14 December, 2012

Jom Baca Buku & Di Sebalik Tabir : RONA


Sebuah lagi buku kendalian saya RONA karya penyair dari selatan tanah air Murad Salleh. RONA diberikan kepada saya dengan pilihan puisi yang banyak sekali. Saya kira tak kurang dari 7 jilid kumpulan puisi dan setiap satu mempunyai lebih dari 50 buah puisi. Saya ditugaskan untuk mencari puisi-puisi yang telah dipilih. Jumlah yang dikehendaki ialah 100 buah. Dan saya dapatinya ia lebih daripada itu. Kerja itu bukan sesuatu yang mudah. Kerana saya tidak boleh salah pilih. Mereka mahu hanya yang terbaik dari pengarang ini.

Dan akhirnya saya menghela nafas yang panjang perjalanan yang sukar itu dapat saya lalui dengan selamat. Saya juga peminat puisi dan sesekali terfikir barangkali penyair ini sentiasa bergerak ke mana sahaja dengan catatan puisinya. Puisi adalah nafasnya.

Menyediakan kulitnya juga tidak merumitkan saya kerana rona adalah warna perasaan penulis. Dan pemilihan ini saya kira amat rasi dengan jiwa penulis. Mengenali penulisnya juga membuatkan saya menjadi lebih jelas tentang apa sebenarnya makna kehidupan.

Sinopsis:
RONA adalah paparan rentak dan rencah kehidupan penyair yang pelbagai. Daripada perjalanan hidup, persekitaran dan alam ciptaan Illahi telah membuahkan ilham, ibarat sebuah pohon yang besar, lalu diambil bahagian yang menarik dan dipersembahkan ia secara terasing; lahirlah persembahan itu dalam bentuk yang sangat unik dan tersendiri untuk dikongsi. Bersamanya terkandung harapan agar hadir kecekalan, kesabaran dan ketabahan untuk cabaran yang mendatang.

Jika berminat dengan buku ini silalah dapatkannya di sini
Judul: Rona
Pengarang: Murad Salleh
Terbitan : Institut Terjemahan & Buku Malaysia
Nombor ISBN: 978 983 068 923 4
Harga: RM20.00 Sem / RM25.00 Sabah & Sarawak