12 October, 2012

Kanvas Kehidupan: Pilih Facebook atau Blog? - Bahagian 1


Anda memiilih facebook (kata Najwa mukabuku) atau blog. Sudah tentulah kebanyakan orang sekarang memilih facebook kerana senang mengendalikannya tidak seperti blog. Ada akaun e-mel dah boleh buka facebook tetapi untuk mempunyai blog kalau blogspot kena ada akaun gmail bukan sembarangan akaun e-mel.

Menulis untuk facebook pula tidak seperti menulis untuk blog. Menulis blog anda perlu buka template buat setting kalau ada gambar kena arrange besar kecil gambar, letak tengah atau tepi. Setkan warna teks dan boleh pilih untuk bold atau italic. Tapi untuk facebook anda tiada pilihan untuk membuat setting rupa huruf.
Tak perlu buka template. Asal ada aja tulis tekan enter jadilah entri anda walaupun sepatah kata.

Selepas itu bersahut-sahutanlah teks yang memberi reaksi. Begitu mudah facebook dengan aplikasi menambah kawan berbanding blog yang mempunyai follower. Dalam sekejapan waktu blog mula dilupakan dan facebook menjadi sangat berpengaruh dewasa ini sehingga kalau anda kata anda tak ada akaun facebook 'mereka' akan anggap anda sebagai kolot atau ketinggalan zaman.

Tetapi percayalah tidak semua orang sama. Ada orang yang sanggup untuk tidak mempunyai akaun facebook ataupun blog dan ada orang yang mempunyai blog tetapi sanggup menutupnya kerana merasa tiada masa untuk memberikan tumpuan kepada keduanya.

Sebenarnya bergantunglah kepada keperluan dan tujuan anda mempunyai akaun-akaun itu. Jika suka-suka bolehlah mempunyai facebook seperti kebanyakan orang sekarang dan jika ada pandangan yang ingin dilontarkan atau perniagaan baiklah mempunyai blog pula. Jika anda pernah mengendali keduanya anda tentu akan faham maksud saya kerana berjuta manusia di dunia ini akan menggunakan enjin carian seperti google search atau apa sahaja untuk membuat carian dan carian itu akan berjaya menelanjangkan apa sahaja yang dilayarkan diinternet dan ia akan mempamerkan apa yang dicari termasuk semua kandungan dalam blog anda.

Ini ada keterbatasannya kepada facebook kerana ia tidak terlalu terbuka seperti blog. Cuma mereka yang diterima sebagai kawan yang akan dibenarkan untuk melihat maklumat yang terdapat dalam akaun facebook anda. Jadi dapatkah anda melihat betapa kelebihan yang ada pada blog berbanding facebook.

Ada orang yang menjalankan perniagaan menggunakan facebook tetapi berapa ramai pontensi pelanggan mereka ialah sejumlah kawan yang mereka ada itu sahaja. Dan sesebuah akaun facebook yang diberikan percuma hanya boleh mempunyai kawan semaksima lima ribu orang sahaja! Jadi seseorang yang ingin berniaga secara serius di facebook harus menambah sebanyak mungkin kenalan.

Dan tidak semua kenalan itu akan sentiasa melihat dinding anda dan membaca apa yang anda poskan sebagai entri. Anda bersaing dengan pelbagai kecenderungan mereka yang memiliki akaun facebook seperti yang suka-suka ingin memberitahu status apa yang mereka telah lakukan seperti "Arrrgh..mengantuklah!" atau "emmm bowing nyeeeer" atau yang paling ringkas "Hi". Atau jika artis mereka akan memberitahu aktiviti mereka agar sentiasa terus diingati dan diminati. Dinding facebook menjadi carca marba.

06 October, 2012

Anugerah Terjemahan Negara ITBM-PPM 2012



Semua Pemenang
3 Oktober 2012 - Setelah 17 tahun berlalu dengan kali terakhir diadakan pada tahun 1995, kini Anugerah Terjemahan Negara kembali diadakan hasil kerjasama di antara Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).

Berlangsung diHotel Marriot Putrajaya dengan kehadiran YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin - Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan pelbagai anugerah yang diadakan.


Adibah Amin Menerima Anugerah Tokoh Terjemahan daripada TPM, Paling kiri Mohd Khair Ngadiron Pengarah Urusan ITBM

Istimewanya dalam penganjuran kali ini Anugerah Tokoh Terjemahan Negara 2012 diperkenalkan dan yang menyandang gelaran tersebut ialah Khalidah Adibah Amin atau lebih dikenal sebagai Adibah Amin. Sekali gus membawa pulang hadiah penghargaan wang tunai RM10,00 berserta sijil penganugerahan.


