Kali ini kisah seorang teman yang selalu mengadu kepadaku tentang sikap majikan tempat dia bekerja seolah-olah tidak berhati perut. Majikan ini sama kulit dengannya dan sudah tentu sama agamanya dan seratus peratus Melayu pekerjanya. Sudah lama dia bercerita aku cuma hanya dapat mendengar sahaja kerana mungkin itu sahaja dia dapat meredakan kemarahannya.
Dulu dia bercerita suatu hari dia terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana ada saudaranya meninggal. Sehari dua juga dia di kampung menguruskan hal-hal kematian saudaranya yang terdekat. Dan ketika itu bosnya menelefon menanyakan bila dia akan kembali bekerja. Langsung tidak bertanya mengapa saudaranya meninggal, sakit apa dan bagaimana.
Di suatu ketika yang lain pula pernah bosnya berjanji hendak membelikannya telefon bimbit yang baru memandangkan telefonnya yang sudah uzur benar. Teman ini merupakan orang penting di syarikat itu kerana dia yang menguruskan hal-hal yang besar dalam syarikat. Syarikat itu pula dipunyai oleh tiga orang rakan kongsi.
Pernah suatu ketika ketiga-tiganya bercuti serentak ke luar negara dan sudah tentu hal-hal berkaitan dengan pengeluaran cek akan menjadi masalah. Berbalik kepada cerita telefon bimbit tadi. Bila sudah menabur janji tentulah teman mengharapkan harinya. Namun hari yang dijanjikan tak pernah kunjung tiba. Seperti menunggu buah yang tidak gugur.
Teman menjadi terbakar apabila mendapat tahu bosnya membelikan telefon bimbit yang canggih kepada pelanggannnya. Teman ni pula memang baik dengan pelanggan ini dan yang lebih membuat dia membara ialah kata pelanggan tadi dia sudahpun ada telefon baru sebelum mendapat 'hadiah' dari bosnya. Lalu telefon itu diberikan kepada isterinya.
Banyak cerita membaranya selalu disampaikan ke telingaku dan semuanya tema kurang prihatin dan kurang menjaga kebajikan stafnya. Terbaharu ialah cerita teman itu teman sepejabatnya yang terkena demam teruk. Seminggu terlantar di rumah dan hospital. Bosnya cuma menelefon untuk bertanya bila nak balik bertugas ada kerja penting menunggu di pejabat? Tiada soalan 'awak sakit apa? Awak di hospital mana?' Sekembalinya ke pejabat haram kerja penting itu menunggunya.
Kalau begitu soalannya usahlah nak harap dia bertanya berapa bil hospitalnya dan hendak meringankan beban pekerjanya. Tanggunglah sendiri semua kesakitan sebelum dan selepas masuk wad itu.
Hati teman sudah membara macam gunung berapi. Dia berfikir adalah lebih baik membina empayar baru bersama teman-teman sepejabatnya. Tiada guna kalau ditempat kerja sudah tidak ada hubungan kasih sayang dan kemanusiaan. Majikannya tidak lepas dari sikap berprasangka buruk sahaja.
Aku melopong mendengarnya di telefon setiap kali dia bercerita dan kebanyakan soalan-soalan cepumas yang dikemukakan kepada ku jawapan yang aku berikan sering bertentangan dengan jawapan sebenar. Aku cuma mendoakan jika dia dan teman-teman benar-benar berniat biarlah mereka menemui kejayaan. Mudah-mudahan. Ya lah di tengah-tengah zaman gawat ni dia begitu berani dan yakin mengambil jalan seperti itu.
No comments:
Post a Comment