagi.

06 December, 2009

Kemalangan di parkir bangunan KB Mall

Suspen juga apabila mendapat berita bangunan KB Mall runtuh dari abang yang berada di Kota Bharu. Bonda juga menelefon memberitahu tentang itu yang menyebabkan kesesakan jalan raya tersangat teruk di Bandaraya Islam Kota Bharu sehingga berkilometer panjangnya.

Selepas itu bertalu-talu aku mendapat panggilan dan SMS dari teman dan kaum kerabat kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang. Berita terperinci mengenainya belum diperolehi walau bagaimanapun carian di internet ini di blog http://beliamuda.com/ sangat membantu anda yang ingin mengetahui berita ini selain di Utusan Online.

Cerita Perjalanan Pulang Yang Panjang Anak Kelantan





Rakaman perjalanan yang 'amat biasa' ketika Anak Kelantan pulang melalui jalan Gua Musang, kabus awal lagi, naik dan turun bukit, jalan satu lorong, dan adegan bas atau kenderaan berat berlenggang atau makan angin.

Sesungguhnya anak-anak Kelantan di perantauan bergadai nyawa yang risiko kemalangannya lebih besar dari anak-anak negeri lain untuk pulang berhari raya setiap tahun. Aku sendiri sudah lebih 20 tahun melalui perjalanan ulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur tanpa jemu kerana faktor ikatan persaudaraan dan sememangnya tanah tumpah darahku di situ.

Mengembara ke Ibukota menyumbangkan keringat tenaga dan idea untuk membangunkan dan memajukan Kuala Lumpur. Bukan aku seorang malah berpuluh ribu orang anak Kelantan yang senasib dengan aku. Tidak pernah kesal dilahirkan di Kelantan dan menjadi anak jati Kelantan.

Ketika tiba musim perayaan aku bersama puluhan ribu anak Kelantan akan berduyun-duyun menyesakkan jalan raya menuju ke Kelantan melalui Lebuhraya Karak sehingga Bentong dan selepas itu kami sudah tahu azab yang kami akan terima apabila kenderaan melalui jalan-jalan kampung sehingga tiba di bandar Gua Musang ( aku kurang senang menyebut namanya kerana mungkin lebih enak di dengar Lu Musang..haha).
Tiada kawasan rehat yang sempurna untuk merehatkan badan atau mata, apalagi untuk membuatkan sekecil reda dari tangisan kerana seharian terkurung dalam kenderaan, begitu juga tiada tempat yang sempurna untuk mengisi perut atau melepaskan hajat sebagaimana yang terdapat di lebuh raya PLUS apabila perjalanan melepasi Kuala Lipis hingga ke Gua Musang.

Kesesakan biasa sudah pasti akan melengahkan masa perjalanan belum ditambah dengan keadaan cuaca buruk seperti hujan atau banjir. Pernah Perjalanan aku bersama teman-teman serta adik-adik mencatat masa 21 jam untuk sampai kerana hujan renyai sepanjang perjalanan dan banjir di beberapa tempat.

Tahun ini perjalanan pulang untuk Raya Aidiladha mengambil masa 12 jam apabila perjalanan jam 6.30 pagi berjaya di tamatkan pada jam 6.30 petang. Nasib baik kereta temanku itu auto kalau manual rasanya hari raya aidiladha kami anak-anak Kelantan akan berjalan dalam keadaan tempang!

Sampai bila anak-anak Kelantan di perantauan akan menanggung keadaan ini. Akupun dah tak lagi mengundi di Kelantan sejak sekian lama. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lama bekerja di Kuala Lumpur.

Agaknya ibubapa yang tinggal ke Kelantan sedih dan menjadi dendam apabila mendengar rintihan keperitan anak-anak yang pulang beraya. Dendam itu mungkin lebih kuat bagi yang telah kehilangan anak-anak yang terkorban dalam nahas jalanraya dan membalas semuanya dalam pilihanraya.

Kita mungkin boleh mendapatkan apa yang kita cita-citakan dan mengubah sesuatu jika kita mengubah paradigma berfikir dengan cara memberi yang baik untuk mendapat yang baik dan kita hajatkan! Tidak kah kita terfikir?

03 December, 2009

Kongsi Emel-Solat Subuh Di Masjid

Sholat Subuh di Masjid

Seorang pemuda bangun pagi2 buta utk sholat subuh di Masjid Dia berpakaian, berwudhu dan berjalan menuju masjid ditengah jalan menuju masjid, pemuda tsb jatuh dan pakaiannya kotor.

Dia bangkit, membersihkan bajunya, dan pulang kembali ke rumah. Di rumah, dia berganti baju, berwudhu, dan, LAGI, berjalan menuju masjid . Dalam perjalanan kembali ke masjid , dia jatuh lagi di tempat yg sama! Dia, sekali lagi, bangkit, membersihkan dirinya dan kembali ke rumah. Di rumah, dia, sekali lagi, berganti baju, berwudhu dan berjalan menuju masjid .


Di tengah jalan menuju masjid , dia bertemu seorang lelaki yg memegang lampu. Dia menanyakan identiti lelaki tersebut, dan menjawab "Saya melihat anda jatuh 2 kali di perjalanan menuju masjid , jadi saya bawakan lampu untuk menerangi jalan anda..' Pemuda pertama mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan ke masjid.


Saat sampai di masjid , pemuda pertama bertanya kepada lelaki yang membawa lampu untuk masuk dan sholat subuh bersamanya. lelaki itu menolak. Pemuda itu mengajak lagi hingga berkali2 dan, lagi, jawapannya sama. Pemuda bertanya, kenapa menolak untuk masuk dan sholat.

Lelaki itu menjawab

Aku adalah IBLIS (setan)

Pemuda itu terkejut dengan jawapan lelaki itu. Setan kemudian menjelaskan,
'Saya melihat kamu berjalan ke masjid , dan sayalah yang membuat kamu terjatuh. Ketika kamu pulang ke rumah, membersihkan badan dan kembali ke masj id , Allah memaafkan semua dosa2mu.

Saya membuatmu jatuh kedua kalinya, dan bahkan itupun tidak membuatmu merubah fikiran untuk tinggal dirumah , kamu tetap memutuskan kembali masjid .Karana hal itu, Allah memaafkan dosa2 seluruh anggota keluargamu. Saya KHAWATIR jika saya membuat kamu jatuh utk kali ketiga , jangan2 Allah akan memaafkan dosa2 seluruh penduduk desamu, jadi saya harus memastikan bahwa anda sampai dimasjid dgn selamat....'


Jadi, jangan biarkan Setan mendapatkan keuntungan dari setiap aksinya. Jangan melepaskan sebuah niat baik yg hendak kamu lakukan karena kamu tidak pernah tahu ganjaran yg akan kamu dapat dari segala kesulitan yg kamu temui dalam usahamu utk melaksanakan niat baik tersebut .

Terima Kasih Ajax ISIS

Alhamdulillah Dan dah sembuh



Nanti tanya Dan berapa banyak doktor masukkan air dalam badannya dan berapa botol pula air 100 plus yang diminumnya. Ada juga petua tak silap saya dalam blog Norzailina Nordin dengan memakan Sup Ketam Demam Denggi boleh cepat sembuh. Juga petua meminum jus betik dipercayai juga dapat mempercepatkan penyakit Demam Denggi ini sembuh.