Bergambar dengan Adibah Amin
Anugerah ini diberi bagi mengenang jasa sumbangan Adibah membangun psikologi pemikiran bangsa menerusi medium terjemahan. Beliau mula menterjemah novel No Harvest But Thorn karya asal Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad pada tahun 1972. Selepas itu banyak lagi karya-karya yang berjaya diterjemahkan oleh beliau seperti Jungle of Hope (Rimba Harapan) karya SN Keris Mas.

Pemenang Anugerah Terjemahan Negara 2012
Kategori Kreatif
Anugerah Penterjemah Terbaik : Zaleha Abidin
(Sandokan)

Kategori Umum
Anugerah Penterjemah Terbaik : Amir Muslim
(Dunia Pasca Amerika)

Kategori Sains Sosial Anugerah Penterjemah Terbaik : Amir Muslim
(Perdamaian Palestine Bukanlah Apartied)

Kategori Sains & Teknikal
Anugerah Penterjemah Terbaik : Abdul Khalil Shawkataly
& Rozman Hj. Din
(Sains Gentian)

Kategori Bacaan Kanak-kanak
Anugerah Penterjemah Terbaik : Shamsiah Md. Said
(1000 Fakta tentang Tumbuhan)

05 October, 2012

Indahnya Pantun - Apa khabar semua?

Tampan berseri si teruna pria,
Tingkat berhemat sempurnanya sopan:
Salam diberi di pagi yang mulia,
Agar sihat anda sekalian,

Salam, hello, hai semua kepada penggemar pantun. Saya termenung setiap kali membuka blog ini dan ingin mengetahui apakah bahan yang menyebabkan kunjungan ke blog enchelah ini tidak pernah putus sejak 4 tahun ia dilahirkan. Rupa-rupanya kerana adanya penggemar pantun di seluruh dunia. Saya sangat seronok dan berterima kasih kepada anda kerana mengunjungi blog ini. Kita serupa cintakan keindahan.

Teruskan menggali minat mencari rangkap-rangkap pantun yang indah di mana sahaja ia dilayarkan di maya ini. Saya juga akan terus mengerah keringat untuk berpantun di sini sekerap mungkin. Salam dari saya yuhuuu.

Atas pohon ada duri,
Tepi batu ada kelapa:
Saya mohon mengundur diri,
Di lain waktu kita berjumpa.

Terima kasih pengunjung-pengunjung dari Contagem, Minas Gerais, Contagem, Surabaya, Jawa Timur, Bandung, Jawa Barat, Surabaya, Jawa Timur, Jakarta, Jakarta Raya, Mountain View, California, London,  Medan, Sumatera Utara. Salam perkenalan! (Sekadar penyebut beberapa negara sahaja.)  

Indahnya Pantun - Lagu Gurindam Jiwa



Dengarkan keindahan pantun di dalam lagu Gurindam Jiwa ini.

04 October, 2012

Anak Mat Lela Gila - Di pasaran Sekarang!



Bulat dengan tidak tersipu-sipu dan tertib lakunya telah menyambut tangan yang putih bersih itu lalu dikucupnya. Perbuatan yang demikian nyatalah luar biasa dalam majlis orang-orang Melayu dan kejadian itu dilihat oleh ramai orang yang hadir dengan kehairanan dan masing-masing pun mulalah berpandangan dan setengahnya terus berbisik-bisik. Akan tetapi kepada Bulat perbuatannya bukannya luar biasa, bukannya ganjil bahkan penghormatan yang memang dituntut kerana perempuan itu ialah ibunya. Oleh itu tiadalah dihiraukannya laku orang-orang lain yang mengerling kepadanya itu.


Begini ceritanya...

Anak Mat Lela Gila adalah karya Ishak Haji Muhammad yang diterbitkan pada tahun 1960. Ia mengisahkan seorang pemuda yang dianggap gila oleh penduduk kampung? suka membersihkan laman masjid tetapi tidak pernah menjengah ke dalamnya. Novel yang dibelai dengan penuh perhatian ini terkandung banyak maksud tersirat. Ishak Haji Muhammad secara halus menyampaikan kritik sosial melalui karya ini dengan gaya bahasa lama yang mudah untuk difahami.

