Sunday, November 08, 2009

Pelancaran buku Musibah Gempa Padang


Menteri Wilayah Persekutuan, Y.B. Senator Dato' Raja Nong Chik bin Dato' Raja Zainal Abidin ketika melancarkan Antologi Buku Musibah Gempa Padang

7 November 2009 (Sabtu) bertempat di Masjid Abdul Rahman 'Auf, KM 5.5 Jalan Puchong Kuala Lumpur sebuah Antologi Puisi Penyair Nusantara Musibah Penyair Nusantara telah dilancarkan dengan sempurnanya oleh Menteri Wilayah Persekutuan Y.B. Senator Dato' Raja Nong Chik bin Dato' Raja Zainal Abidin.

Buat pertama kalinya dalam sejarah persuratan sebuah antologi puisi dari penyair nusantara dibukukan. Puisi-puisi ini dikumpulkan dua minggu setelah penyelenggaranya membuat pengumuman di laman Facebooknya mengenai usaha ingin melaksanakan usaha amal melalui antologi puisi dan mendermakan jualan buku ini kepada mangsa gempa di Padang, Indonesia. Antologi ini dijual dengan harga RM20.00 senaskhah.

Usaha ini mendapat kerjasama dari pihak Masjid Abdul Rahman 'Auf. Hadir sama memeriahkan majlis ini dengan bacaan puisi ialah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. Sekalung tahniah kepada penyelenggara antologi Dato' Dr. Haji ahmad Khamal Abullah (Kemala) yang berusaha keras merealisasikan usaha murni ini. Semoga diberkati Allah. Amin

Saturday, November 07, 2009

Puisi-Di Hamparan yang Musnah

(Khas buat saudara-saudaraku yang ditimpa musibah Padang Indonesia)



dahulunya adalah jisim yang subur
mengalir kehidupan lunak
amannya melata sementara
dalam dakapan masa yang rapuh
manusia terjebak dengan rasa selesa
dan waspada yang tersimpan setiap detik
tiba-tiba menjelma nyata menjadi ilusi ngeri
kala september tiga puluh kosong sembilan

gegar goncang itu
meranapkan ceria menumbangkan alpa
meratakan darjat memadamkan sengketa
memanggil duka melumpuhkan suara
memusnahkan jurang dan menghancurkan cinta
air mata kini lesu untuk mengalir

jemari tidak lagi bisa membelai ratusan kekasih yang pergi
jemari juga tidak bisa lagi melambai kesementaraan yang berlalu
dadapun menyarat luka ketika hati dimamah duka

pada sinarmu mentari kebesaranNya menjelma
dan dilangit yang kudus kalimahNya bersuara
menuntut sujud keampunanNya
yang sekali sekala menyapa
saudaraku kamu dicintaiNya
kerana itu inilah bahagianmu yang sementara

di hamparan yang musnah
adalah kecewa, adalah tangis,
adalah runtuhan adalah kemusnahan,
adalah perpisahan, adalah kematian,
adalah sesal, adalah persoalan,
adalah keajaiban, adalah kebuntuan
adalah keinsafan adalah harapan
adalah ketentuan adalah ujian
dan adalah cintaNya kepada kamu
serta kita yang menyedarinya

Enche
7 November 2009


Gambar dipinjam dari laman blog ruanghati.com

Wednesday, November 04, 2009

Jom Baca Buku - The Epic of Hang Tuah

The Epic of Hang Tuah
Hikayat Hang Tuah

This work which was authored between 1641 and 1739 is the only Malay epic which represents the Malay race itself in its aspirations, ability and attitudes towards life during a decisively significant period of time. Hang Tuah epitomized the uniqueness of the Malay race as a cultured and civilized people by demonstrating the self-esteem, courage, astuteness and fine manners of the Malay people, which gained respect and acknowledgement from foreign peoples and governments who were among the early sources of contact with the Malay civilization before the Portuguese invasion of Malacca. The author ends his work on a spirited and enduring note which has left an indelible mark in Malay minds until today: “The Malays will never vanish from this world.”

The Epic of Hang Tuah
Hikayat Hang Tuah

Translator: Muhammad Haji Salleh
Publisher: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Year of Publication: 2009
ISBN:978-983-068-330-0
No of Pages: 662 pages
Prices: RM250.00

New Release! The Epic of Hang Tuah, for the first time ever from the Malay great works series Hikayat Hang Tuah has been translated into English. To be in the market soon.