Kasihan Dan dah lah badan tu tak berapa nak ada isi- sakit pula. Zaidan (staf di Unit Penerbitan ITNM) diserang Demam Denggi beberapa hari sebelum Hari Raya Aidiladha dan nampak gayanya berhari raya di Hospital dia tahun ini.

Hujung tahun di kebanyakan pejabat kerajaan kerja semakin berkurangan tetapi di ITNM banyak sasaran yang perlu ditunaikan dan ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal agar dapat melaksanakan tugas tersebut. Tetapi jika badan kurang sihat apakan daya ia adalah rezeki yang Dia beri.

(Kalau aku sebut jangan marah ya Dan-kadang-kadang tuhan nak bersihkan dosa kita, bukanlah makna aku ni tak ada dosa-akupun selalu sakit gak tapi alhamdulillah belum masuk wad lagi.) Mengikut saintifik pula badan sudah kehabisan antibodi. Maka dengan itu badan tidak lagi berupaya melawan virus penyakit yang menyerang pertahanan badan. Selepas kita sembuh antibodi terbina semula dan badan kita menjadi kuat untuk beberapa ketika bagi melawan virus yang masuk ke dalam sistem pertahanan badan.

Hari ini Dan dah datang menjengah kat pejabat untuk lihat kerja-kerja tertangguh. Alahai hatinya dah tak senang gamaknya dan hari ini juga giliran Yana ke hospital menjalani ujian darah dan doktor tidak menolak kemungkinan Yana juga mengidap Demam Denggi. Mudah-mudahan tidak lah ya! Sebab kita ni nak berlari jauh lagi kawan-kawan sehingga 2009 melabuhkan tirainya. Amin

Jom Baca Buku-Mawar Emas:Bunga Rampai Sastera

Mawar Emas: Bunga Rampai Sastera Rusia

Kelahiran Mawar Emas merupakan satu lagi usaha membuka tembok halangandan membenarkan khalayak kita memahami sastera asing melalui bahasa ibunda yang kita fahami, iaitu bahas Melayu.

Sebuah antologi karya yang sarat dengan pelbagai bentuk sastera seperti kisah dongeng, cerpen, puisi, teka teki dan peribahasa daripada penulis sastera Rusia. Lontaran idea dan bentuk penulisan yang pelbagai ini menyediakan kerencaman nada menjadikan Mawar Mas sebuah antologi yang harus diterokai.

Mawar Emas: Bunga Rampai Sastera Rusia
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Penyelenggara dan Penterjemah: Victor Pogadaev
Tahun Terbitan: 2009
No ISBN: 978-983-068-350-8
Jumlah Halaman: 282 Muka Surat
Harga:RM25.00/30.00

Dapatkan Naskah ini di MPH Midvalley, MPH Alamanda serta cawangannya atau di kedai buku ITNM. Untuk Sebarang pertanyaan sila dail 03 41497210.

28 November, 2009

Salam Aidiladha

Selamat menyambut aidiladha kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Walaupun ini adalah hari raya yang kedua Raya Korban masih belum terlambat untuk mengucapkan itu kepada semua saudara seugamaku. Seramai 2.5 juta umat Islam telah selamat menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun ini. Pada tahun ini kejadian banjir telah melanda Jeddah dan telah mengorbankan 77 jiwa sementara 900 orang terselamat daripada pusaran banjir. Walau bagaimanapun tiada rakyat Malaysia yang terkorban.

Sesungguhnya perjalanan menyambut perayaan ini amatlah besar pengorbanannya bagi yang bermusafir dan yang bekerja diluar dari kampung halaman. Apatah lagi dengan suasana musim tengkujuh ini dan banjir yang melanda di sesetengah negeri membuatkan anak watan berfikir banyak kali untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Perjalananku sendiri dua hari yang lepas mengambil masa 12 jam bermula dari jam 6.30 pagi melalui Gua Musang. Di sesetengah tempat perjalanan terhenti tanpa bergerak hingga hampir 20 minit. Terima Kasih teman (Zani) yang menumpangkan aku untuk pulang berhari raya di kampung. Tanpamu mungkin aku berhari raya sendirian di Pangsapuriku kerana pembatalan rancangan di saat-saat akhir oleh adindaku Akram kerana keadaan kesihatannya sekeluarga.

Walau bagaimanapun itulah yang dinamakan takdir dan rezeki ketentuan dari Allah S.W.T. Alhamdulillah di atas kurniaanMu. Aku reda dan sentiasa bersyukur. Perjalanan itu juga merekodkan tiada kemalangan maut dijumpai walaupun beberapa sisa kemalangan adalah perkara lumrah dalam setiap musim perayaan.

Semoga mereka yang pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing selamat dalam perjalanan pergi dan balik. Cergaskan minda dan terangkan mata dan hati dan sentiasalah berwaspada ketika memandu. Selamat pulang dengan selamat.

Semoga adinda Dwan sekeluarga selamat pulang ke Seremban hari ini. Terima kasih ke Adinda Affan dan Khalilah kerana meminjamkan Broadband ini untuk aku membuat kemaskini. Terima Kasih juga kepada kekanda Zailani kerana bawakan Sup Kasut Lembu buatku dan adinda-adinda semua. Sedap!

23 November, 2009

Puisi - Mantan Kekasihku


mantan kekasihku
kau sudah hilang hak terhadap diri ini
lantaran tegar mu
menyarungkan sayap kejammu
di belantara silaturahim kita
saat aku melihat matamu bukanlah pejam ketika itu
nyata menyakinkan aku
kau bukanlah lena
dalam takdir yang terjadi

mendung itupun menutup kewarasanmu membutakan pandanganmu
lalu mengunci hatimu dalam-dalam
agar terbinalah sempadan egois
sekali kali kau tidak menghindarinya

lalu terdengarlah kau melagukan sendu
di ruangan yang kau sendiri terarah ke dalamnya
tatkala suara angin bernada lembut
semuanya menjadi longlai
dan aku menangisimu di sebalik dinding ini
tanpa sedikitpun kedengaran isakan itu

debu-debu yang berterbangan di ruang yang terkurung
perlahan-lahan jatuh melapisi permukaan
kehidupan yang menjadi naungan kita
lapis demi lapis menebal
akhirnya kekal menjadi kerak yang sebati
kerana lenamu yang bertindak
untuk menafikannya

di akhiran sebuah catan yang tersempurna
kita berdiri melihat artifak itu
dan sama-sama terpaku
melagukan sendu
tetapi ia adalah lagu sendumu
yang kau sendiri ciptakannya
dalam waktu yang amat singkat

Enche's
April 2009

21 November, 2009

Pertemuan Penyair Nusantara Ke-3

Ketika berakhirnya acara penghargaan ASWARA kepada Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan malam tadi di ASWARA saya ingin merasa amat lega sekali kerana minggu ini terasa mat padat sekali dengan jadual mengikuti seminar di luar ITNM. Pulang dari UKM 2 hari yang lepas dan malam tadi ke ASWARA pula mewakilkan ITNM ke majlis itu. Ada seorang teman yang saya kenali di UKM sewaktu seminar SAKM X menyapa dan menanyakan kepada saya sama ada saya akan turut serta ke Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 di DBP esok. Saya cuma mengeleng kepala kerana saya tidak didaftarkan untuk majlis itu.

