29 November, 2012

Jom Baca Buku- Buaya Tembaga


Anda peminat Azmah Nordin. Nah ini buku terbaharu beliau bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
Banyak cerita rakyat Malaysia khususnya masyarakat etnik Sabah yang masih tersimpan dan belum pernah dibukukan. Cerita-cerita ini sangat segar dan berbeza dengan ceita rakyat di negeri lain yang pernah dibaca kerana perbezaan agama, kepercayaan, adat dan budaya seperti yang terdapat dalam Buaya Tembaga ini.


Sebanyak 16 buah cerita rakyat dalam Buaya Tembaga dan hampir semua wataknya menganut kepercayaan animisme. Sebahagian besar daripadanya mempercayai bahawa ada empat roh yang wujud di dunia , iaitu Minamagun, Kunduduwo, Tombiruroh dan Rogoh.

Setelah membaca semua cerita yang terkandung dalam buku ini, anda pasti terasa betapa tandusnya pengetahuan kita tentang cerita rakyat Malaysia sedang kitalah yang memiliki semua khazanah yang pelbagai itu.

Harga buku ini RM25.00
ISBN 978-983-068-927-2
Terbitan : Institut Terjemahan & Buku Malaysia

Jika berminat sila dapatkan di sini.

Di sebalik pembikinan buku ini.

Tidak banyak masalah yang dihadapi olehku ketika menangani buku ini memandangkan kandungannya  memang mantap daripada penulis wanita yang sudah tersohor. Dia - Azmah Nordin pemenang Anugerah S.E.A Write 2009. Sewaktu menatap manuskrip ini aku membacanya dari bab ke bab ternyata cerita suku kaum di Sabah ini sungguh mengasyikkan. Lalu terbayang di fikiran kalaulah dapat berkarya seperti alangkah baiknya. Makin kaya khazanah cerita rakyat jika ramai yang mahu berkongsi cerita rakyat negeri masing-masing.

Yang best ada cerita bunuh-bunuhan, watak perkasa super nature, pertarungan dan jelma-jelmaan. Ah tentu kalau diceritakan kepada kanak-kanak terbuai-buailah perasaan mereka kerana suka berkhayal.

Kerja mengatur huruf memakan masa lebih kurang tiga minggu untuk siap sempurna. Aku cuba menghubungi Kak Azmah (panggilan yang dia suka jika aku berbual dengannya di telefon) untuk meminta gambar darinya tapi ternyata dia tak suka bergambar. Aku tidak punya pilihan menggunakan koleksi gambar terdahulu kerana pernah menerbitkan buku versi terjemahan karyanya yang lain dahulu (Syumul). Tidak seperti sesetengah yang lain Kak Azmah sangat merendah diri dan aku seronok bekerja dengannya.

Cabaran seterusnya ialah penyediaan kulitnya. Aku menyerahkan kepada seorang teman ternyata teman itu tak punya masa untuk membuatnya. Dia sangat berminat dengan judul ini lalu memberikan idea supaya memberi fokus kepada mata buaya sahaja. Lalu idea itu aku panjangkan kepada perekabentuk seterusnya. dan ternyata dalam beberapa pilihan yang dibuat. Pihak ITBM suka dengan visual yang ini.

05 November, 2012

Seperti Mahu Melahirkan

Membuak-buak terlalu sendat dalam kepala ini. Tidak tertanggung menahan dalam fikiran ini. Banyak  tapi Fragile perlu dibelai. Harus aku mencatatnya satu persatu. Ia seperti bercambah. Berbunga-bunga. Berganda dengan tiba-tiba. Secara tiba-tiba. Ah bohong! Akulah yang membajainya. Hasilnya sekarang fikiranku seperti perut seorang wanita yang memboyot dan ingin melahirkan.

Ia adalah idea. Ia adalah rangkaian idea. Rangkaian kata-kata untuk sebuah novelku yang baharu yang aku mahu ia jadi kenyataan pada awal tahun baru. Tunggukan kemunculan sebuah lagi cerita misteri dariku. November dan Disember aku mungkin demam kerananya.