Hari ini aku kembali semula ke Kuala Lumpur. Rancangan untuk balik bercuti ini sejak dari bulan Januari lagi. Aku cuma nekad menempah tiket penerbangan tambang murah Airasia sedangkan aku tak dapat nak jangka apa jadi ketika itu. Memangpun kerja tengah banyak dan aku dah tak boleh nak elak. Nak beli seminggu dua sebelum pulang hanya untuk orang-orang yang tak heran dengan harganya.
Sengaja aku menempah pada tarikh 30 dan 31 Mac kerana aku dah lama sangat tak pulang pada tarikh itu. Tarikh itu adalah tarikh keramat bagi rakyat negeri Kelantan kerana tarikh itu adalah tarikh keputeraan Sultan Kelantan. Dah lama tak tengok lampu-lampu hiasan dan bandar Kota Bharu dilimpahan dengan warna dan cahaya yang indah. Kuala Lumpur pun tak sehebat Kelantan apabila meraikan Hari Keputeraan Agongnya. Jika tidak percaya hadirlah sendiri.
Rakyat Kelantan sekarang tengah berpesta lampu dan kehadiran pintu-pintu gerbang dengan pelbagai reka bentuk dihiasi lampu memang mengindahkan Bandaraya Islam itu. Walaupun demikian aku seperti biasa balik di kampung untuk duduk di rumah sahaja menjaga bonda kerana memberi rehat pada kekanda yang sekian lama menjaganya.
Semalam pun sempat melihat lampu sewaktu dalam perjalanan menghantar bonda ke klinik Menjengah bonda di kampung yang dah lama tak ku lihat tapi selalu dengar suaranya di telefon. Badan bonda sedikit susut. Bonda nampaknya dah uzur benar. Jalan pun sudah bongkok tetapi bonda tetap garang dengan segala kekronikan dalam fikirannya yang memerlukan kesabaran yang luar biasa juga dari anak-anaknya.
Aku cuba memahami perasaan bonda dan mengawal perasaanku tetapi kadang-kadang aku berada diluar dari sempadan kesabaran. Nasib baik juga bonda sudah kurang pendengarannya kalau tidak tentu bonda akan menjadi-jadi marahnya.
Lantai bilik bonda dah berubah wajah. Bonda mahu tukar jubinnya. Tapi bilik bonda memang banyak barang. Bonda bukan larat nak mengemasnya tapi itulah hatinya siapa yang mampu menghalangnya. Ikut sahajalah kemahuannya bukan kena keluarkan duitpun semua duit bonda dari anak-anak yang beri.
Bonda bertambah sakit dengan kehadiran jubin baru warna darah ikan itu. Walaupun jubin itu siap di bilik bonda, bonda tetap tidur di luar juga. Dan itu yang buat anak-anak tidak faham mengapa perlu bonda buat semua itu.
Aku menghabiskan banyak waktu di rumah sahaja walaupun di luar dan di bandar orang riuh berpesta lampu. Aku cuma hadir dalam pesta itu berdasarkan bayangan di fikiranku suasana keindahan pesta lampu itu 20 tahun yang lalu.
Kepada kedua Al Sultan dan Sultanah Kelantan patik yang hina ini ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Keputeraan Semoga Tuanku DiRahmati Allah dan Di Panjangkan Umur. Patik teringin sekali pulang dan hidup di kampung patik Negeri Tuanku. Patik tetap rakyat Tuanku walau di mana sekalipun patik berada dan patik tetap berbangga patik ini orang Kelantan Tuanku.
1 comment:
Daulat Tuanku !
Post a Comment