Tapi ternyata ngelengan saya itu tidak selari dengan apa yang tercuit di dalam hati saya yang mahukan saya menjengah ke majlis yang dirasakan sinomim dengan kecenderungan saya menghasilkan puisi-puisi pada contengan kertas mahupun di blog-blog saya.

Dan pagi ini dek kerana tidak lena tidur saya ingin membatalkan rasa bersalah itu dengan persiapan menuju ke DBP. Siber memang banyak membantu saya mendapatkan maklumat mengenai majlis ini. Saya mendaftarkan diri secara individu walaupun selalu tersasul memperkenalkan diri dari Institusi saya.

Intipati dari kunjungan ke majlis itu dan seminar di UKM saya menyedari satu hakikat yang sangat serius melanda Bangsa Melayu di Malaysia ialah sikap sambil lewa mereka terhadap bahasa ibunda mereka sendiri. Di UKM seorang pembentang dari Thailand Tara Shintaro yang fasih berbahasa Melayu menceritakan senario penghakisan bahasa Melayu di Selatan Thailand. Bahasa Melayu baku telah digantikan dengan loghat daerah dan menggunakan bahasa Thai dan tidak lagi ejaan rumi. Maka beliau nampak jika orang-orang siam jika mahu belajar bahasa Melayu dengan betul haruslah datang ke Malaysia. Malang sekali di sini orang-orang kita lebih merasa sempurna dengan berbahasa Inggeris jika berkomunikasi! Jelek sekali keadaan itu.

Dr. Rahmat Haron Hashim pula mengatakan orang-orang Melayu malu untuk berbahasa Melayu di buminya sendiri dengan itu kita sudah melihat beberapa nama bank yang bunyinya Melayu telah menjadi Inggeris seperti AGRO Bank manakala istilah public phone lebih popular berbanding dari pondok telefon, sindrom ini sudah merebak dan dirasakan tidak janggal lagi.

Dalam Ucaptama oleh Prof Dr. Muhammad Haji Salleh hari ini dalam Pertemuan Penyair Nusantara isu sama semalam yang belum dapat diselesaikan sekali lagi dilontarkan dan membuatkan saya benar-benar merasa bahawa bahawa Bahasa Melayu benar-benar kian diancam oleh anak bangsanya sendiri. Memang benar katanya bahawa tidak ada bahasa yang dijajah kecuali bangsa yang dijajah. Walaupun kita telah merdeka tetapi hakikatnya fikiran kita masih lagi dijajah.

Orang asing sanggup belajar bahasa Melayu kerana akan datang berurusan di Malaysia tetapi mereka tiba dan pulang tanpa menggunakan bahasa yang mereka pelajari itu. Alangkah ruginya semua itu! Bukanlah tidak boleh berbahasa Inggeris tetapi harus ada pada tempatnya. Penggunaan seperti so, on the way, at least adalah penggunaan lazim yang bertujuan untuk mencapai standard bahasa rojak yang mungkin tinggi bagi mereka.

Kita disogokkan dengan budaya iklan di televisyen dan sehingga kita menjadi bangsa pengguna dan bukannya bangsa yang mencipta kemajuan. Akhirnya orang Melayu menjadi consum yang konyol dan mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang diiklan. Kegilaan untuk membeli belah membuatkan masyrakat tiada masa untuk membaca, berfikir atau keluar mencari hiburan (menonton teater).

Di antara perkara yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh semua penyair yang hadir pada hari ini ialah cabaran Sasterwan Negara Prof Dr. Muhammad Haji Salleh kepada mereka termasuk diri saya sendiri ialah supaya menulis dengan bahasa yang terbaik dan jangan mudah berpuashati. Kekuatan atau kelebihan penyair ialah mereka boleh memperbaharui bahasa tetapi ini tidak dapat dilakukan oleh novelis. Kerana penyair menggunakan perkataan yang minumum dalam karya mereka.

Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh juga menasihatkan penyair agar dapat mengingati 20-30 kata-kata hikmat agar ial tidak hilang dalam persuratan Melayu. Bangsa yang besar mesti ada sastera yang besar oleh itu beliau menyeru penyair menghasilkan sajak yang panjang cuma dalam satu tema sahaja dan elakkan menceritakan diri sahaja dan harus ada tujuan yang besar. Begitulah besarnya harapan beliau kepada penyair!

20 November, 2009

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu X- UKM

Pada 18 dan 19 November iaitu dua hari yang lepas telah berlangsung Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu ke-X di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam Seminar yang telah berlangsung dengan lancar itu beberapa negara telah menghantar pembentang-pembentang kertas kerja seperti dari Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei dan Malaysia sendiri. Sebanyak 25 kertas kerja telah dibentangkan berpaksikan pada tajuk Kesusasteraan Melayu Dalam Rentas-Ilmu dan ia dibentangkan dalam aspek bidang yang mengkhusus:
  • Sastera Agama
  • Sastera Sejarah
  • Sastera Kreativiti
  • Sastera Pendidikan
  • Sastera Sains Sosial Sastera Seni Persembahan

ITNM diwakili oleh Puan Siti Rafiah Sulaiman Ketua Jabatan Terjemahan bagi pihak Pengarah Urusan ITNM Encik Mohd Khair Ngadiron (yang sedang menunaikan rukun Islam ke-5) telah membentangkan kertas kerja bertajuk Penterjemahan Karya Sastera Kebangsaan ke Bahasa Asing.

Sangat banyak isu-isu yang disentuh dalam pembentangan ini dan ia sangat baik untuk pembentukan sastera yang lebih kreatif, murni, dinamis dan bermutu untuk pembentukan sahsiah generasi akan datang. Ini kerana sumbangan sastera sebenarnya amat besar kerana selain memacu pembentukan rohaniah yang lebih baik atau jati diri bangsa ia juga lebih jauh akan mendasari corak pandangan dan pemikiran rakyat sesebuah negara supaya lebih kritis terhadap sesuatu perkara dan bukan sekadar menjadi bacaan mengisi waktu yang terluang. Sastera dan kehidupan adalah dua perkara yang saling mempengaruhi.

Sekalung tahniah kepada penganjur Seminar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, DBP dan juga PENA (tidak ketinggalan Dr. Mawar Shafei yang telah berusaha keras saya nampak untuk merealisasikan seminar ini).

Maaflah ya kerana itu blog wwwenche.blogspot.com. ini tidak dikemaskini kerana kesuntukan waktu. 8.30-5.30 perjalanan sesi dan persiapan perjalanan ke Bangi harus dibuat lebih awal dari itu.

15 November, 2009

Kempen Kesedaran KWSP

Begitulah tajuk Buletin Utama TV3 ketika aku sedang menyiapkan Entry Kanvas Kehidupan. Menurut berita itu hanya 23% pencarum yang telah menamakan pewaris yang berhak menuntut wang caruman pencarum sekiranya berlaku kematian. Keadaan akan menjadi rumit jika pencarum meninggal dunia dan ada tuntutan dari waris pencarum. Mereka terpaksa membawa pelbagai dokumen bagi menyokong tuntutan mereka dan mungkin akan masa yang panjang untuk selesai.