Walaupun novel ini dihasilkan 40 tahun yang lalu namun Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako seperti sudah tahu penyakit yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang. Kebanyakan isu-isu masyarakat yang diketengahkannya adalah malar segar dan masih lagi berlaku hingga ke hari ini lalu dapat kita rasakan pemikiran Pak Sako merentasi zamannya.

Siapa Mat Lela? Siapa watak utamanya. Mat Lela ialah orang yang mendapat anak secara tidak sengaja. Anak itu terpaksa ditinggalkan oleh ibunya untuk mengelakkan fitnah masyarakat. Bulat diberi nama budak itu ia membesar bersama Mat Lela yang dianggap gila oleh tetangganya kerana kelakuannya yang aneh. Tetapi Bulat telah dicuri dari rumah Mat Lela dan ia membesar pula dalam jagaan ibu bapanya yang baru.

Hidup bulat terus dilanda peristiwa-peristiwa aneh. Nak tahu...carilah buku ini di ITBM atau di pasaran.
Jika anda berminat untuk mendapatkan buku ini sila tekan di sini

03 October, 2012

Yang Aneh itu Kekadang Menarik


Benarkah macam tu? Jika berlaku pada tumbuhan  mahupun haiwan akan jadi perhatianlah ia. Lihat dedaun ini sepatutnya ia berwarna hijau tetapi Allah dah tentukan ia berwarna kuning. Maka jadilah ia seperti bunga di hujung ranting. Kau orang fikir ia menarik atau tak?

02 October, 2012

The Precious Gift - Tuhfat al-Nafis (ITBM)



The Precious Gift - ITBM
ITBM buat kejutan lagi menerbitkan karya agung selepas The Epic of Hang Tuah (Hikayat Hang Tuah). The Precious Gift begitulah judul karya Tuhfat al-Nafis versi asal. Tergamam juga saya seketika waktu hendak melahirkan entri ini apabila membuat carian google mengenai bukunya. Sama juga seperti karya agung Hang Tuah ia pernah diterjemahkan sebelum ini ke bahasa Inggeris begitu juga dengan Tuhfat Al-Nafis karya Raja Ali Haji ini.

Bezanya kali ini terjemahannya oleh Prosefor Emeritus Dr. Viginia Hooker adalah berdasarkan Tuhfat al-Nafis terbitan terkini Yayasan Karyawan yang lebih sempurna berbanding versi yang ada kerana menyalin Tuhfat al-Nafis dari jawi ke rumi bukanlah suatu kerja yang mudah tambahan pula teks ini dalam gaya bahasa lama.

Kita harus berbangga kerana dengan lahirnya The Precious Gift satu lagi khazanah sastera kita akan kongsi bersama masyarakat antarabangsa.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi Australia pada 2 Oktober 2012.

Yang Berhormat memang pandai berucap - saya penggemar puisi tradisonal terkesima dengan pantun-pantun dalam ucapannya.

Kalau nak makan keropok bulat-bulat,
Kalau nak bertepuk kuat-kuat.

Sementara saya ke Mentakab
Tuan-tuan pergi ke Bidur,
Sementara saya bercakap,
Tuan-tuan janganlah tidur,

Cantik dan lucu pantun dua kerat itu sehingga orang yang mendengarnya pun tertawa. Tidak seperti pantun-pantun dua kerat yang dijahanam oleh pelawak-pelawak kita sekarang dan disiarkan pula oleh media massa kita aliran perdana!

Syabas ITBM :)

