30 March, 2013

Perginya Tokoh Pemikir Islam - Ustaz Dr. Uthman El- Muhammady


Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Dr. Uthman El-Muhammady yang telah kembali ke rahmatullah pada 25 Mac 2013. Saya menyimpan beberapa lipatan kenangan bersama tokoh ilmuwan ini kerana Allahyarham pernah memberikan khidmatnya kepada tempat saya bekerja. Ketika itu beliau membuat terjemahan al-Quran ke bahasa Inggeris.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan di tempat yang terbaik sebagaimana sumbangannya terhadap dunia Islam di Malaysia dan rantau Asia umumnya. Amin

Saya petik gambar ini dari blog arusbaru
http://arusbaru.my/2013/03/25/takziah-atas-pemergian-ustaz-uthman-el-muhammady/

Panduan penulisan novel atau cerita.


Saya baca buku ini tahun lepas sewaktu menyiapkan novel ke-3 saya Sumpahan Jemalo. Buku ini terbitan ITBM. Saya amat susah untuk beli buku kecuali kalau ia memang benar-benar menarik. Hal yang kedua sewaktu dalam proses penulisan saya susah untuk baca buku kerana fikiran saya fokuskan untuk menulis bukan membaca. Saya anggap jika ada keinginan menghabiskan bacaan ia akan merosakkan tumpuan saya untuk menulis tetapi entah mengapa dengan buku ini ia berjaya memancing saya membaca sehingga membuatkan saya membacanya sampai habis sebelum saya habis menulis novel terbaharu saya!

Karya ini adalah sebuah karya terjemahan. ditulis oleh Victoria Hanley. Vic menulis dengan memberikan banyak panduan untuk mereka yang mahu menjadi penulis kreatif. Saya rasa ia sesuai untuk mereka khususnya remaja yang baru berjinak-jinak untuk jadi penulis kreatif. Nasihat saya belilah buku ini. Ia hampir lengkap menyediakan diri anda untuk menjadi penulis. Ia memberikan panduan bagaimana anda sepatutnya mewarnai watak anda, mewujudkan konflik cerita, mencari latar masa dan tempat kepada cerita nada. Bacaan ini ditujukan kepada para remaja tetapi ia juga sesuai bagi bacaan umum. Jadi jika anda sebagai ibubapa yang mahukan anak-anak anda menjadi kreatif apabila menulis bawalah pulang buku ini untuk anak-anak anda. Mereka pasti terpegun.  Gaya bahasa terjemahan yang ditampilkan dalam buku ini sangat mesra dan tidak kelihatan seperti sebuah buku terjemahan.

Bahagian yang paling saya suka ialah di bahagian belakang buku ini kerana penulis menemuramah 16 orang penulis kreatif seperti T.A. Barron, Joan Bauer, Hilari Bell, Dia Calhoun, Chris Crutcher dan ramai lagi yang menyatakan pandangan, memberikan panduan mereka mengenai bidang penulisan kreatif yang mereka ceburi. Jadi cepat dapatkan buku ini, Yuhuuuu

Sinopsis
Kuasai Cerita Anda merupakan pilihan tepat bagi remaja yang suka menulis. Buku ini bukan sahaja sesuai digunakan dalam kelas penulisan kreatif dan kumpulan penulisan, malah boleh dijadikan panduan bagi remaja yang berbakat dan yang meminati penulisan fiksyen. Pengarang yang pernah memenangi pelbagai anugerah, Victoria Hanley, berkongsi rahsia tentang pebnulisan fiksyen, daripada mencipta watak yang menarik dan dialog yang benar-benar hidup hinggalah kepada jalan cerita yang penuh aksi.
Buku ini turut mengandungi temu bual pengarang yang berjaya, seperti Joan Bauer, Chris Crutcher, David Lubar, Lauren Myracle, dan ramai lagi. Mereka mengutarakan pelbagai idea dan nasihat berguna yang dapat menjadi panduan kepada remaja yang ingin menulis. Jika anda penulis yang kreatif, anda pasti akan menyukai buku ini!

Untuk dapatkan buku ini secara dalam talian dapatkan di sini.