14 Jun 2013 sepuluh hari selepas ulang tahun kelahiranku. Rasa gundah yang melanda sekian lama akhirnya berakhir dengan rasa kecewa. Manuskrip Sumpahan Jemalo novel ke-3 ku ditolak dengan rasmi melalui emel. Dengan alasan-alasan yang aku kira aku dapat menerimanya maka dengan itu juga aku menerima dengan hati terbuka.
Sekian lama aku merasakan aku tidak pernah kecewa dengan dunia penulisan yang baru aku ceburi ini dan sekian lama juga aku merasa hairan bagaimana penulis-penulis baru atau mereka yang baru mencuba untuk menjadi penulis di gigit rasa kecewa kerana manuskrip mereka ditolak kini pertanyaan itu mengakhiri persoalan itu.
Agak kacau juga detik membaca emel penolakan itu. ‘Patutlah dia diperap begitu lama,’ fikirku sendirian. Tapi aku harus rasional dengan sebab-sebab kelewatan yang diberikan sebelum ini. Pihak penerbit sibuk dengan projek-projek besar dan manuskrip aku terpinggir untuk diberi keutamaan. Walaupun pada peringkat awalnya mereka telah memberi persetujuan untuk menerbitnya.
Berbalik pada soal penolakan itu hari tidak mahu berfikiran negatif. Ianya adalah pangalaman yang harus dilalui oleh semua orang yang mahu bergelar penulis aku rasa. Jadi biarlah aku merenung di sebalik kelemahan yang dinyatakan oleh puan editor. Barangkali aku terlalu ghairah menulis sehingga menolak ke tepi nilai-nilai murni yang seharusnya dipegang oleh setiap penulis kerana itu adalah tanggungjawab mereka. Menulis bukan semata-mata mencari kepuasan diri malah menulis sebenarnya adalah untuk memberi pengajaran kepada pembaca, membuka minda mereka akan perkara-perkara yang tidak terlintas oleh fikiran mereka.
Aku terus membuat carian di internet mengenai manuskrip yang ditolak. Kononnya mahu melihat perasaan penulis-penulis yang ditolak karya mereka. Apa yang mereka lakukan apabila karya mereka ditolak. Aku ingin mencuri pengalaman hidup mereka atau berkongsi cara bagaimana mereka menangani kegagalan itu.
Nah, dari carian itu aku menemui sesuatu yang tidak aku terlintas sebelum ini. Rupanya bagai karya-karya yang berjaya di dunia adalah hasil dari kegagalan pada peringkat awal. J.K. Rowling misalnya mengalami penolakan 14 kali ke atas novelnya Harry Porter. Dan penulis-penulis lain gagal lebih dari 30 kali pun ada ketika awal kerjaya mereka.
Jadi aku seharusnya lebih berhati waja dengan apa yang terjadi. Sumpahan Jemalo tidak harus diperapkan begitu sahaja. Sumpahan Jemalo manuskrip yang mempunyai virus di dalamnya. Jika diterbitkan ia pasti menularkan virus itu kepada pembaca-pembacanya. Jadi aku harus merawatnya sebelum ianya dihidangkan semula. Sumpahan Jemalo perlu dibedah dan dibuang bahagian-bahagian yang rosak itu. Aku berjanji kepada diriku agar jangan jadikan saat ini sebagai titik yang melemahkan diriku. Tuhan berikan aku kekuatan. Aku sedar tiada kesenangan yang datang menggolek seperti kata pepatah ‘jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’ barulah ‘yang bulat datang menggolek dan yang pipih datang melayang.’ Selamat maju jaya enchelah – jangan kuburkan ‘Sumpahan Jemalo’ lahirkan ia semula dengan wajah baharu sehingga dia menguasai carta judul yang disenangi!