Wednesday, November 04, 2009

Kanvas Kehidupan - Nak Kahwin Rakan Internet

Lama tak jumpa dia. Hari itu aku dah tak mahu menunggu lama lagi. Aku mesti jumpa dia. Mungkin banyak cerita menarik darinya.

Seperti biasa lokasi perjumpaan petang itu tidak jauh dari pejabatnya. Dan petang itu dia tiba lewat sedikit kerana menyelesaikan tugas yang muncul tiba-tiba. Aku mengelak soalan mengenai kerjayanya kerana dia selalu kelihatan bosan untuk menjawabnya.

Lalu aku mengaju soalan yang dia selalu tertawa sambil menjawabnya. Iaitu mengenai mengenai jodoh. Sudahkah dia menemui teman istimewa? Memang benar dia memulakan dengan senyuman dan kemudian menceritakan dia sudah menemui teman istimewanya. Dia akan berkahwin tidak lama lagi, berhenti kerja, balik ke kampung halamannya dan memulakan kerjaya baru.

Aku hilang kata-kata seketika. Sepantas itu aku akan kehilangan kawan. Lalu keinginan untuk mengetahui bagaimana ianya terjadi dengan begitu pantas seperti dia menemui seorang hartawan! Lalu dia menceritakan perkenalan dengan pemuda ilusi di alam siber.

Kisah seorang pemuda dari luar negara yang sangat sabar menunggu itu dibongkarkan olehnya satu persatu. Sangat baik jalan ceritanya. Pemuda itu sanggup meninggalkan pekerjaan dan berhijrah ke Malaysia. Menukar agamanya dan sekaligus hidup bersama memulakan yang segala-galanya baru di sini.
Apa yang membuatkan aku terbeliak mata apabila dia menceritakan perihal lelaki itu yang sudah menghitung-hitung berapa banyak wang yang harus dibawanya ke sini untuk majlis perkahwinan, membeli rumah mewah di sini dan memulakan perniagaan baru. Lalu teman itu termangu-mangu memikirkan dan bertanyakan pendapatku perniagaan apa yang sesuai.

Apa yang lebih memeranjatkan cerita teman itu ialah pelan asal lelaki luar negara itu ialah pada penghujung tahun ia akan datang ke Malaysia membawa cerita barunya itu kini diubah ke minggu hadapan kerana ia dapat membereskan masalahnya lebih awal dari yang dirancangkan.

Episod pertama itu tamat kerana masa yang bergerak terlalu pantas dan malam datang tanpa diundang. Aku tidak sabar menunggu episod kedua drama siber yang terhenti tanpa iklan itu.

Monday, November 02, 2009

Katalog Frankfurt 2009



Inilah katalog Frankfurt yang diusahakan oleh Insitut Terjemahan Negara Malaysia Berhad yang telah dibawa ke Pesta Buku Frankfurt 2009. Di dalamnya terdapat maklumat mengenai buku-buku yang bertemakan Malaysiana dan Sastera dari penerbit-penerbit tempatan berbahasa Inggeris.

Secara keseluruhannya pembikinan dan pengumpulan bahan-bahan ini mengambil hampir 10 bulan. ITNM menawarkan kepada semua penerbit di Malaysia untuk memasukkan buku terbitan mereka ke dalam katalog yang bakal diterbitkan dan membantu mempromosikan buku-buku ini ketika di Jerman.

Bermula pada tahun ini ITNM telah diberi kepercayaan oleh Majlis Buku Kebangsaan sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL) untuk mengendalikan bilik 'Rights Trade Centre' oleh yang demikian ketika PBAKL berlangsung sebuah katalog telah diterbitkan dan ia merupakan fasa pertama pengumpulan bahan katalog untuk Katalog Frankfurt.

Katalog yang sangat unit ini terbahagi kepada 6 segmen. Segmen 1 : mengandungi poskad yang memaparkan visual ilham dari buku-buku yang terkandung dalam katalog ini. Segmen 2 : mengandungi maklumat mengenai organisasi terlibat dan penaja serta pelan. Segmen 3 : Buku Kanak-kanak (4 siri). Segmen 4 : Buku undang-undang (13 Judul). Segmen 5 : Buku Umum (29 Judul) dan segmen 6 : Buku Sastera (55 Judul).