Aku sendirian terkulat-kulat di hadapan TV dan cuba mengingatkan sama ada aku telah menamakan pewarisku di KWSP ataupun belum. Untuk anda yang belum menamakan pewaris bolehlah memuatturunkan borang ini di laman sesawang KWSP http://www.kwsp.gov.my/ melengkapkannya serta menghantarkan ke pejabat KWSP yang terdekat.

Selamat berangkat dan menunaikan fardu haji kepada Pengarah Urusan ITNM En. Mohd Khair Ngadiron semoga dikurniakan haji mabrur.

Kanvas Kehidupan-Sudah Jatuh di Timpa Tangga

Pagi itu aku menerima panggilan telefon dari kawan yang jarang menelefonku. Memang suspen menerima panggilan telefon di pagi hari. Aku hanya membuat penggilan telefon di pagi hari jika ada hal-hal yang benar-benar mustahak kerana waktu awal pagi selalunya mereka yang bekerja akan sibuk dengan persediaan untuk pergi kerja, memulakan pekerjaan atau mengambil sarapan pagi.

Seperti yang aku duga panggilan itu memang panggilan yang mencemaskan aku. Bee memberitahuku sahabat kami - Madi terlibat dalam kemalangan. Aku menggigil mengenangkan berita mendung di awal pagi itu. Lalu aku terus-terusan menyoal Bee bagaimana keadaan Madi selepas itu dan di mana ianya terjadi tetapi Bee kata diapun cuma dapat penggilan telefon dari Kasman kawan serumah Madi. Diapun tidak tahu lebih lanjut apa yang sedang berlaku pada Madi. Sebelum memutuskan talian Bee berpesan kepadaku jika aku ingin menziarahi Madi jangan lupa memberitahunya kerana dia ingin bersamaku.

Aku mengiyakan sahaja permintaan Bee. Apabila petang menjelma berkali-kali aku cuba menghubungi Bee tapi dia tidak mengangkat telefonnya. Barangkali Bee sibuk dan menyambung tugasnya mengajar pula di waktu malam. Itulah Bee yang aku kenali pasti rutin itu masih belum berubah selagi dia masih bekerja di situ.

Setelah berputus asa gagal menghubungi Bee akupun meneruskan hajatku untuk menziarahi Madi. walaupun jam sudah menunjukkan tepat 7.30 malam. Sudah lewat benar untuk aku terus menunggu Bee. Hujan renyai-renyai sejak petang tadi di luar pejabatku yang terletak di Wangsa Maju, Seksyen 10.

Aku terus memandu menuju ke sebuah hospital yang terletak di Taman Melawati kerana menurut Bee Madi dimasukkan ke situ selepas kemalangan. Tiba di hospital itu aku bingung sebentar kerana aku harus mengetahui nama Madi yang sebenarnya sebelum bertanya pengawai perubatan di situ. Aduh aku cuma tahu nama samarannya sahaja. Terpaksalah aku menelefon Zam bekas teman serumahnya untuk mengetahui nama sebenar Madi. Aku juga melalui nasib yang sama seperti Bee apabila Zam bertanyakan soalan yang sama aku tanyakan pada Bee pagi tadi.

Selepas mendapat nama sebenar Madi akupun terus ke tingkat 2 Hospital berkenaan. Wajah pegawai itu seperti kurang pasti sahaja apabila aku menyebut pesakit bernama Madi dimasukkan ke situ. Di tingkat 2 aku dapati memang tiada pesakit bernama Madi di situ! Pegawai di Tingkat 2 kelihatan sibuk mencari maklumat senarai pesakit yang dimasukkan ke situ sejak dari pagi.

Setelah diselidiki Madi memang dirawat di situ awal pagi tetapi selesai menerima rawatan Madi tidak dimasukkan ke situ. Dan mereka tidak pasti Madi dibawa ke mana selepas itu. Tinggallah aku dalam kebingungan di saat itu. Hendak aku menelefon Madi aku bimbang Madi dalam kesakitan dan akan menyusahkannya. Tetapi aku tiada pilihan lain selain menelefonnya sendiri.

Bersambung...

13 November, 2009

Dari Komuniti Alumni ESQ- Api dari Neraka ke Dunia

Sebagai Renungan: Diriwayatkan bahawa Rasululallah pernah menceritakan betapa asalnya kejadian api di dunia ini. Setelah nabi adam dihantar ke dunia kerana kesalahanya memakan buah larangan maka Allah swt telah memerintahkan Jibril as supaya mengambil api dari neraka untuk dihantar ke dunia untuk kegunaan Nabi Adam as. Maka jibril as pun diperintahkan untuk meminta api tersebut daripada malaikat penjaga api neraka iaitu Zabaniah.

Jibril: wahai Zabaniah, aku diperintah untuk mengambil sedikit api neraka untuk dihantar ke dunia bagi kegunaan adam as.

Zabaniah: sebanyak mana sedikit itu ?

Jibril: sebesar kurma...

Zabaniah: kalau sebesar buah kurma api neraka itu engkau bawa nescaya akan cairlah tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi akibat kepanasanya.

Jibril: kalau begitu berilah aku sebesar separuh dari buah kurma...

Zabaniah: kalau sebesar separuh buah kurma api neraka ini engkau letakan di dunia nescaya tidak akan turun walaupun setitik hujan dari langit dan tidak ada suatu pun tumbuhan akan tumbuh di bumi nanti..

Memandangkan keadaan yang rumit ini maka Jibril a.s. pun menghadap Allah untuk mendapatkan saiz yang perlu dihantar ke dunia. Allah swt pun memerintahkan supaya Jibril mengambil sebesar ZARAH sahaja dari api neraka untuk dibawa ke dunia. Maka Jibril as pun mengambil api neraka sebesar zarah dari Zabaniah tetapi oleh kerana kepanasan yang keterlaluan api neraka sebesar zarah itu terpaksa disejukan dengan mencelupnya sebanyak 70 kali ke dalam sungai di syurga dan sabanyak 70 buah sungai. = 70 x 70

Selepas itu Jibril as pun membawa api itu turun ke dunia dan diletakan di atas sebuah bukit yang tinggi, tetapi sejurus setelah diletakan tiba-tiba bukit itu terus meleleh cair maka cepat-cepat jibril mengambil semula api tersebut dan dihantar semula ke neraka.

Hanya sisa-sisanya sajalah yang terdapat di dunia ini seperti api yang sering kita gunakan untuk berbagai keperluan dan juga api yang terdapat di gunung berapi dan lain lain lagi.

PENGAJARAN: Bayangkanlah kepanasan api neraka yang sebesar zarah yang terpaksa disejukan dalam 70 buah sungai dengan sebanyak 70 celup setiap sungai dan hanya sisanya saja itupun manusia tidak dapat bertahan akan kepanasanya bagaimana dengan api di neraka itu sendiri. SEBESAR ZARAH SAHAJA.

