30 January, 2015

Selamat Tahun Baru 2015 dan Januari Yang Akan Pergi.

 
 
Begitu cepat waktu berlalu dan kita semakin hari semakin sibuk dengan kehidupan. Di penghujung Januari 2015 barulah saya berkesempatan menjengah ke blog yang banyak mengubah kehidupan saya ini.
 
Pelbagai peristiwa besar telah berlalu sepanjang 2014. Saya bukan mahu menyorot peristiwa-peristiwa itu kerana ruangan di blog ini sangat peribadi untuk saya urus dan muatkan dengan berita-berita yang saya ingin kongsi bersama pembaca-pembaca di sini. Saya tidak mahu menjadi wartawan atau menteri untuk memberi pesan atau ingatan tentang perkara-perkara yang telah, akan dan sedang berlaku.
 
Saya amat terkesan dengan berita kehilangan pesawat MH370 hampir setahun yang lalu. 8 Mac - Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama. Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan.

Semalam pengumuman rasmi tentang status peristiwa itu dibuat oleh pihak Syarikat Penerbangan Malaysia bahawa kehilangan pesawat itu sebenarnya kerana kemalangan dan sehingga kini pencariannya masih diteruskan.
 
Tidak lama selepas peristiwa itu iaitu pada 18 Jualai 2014. Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kemalangan pesawat MH17. Kali ini sebuah pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 dilaporkan terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia dan mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapalnya. Pesawat itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal.
 
Tahun 2014 merupakan Tahun Melawat Malaysia, sudah tentu impian negara untuk melihat Malaysia dikunjungi oleh tetamu luar negara menjadi hampa dengan apa yang berlaku. Promosi yang dilakukan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia terpaksa dihentikan untuk menghormati usaha pencarian yang giat dilakukan ketika itu.
 
Dan di akhir tahun 2014 Malaysia sekali lagi ditimpa musibah apabila banjir besar dan terburuk melanda negeri Kelantan mengakibatkan kerugian hampir mencecah RM1 billion. Awal tahun juga bagi yang mengikuti perkembangan dunia kewangan penggabungan tiga buah bank iaiatu CIMB Islamic, RHB dan MBSB untuk menjadi mega bank dibatalkan sebaliknya Bank Dunia menubuhkan cawangannya di Malaysia dan pertama di rantau asia dan akan berpusat di Sasana Kijang Kuala Lumpur. Pembukaan cawangan itu kenapa tidak di negara-negara lain seperti Singapura, Filipina atau Jepun tidaklah diketahui.

Saya mengharapkan 2015 akan membawakan sinar yang lebih terang dalam dunia penulisan dan saya dapat menghasilkan karya-karya yang lebih kreatif agar dapat berkongsi rasa dengan pembaca.