Jika pada tahun 2008 Buku Lat The Kampong Boy telah diperkenalkan sebagai tarikan utama dan mendapat perhatian pihak luar negara kini tibalah masa Hikayat Hang Tuah atau The Epic of Hang Tuah diperkenalkan pula kepada khalayak antarabangsa. The Epic of Hang Tuah telah melalui proses yang sangat teliti untuk menerbitkannya sesuai dengan nilai yang ada pada hikayat itu. Fizikal buku ini sangat mengkagumkan kerana ia dihasilkan dengan rupa klasik dan tidak keterlaluan untuk mengatakan buku ini sangat istimewa untuk dimiliki dan ditempatkan di seluruh perpustakaan.

Nantikan dalam ruangan Jom baca buku mengenai buku The Epic of Hang Tuah ini.

Thursday, October 29, 2009

Hang Tuah lebih gagah daripada Superman!


"Pada pandangan saya, Hang Tuah lebih gagah daripada Superman.
Hang Tuah bukan sahaja berkelebihan dari sudut kekuatan fizikal dan nilai intelektual, tetapi beliau juga boleh menguasai 12 bahasa.
Penonjolan wira Barat hanyalah pada kekuatan fizikal, sebaliknya penonjolan wira kita merangkumi kekuatan fizikal, spritual dan Intelektual."


Dewan Bahasa, Ogos 2009 baca di sini.
Gambar Bersilat 3 cuma hiasan. Amron adalah pelukis kegemaran saya. Beliau merupakan (senior saya) graduan ITM dalam bidang seni halus kini dikenali sebagai UiTM.

Thursday, October 29, 2009

Jom Baca Buku - Dari Jendela Zaman Ini/From The Window of This Epoch


Dari Jendela Zaman Ini
Antologi Puisi Malaysia & Singapura
From The Window of This Epoch
An Anthology of Malaysian & Singaporean Poems

Dari Jendela Zaman Ini merupakan sebuah antologi puisi dwibahasa yang menghimpunkan 100 buah puisi daripada 73 orang penyair Malaysia dan Singapura. Antologi ini bertemakan ‘persahabatan dan kemanusiaan’ dan memperlihatkan suara penyair dalam mengungkapkan rasa resah gelisah, suara amaran dan protes terhadap kemelut kehidupan masyarakat yang diasak arus gelombang kemodenan global.

Antologi ini turut mengungkapkan fikiran dan pandangan para penyair kedua-dua negara terhadap peristiwa yang sedang berlaku dalam tanggapan peribadi yang puitis.
Antologi puisi Malaysia-Singapura ini diharap akan dapat lebih mengakrabkan ukhwah dan perhubungan antara seniman kedua-dua negara.

Dari Jendela Zaman Ini is a bilingual anthology of 100 poems by 73 Malaysian and Singaporean poets. The theme of this anthology is 'friendship and humanity', with an underlying theme of anxiety, with warnings, of a societal crisis in the wake of globalisation, and a commentary on current events in both countries.

This Malaysian-Singaporean anthology sets out to foster closer ties between the poets of the two countries.

Dari Jendela Zaman Ini
Antologi Puisi Malaysia & Singapura
From The Window of This Epoch
An Anthology of Malaysian & Singaporean Poems

Penerbit:
Institut Terjemahan Negara Malaysia & National Arts Council Singapore
Penulis: Penyair-penyair dari Malaysia & Singapura
Tahun Perbitan: 2009
ISBN: 978 963 068 480-2
Jumlah muka surat : 470 halaman
Harga: RM40.00 @ $16.00

Buku ini telah dilancarkan pada 26 Oktober 2009 di The Arts House, Singapura oleh Dato' Dr Puad Zarkashi Mewakili Timbalan Perdana Menteri. Seperti biasa anda boleh mendapatkan buku ini di MPH atau hadir ke ITNM atau menelefon di nombor 03-41497210.

Sunday, October 25, 2009

Indahnya Pantun-Pantun Majlis Bertunang

Lama sungguh tidak mengisi ruangan ini dengan apa-apa post walhal apabila saya melihat kepada data pengunjung dan carian inilah topik yang paling hangat dibuat oleh pengunjung atau carian google. Bukan kerana tidak mempunyai bahan tetapi saya dihambat oleh waktu dan tugas-tugas yang wajib.