11 November, 2009

Jom Baca Buku - Gadis Oren

Gadis Oren
Appelsinpiken
Gadis Oren merupakan sebuah novel terjemahan Applesinpiken. Sebuah lagi buah tangan penulis yang telah menulis novel falsafah Sophie’s World dan telah diterjemahkan oleh ITNM berjudul Dunia Sophie Ianya mengenai kisah Georg Roed yang telah kematian ayahnya sebelas tahun yang lalu. Dia mengimbau kembali kenangan lama bersama ayahnya di rumah keluarganya di Hemleveien, Oslo. Sepucuk surat yang ditujukan kepadanya dijumpai di bawah pelapik kereta sorong lama. Namun surat itu lebih banyak menceritakan tentang seorang gadis cantik yang penuh misteri, si Gadis Oren.

Gadis Oren
Appelsinpiken
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Pengarang: Jostein Gaarder
Tahun Terbitan: 2009
No ISBN: 978-983-068-399-7
Jumlah Halaman: 178 Muka Surat
Harga: RM20.00/25.00

Anda boleh mendapatkan buku ini di ITNM atau MPH Midvalley atau Alamanda Putrajaya. Atau jika ada sebarang soalan mengenainya telefon 03-41497210.

10 November, 2009

Kanvas Kehidupan - Dia Nak Kahwin Rakan Internet 2

Barangkali dia masih ingat nasihatku supaya jangan terpedaya dengan pujuk rayu lelaki luar negara yang baru dikenali itu jika mengajaknya berkahwin di luar negara. Tetapi temanku itu bukan calang-calang orang. Dia berjawatan tinggi ke tempat kerjanya. Masakan dia bisa terpedaya. Aku sekadar mengingatkannya kerana cinta itu buta. Kerana cinta manusia boleh bertindak di luar kebiasaan.

Sudah lebih seminggu aku meninggalkan episod pertama drama ini. Hari itu aku tergerak untuk mengetahui sambungan ceritanya. Lalu aku menelefonnya. Diapun seperti sudah mengetahui tujuan aku menelefonnya tidak sabar-sabar lagi ingin bercerita. Aku membiarkan sahaja keinginannya itu.

Katanya lelaki itu sudah tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pagi itu tetapi dia di tahan di sana kerana kesalahan membawa wang tunai pada jumlah yang dibenarkan. Aku mengeleng kepala masakan bodoh sangat seorang yang dikatakan senior yang bekerja di syarikat minyak luar negara tidak mengetahui atau sekurang-kurangnya menyelidiki peraturan yang perlu dilalui untuk keluar masuk negara. Peraturan seperti itu selalu dipampang di lapangan terbang di mana-mana di seluruh negara.

Sudah banyak kes tangkapan dibuat dalam perkara ini dan ia selalu di siarkan di media dalam dan luar negara. Takkan itu tidak dijadikan pandauan oleh sesiapa yang membacanya. Aku pula yang membebel kepada dia yang tiba-tiba terhenti mendengar bebelanku. Diapun bersetuju denganku.

Lantas aku bertanya kepadanya apakah plot cerita yang diaturkan lelaki luar negara itu kepadanya. Temanku terus menyambung, katanya pihak berkuasa di sini mahukan wang sogokan sebanyak RM12,000.00 dan dia mahu temanku menghantarkan wang itu ke sana agar dengan adanya wang itu dia dapat dibebaskan. Lalu tanyaku lagi untuk mengetahui tindakan selanjutnya.

"I cakap kat dia You settlekan sendiri masalah You tanpa melibatkan I then kalau sudah selesai baru telefon I." Balas temanku dan dia memutuskan talian telefon. Mahu sahaja aku memberikan tepukan gemuruh atas tindakan bijaknya itu. Memang itu jawapan dan tindakan yang paling bijak dan kemuncak kepada kisah cinta siber ini.

Dengan jawapan itu sudah jelas teka teki yang bermain di fikiran temanku tentang keikhlasan lelaki itu. Ia adalah drama cinta yang stereotype penipuan lelaki luar negara di alam siber memperdayakan wanita. Kisah ini tiba-tiba melintasi sendiri di hadapan kita dan nyata ia bukan dongeng wartawan, akhbar atau majalah. Ia adalah kisah benar.
Aku meletakkan telefon sambil membayangkan lelaki itu tentu sudah menaiki pesawat untuk kembali ke negara asalnya dengan pelaburan tambang yang tidak berbaloi atau entahkan dia sudah kembali ke rumah tumpangnya di Damansara atau di Cyberjaya atau mungkin juga di Bukit Antarabangsa dari KLIA!

08 November, 2009

Pelancaran buku Musibah Gempa Padang


Menteri Wilayah Persekutuan, Y.B. Senator Dato' Raja Nong Chik bin Dato' Raja Zainal Abidin ketika melancarkan Antologi Buku Musibah Gempa Padang

7 November 2009 (Sabtu) bertempat di Masjid Abdul Rahman 'Auf, KM 5.5 Jalan Puchong Kuala Lumpur sebuah Antologi Puisi Penyair Nusantara Musibah Penyair Nusantara telah dilancarkan dengan sempurnanya oleh Menteri Wilayah Persekutuan Y.B. Senator Dato' Raja Nong Chik bin Dato' Raja Zainal Abidin.

Buat pertama kalinya dalam sejarah persuratan sebuah antologi puisi dari penyair nusantara dibukukan. Puisi-puisi ini dikumpulkan dua minggu setelah penyelenggaranya membuat pengumuman di laman Facebooknya mengenai usaha ingin melaksanakan usaha amal melalui antologi puisi dan mendermakan jualan buku ini kepada mangsa gempa di Padang, Indonesia. Antologi ini dijual dengan harga RM20.00 senaskhah.

Usaha ini mendapat kerjasama dari pihak Masjid Abdul Rahman 'Auf. Hadir sama memeriahkan majlis ini dengan bacaan puisi ialah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. Sekalung tahniah kepada penyelenggara antologi Dato' Dr. Haji Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) yang berusaha keras merealisasikan usaha murni ini. Semoga diberkati Allah. Amin

07 November, 2009

Puisi-Di Hamparan yang Musnah

(Khas buat saudara-saudaraku yang ditimpa musibah Padang Indonesia)



di tanah yang subur itu
mengalir kehidupan lunak
amannya melata namun sementara
di dakapan masa rapuh yang tersimpuh
manusia terjebak dengan rasa selesa
lalu waspada yang tersimpanpun menghilang

di rambang kenikmatan yang singkat usianya
ketika ia melimpah di mana-mana
tiba-tiba menjelma nyata sebuah mimpi ngeri

memadam rasa sempurna diri manusia yang bergelar khalifah
kala september tiga puluh kosong sembilan

gegar goncang itu
meranapkan ceria menumbangkan alpa
meratakan darjat memadamkan sengketa
memanggil duka melumpuhkan suara
memusnahkan jurang dan menghancurkan cinta
air mata kini lesu untuk mengalir

jemari tidak lagi bisa membelai ratusan kekasih yang pergi
jemari juga tidak bisa lagi melambai kesementaraan yang berlalu
dadapun menyarat luka ketika hati dimamah duka

pada sinarmu mentari kebesaranNya menjelma
dan dilangit yang kudus kalimahNya bersuara
menuntut sujud keampunanNya
yang sekali sekala menyapa
saudaraku kamu dicintaiNya
kerana itu inilah bahagianmu yang sementara

di hamparan yang musnah
adalah kecewa, adalah tangis,
adalah runtuhan adalah kemusnahan,
adalah perpisahan, adalah kematian,
adalah sesal, adalah persoalan,
adalah keajaiban, adalah kebuntuan
adalah keinsafan adalah harapan
adalah ketentuan adalah ujian
dan adalah cintaNya kepada kamu
serta kita yang menyedarinya