28 September, 2012

Hari yang mencemaskan anak mak.- Bahagian 1

Semalam telah hampir dua bulan Umi datang bertamu di Kuala Lumpur. Puasa dan sambut raya di sini. Rutin yang suka dilakukannya sejak sepuluh tahun yang lalu. Sejak Umi datang sudah beberapa kali juga aku membawanya ke klinik kerana keuzurannya.
Awal Ogos akupun dah lupa apa sakit umi. Dia sangat suka mengunjungi Klinik Idzham. Aku tahu ada seorang doktor yang suka melayan pesakit dengan penuh sopan dan kewanitaannya, itulah yang menyenangkan  Umi. Apa-apa ajalah Umi – asalkan bahagia. Kunjungan  itu Doktor Rose telah berbisik kepadaku. Sebenarnya tidak perlu berbisik kerana pendengaran Umi telah berkurang.
“Ada ketulan dalam perut Umi. Bawalah dia ke pakar dan buat rawatan susulan – ultra sound  itu lebih baik.” Kata Doktor Rose kepadaku.
Hatiku berdebar. Pulang ke rumah aku Tanya Umi sama ada dia sakit pada bahagian itu atau tidak. Umi mengeleng. Aku telefon abang di rumah bertanyakan hal itu. Abang yang selalu bawa Umi untuk pemeriksaan berkala di hospital di kampungku di Kelantan. Abang cakap hal itu tidak pernah diperkatakan oleh doktor tempat Umi selalu diperiksa. Maknanya Umi memang bebas dari tanda-tanda kanser.
Hatiku lega. Dua tiga hari – dua tiga minggu, makan minggu aku mula lupa dengan ingatan Doktor Rose.
Sehingga semalam apabila mengunjungi klinik itu lagi sekali lagi Doktor Rose mendekati aku dan berkata “Ketulan dalam perut emak awak makin besar. Awak dah bawa dia jumpa pakar? Saya takut benda ni kanser aje.”
Berderau darahku. Aku termangu dan baru aku ingat semula tentang nasihat doktor.  ‘Argh mengapa bengap sangat aku ni sehingga hal yang begitu penting aku boleh lupa. Aduh.’ Aku mengeluh. ‘Kalau Umi benar-benar mengidap kanser– akulah yang salah kerana cuai mengubatinya di peringkat awal.
“Untuk sakit hari ini memang Umi awak okey. Cuma pasal ketulan itu awak bawalah cepat jumpa pakar. Saya takut dia menjadi semakin serius.”
“Okey-okey.” Kataku dalam blur. Kabur rasanya perasanku. Bagaimana aku nak ceritakan dengan saudara-saudaraku yang lain. Abang, kakak dan adik pasti terperanjat kalau aku beritahu hal ini kepada mereka. ‘Tak apa biar aku settlekan hal ini dulu. Biar aku tanggung sendiri semuanya. Kalau fikiranku kacau haruskah aku kacaukan juga fikiran mereka. Lagipun hal ini belum pasti.’ Aku memujuk diriku sendiri.
“Doktor boleh tolong buatkan surat refer kepada Doktor pakar?” pintaku. Doktor Rose mengangguk. Sejurus di ruang menunggu untuk mengambil ubat pembantu klinikpun menghulurkan surat itu kepadaku.
Umi merenungku yang seperti kebinggungan. “Kenapa?’ Dia bertanya.
Aku harus memberitahu ibu. Sebab dia patut tahu apa yang bermain di fikiranku. “Umi…kita pergi ke doktor pakar ya. Doktor Rose tadi cakap ada benda dalam perut Umi. Kita periksa ya!” aku bisik ke telinga Umi, dia kelihatan bingung tapi mengangguk.
Aku meninggalkan Klinik Idzham pagi itu dengan memimpin tangan Umi dan jalannya yang terketar-ketar. Walaupun tidak melihat kepada pembantu klinik, tapi aku tahu mereka sedang memerhatikan kami yang sedang berjalan keluar.

23 September, 2012

Shila Amzah Juara Asian Wave 2012

Belum terlambat untuk saya ucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan Shila Amzah dalam pertandingan Asian Wave yang berlangsung di Shanghai China pada 20 September 2012 lalu, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di luar negara. Sepanjang pertandingan itu Shila telah bersaing dengan sembilan orang peserta. Maaf saya tidak tahu sangat dengan format pertandingan ini.

Tetapi Shila Amzah kebelakngan ini sangat mencuri perhatian saya bermula dengan pertandingan One in A Million (OIAM) yang disertainya. Walaupun kalah dalam pertandingan itu saya melihat bakatnya yang begitu besar dan sejak itu sering mengunjunginya di Youtube dengan cover version lagu-lagu nyanyiannya. Di situ saya melihat lagi kehebatannya 'memunyakan' lagu-lagu orang lain dengan gaya persembahan diiringi gitar (terus rasa nak belajar main gitar..@#$%).

Shila selepas itu bersama Ning dan Jacklyn Victor mencipta kelainan dalam industri hiburan dengan bergabung suara bersama penyanyi hebat wanita Malaysia dalam lagu Beribu Sesalan dengan menamakan paduan itu sebagai 3 Suara.

Selepas itu Shila menyertai Fenomania di Astro walaupun tidak menang saya percaya dia mengumpulkan pengalamannya yang berharga dalam setiap pertandingan yang disertainya.