Alangkah baiknya jika 24 jam sehari itu ditambah menjadi 28 jam atau 32 jam sehari. Tetapi kita harus ingat bahawa kejadian Allah itu memang sudah sempurna semuanya. Cuma kita yang harus bersyukur dan tahu bagaimana hendak mengguna atau mengisinya.

Minggu lepas peti mel saya didatangi oleh sebuah emel dari pengunjung blog yang meminta bantuan saya menyediakan pantun untuk majlis hari pertunangannya. Saya pasti dia telah membuat carian di internet dan tidak menemui pantun yang sesuai untuknya. Lalu terbayang di kepala saya alangkah baiknya jika saya dapat menyediakan satu blog yang dapat menyediakan pantun-pantun yang sesuai untuk semua majlis dan dijadikan rujukan.

Sayang sekali waktu yang dihubungi oleh Sufian (pengunjung blos saya) adalah terlalu singkat dan saya tidak ada banyak waktu untuk menggubah pantun untuknya. Beliau sanggup memberikan nombor telefon untuk dihubungi. Tetapi saya cuma membalas emelnya sahaja dan mengirimkan pantun yang dikehendaki sekadar yang termampu oleh saya.

Namun walaupun ia kelihatan ringkas tetapi telah membutuhkan waktu, kosentrasi dan komitmen saya sewaktu membuat carian, mengarang serta mengubahsuai pantun tersebut. Alhamdulillah semuanya telah berlalu dan saya mengucapkan selamat bertunang dan saya doakan anda berdua berjaya hingga ke jinjang pelamin. Jagalah adab bertunang supaya bertambah kasih dan sayang dan tiada halangan yang menimpa serta cepat menjadi nyata.

Di bawah ini saya perturunkan pantun yang mungkin boleh digunakan oleh peminat pantun. Pohon dimaklumkan kepada saya pinjaman pantun dari ruangan ini.

Perahu kolek ke hilir tanjung,
Sarat bermuat tali temali.
Salam tersusun sirih junjung,
Apa hajat sampai ke mari?
KP

Sudah lama langsatnya condong ,
Barulah kini batangnya rebah.
Sudah lama niat dikandung,
Baru sekarang diizinkan Allah.
KP

Malam-malam pasang pelita,
Pelita dipasang atas peti.
Kalau sudah bagai dikata,
Sila terangkan hajat di hati.
KP

Singgah berenang di persiraman,
Mayang terendam di dalam tasik.
Kumbang merindu bunga di taman,
Bintang merindu Cenderawasih
. KP

Ikan sepat di dalam sampan,
Orang membawa ke pinggir kota.
Besar hajat tuan menyimpan,
Baiklah nyata di dalam kata.
EAAB

Panjat- panjat si pohon ara,
Nampak cantik di tepi laman.
Besarnya hajat tidak terkira,
Hendak memetik bunga di taman.
EAAB +KP

Senyum menguntum memakai kebaya,
Gadis sunti menjual kalungan.
Bunga nan sekuntum belum berpunya,
Menjadi penyeri di taman larangan.
EAAB

Dari sumbu terbit apinya,
menjadi asap dan juga jelaga.
Jika begitu akan adanya,
Izinkan kita memetik menjaga.
EAAB

Baik-baik kalau berhuma,
Jangan sampai lalang sepekan,
Hajat yang baik kami terima,
Dalam adat kami serahkan.
EAAB

Kalau gugur buah setandan,
Sampai ke tanah baru tergolek,
Kami bersyukur kepada tuhan,
Datang kami disambut baik.
KP

Selamat bertunang Salwa & Sufian dari saya. Terima Kasih kerana sudi menjemput saya ke majlis tetapi pohon maaf tidak dapat menghadiri kerana sudah ada program. Catatan: KP= Koleksi Pantun PTS, EAAB=Koleksi Pantun Enche Abdullah

Saturday, October 24, 2009

Mengapa The Epic of Hang Tuah dilancarkan di Frankfurt?

Mohd Khair Ngadiron Pengarah Urusan ITNM


"Salam, News about launching Hang Tuah di Frankfurt (Siri 1) akan keluar di Buletin Utama TV3 Malam ini- Shida ITNM".