Enche
7 November 2009


Gambar dipinjam dari laman blog ruanghati.com

04 November, 2009

Jom Baca Buku - The Epic of Hang Tuah

The Epic of Hang Tuah
Hikayat Hang Tuah

This work which was authored between 1641 and 1739 is the only Malay epic which represents the Malay race itself in its aspirations, ability and attitudes towards life during a decisively significant period of time. Hang Tuah epitomized the uniqueness of the Malay race as a cultured and civilized people by demonstrating the self-esteem, courage, astuteness and fine manners of the Malay people, which gained respect and acknowledgement from foreign peoples and governments who were among the early sources of contact with the Malay civilization before the Portuguese invasion of Malacca. The author ends his work on a spirited and enduring note which has left an indelible mark in Malay minds until today: “The Malays will never vanish from this world.”

The Epic of Hang Tuah
Hikayat Hang Tuah

Translator: Muhammad Haji Salleh
Publisher: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Year of Publication: 2009
ISBN:978-983-068-330-0
No of Pages: 662 pages
Prices: RM250.00

New Release! The Epic of Hang Tuah, for the first time ever from the Malay great works series Hikayat Hang Tuah has been translated into English. To be in the market soon.

Kanvas Kehidupan - Nak Kahwin Rakan Internet

Lama tak jumpa dia. Hari itu aku dah tak mahu menunggu lama lagi. Aku mesti jumpa dia. Mungkin banyak cerita menarik darinya.

Seperti biasa lokasi perjumpaan petang itu tidak jauh dari pejabatnya. Dan petang itu dia tiba lewat sedikit kerana menyelesaikan tugas yang muncul tiba-tiba. Aku mengelak soalan mengenai kerjayanya kerana dia selalu kelihatan bosan untuk menjawabnya.

Lalu aku mengaju soalan yang dia selalu tertawa sambil menjawabnya. Iaitu mengenai mengenai jodoh. Sudahkah dia menemui teman istimewa? Memang benar dia memulakan dengan senyuman dan kemudian menceritakan dia sudah menemui teman istimewanya. Dia akan berkahwin tidak lama lagi, berhenti kerja, balik ke kampung halamannya dan memulakan kerjaya baru.

Aku hilang kata-kata seketika. Sepantas itu aku akan kehilangan kawan. Lalu keinginan untuk mengetahui bagaimana ianya terjadi dengan begitu pantas seperti dia menemui seorang hartawan! Lalu dia menceritakan perkenalan dengan pemuda ilusi di alam siber.

Kisah seorang pemuda dari luar negara yang sangat sabar menunggu itu dibongkarkan olehnya satu persatu. Sangat baik jalan ceritanya. Pemuda itu sanggup meninggalkan pekerjaan dan berhijrah ke Malaysia. Menukar agamanya dan sekaligus hidup bersama memulakan yang segala-galanya baru di sini.
Apa yang membuatkan aku terbeliak mata apabila dia menceritakan perihal lelaki itu yang sudah menghitung-hitung berapa banyak wang yang harus dibawanya ke sini untuk majlis perkahwinan, membeli rumah mewah di sini dan memulakan perniagaan baru. Lalu teman itu termangu-mangu memikirkan dan bertanyakan pendapatku perniagaan apa yang sesuai.

Apa yang lebih memeranjatkan cerita teman itu ialah pelan asal lelaki luar negara itu ialah pada penghujung tahun ia akan datang ke Malaysia membawa cerita barunya itu kini diubah ke minggu hadapan kerana ia dapat membereskan masalahnya lebih awal dari yang dirancangkan.

Episod pertama itu tamat kerana masa yang bergerak terlalu pantas dan malam datang tanpa diundang. Aku tidak sabar menunggu episod kedua drama siber yang terhenti tanpa iklan itu.

02 November, 2009

Katalog Frankfurt 2009



Inilah katalog Frankfurt yang diusahakan oleh Insitut Terjemahan Negara Malaysia Berhad yang telah dibawa ke Pesta Buku Frankfurt 2009. Di dalamnya terdapat maklumat mengenai buku-buku yang bertemakan Malaysiana dan Sastera dari penerbit-penerbit tempatan berbahasa Inggeris.

Secara keseluruhannya pembikinan dan pengumpulan bahan-bahan ini mengambil hampir 10 bulan. ITNM menawarkan kepada semua penerbit di Malaysia untuk memasukkan buku terbitan mereka ke dalam katalog yang bakal diterbitkan dan membantu mempromosikan buku-buku ini ketika di Jerman.

Bermula pada tahun ini ITNM telah diberi kepercayaan oleh Majlis Buku Kebangsaan sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL) untuk mengendalikan bilik 'Rights Trade Centre' oleh yang demikian ketika PBAKL berlangsung sebuah katalog telah diterbitkan dan ia merupakan fasa pertama pengumpulan bahan katalog untuk Katalog Frankfurt.

Katalog yang sangat unit ini terbahagi kepada 6 segmen. Segmen 1 : mengandungi poskad yang memaparkan visual ilham dari buku-buku yang terkandung dalam katalog ini. Segmen 2 : mengandungi maklumat mengenai organisasi terlibat dan penaja serta pelan. Segmen 3 : Buku Kanak-kanak (4 siri). Segmen 4 : Buku undang-undang (13 Judul). Segmen 5 : Buku Umum (29 Judul) dan segmen 6 : Buku Sastera (55 Judul).

Jika pada tahun 2008 Buku Lat The Kampong Boy telah diperkenalkan sebagai tarikan utama dan mendapat perhatian pihak luar negara kini tibalah masa Hikayat Hang Tuah atau The Epic of Hang Tuah diperkenalkan pula kepada khalayak antarabangsa. The Epic of Hang Tuah telah melalui proses yang sangat teliti untuk menerbitkannya sesuai dengan nilai yang ada pada hikayat itu. Fizikal buku ini sangat mengkagumkan kerana ia dihasilkan dengan rupa klasik dan tidak keterlaluan untuk mengatakan buku ini sangat istimewa untuk dimiliki dan ditempatkan di seluruh perpustakaan.

Nantikan dalam ruangan Jom baca buku mengenai buku The Epic of Hang Tuah ini.

29 October, 2009

Hang Tuah lebih gagah daripada Superman!


"Pada pandangan saya, Hang Tuah lebih gagah daripada Superman.
Hang Tuah bukan sahaja berkelebihan dari sudut kekuatan fizikal dan nilai intelektual, tetapi beliau juga boleh menguasai 12 bahasa.
Penonjolan wira Barat hanyalah pada kekuatan fizikal, sebaliknya penonjolan wira kita merangkumi kekuatan fizikal, spritual dan Intelektual."


