13 April, 2010

Al Fatihah Buatmu Allahyarham Jefrey Haji Bujang


Ia benar-benar mengejutkanku. Namun tidak ada kuasa yang dapat menahan selain dariNya. Al Fatihahku buat mu sahabatku dunia dan akhirat. Jefrey Haji Bujang. 1965-2010. Walaupun kita jauh di mata tapi kita sentiasa dekat di hati. Kehilanganmu amat kurasakan. Akurindukan kecoh tawamu teman.

11 April, 2010

Puisi - Khabar Bergulung Rona Hitam




Khabar itu terbang dan hinggap
di dada hari ini
melengkapkan debaran yang ku kira
sudah seminggu kencang tanpa sebabnya
bersarang di sini

Khabar yang bisa mengalirkan manik-manik jernih
dari pancainderaku yang tidak ternilai harganya
merundukkan ceria yang semakin berbalam
dalam diri ini
menyedarkan aku hakikat kehidupan
yang sementara
dan nikmat yang terpinjam tanpa cagaran

ku teguk udara yang nyaman
selepas khabar itu datang
namun kurasakan
duri-duri mula menyucuk kerongkongku
dan bisanya akan mula mengalir
dalam diri anak-anak bonda

saudara-saudaraku
tabahkanlah hatimu
jika rona-rona hitam pada khabaran itu
kian memekat sedikit waktu lagi
kerana Tuhan itu sentiasa mahu menguji kita
sebagaimana dia menguji Nabi Daud dengan kesakitan
dan sekalian hamba yang disayanginya
tunduk dan redalah
pada ketentuanNya
kerana kita semua pasti akan
kembali kepadaNya
suatu hari nanti

Enchelah
April 2010

10 April, 2010

Kanvas kehidupan - Sudah Seminggu Bajunya Yang Sama (Bahagian 1)

Malam itu seperti biasa aku selepas mandi dan bersolat maghrib aku duduk melepak di hadapan tv untuk mengikuti siaran berita. Dah lama benar tak menonton siaran tv kerana sibuk yang memanjang. Kerja-kerja di pejabat dan lain-lain urusan peribadi menyebabkan aku sudah tiada masa untuk menonton tv di waktu malam kebelakangan ini.

Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Ah teman yang sudah lama menyepikan diri menelefon rupanya. Mesti ada hal penting nih. Kalau tidak masakan dia menelefon. Aku mengangkatnya dan tumpuanku untuk menonton siaran berita di tv tadi terhenti dek perbualan yang berlangsung selama hampir 15 minit.

Rupanya dia sedang tersepit dalam rasa kemanusiaannya sendiri dan menyeret aku sama ketika itu. Katanya beberapa hari lepas dia ke hentian bas di Jalan Pahang untuk menghantar anaknya yang akan pulang ke sekolah di Pantai Timur. Di hentian bas itu dia bersolat di sebuah surau. Ada seorang pemuda yang duduk berhampiran dengan surau itu dalam keadaan yang amat bingung katanya.

Pada mulanya dia amat bimbang dan curiga dengan pemuda itu kerana rupanya seperti pencuri kasut, mat gian ataupun peragut. Tetapi dia menghampiri pemuda itu setelah beberapa lama memerhatikan pemuda itu tidak pula mencuri walaupun banyak beg dan kasut ditinggalkan dihadapannya oleh orang ramai yang mahu bersolat di surau itu.

Mengusul apa yang telah terjadi kepadanya lalu pemuda itu bercerita dia datang dari kampung untuk bekerja di Kuala Lumpur kerana di kampung tiada kerja yang dapat dilakukan. Bermula dari kerja di kedai makan dengan gaji yang tak seberapa dia berubah kepada menjaga parkir haram kerana pendapatnya lebih lumayan. Namun kerja seperti itu tidak menjamin hidupnya lagipun ia satu kerja haram. Dia ditangkap pihak berkuasa akhirnya dan dimasukkan ke dalam lokap. Setelah beberapa hari ditahan dia di bebaskan semula.

Sewaktu di dalam lokap dia teringat kepada ibu bapanya di kampung dan dia teringin benar pulang ke kampung untuk memohon maaf dengan mereka dan meminta restu dari mereka untuk memulakan hidup baru. Tidak pula disangka-sangka dalam perjalanan itu beg dan dompetnya pula di kebas orang. Jadi pemuda itu sudah kehilangan punca apa yang perlu dilakukannya tambahan pula dia tidak mempunyai kenalan dan saudara mara di sini.

Temanku lalu menghulurkannya sedikit wang untuk membolehkan dia meneruskan hajatnya untuk pulang ke kampung. Pemuda itu meminta nombor telefonnya sebelum berlepas pulang dengan bas dari stesen itu dengan kata-kata dia akan pulang semula ke Kuala Lumpur setelah berjumpa dengan ibu bapanya di kampung...