Begitulah pesanan SMS yang diterima sebelum menjelang senja dari teman sepejabat Shidah mengingatkan tentang berita Pelancaran The Epic of Hang Tuah di Pesta Buku Frankfurt yang berlangsung dari 14 - 18 Oktober 2009.

Misi ITNM telahpun tercapai dengan pemergian rombongan ITNM ke sana dua minggu lepas. The Epic of Hang Tuah merupakan sebuah usaha penerbitan terjemahan karya agung ITNM dari Hikayat Hang Tuah. Terjemahannya telah dihasilkan oleh SN Prof. Muhammad Haji Salleh selama empat tahun. Bukan mudah melakukan terjemahan karya ini kerana bahasanya adalah bahasa Melayu lama di mana banyak perkataan-perkataan dan penggunaan ayatnya sudah menjadi asing dengan masyarakat sekarang kerana tidak lagi digunakan kini.

Buletin Utama malam ini dimulakan dengan soalan mengapakah The Epic of Hang Tuah dilancarkan di Jerman dan tidak di tanah tumpah negaranya sendiri dan mengapa The Epic of Hang Tuah? Persoalan itu kemudiannya terungkai dengan kenyataan dari Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron .

"Pertama Inilah tempat di mana semua penerbit berkumpul dan kedua The Epic of Hang Tuah adalah sebuah karya yang kuat di mana (dunia harus tahu) orang Melayu ada heronya sendiri."

The Epic of Hang Tuah adalah sebuah karya yang terkandung dari puluhan karya terjemahan yang dibawa ke Frankfurt dalam katalog yang disiapkan oleh ITNM mengandungi 4 buah buku siri kanak-kanak,13 buku undang-undang, 28 buku umum dan 55 buku Sastera.

Pada tahun lepas buku Lat The Kampung Boy telah diperkenalkan di tempat yang sama dengan mendapat perhatian yang sangat meluas. Banyak penerbit luar berminat untuk menterjemahkan Lat the Kampung Boy ke bahasa mereka. Terkini ia sedang diterjemahkan ke bahasa Arab pula!

Masih banyak karya agung dalam edisi bahasa Melayu terus tersimpan tidak di terokai oleh bangsanya sendiri seperti Syair Ken Tambuhan, Hikayat Raja Pasai, Tajul ul Sulatin dan lain-lain lagi. Bangsa Melayu harus menyanjung apa yang mereka telah punya, mengkaji serta menyebarkan tamadun yang dicapai suatu waktu dahulu yang terkandung dalam catatan sastera agar masyarakat dunia lebih menghormati bangsa ini sebagai bangsa yang bertamadun dan mempunyai akar sejarahnya sendiri.

ITNM mempunyai perancangan di masa hadapan dengan harapan banyak lagi karya-karya besar itu akan diterjemahkan ke bahasa dunia. Semoga ini menjadi kenyataan dari masa ke masa.

Selamat pulang bos-bos ke tanah air! Ada ole-ole ke?

Thursday, October 22, 2009

Kongsi Emel-Indahnya Berbaik Sangka


"Hubungan baik antara satu sama lain khususnya antara muslim dengan muslim merupakan sesuatu yang harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara. Itulah sebabnya, segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh dan memantapkan persaudaraan harus ditumbuhkan dan dipelihara, sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak ukhuwah harus dihilangkan. Agar hubungan ukhuwah islamiyah itu tetap terjalin dengan baik, salah satu sifat positif yang harus dipenuhi adalah husnuzh zhan (berbaik sangka).

Oleh kerana itu, apabila kita mendapatkan informasi negatif tentang sesuatu yang terkait dengan peribadi seseorang apalagi seorang muslim, maka kita harus melakukan tabayyun (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum mempercayainya apalagi meresponnya secara negatif, Allah berfirman yang ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." Q.S Al-Hujuraat : 6

Manfaat Berbaik Sangka

Ada banyak nilai dan manfaat yang diperolehi seseorang muslim bila dia memiliki sifat husnuzh zhan kepada orang lain.

Pertama
, hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik, perkara ini kerana berbaik sangka dalam hubungan sesama muslim akan menghindari terjadinya keretakan hubungan. Bahkan keharmonian hubungan akan semakin terasa kerana tidak ada halangan psikologis yang menghambat hubungan itu.

Kedua
, terhindar dari penyesalan dalam hubungan dengan sesama kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang benar, Allah berfirman sebagaimana yang disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 6 di atas.

