Ini adalah kejadian yang lampau dan sengaja diimbas kembali. Mungkin pengalaman yang dikongsi ini berfaedah untuk yang tidak pernah terfikir mengenainya, khususnya bagi mereka yang mempunyai kereta yang bukan 'auto lock' selepas anda masuk dan menutup pintu kereta.
Saya mempunyai fobia apabila menaiki kenderaan dan tiba di persimpangan yang berlampu isyarat dan ketika itu lampu isyarat berwarna merah. Apabila berada dalam keadaan itu saya secara tiba-tiba akan menekan punat untuk mengunci semua pintu kereta. Darah berderau tiba-tiba dan jika semua sudah berkunci hati saya akan kembali tenang.
Ini kerana pernah dalam keadaan demikian suatu ketika dahulu dalam kesesakan jalan raya di bandaraya Kuala Lumpur dan banyak kereta yang tidak bergerak termasuk kereta saya. Tiba-tiba ada seseorang yang berjalan dicelahan kereta yang berhenti itu telah memilih untuk membuka pintu kereta saya yang tidak berkunci. Dia ingin bertanyakan sesuatu. Keadaan itu membuatkan saya panik dan sangat mengelabah. Bagaimana kalau dia berniat tidak baik terhadap saya?
Adik saya pernah melihat kejadian di hadapannya bagaimana seorang pemandu wanita bergelut mempertahankan beg tangannya dari ditarik keluar oleh perompak rambang yang berjalan mencari mangsa ketika lampu isyarat merah. Nasib wanita itu baik kerana beg itu tersangkut pada tombol berek tangan keretanya. Apabila lampu bertukar hijau perompak itu terpaksa mengucapkan selamat jalan kepada wanita yang separuh bernasib baik itu.
Lain pula cerita kawan yang seorang ini dirompak di lampu isyarat waktu pagi buta oleh sekumpulan perompak. Dia dipaksa turun dari kereta diambil segala 'hartanya' dan dia berjalan kaki ke balai polis untuk melaporkan kesnya. Nasib baik nyawanya selamat!
Satu lagi kejadian saya di Hentian Putra selepas menghantar saudara saya di sana. Saya masuk ke dalam kereta dan ketika itu saya mengunci semua pintu dan menyemak kiriman SMS yang saya terima sewaktu memandu ke situ. Saya didatangi seseorang yang berbadan besar. Wajahnya memang ganas tetapi saya tetap berprasngka baik. Dia bertanyakan pukul berapa waktu itu. Saya dapat membaca gerak bibirnya ketika dia mengetuk pintu kereta saya.
Saya mengangkat jam tangan saya menghampiri cermin ke arahnya. Tetapi dia menjerit meminta saya menurunkan cermin kereta. Keadaan di situ memang sunyi dan agak terpencil. Manalah saya berani untuk melayan permintaannya begitu. Saya terfikir kalaulah dia spray muka saya ketika itu maka akan berlakukan adegan yang tidak dingini di situ dan ia mungkin akan menjadi kenangan buat saya.
Perbuatan saya yang tidak ingin menurunkan cermin kereta telah menimbulkan keberangannya. Saya masih dapat mendengar butir cakapannya kerana injin kereta belum saya hidupkan. Katanya saya seperti biadab kerana berbicara seperti itu denganya. Tak apalah saya cuma berwaspada kalau saya biadab pun pada orang yang saya tidak kenal. Lagipun tindakan saya itu lojik. Dia boleh bertanyakan pada ramai lagi orang di Hentian Putra itu kenapa memilih saya dalam kereta yang jauh terpencil?
Melihatkan keberangannya yang semakin menjadi saya terus menghidupkan injin kereta dan berlalu dari situ walaupun satu SMS pun belum sempat saya baca! Ambillah teladan dari cerita ini. Selalulah kunci pintu kereta walau di mana anda berada dan jangan berada di dalam kereta di tempat yang sunyi!
No comments:
Post a Comment