Dewan Bahasa, Ogos 2009 baca di sini.
Gambar Bersilat 3 cuma hiasan. Amron adalah pelukis kegemaran saya. Beliau merupakan (senior saya) graduan ITM dalam bidang seni halus kini dikenali sebagai UiTM.

Jom Baca Buku - Dari Jendela Zaman Ini/From The Window of This Epoch


Dari Jendela Zaman Ini
Antologi Puisi Malaysia & Singapura
From The Window of This Epoch
An Anthology of Malaysian & Singaporean Poems

Dari Jendela Zaman Ini merupakan sebuah antologi puisi dwibahasa yang menghimpunkan 100 buah puisi daripada 73 orang penyair Malaysia dan Singapura. Antologi ini bertemakan ‘persahabatan dan kemanusiaan’ dan memperlihatkan suara penyair dalam mengungkapkan rasa resah gelisah, suara amaran dan protes terhadap kemelut kehidupan masyarakat yang diasak arus gelombang kemodenan global.

Antologi ini turut mengungkapkan fikiran dan pandangan para penyair kedua-dua negara terhadap peristiwa yang sedang berlaku dalam tanggapan peribadi yang puitis.
Antologi puisi Malaysia-Singapura ini diharap akan dapat lebih mengakrabkan ukhwah dan perhubungan antara seniman kedua-dua negara.

Dari Jendela Zaman Ini is a bilingual anthology of 100 poems by 73 Malaysian and Singaporean poets. The theme of this anthology is 'friendship and humanity', with an underlying theme of anxiety, with warnings, of a societal crisis in the wake of globalisation, and a commentary on current events in both countries.

This Malaysian-Singaporean anthology sets out to foster closer ties between the poets of the two countries.

Dari Jendela Zaman Ini
Antologi Puisi Malaysia & Singapura
From The Window of This Epoch
An Anthology of Malaysian & Singaporean Poems

Penerbit:
Institut Terjemahan Negara Malaysia & National Arts Council Singapore
Penulis: Penyair-penyair dari Malaysia & Singapura
Tahun Perbitan: 2009
ISBN: 978 963 068 480-2
Jumlah muka surat : 470 halaman
Harga: RM40.00 @ $16.00

Buku ini telah dilancarkan pada 26 Oktober 2009 di The Arts House, Singapura oleh Dato' Dr Puad Zarkashi Mewakili Timbalan Perdana Menteri. Seperti biasa anda boleh mendapatkan buku ini di MPH atau hadir ke ITNM atau menelefon di nombor 03-41497210.

25 October, 2009

Indahnya Pantun-Pantun Majlis Bertunang

Lama sungguh tidak mengisi ruangan ini dengan apa-apa post walhal apabila saya melihat kepada data pengunjung dan carian inilah topik yang paling hangat dibuat oleh pengunjung atau carian google. Bukan kerana tidak mempunyai bahan tetapi saya dihambat oleh waktu dan tugas-tugas yang wajib.

Alangkah baiknya jika 24 jam sehari itu ditambah menjadi 28 jam atau 32 jam sehari. Tetapi kita harus ingat bahawa kejadian Allah itu memang sudah sempurna semuanya. Cuma kita yang harus bersyukur dan tahu bagaimana hendak mengguna atau mengisinya.

Minggu lepas peti mel saya didatangi oleh sebuah emel dari pengunjung blog yang meminta bantuan saya menyediakan pantun untuk majlis hari pertunangannya. Saya pasti dia telah membuat carian di internet dan tidak menemui pantun yang sesuai untuknya. Lalu terbayang di kepala saya alangkah baiknya jika saya dapat menyediakan satu blog yang dapat menyediakan pantun-pantun yang sesuai untuk semua majlis dan dijadikan rujukan.

Sayang sekali waktu yang dihubungi oleh Sufian (pengunjung blos saya) adalah terlalu singkat dan saya tidak ada banyak waktu untuk menggubah pantun untuknya. Beliau sanggup memberikan nombor telefon untuk dihubungi. Tetapi saya cuma membalas emelnya sahaja dan mengirimkan pantun yang dikehendaki sekadar yang termampu oleh saya.

Namun walaupun ia kelihatan ringkas tetapi telah membutuhkan waktu, kosentrasi dan komitmen saya sewaktu membuat carian, mengarang serta mengubahsuai pantun tersebut. Alhamdulillah semuanya telah berlalu dan saya mengucapkan selamat bertunang dan saya doakan anda berdua berjaya hingga ke jinjang pelamin. Jagalah adab bertunang supaya bertambah kasih dan sayang dan tiada halangan yang menimpa serta cepat menjadi nyata.

Di bawah ini saya perturunkan pantun yang mungkin boleh digunakan oleh peminat pantun. Pohon dimaklumkan kepada saya pinjaman pantun dari ruangan ini.

Perahu kolek ke hilir tanjung,
Sarat bermuat tali temali.
Salam tersusun sirih junjung,
Apa hajat sampai ke mari?
KP

Sudah lama langsatnya condong ,
Barulah kini batangnya rebah.
Sudah lama niat dikandung,
Baru sekarang diizinkan Allah.
KP

Malam-malam pasang pelita,
Pelita dipasang atas peti.
Kalau sudah bagai dikata,
Sila terangkan hajat di hati.
KP

Singgah berenang di persiraman,
Mayang terendam di dalam tasik.
Kumbang merindu bunga di taman,
Bintang merindu Cenderawasih
. KP

Ikan sepat di dalam sampan,
Orang membawa ke pinggir kota.
Besar hajat tuan menyimpan,
Baiklah nyata di dalam kata.
EAAB

Panjat- panjat si pohon ara,
Nampak cantik di tepi laman.
Besarnya hajat tidak terkira,
Hendak memetik bunga di taman.
EAAB +KP

Senyum menguntum memakai kebaya,
Gadis sunti menjual kalungan.
Bunga nan sekuntum belum berpunya,
Menjadi penyeri di taman larangan.
EAAB

Dari sumbu terbit apinya,
menjadi asap dan juga jelaga.
Jika begitu akan adanya,
Izinkan kita memetik menjaga.
EAAB

Baik-baik kalau berhuma,
Jangan sampai lalang sepekan,
Hajat yang baik kami terima,
Dalam adat kami serahkan.
EAAB

Kalau gugur buah setandan,
Sampai ke tanah baru tergolek,
Kami bersyukur kepada tuhan,
Datang kami disambut baik.
KP

Selamat bertunang Salwa & Sufian dari saya. Terima Kasih kerana sudi menjemput saya ke majlis tetapi pohon maaf tidak dapat menghadiri kerana sudah ada program. Catatan: KP= Koleksi Pantun PTS, EAAB=Koleksi Pantun Enche Abdullah

24 October, 2009

Mengapa The Epic of Hang Tuah dilancarkan di Frankfurt?

Mohd Khair Ngadiron Pengarah Urusan ITNM

"Salam, News about launching Hang Tuah di Frankfurt (Siri 1) akan keluar di Buletin Utama TV3 Malam ini- Shida ITNM".

Begitulah pesanan SMS yang diterima sebelum menjelang senja dari teman sepejabat Shidah mengingatkan tentang berita Pelancaran The Epic of Hang Tuah di Pesta Buku Frankfurt yang berlangsung dari 14 - 18 Oktober 2009.