Sebelum itu Shila mengejutkan saya sekali lagi dengan penampilannya yang baru (bertudung) ketika saya membaca di akhbar dan keputusan itu dibuat ketika bulan Ramadan (kalau tak silap saya). Nah sekarang lihatlah betapa imej atau penampilan itu bukanlah faktor utama untuk popular atau berjaya. Tak perlu nak dedah sana-sini. Tak perlu nak seksi-seksi atau goyang sana atau goyang sini untuk dikenali ramai atau boleh juga saya katakan mengapa takut untuk bertudung dengan 'istilah' yang sebenar-benarnya. Apakah takut hilang popular! Eh ke situ pulak saya....Sekali lagi saya nak ucap Tahniah kepada Shila Amzah anak kepada pelakon lelaki popular 80an - N.D. Lala



Tontonlah detik-detik perjalanan kejayaan Shila dalam Asian Wave 2012. Semoga ia dapat memberi inspirasi kepada penyanyi baru yang lain.

14 September, 2012

Indahnya Pantun

Baru-baru ini saya telah menciptakan pantun untuk teman, katanya untuk kegunaan kad hari raya. Walau ia tidak digunakan sebagaimana yang diminta saya tidak berkecil hati malah berterima kasih kerana menggerakkan minda saya untuk terus mencipta pantun yang telah lama saya tinggalkan ini.

Indah terserlah songket bercorak,
Titip akal  menjadi warisan:
Berlalu sudah Ramadan al-Mubarak,
Muncul Syawal kita bermaafan.

Indah pakaian tradisonal Melayu,
Tenunan asli menjadi warisan;
Bila Ramadan sudah berlalu,
Menyusul aidifitri untuk diraikan.

Mencipta pantun untuk sesuatu suasana harus menampilkan perkataan-perkataan yang lazim muncul dalam suasana itu. Jadi untuk hari raya aidilfitri - pakaian dan hidangan adalah dua subjek yang saling berkaitan.
Pada awal pantun ini disiapkan rima tengahnya tidak terbina dengan sempurna. Saya mengambil masa beberapa hari untuk memperbaiki rima tengahnya sehingga bentuk terakhir ini tercipta. Mungkin ada baiknya saya perturunkan bentuk awal pantun itu agar dapat dilihat kekurangan pantun ini pada awalnya dan dapat penggemar pantun mengesannya. Mungkin dalam post yang akan datang saya siarkan.

Buat anda jangan jemu untuk berpantun. Jumpa lagi. Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin dari saya. :)

12 September 2012

Hari tu (4 September) sibuk menjadi emcee. Semuanya kerana nak menyelamatkan keadaan. Dalam waktu yang sama menjadi penyambut tetamu juga untuk majlis aidilfitri tempat aku kerja - layan sana layan sini. Dah tak habis dengan dua tanggung jawab itu aku juga jadi LO bukan Local Order tapi Liaison Officer untuk seorang pemenang Anugerah SEA Write - Azmah Nordin. Kelam kabut aku jadinya.

Tetapi alhamdulillah majlis tidaklah jadi kelam kabut. Dalam pada itu aku didatangi pula oleh seorang wartawan dari Berita Harian Sdr. Latifah Arifin untuk menemuramah dan bertanyakan tentang isu perlunya penubuhan koperasi untuk penulis-penulis di Malaysia...

31 May, 2012

Tolong Jangan Marah Saya!


Semua gara-gara Novel Puteri 9 Sepuluh terbitan yang sedang panas di pasaran. Ada pembaca yang telah membacanya tidak puas hati dengan watak Deraman yang saya matikan begitu sahaja dalam novel itu. Sebenarnya sewaktu melakarkan cerita itu saya tidak matikan watak Deraman. Watak Deraman terus hidup tetapi bukan dalam Puteri Sembilan Sepuluh tetapi dalam novel sambungan yang lain.

Deraman adalah suami kepada Siti Sabariah yang kepingin mahu menimang anak setelah lebih sepuluh tahun melayari hidup sebagai suami isteri. Deraman mengambil keputusan berkelana mencari ubat untuk membuatkan isterinya dapat hamil. Pelayarannya sampai ke Pulau Langkawi berjumpa dengan Pak Uda di Pulau Tuba di situ Deraman menyedari kesilapannya mempercayai kepercayaan yang tiada asas. Dia insaf dan berlayar pulang ke kampung halamannya. Malangnya di tertidur di Pulau Biawak tempat dia bertemu Pak Andak.

Saya berharap anda semua bersabar untuk mengetahui kesudahan cerita ini apabila saya menyambungnya kelak. Deraman tidak mati tetapi dia Cuma tertidur dan akan sedar apabila tiba waktunya. Tunggulah…

Puteri 9 Sepuluh * Enchelah* 2012*Pelangi Novel*RM22.90*ISBN 978-967-5671-39-5