Ketiga, selalu berbahagia atas segala kemajuan yang dicapai orang lain, meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya, perkara ini memiliki erti yang sangat penting, kerana dengan demikian jiwa kita menjadi tenang dan terhindar dari iri hati yang boleh berkembang pada dosa-dosa baru sebagai kelanjutannya. Ini bererti kebaikan dan kejujuran akan membawa kita pada kebaikan yang banyak dan dosa serta keburukan akan membawa kita pada dosa-dosa berikutnya yang lebih besar lagi dengan dampak negatif yang semakin banyak.

Ruginya Berburuk Sangka
Manakala kita melakukan atau memiliki sifat berburuk sangka, ada sejumlah kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

Pertama, mendapat dosa. Berburuk sangka merupakan sesuatu yang jelas bernilai dosa, kerana disamping kita sudah menganggap orang lain tidak baik tanpa dasar yang jelas, berusaha menyelidiki atau mencari-cari keburukan orang lain, juga akan membuat kita melakukan dan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang orang lain yang kita berburuk sangka kepadanya, Allah berfirman yang ertinya : "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." Q.S Al-Hujuraat : 12

Kedua, dusta yang besar. Berburuk sangka akan membuat kita menjadi rugi, kerana apa yang kita kemukakan merupakan suatu dusta yang sebesar-besarnya, perkara ini disabdakan oleh Rasulullah : "Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta" HR. Muttafaqun alaihi

Ketiga, menimbulkan sifat buruk. Berburuk sangka kepada orang lain tidak hanya berakibat pada penilaian dosa dan dusta yang besar, tetapi juga akan mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk lainnya yang sangat berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun hubungannya dengan orang lain, sifat-sifat itu antara lain ghibah, kebencian, hasad, menjauhi hubungan dengan orang lain dll. Dalam satu hadith, Rasulullah bersabda : "Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta. HR. Bukhari

Larangan Berburuk Sangka
Kerana berburuk sangka merupakan sesuatu yang sangat tercela dan mengakibatkan kerugian, maka perbuatan ini sangat dilarang di dalam Islam sebagaimana yang sudah disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 12 di atas. Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka masing-masing kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apalagi dengan sesama muslim dan aktivis dakwah. Disamping itu, bila ada benih- benih di dalam hati perasaan berburuk sangka, maka perkara itu harus segera dicegah dan dijauhi kerana ia berasal dari godaan syaitan yang bermaksud buruk kepada kita. Dan yang lebih penting lagi adalah memperkukuh terus jalinan persaudaraan antara sesama muslim dan aktivis dakwah agar yang selalu kita kembangkan adalah berbaik sangka, bukan malah berburuk sangka.

Oleh kerana itu, Khalifah Umar bin Khattab menyatakan: Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan. Demikian perkara-perkara dasar yang harus mendapat perhatian kita dalam kaitan dengan sikap husnuzhzhan (berbaik sangka).

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku


"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, Jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah "

Terima Kasih Azmi KJ

Wednesday, October 21, 2009

Sekadar berkongsi gambar raya






Dipaparkan gambar sekitar jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Terjemahan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) pada 9 Oktober 2009. Kini bulan raya telahpun berlalu. Semoga raya tahun depan dapat jumpa lagi dan makan-makan.

Wednesday, October 21, 2009

Jom Baca Buku - Cerita Rakyat Korea

Cerita Rakyat Korea


Cerita Rakyat Korea ini menampilkan beberapa kategori cerita rakyat Korea yang mungkin mempunyai persamaan dengan cerita rakyat Malaysia atau Negara lain di timur dan juga di barat. Cerita Koleksi cerita rakyat ini diharap dapat menambah dan memperkaya lagi khazanah bahan bacaan kanak-kanak di Malaysia.

Cerita Rakyat Korea
Penyusun & Penyunting: Zubaidah Ibrahim-Bell
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Tahun Terbitan: 2009
No ISBN: 978-983-068-396-6
Jumlah Halaman: 65 Muka Surat
Harga:RM25.00/30.00

Buku ini merupakan sebuah buku agi yang dilancarkan sewaktu Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12. Anda boleh mendapatkannya di MPH MidValley dan Alamanda serta cawangannya atau menelefon nombor ini +603-41497210.