Misi ITNM telahpun tercapai dengan pemergian rombongan ITNM ke sana dua minggu lepas. The Epic of Hang Tuah merupakan sebuah usaha penerbitan terjemahan karya agung ITNM dari Hikayat Hang Tuah. Terjemahannya telah dihasilkan oleh SN Prof. Muhammad Haji Salleh selama empat tahun. Bukan mudah melakukan terjemahan karya ini kerana bahasanya adalah bahasa Melayu lama di mana banyak perkataan-perkataan dan penggunaan ayatnya sudah menjadi asing dengan masyarakat sekarang kerana tidak lagi digunakan kini.

Buletin Utama malam ini dimulakan dengan soalan mengapakah The Epic of Hang Tuah dilancarkan di Jerman dan tidak di tanah tumpah negaranya sendiri dan mengapa The Epic of Hang Tuah? Persoalan itu kemudiannya terungkai dengan kenyataan dari Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron .

"Pertama Inilah tempat di mana semua penerbit berkumpul dan kedua The Epic of Hang Tuah adalah sebuah karya yang kuat di mana (dunia harus tahu) orang Melayu ada heronya sendiri."

The Epic of Hang Tuah adalah sebuah karya yang terkandung dari puluhan karya terjemahan yang dibawa ke Frankfurt dalam katalog yang disiapkan oleh ITNM mengandungi 4 buah buku siri kanak-kanak,13 buku undang-undang, 28 buku umum dan 55 buku Sastera.

Pada tahun lepas buku Lat The Kampung Boy telah diperkenalkan di tempat yang sama dengan mendapat perhatian yang sangat meluas. Banyak penerbit luar berminat untuk menterjemahkan Lat the Kampung Boy ke bahasa mereka. Terkini ia sedang diterjemahkan ke bahasa Arab pula!

Masih banyak karya agung dalam edisi bahasa Melayu terus tersimpan tidak di terokai oleh bangsanya sendiri seperti Syair Ken Tambuhan, Hikayat Raja Pasai, Tajul ul Sulatin dan lain-lain lagi. Bangsa Melayu harus menyanjung apa yang mereka telah punya, mengkaji serta menyebarkan tamadun yang dicapai suatu waktu dahulu yang terkandung dalam catatan sastera agar masyarakat dunia lebih menghormati bangsa ini sebagai bangsa yang bertamadun dan mempunyai akar sejarahnya sendiri.

ITNM mempunyai perancangan di masa hadapan dengan harapan banyak lagi karya-karya besar itu akan diterjemahkan ke bahasa dunia. Semoga ini menjadi kenyataan dari masa ke masa.

Selamat pulang bos-bos ke tanah air! Ada ole-ole ke?

22 October, 2009

Kongsi Emel-Indahnya Berbaik Sangka


"Hubungan baik antara satu sama lain khususnya antara muslim dengan muslim merupakan sesuatu yang harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara. Itulah sebabnya, segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh dan memantapkan persaudaraan harus ditumbuhkan dan dipelihara, sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak ukhuwah harus dihilangkan. Agar hubungan ukhuwah islamiyah itu tetap terjalin dengan baik, salah satu sifat positif yang harus dipenuhi adalah husnuzh zhan (berbaik sangka).

Oleh kerana itu, apabila kita mendapatkan informasi negatif tentang sesuatu yang terkait dengan peribadi seseorang apalagi seorang muslim, maka kita harus melakukan tabayyun (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum mempercayainya apalagi meresponnya secara negatif, Allah berfirman yang ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." Q.S Al-Hujuraat : 6

Manfaat Berbaik Sangka

Ada banyak nilai dan manfaat yang diperolehi seseorang muslim bila dia memiliki sifat husnuzh zhan kepada orang lain.

Pertama
, hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik, perkara ini kerana berbaik sangka dalam hubungan sesama muslim akan menghindari terjadinya keretakan hubungan. Bahkan keharmonian hubungan akan semakin terasa kerana tidak ada halangan psikologis yang menghambat hubungan itu.

Kedua
, terhindar dari penyesalan dalam hubungan dengan sesama kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang benar, Allah berfirman sebagaimana yang disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 6 di atas.

Ketiga, selalu berbahagia atas segala kemajuan yang dicapai orang lain, meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya, perkara ini memiliki erti yang sangat penting, kerana dengan demikian jiwa kita menjadi tenang dan terhindar dari iri hati yang boleh berkembang pada dosa-dosa baru sebagai kelanjutannya. Ini bererti kebaikan dan kejujuran akan membawa kita pada kebaikan yang banyak dan dosa serta keburukan akan membawa kita pada dosa-dosa berikutnya yang lebih besar lagi dengan dampak negatif yang semakin banyak.

Ruginya Berburuk Sangka
Manakala kita melakukan atau memiliki sifat berburuk sangka, ada sejumlah kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

Pertama, mendapat dosa. Berburuk sangka merupakan sesuatu yang jelas bernilai dosa, kerana disamping kita sudah menganggap orang lain tidak baik tanpa dasar yang jelas, berusaha menyelidiki atau mencari-cari keburukan orang lain, juga akan membuat kita melakukan dan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang orang lain yang kita berburuk sangka kepadanya, Allah berfirman yang ertinya : "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." Q.S Al-Hujuraat : 12

Kedua, dusta yang besar. Berburuk sangka akan membuat kita menjadi rugi, kerana apa yang kita kemukakan merupakan suatu dusta yang sebesar-besarnya, perkara ini disabdakan oleh Rasulullah : "Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta" HR. Muttafaqun alaihi

Ketiga, menimbulkan sifat buruk. Berburuk sangka kepada orang lain tidak hanya berakibat pada penilaian dosa dan dusta yang besar, tetapi juga akan mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk lainnya yang sangat berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun hubungannya dengan orang lain, sifat-sifat itu antara lain ghibah, kebencian, hasad, menjauhi hubungan dengan orang lain dll. Dalam satu hadith, Rasulullah bersabda : "Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta. HR. Bukhari

Larangan Berburuk Sangka
Kerana berburuk sangka merupakan sesuatu yang sangat tercela dan mengakibatkan kerugian, maka perbuatan ini sangat dilarang di dalam Islam sebagaimana yang sudah disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 12 di atas. Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka masing-masing kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apalagi dengan sesama muslim dan aktivis dakwah. Disamping itu, bila ada benih- benih di dalam hati perasaan berburuk sangka, maka perkara itu harus segera dicegah dan dijauhi kerana ia berasal dari godaan syaitan yang bermaksud buruk kepada kita. Dan yang lebih penting lagi adalah memperkukuh terus jalinan persaudaraan antara sesama muslim dan aktivis dakwah agar yang selalu kita kembangkan adalah berbaik sangka, bukan malah berburuk sangka.

Oleh kerana itu, Khalifah Umar bin Khattab menyatakan: Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan. Demikian perkara-perkara dasar yang harus mendapat perhatian kita dalam kaitan dengan sikap husnuzhzhan (berbaik sangka).

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku


"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, Jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah "

Terima Kasih Azmi KJ